HARUMNYA NORJANNAH oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in


Penulis novel Harumnya Norjannah, Kusyi Hirdan. Selama ini beliau banyak menghasilkan karya genre kanak-kanak dan remaja . Ternyata sentuhannya dalam novel dewasa yang berat dengan isu semasa menyentuh hati saya. Kita membaca bukan sekadar hendak berjiwang karat tetapi juga memerlukan bacaan yang menyentuh hati dan pemikiran kita. Semoga ia menjadi panduan kepada generasi remaja kita yang bijak pandai agar tahu membezakan yang benar dan yang salah.

Kecil je gambar novel ini kan. Saya cilok dari facebook penulisnya : Kusyi Hirdan. Novel ini ketika diwartakan dalam facebook milik Kusyi, aura ingin tahu dan tarikannya kuat sehingga saya dan Eryz Dwan atau si Atan berebut untuk memesan secara online. Sejak saya menghayati karya pertama Kusyi melalui NB Kara : Galau Di Hati Seri , saya sangat yakin Kusyi tidak menghampakan sebab karyanya padat dengan isi dan peristiwa. Dia tidak bermain di atas anganan atau fantasi tetapi nyata mengungkap segala kisah harian kita dalam masyarakat.

Novel ini tiba di teratak usang saya pada 24 April 2010 yang lalu namun sempat saya baca pada 6 Jun 2010. saya mengambil masa 12 jam menghabiskan bacaan saya ini. Kebetulan saya sibuk membuat ulangkaji untuk peperiksaan PTK saya pada 10 Jun nanti...nampaknya aura tarikan Harumnya Norjannah ini sangat kuat sehingga saya boleh ketepikan PTK buat sementara waktu.

Tahniah Kusyi atas garapan yang kemas ini. Isu yang disampaikan jika diulang baca amat berat dan sensitif namun berjaya diolah dengan begitu santai sekali. Isu Puvanes , janda berbangsa India yang memilih Islam sebagai akidahnya. Bukan sedikit halangan dan cabaran yang harus dihadapi namun Puvanes@Norjannah ini begitu teguh dengan semangat yang jitu untuk mempertahankan akidah barunya. Bukan sahaja isu agama yang diperdebatkan tetapi juga isu budaya dan masyarakat itu sendiri. Saya teringat dengan buku Inggeris yang pernah saya baca 'Around the world in 80 days" ,mereka berdepan dengan isu wanita India ini. Konsep 1 Malaysia ada dinyatakan namun ia berkisar antara masyarakat India dan Melayu sahaja. Puvanes yang nekad keluar dari rumah suami pemabuk dan rela menjadi janda daripada terus hidup menderita didera oleh suaminya itu. Bukan ketabahan Norjannah saja membuat kita berdecak kagum tetapi yang paling menonjol watak wanita hebat ialah watak ibunya, Shanti. Dialah kekuatan dalam keluarga itu . Shanti lah yang nekad mengambil dan menyelamatkan Puvanes dan anak-anaknya dari rumah suaminya, Thiagu. Shanti juga yang gagah berdiri menentang tohmahan dan kutukan masyarakat dengan status janda Puvanes yang dianggap membawa bala dan memalukan keluarga. Biarpun awalnya dia marah dan terluka kerana Puvanes memeluk Islam tanpa pengetahuannya namun kasih ibu mengatasi segalanya. Dia ibu yang banyak berkorban untuk anak-anaknya. Dia menyokong kuat anak-anaknya terutama Puvanes.

Novel ini juga menyentuh tentang fenomena bagaimana ada segelintir orang Islam sendiri yang terpesong akidahnya . Bila iman diri tidak kuat, kemudian disogok oleh kumpulan yang terlatih untuk merekrut ahli baru dalam agama Kristian , maka golongan ini akan cepat goyah pegangannya. Watak Norli yang diperdayakan oleh nafsu dan cinta menjadikan keluarga Nora ditimpa masalah. Bersyukur kerana syntom ini dapat dikesan awal dan bantuan pihak PERKIS maka Norli dapat diselamatkan akidahnya. Kejadian yang sama pernah terjadi kepada ibu mereka Puan Raihanah. Kita bukan sahaja didedahkan dengan berbagai masalah dan konflik dalam hidup keluarga Norjannah , keluarga Nora tetapi juga peranan masyarakat sekitar yang menyokong kuat kehadiran ahli baru dalam Islam. Organisasi PERKIS yang kuat ini menjadikan kita menarik nafas lega jika lebih ramai golongan yang terpesong seperti Ilham, Puan Raihanah dan Norli dapat diselamatkan. Malahan setiap pengakhir episod kita dihidangkan dengan tafsir ayat-ayat Al Quran sebagai panduan.

Kelemahan novel? Rasanya lebih kepada bilangan mukasuratnya yang nipis dan TIDAK PUAS untuk dibaca. Saya nak lagi lah ,Kusyi. Maksud saya , novel ini masih boleh dikembangkan lagi....menarik sangat. Apa kata kalau kita luaskan taubat dengan memberi peluang watak Eddy kembali dan menerima nur Islam? Kenapa watak ARU dimatikan begitu sahaja , begitu juga dengan watak Gopal? Pada akhir cerita , watak Gopal disenyapkan terus. Tentu sahaja saya tidak melupakan watak Shanti yang hebat itu. Jika Shanti memeluk Islam , tentu kita rasa lebih bersemangat. Kenapa watak Puan Mina dan Puan Jaya dibiarkan menjadi pengacau keluarga Shanti ini. Saya tidak suka dengan perangai mereka yang 'menyibuk' hendak mengatur keluarga Shanti tetapi anak-anak mereka dibiarkan pula kahwin lewat. Sekali-sekala kita kena 'ajar' mereka berdua ini...untuk menyedarkan mereka dari sikap bongkak.

Dan pengakhirnya, saya kecewa. Watak heroin tidak berkahwin dengan watak heronya.huhuhu. Sedangkan kita tahu Norjannah ada menyimpan perasaan juga kepada Ilham. Inilah kelebihan Kusyi, dia dapat mencalit apa sahaja warna dalam karyanya....tahniah dan teruskan. Kalau boleh hasilkan karya yang panjang supaya puas kami membacanya.Saya tak puas hati dengan gambar Novel yang sangat kecil di atas...maka saya google dan jumpalah gambar ini yang lebih besar dan lebih jelas. Warna biru itu cantik....teringat dengan sari biru milik Shanti yang menjadi sebab dia mengetahui identiti Puvanes yang sebenarnya.

P/s : Bab 26 tertulis dua kali. Ada sedikit kesalahan editing dari segi nama watak juga.Sedikit sahaja dan tidak mencacatkan novel.

Comments (2)

Thank you for the comment!

Besar ertinya bagi saya.

liza, saya nak kasi gambar lain boleh tak? Gambar yang kat sini kecittt sangat. :) hehehe.


Kusyi Hirdan
www.jendelaku.com

Salam Puan,

Tahniah atas komentar yang cukup diperhalusi. Sebagai insan yang pernah terlibat di sebalik tabir pembikinan novel ini, saya juga teruja dengan jalan cerita yang dibawa oleh Puan Kusyi. Namun, di sudut hati, saya sedih kerana tidak sempat menyempurnakan tugasan editor saya untuk buku ini kerana agak kalut dengan pelbagai urusan. Lantas, tugasan ini diambil alih oleh orang lain. Insya-Allah, pembaikan akan dibuat demi kepuasan semua.