PESANAN QADIR JILANI oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in


Siapa dia Qadir Jilani ? Apakah keistimewaan Qadir Jilani sehingga pesanannya menjadi tunjang untuk menegakkan kekuatan dan semangat seorang wanita bernama Hajar Jilani. Inilah dua soalan utama semasa membaca tajuk novel ini. Tidak perlu menggoogle jauh kerana jika kita menghayati novel NB ini dari mula dan akhir kita diperkenalkan siapa dia Qadir Jilani. Dua insan yang berbeza berkongsi satu nama yang sama. Namun seorang memperkenalkan prinsipnya dan diikuti oleh yang seorang lagi menjadi pesanan kepada puteri tunggal yang ditinggalkan.

Abdul Al-Syed Muhiyudin Abu wal-Hussaini a.k.a Abdul Qadir Jilani,putera kepada pasangan Abu Salih dan Ummul Khair Fatimah yang bijaksana sehingga namanya diabadikan kepada Qadir Jilani abah kepada Hajar Jilani ,seorang penulis tersohor. Antara pesanannya yang bukan sahaja menjadi panduan kepada Hajar tetapi juga untuk kita semua pembaca novel ini iaitu :

1. Kita perlu berkata benar walau kebenaran itu pahit.

2. Lidi kalau sebatang akan patah.Tapi bila sudah dikumpul ,kerja akan menjadi mudah.

3. Manusia mempunyai akal yang tidak dimiliki oleh makhluk lain dan akal itu harus digunakan dengan sebaiknya.

Tiga pesanan ini menjadi asas perjuangan Hajar Jilani dalam menghadapi krisis dan problema dalam perjuangannya di bidang penulisan. Dia yang minat menulis dan berazam untuk menyampaikan tarbiyah dan informasi dalam setiap novelnya menghadapi banyak dugaan apabila novel-novel keluaran syarikatnya tidak dipasarkan dengan baik. Masih ada manusia lain yang berhasad dengki dengan kejayaan Hajar Jilani memikat peminat novel seluruh negara.

Abraham mewakili manusia tamak haloba yang berniaga hanya hendak memperolehi kekayaan dengan secepat mungkin. Dia giat mengeluarkan novel-novel sendiri tanpa memperdulikan kualiti novel tersebut kerana pada anggapannya pembaca-pembaca yang ada di luar sana suka membaca novel-novel jiwang karat yang berjodol cinta, rindu, kasih sahaja. Jika ada yang membelinya cuma satu naskhah sahaja dan kualiti rendah ini menyebabkan pembaca menjadi serik untuk membeli novel yang lain. Secara tidak langsung ini menjatuhkan maruah penulis-penulis novel popular lain yang benar-benar berkualiti. Nama Hajar Jilani yang berprestij tinggi menjadi batu loncatan untuk Abraham memasarkan novel-novel keluarannya. Manusia yang tamak akan berusaha apa sahaja carapun untuk memanipulasi keadaan. Begitulah tindakannya menyogok Sitiah yang menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kemaraan Hajar Jilani. Dan perlu kita ingat bahawa manusia seperti Abraham dan Sitiah ada berjuta di luar sana, bukan dalam bidang perniagaan tetapi juga dalam pekerjaan dan kehidupan harian kita. Manusia begini lupa satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi pintu rezeki lain terbuka pada kita. Jangan sesekali mengalah dan berputus asa. Saya sendiri pernah mengalaminya....rasa hampa dan kecewa tidak terucap dengan kata-kata. Sakitnya lebih sakit dari digerit kaca.

Ringkasnya, Hajar Jilani bangkit dengan resolusi baru dan strategi pemasaran yang lebih progresif . Dia berserah dengan Allah, bersolat tahajud dan hajat untuk menggerakkan segala tindakannya mengharungi tiap halangan yang dibentangkan oleh manusia yang jahat. Allah menemukan jodohnya dengan Hadi yang kemudian menjadi pembantu kuatnya dalam bidang pemasaran. Hadi , insan yang mempertahankan prinsip perniagaan yang bersih dari korupsi dan maksiat . Hadi yang juga menghadapi masalah perceraian ibubapanya. Rasa kagum dengan penulisan Hajar Jilani yang menguatkan semangat ibunya Puan Rose saat-saat kehilangan suami yang beralih rasa cinta dan kasih kepada wanita lain. Penghijrahan Hajar Jilani menjadi pemangkin kejayaan masa depannya. Bila sesuatu jalan yang kita lalui kelihatan amat payah dan sukar, maka kita perlu berubah, berhijrah ke arah jalan baru yang lebih menampakkan harapan yang cerah. InsyaAllah.....saya akan berhijrah dan akan berusaha mencari satu dunia yang lebih luas dalam bidang saya sendiri. Terima kasih atas semangat ini.

