TERAWIH TERAKHIR oleh Anuar Kamaruddin

Posted by Leeza | Posted in


Bismillahirahmanirahim.....Dengan Nama Allah Yang Pengasih dan Penyayang saya mulakan ulasan ini semoga saya mampu membuat ulasan yang terbaik untuk novel Terawih Terakhir karya Anuar Kamaruddin. Jika penulis ini berusaha untuk menjadi lebih baik dalam penghasilan karyanya maka saya sebagai pembaca juga mahu membuat ulasan yang lebih baik untuk karya-karya penulis yang ada.

Terawih Terakhir tajuknya sudah memberi gambaran pengakhiran yang duka ,kita disediakan dengan suatu kemungkinan yang menyedihkan. Namun saya ingin mengulas dari sudut kebaikan dua watak utama iaitu Anwar Arasy dan Qushairi. Anwar Arasy watak utama yang digambarkan dengan kebaikannya, ketaatannya kepada kedua ibubapa, kemurahan hatinya terhadap anak-anak yatim di Darul Arasy yang diasasnya,kewarakannya dalam mengerjakan solat dan ibadah puasa seakan-akan dia lakukan semuanya di saat bersedia menyambut kematiannya. Ya.....ada yang tak puas hatikan? Anwar Arasy sudah setahun lebih mengetahui hakikat penyakit Barahnya daripada Dr. Ehsan merangkap sahabat baiknya juga. Sebagai manusia biasa , jika diberitahu bahawa kita mengidap penyakit kronik yang kritikal ini dan kemudian diberitahu jangka hayat kita sekian-sekian, maka kita pasti berusaha untuk membuat segala kebaikan, bertaubat dan bersedekah sebanyak yang mungkin. Inilah keistimewaan insan seperti Anwar Arasy...... Sikap Anwar yang saya kagumi ialah ketabahannya menghadapi penyakit dan melalui saat-saat terakhir kehidupannya. Dia pergunakan segalanya sepenuhnya.Juga rasa kasih yang tinggi sehingga merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan ibubapa hatta kekasihnya arwah Balkish semasa hayatnya. Apa yang disampaikan oleh AK dalam perjalanan hidup Anwar Arasy pada saat-saat akhirnya ini adalah untuk menjadi teladan kepada kita yang hidup . Jika ada di antara kita yang berpenyakit baik ringan atau berat, kritikal atau tidak, kronik atau tidak....yang pasti kita kena bersedia dengan kematian yang datang bila-bila masa. Bagi yang sihat dan merasakan dirinya sihat, kita tidak boleh angkuh dan leka kerana MATI itu pasti. Apa sahaja amalan Anwar Arasy adalah sebahagian panduan untuk kita jalani hidup ini, bersolat bukan sahaja yang wajib malahan sunat , berpuasa dan bersolat terawih, mengunjungi masjid dan surau, berjemaah, mengaji, bersedekah dan banyak lagi. Benar....berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya .Mungkin ada yang kata ," kau tak rasa bagaimana azabnya mendapat sakit." Sahabat dan saudaraku,sakit bukan bererti harus mengalah begitu sahaja. Jangan salahkan takdir. Jika sakit bukan bererti dunia kita terus gelap gelita, terasa kita disingkirkan , tiada kasih sayang, dalam hati bernyanyi lagu 'lonely', apa lagi untuk mengabaikan kebersihan diri seperti tidak mandi,tidak makan dengan sempurna, berduka dan meratap hiba.Jangan berhenti berharap. Apa sahaja rasa, baik amarah, susah hati atau sedih ,bawalah berwuduk dan bersolat. Itu antara yang diajar dalam novel ini. Terima kasih.

