REMBULAN BERDARAH oleh Anita Aruszi

Posted by Leeza | Posted in


Novel Rembulan Berdarah karya Anita Aruszi adalah hadiah daripada adinda Ain Ismail. Terimakasih dik. Jika dia menyatakan sesebuah novel itu best ,tentu tepat citarasanya . Novel ini saya habiskan dalam tempoh 5 hari kerana terpaksa bersaing dengan kerja, sukan dan keluarga.

Kisah di dalamnya tentang cinta, keluarga , harta , persahabatan , kesetiaan, belas ikhsan dan kongsi gelap. Puas....itu yang dapat saya katakan kerana membaca novel ini seperti menonton sebuah telenovela di televisyen. Penulisnya cukup bijak menggarap semua plot sehingga kita hendak tahu banyak perkara. Cinta yang diperkatakan antara Nasriq , Raihana@Duha Maisara dan Zafran tidak terlalu kejiwangan ,malah sukar untuk mengungkapkan kata cinta sewenangnya. Hanya dua hati yang telah bertaut mampu membicarakan cinta dari pandangan mata , hati dan perbuatan. Namun keseluruhan kisah berkisar konflik dalam keluarga , dendam dan tamak menguasai hati Engku Iskandar sehingga dia berkomplot dengan kongsi gelap Black Parade ( Albert Wong) untuk menghancurkan keluarga Zainal Ikram demi harta. Kita diumpamakan menaiki 'roller coaster' ketika membaca novel ini....trajedi yang menimpa terhadap keluarga Raihana sehingga arwah ayahnya dituduh menjadi pembunuh dan meninggal di penjara. Ibunya Maisara pula disuntik ubat sehingga koma dan kemudian menjadi gila di rumah sakit jiwa Ar Raudhah. Dan Raihana sendiri diculik kemudian hendak dijual sebagai pelacur di Thailand. Mujurlah anak yang baru berusia 12 tahun ini sangat bijak untuk melarikan diri dari sebuah lori dan merentasi hutan kemudian menyamar sebagai Duha Maisara yang hilang ingatan.

Cuma watak Asri adik Zainal Ikram yang muncul selepas 12 tahun untuk memperjuangkan nasib Raihana dan mencari dalang sebenar disebalik pembunuhan Zainal Ikram menimbulkan syak wasangka. Katanya cuma 2 tahun ini dia berjaya menjejaki Molin Rahman untuk membongkar wasiat asal Zainal Ikram. Kenapa dalam tempoh 10 tahun dia gagal menjejaki Raihana dan ibunya ? Bukankah dia seorang bekas komando yang kenal rapat dengan pihak polis ? Mungkinkah kerana 2 tahun ini usaha Inspektor Jason menyamar dan masuk dalam A&K Construction sebagai pembantu Estella Wong membuatkan pihak polis berjaya mengaitkan dengan trajedi 12 tahun lalu ? Saya sukakan watak Bustamam seorang ayah yang gila judi , sejahat manapun dia rasa kasihnya terhadap anak angkatnya Duha Maisara membolehkan Duha dilindungi oleh Mama Jun dan pekerja-pekerja kelab malam Blue Ocean. Malahan ketika Black dan konco-konconya mencari Duha Maisara, ayah ini berusaha menyelamatkan si anak. Banyak kisah yang diadun dengan kemas , watak pula tidak terlalu banyak....rahsia demi rahsia dileraikan dengan baik. Penulis berjaya membuat kita tertanya-tanya anak siapakah Nasriq Adli itu dan kenapa Estella ,Reyna dan Albert begitu melindungi Nasriq? Tahniah buat Anita Aruszi kerana berjaya membawa dunia kongsi gelap ala mafia dalam novel ini. Hmmm...kalung permata saphire oren milik Duha yang tercicir bukankah telah diiklankan oleh Erman ? Kenapa Duha Maisara tidak menuntutnya ? Mungkin lebih teruja jika Duha Maisara melihat iklan tersebut dan menuntutnya ? Namun takkan nak temukan watak hero dan heroin semudah ini? Keciciran kalung dan ditemui di rumah lama arwah Munif menyatukan satu campur satu menjadi dua....perfect.

Gaya bahasa , perbendaharaan kata serta struktur ayat yang digunakan juga baik dan mudah difahami. Kesalahan editing juga tiada atau saya terlepas pandang? Secara teknikal , typing error juga rasanya tiada. Ternyata saya mula menyukai karya Anita Aruszi ini.

Comments (0)