Sahabat

Posted by Leeza | Posted in


Dalam dunia ini kita perlukan sahabat. Bila ditanya adakah saya punya kawan sekampung yang boleh saya jumpa setiap hari, bersembang, berkongsi dan sebagainya, saya terdiam sebab hakikatnya saya tak punya kawan sekampung. Masa kecil saya bukan masa yang indah. Tiada kenangan yang manis semasa kecil, sering dibuli dan ditinggalkan . Saya pernah dikhianati oleh kawan semasa kecil. Hidup sebagai kanak-kanak yang cacat pendengaran dan bertatih bercakap menjadi seorang yang tidak popular.Orang malu berkawan dengan kanak-kanak sebegini. Sebab itu sebaik habis sekolah rendah, arwah bapa hantar saya ke sekolah di Kuching dan bukannya Simunjan...jauh daripada kawan-kawan sekelas ini. Satu tindakan bijak sebab di bandar saya belajar berdikari dan punyai kawan-kawan pelbagai bangsa dan jantina. Saya gembira sangat-sangat.

Namun rasa phobia disisihkan oleh kawan-kawan masa kecil membuatkan saya berusaha menjadi kawan terbaik. Sikap ini membuat sebahagian kawan mengambil kesempatan.....sehingga dewasa dan tua. Apa lagi bila jumpa orang gila yang sentiasa mengawal setiap gerak-geri dan kemudian menjatuhkan maruah....sehingga saya bayar hutang pelanggannya . Sekarang ,jika orang itu kembali, saya tidak dapat memaafkannya.

Hari ini saya tunaikan permintaan seorang sahabat untuk bertemu setelah hampir 2 tahun hanya berhubung melalui sms dan telefon. Itupun setelah usia anaknya Dania mencecah setahun 4 bulan. Hindarty adalah kawan saya sejak memasuki USM tahun 1997. Dia merupakan adik kerani tempat saya bertugas dahulu. Kami berdua sering bersama , berbincang dalam pelajaran dan sekarang dalam tugas. Kebetulan pula dia mengajar subjek yang sama dengan saya. Dia pernah menjaga ibubapanya sehingga akhir hayat mereka. Dan Allah tentukan jodohnya sebaik ibubapanya meninggal. Dia nasihatkan saya supaya bersabar menjaga orang tua yang sensitif dan selalu sakit. Dia juga rakan travel saya . Teringat tiap cuti kami selalu tiada di Sarawak.....Sekarang dia sudah berkeluarga , saya kenalah faham-faham keadaannya.

Dania, anak Hindarty yang berusia setahun 4 bulan. Besar ini jugalah Aleesya anak Erra Fazira. Eh ...apa kaitan dengan Erra pulak ? :) sebab saya bekas presiden kelab peminat Erra Fazira untuk negeri Sarawak....sekarang sudah letak jawatan. Dah tua....bila Hindarty tanya kau masih contact Erra dan Ella tak? Hanya ikut fanpage di Facebook sahaja. Berbalik pada Dania, dia menurut mamanya,memilih orang yang dia mahu. Masa bersua muka, Dania tidak kekok dipeluk dan dicium. Alhamdulilah. Agaknya dia dapat merasa aura sahabat baik mamanya.

Comments (0)