Terawih Terakhir melahirkan watak yang paling kacak bagi saya, paling baik berbanding Anwar Arasy iaitu Qushairi. Sejak awal episod sehingga akhir, terserlah kebaikan Qushairi. Watak inilah yang mencetuskan emosi sedih, duka, pilu, sayu dalam diri saya. Watak inilah yang membuat airmata saya jatuh bukan lagi setitis demi setitis namun alirannya tanpa henti...sehingga dada sakit sekali. Hidung saya tersumbat bagai terkena selesema seminggu....mata menjadi merah dan bengkak. Bila ditegur oleh emak saya, saya bohongi dia mengatakan baru bangun tidur. Apa yang menariknya watak ini ? Qushairi , sahabat karib Anwar Arasy sejak mula menjaga Anwar dengan penuh kasih sayang . Dia prihatin dengan setiap perkembangan kesihatan sahabatnya. Dia sahabat yang sangat bertanggungjawab. Saat dia risau ketika Anwar keluar berjalan sendirian membeli buku-buku bacaan untuk Darul Arasy, kita dapat selami perasaannya ini. Saat dia menjaga Anwar Arasy koma beberapa hari di hospital, kita rasa kagum dengan sikapnya ini. Persahabatan yang tulus dan ikhlas seperti yang ditunjukkan oleh Qushairi inilah yang kita semua idamkan dalam dunia ini. Sahabat yang baik adalah sahabat yang mengajak kita mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Inilah contoh sahabat sejati yang takkan meninggalkan kita tatkala dilanda musibah. Bagaimanakah kita boleh mendapat sahabat seperti ini? Dengan doa....ya dengan doa. Hulurkan salam dan kebaikan kepada semua kawan di sekeliling kita , walau mungkin ada yang mengkhianati kita, namun dengan doa , pasti ada yang menjadi sahabat sejati. Bila membaca dan memikirkan erti persahabatan ini, saya menangis.....menangis sedih dan seribu kali rasa syukur saya lafazkan kerana saya dihadirkan dengan seseorang yang banyak mengubah saya untuk mendekati ALLAH. Padanya saya banyak meminta nasihat dan menimba ilmu . Terima kasih untuk dia yang menjadi sahabat dan juga mereka yang sentiasa ada di sisi.

Pengolahan cerita , rasa sedih sebentar untuk kita menangis kemudian kita diberi masa rehat untuk bertafakur memikirkan hadis dan nas, kemudian kita bersedih lagi . Sesuatu yang istimewa ialah hadis, nas, cerita sirah Nabi , tazkirah semuanya saling berkaitan dengan peristiwa yang disampaikan . Tiada ruang untuk menyelak sesuatu yang ganjil atau tidak logiknya. Kita dibawa menghayati saat-saat terakhir seorang Anwar Arasy. Bagaimana kedua ibubapa menanggani hari-hari dengan ketabahan biarpun hati sentiasa digayuti rasa bimbang dan duka . Ibubapa manalah yang tergamak membiarkan anak tersayang ,apa lagi anak tunggal dilanda derita . Jika ada ibubapa di sana yang mempunyai anak-anak berpenyakit, kita doakan mereka sentiasa diberkati ALLAH dengan ketabahan. Jangan sisihkan anak-anak ini.

Ada satu episod yang terpaksa saya ulangi dua kali iaitu episod 47. Episod ini adalah gambaran mimpi Anwar Arasy. Pada episod 46 , saya dilanda tanda tanya saat Pak Cik Syawal mengenggam erat tangan Qushairi dan kemudiannya memberikan CD kalam Allah. Terdetik dalam hati saya, adakah Pak Cik Syawal melihat sesuatu pada wajah Qushairi. Saya mendoakan agar mereka berdua ini selamat sampai ke kampung. Bila tiba ke episod 47, hati saya bersorak gembira. Kemudian saya rasa pelik, bagaimana si Qushairi boleh kemalangan sedangkan dia hanya berjalan kaki balik ke surau mencari telefonnya yang tercicir....Bila baca episod 48, baru saya berdecit geram. Chait....mimpi sahaja rupanya. Nasib baik mimpi Anwar Arasy ini tak panjang dan meleret-leret. Tapi kan.....sempat buat kek cawan pula Hajah Yatimah. Vogue mak Anwar ini....kalau bahulu baru ada suasana kampungnya kan.

