Susahnya Dunia Buku

Posted by Leeza | Posted in

Saya akui yang saya tidak suka dunia politik. Bagi saya dunia politik penuh dengan putar alam, hipokrit, dan penipu. Politik bagi saya adalah tempat orang yang tidak tahu mana sahabat mana lawan...apa sahaja sanggup dilakukan demi kepentingan diri. Kalau lagu 'enjit-enjit semut' ,kita tahu peraturannya ,"Siapa sakit naik atas" . Politik : siapa sakit siapa kalah kena beredar secara bermaruah atau tidak bermaruah. Namun siapalah saya yang menidakkan bahawa hidup ini penuh dengan politik? Hatta dalam kerjaya sekalipun, jika tidak pintar membodek maka susahlah mendapat keistimewaan . Dalam kerjaya pendidikan ,jika semua bersikap mementingkan diri sendiri, alamat anak-anak tidak punya masa depan yang cerah. Matlamat kerajaan dan hasrat ibubapa akan menjadi angan-angan sahaja. Maka akan wujud masyarakat masa depan yang tidak berkualiti.

Selama ini saya menganggap dunia saya lengkap dengan koleksi novel-novel yang mampu dibeli di pasaran. Sekadar memiliki dan membacanya , cukuplah. Begitu mudah dan sederhana saya dalam dunia buku. Buku merupakan hobi yang saya pupuk sejak kecil dan mula dianggap satu kewajipan sejak berpindah ke daerah luar bandar ini. Daerah jin bertendang...kiri kanan dilitupi dengan flora dan mergastua . Kemudian langkah yang terhad selewat jam 6 petang segala kedai ditutup membataskan waktu yang terlalu panjang.

Buku menemukan persahabatan yang meluas melangkaui Laut China Selatan. Makin dieratkan dengan kehadiran dunia cyber yang tiada had sempadannya. Baru saya sedar bahawa saya hanya setitik debu di persada yang luas ini. Ramai lagi yang menggilai novel dan buku di luar sana ,malahan koleksi mereka hanya mampu buat mata saya berpinar-pinar dan berdecak kagum. Lantas semangat saya mencanak-canak untuk memiliki karya-karya tersohor dan terkini. Yang pasti saya bukan sahaja merangkak, berjalan maupun bertatih tetapi terbang selajunya untuk berada di antara golongan pembaca terawal mendapat novel terkini.

Apa kan daya saya orang Sarawak , terbatas mencari buku dan novel terkini. Malahan kedai-kedai buku yang saya lawati ada pula yang tidak menjual buku-buku dan novel terkini. Jika adapun novel-novel itu kelihatan lusuh dengan harga berlipat ganda mahalnya. Sedih sangat melihat keadaan ini. Hanya 3 tahun terakhir ini baru saya tahu kewujudan NB Kara Sdn Bhd. Biarpun penulisnya telah saya kenali karyanya bertahun-tahun lamanya. Hanya mengenali karyanya yang banyak memberi semangat kepada wanita. Pernah satu kali ketika melewati kedai di India Street iaitu Syarikat Al-Bismi , saya ternampak sebuah karya NB .Tanpa berfikir dua tiga kali saya terus menyambar novel tersebut kerana saya serik. Saya serik sebab pernah bertangguh untuk membeli sebuah novel NB di kedai tersebut yang hanya dipamerkan sebuah sahaja. Saya ingat hendak membelinya minggu berikutnya tetapi bila tiba tarikh itu, saya hampa sebab buku itu tiada lagi. Saya membuat kesimpulan bahawa novel-novel Norhayati Berahim panasnya seperti pisang goreng, sentiasa laris dan menjadi rebutan.

Kemudian kedai buku POPULAR diwujudkan di Tun Jugah, di BDC Everise dan di Boulevard namun bilangan novel-novel melayu sangat terhad. Sukar untuk mendapatkan karya-karya NB Kara Sdn Bhd. Kenapa ? Mungkinkah buku-buku NB Kara Sdn Bhd ini terlalu cepat larisnya ? Begitu juga dengan kedai buku My Bookstore , sejak rakan saya tidak lagi bekerja di sana, pilihan novel-novel melayu yang bagus sangat terhad. Saya merasakan seolah-olah buku-buku yang tidak laris di Semenanjung dihantar ke Sarawak untuk dijual. Hanya sejak setahun kebelakangan ini barulah My Bookstore ligat menjual novel-novel yang hebat-hebat termasuk NB Kara Sdn Bhd. Mungkin pihak pengurusan sudah punya hati untuk mendengar permintaan pelanggan seperti saya yang sentiasa bersuara jika tidak puas hati.

Masa yang berubah dan sejak saya tahu bagaimana memesan buku-buku menggunakan talian internet, maka saya tidak perlu risau mencari-cari novel-novel di kedai-kedai buku. Teringat seorang rakan blogger pernah menceritakan bahawa ada kedai buku yang tidak bayar penerbit novel ,malahan berhutang ribu riban , saya menjadi cuak... Timbul rasa marah kerana orang-orang seperti inilah yang membantutkan mood penulis menulis. Bagaimana penulis kegemaran kita hendak senang berkarya jika pasaran buku-buku sangat lambat? Kita yang sentiasa haus dengan bahan bacaan ,turut merasa terjejas. Betapa susahnya dunia buku...dan rupanya politik juga menyerang dalam dunia buku.

Mungkin ada di antara kita beranggapan....eleh, ada aku kisah ? Mungkin bagi kita , kita ke kedai buku, membeli buku dan membayarnya kemudian balik ke rumah. Itu sahaja yang kita lakukan. Kita tak tahu betapa di sebalik karya yang terhasil, kepala penulis sentiasa pening mencari yang terbaik. Paling sedih jika duit yang kita bayar itu tidak sampai ke tangan penulis tersebut serta merta...malahan berbulan-bulan. Jika kita selama ini hanya membaca , tidak salah kita mendoakan penulis tersebut juga. Sekarang saya hanya memesan buku secara talian, kerana ia bukan sahaja mudah dan cepat tetapi paling penting wang itu terus sampai kepada yang hak. Apa yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka ini ialah, dengan membekalkan maklumat tentang buku-buku tersebut kepada penerbit. Kita berikan maklumat tentang kewujudan novel-novel di kedai-kedai yang berhampiran dengan tempat tinggal kita. Tujuannya ialah untuk memudahkan rakan-rakan yang suka membaca mendapatkan novel-novel ini selain memudahkan penerbit bertindak untuk memperluaskan pasarannya sendiri.

Comments (3)

pentingnya celik IT, belian boleh secara terus tapi yg masih tak terdedah dgn dunia atas talian, nak tak nak ke kedai buku juga perlu dicari...dan menjadi masalah kpd publisher bila ada 'politik' dalam urusan edaran pula...alahai...mcm2 hal ye kak...

Betul Nuar, bagi yang berada di luar bandar, amat payah nak dapatkan buku. pendekata pasaran buku masih lembab.kedai2 yang besar pula bersikap pilih kasih...cubalah mereka bersikap terbuka untuk menerima semua stok buku dan jual.

Salam za...

Itulah yang dikata 'rambut sama hitam tapi hati lain2'....

Manusia selagi dia bergelar manusia...bermacam2 perangai...

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mempunyai hati yg mulia...Amin.