NB kali ini mengajak kita semua menerokai dunia buku. Kita sekadar membaca sebuah buku yang cantik garapan isi kandungannya. Kita lupa betapa sakitnya seorang penulis melarik jari jemari mengetuk komputer menyulam tiap aksara menjadi satu untaian kisah yang sedap dibaca. Bukan hanya sedap dibaca ,ia menusuk terus ke hati. Diadun bersama tiupan semangat yang menguatkan jiwa yang resah dan yang sedang bersedih di mana sahaja. Kita diingatkan tentang kebesaran ALLAH dan keindahan CINTA ALLAH agar kita tidak terus terpesong dari landasan hidup yang bertaqwa. Penulis ingin karyanya tersebar luas agar ilmu yang disampaikan oleh penulis dapat dimanfaatkan oleh semua golongan generasi tidak kira di mana jua berada. Namun bagaimana hasrat ini akan tercapai dan terlaksana jika ada 'ajibaok' atau penyamun yang menyekat di tengah jalan? Mengapa harus ada manusia yang hatinya tak pernah sedar dan insaf terus menyekat rezeki orang lain. Agaknya bagi manusia ini, semua harta kekayaan dan rezeki di dunia ini dia seorang yang punya dan hanya hak milik mutlaknya.

Karya kali ini bukan sahaja kita membacanya tetapi setiap penulis baru yang ingin pergi lebih jauh lagi harus dan wajib membaca kerana ada nasihat dan panduan untuk menjadi penulis yang lebih baik. Jangan mudah melatah bila ditegur atau dibakul-sampahkan karya kerana ia menjadikan kita menjadi lebih baik. Berubah ke arah yang lebih baik dan bukan melenting menutup kekurangan diri. Jika penulis menjadi lebih bijak, pembaca juga berubah menjadi lebih pandai. Jangan hanya meneka setiap perkataan baru dan jarang didengar....bawa kamus bersama anda. Kita pembaca perlu juga membuat rujukan untuk lebih memahami hasil penulisan seorang penulis yang bijak. Harus saya akui saya banyak bermuhasabah diri saya ketika membaca karya NB kali ini. Saya pernah mempertikaikan penggunaan perkataan 'mertua' dan 'mentua'. Bahasa Melayu nampak mudah namun jika didalami sedalam-dalamnya, alangkah susahnya. Bukannya saya ini sengaja berlagak menjadi terlebih pandai, namun jika musykil ,suarakan dengan hati terbuka. Dan penulis yang baik tidak akan melenting secepatnya. Dia akan membimbing kita kembali....ringkasnya, seorang penulis bukan sahaja medan ilmu tetapi juga seorang guru yang baik. Inilah yang cuba disampaikan oleh NB....hasratnya menjadikan novel popular bukan kosong semata-mata tetapi juga berisi ilmu yang boleh diguna sepanjang hayat.

Apa yang dapat kita bantu dengan penulis sebaik Hajar Jilani ? Banyak bantuan yang dapat kita berikan.

1. Memberi sokongan padu dengan membeli novel-novel penulis Melayu daripada kedai dan pengedar yang sah.

2. Memboikot kedai yang angkuh dan tidak bekerjasama dalam menjual novel-novel penulis Melayu. Bagaimana mengesannya ? Jika ada kedai yang majoritinya lebih kepada novel lain....tak payahlah beli. (hehehe)

3. Membaca karyanya, menghayati tiap isi dan pergunakan ilmu yang disampaikan dengan sebaiknya. Boleh jadikan santapan jiwa yang resah. Cinta bukan segala-galanya.

4. Promosi secara tidak langsung kepada sahabat dan saudara yang minat membaca novel. Beri maklumat bagaimana mendapatkan bekalan novel dengan mudah.

5. Jangan angkuh dan sombong. Tanya diri anda novel mana yang dapat membuat kita berfikir tentang realiti hidup ini.....buat pilihan yang baik.

Syabas NB atas karya islamik ini. Semoga kehidupan kita semua menjadi lebih baik.

Comments (1)

ulasan mantap dari kak Liza...PQJ meluap-luap dengan 'semangat', buat yg membaca pun berkobar-kobar! :D Terbaik!