Banyak info yang kita dapat dalam novel ini. Ada tanda-tanda kematian , tapi tak banyak sangat. Gambaran ghaib yang berkaitan dengan kematian ,ia mungkin dilihat oleh insan-insan terpilih sahaja. Semasa arwah datuk saya meninggal , saat-saat akhirnya ketika saya berdua dengannya, saya melihat seperti satu cahaya di kepala arwah datuk .Cahaya yang bukan dari lampu pelita....takkan saya lupakan saat itu. Semasa 40 hari mendekati ajal, nama yang tercatat pada daun yang gugur di Arasy akan didampingi oleh Malaikat......inilah agaknya maksud gambaran ghaib yang disampaikan.

Tahniah kepada Anuar Kamaruddin . Sekalung pujian kepada sifunya Norhayati Berahim dan juga kru-kru NB Kara seperti editor Anida dan pembaca pruf , Suraya . Jalinan bahasa yang cantik , garapan unsur-unsur islamik dan untaian plot cerita yang terikat kemas menjadikan Terawih Terakhir adalah novel islamik yang sangat baik. Apa yang ingin saya katakan bahawa novel ini berjaya menitiskan airmata keinsafan dan bukan untuk menangisi kisah cinta sesama manusia. Inilah novel yang kita alu-alukan dalam zaman 2020 ini , jika kita menitiskan airmata janganlah kerana duniawi , apa lagi untuk cinta sesama manusia. Apalah ertinya anugerah popular kerana menjadi penulis airmata dan novel terlaris jika apa yang kita mahukan pembaca tangisi hanyalah semata-mata kerana lelaki atau perempuan. Kenapa tidak kita tulis sesuatu kisah yang boleh menitiskan airmata keinsafan, sedar diri kita tidak sesempurna mana dan sesungguhnya setiap amalan kita entah cukup atau tidak untuk memudahkan laluan ke SYURGA. Bila kita dijemputNya sempatkah kita bertaubat ? Adakah kita sebertuah Anwar Arasy yang dijemput setelah selesai TERAWIH TERAKHIR. Tahniah Anuar Kamaruddin kerana usaha sebaik ini. Saya tunggu kelahiran karya islamik yang lain daripada anda. Pesanan saya, kurangkan penggunaan dua topi iaitu kopiah dan tanduk. Jika anda sudah menjadi penulis Islamik, tanggungjawab anda bukan terhenti setakat itu sahaja....malahan ia berlarutan. Jika ada rasa 'suka' pada sesuatu, kurang-kurangkanlah kesukaan itu.

Untuk semua peminat novel, jika membaca novel Terawih Terakhir bukakanlah hati dan minda . Jangan baca terlalu laju, bimbang anda tertinggal maksud dan penghayatan. Novel ini bukan novel Ramadhan yang biasa , namun hayati dan letak diri kita untuk memikirkan , bagaimana caranya kita menyambut saat kematian kita ? Bagaimana dengan persediaan kita ? Selamat beramal.

Comments (5)

leka jim baca review akak..
makin xsabar nk baca ni..

jim suker pesanan akak pd 2 perenggan terakhir..byk pengajaran yg boleh diambil dr karya ni..

kak,
saya ni kan ade 2 novel yg tak habis2 lagi dibaca.. so sebagai pengubat, memang suka dok tunggu ulasan kak.. so walau tak baca novel tu, dr ulasan kak, dpt gak gambaran ceritanya...

salam kak...
terima kasih untuk ulasan TT ni...
kus semangat part pesanan tu...brr...tatot tau...insyaAllah2 :D

Jim : terimakasih ye...kredit kita harus beri pada AK kerana TT nya yang hebat.
KakYong : hehehe, baca je novel tu...akan lebih tepat gambarannya.
Anuar Kamaruddin : ia pesanan dari seorang kakak untuk adiknya.Semoga terys berjaya pada masa depan.

saya dah bace dua kali.. pertama terlalu laju.. kali kedua baru saya dapat menghayati setiap isi kandungannya.. cuma saya ada terperasan semasa Qushairi memberitahu Solehah yang Balqis telah meninggal dunia, solehah mengucapkan innalillahiwainnalillahirojiun.. Bukankah sepatutnya innalillahiwainnailaihirojiun?? maaf sekadar bertanya.. apa2 pun novel ini amat memberi kesan positif kepada saya dalam mencari sahabat seperti Anuar Arasy...