SAYANG SEORANG QAISER oleh Anuar Kamaruddin

Posted by Leeza | Posted in


Setelah sekian lama membaca novel ini akhirnya ia saya khatam minggu lepas. Terlalu banyak dugaan yang saya hadapi ketika membaca novel ini . Antaranya kesihatan mak saya yang tidak menentu menyebabkan saya keletihan sedangkan novel ini saya usung ke mana sahaja saya pergi. Terkadang ia tergeletak di sisi bantal saya tanpa saya menyelak isinya, terkadang ia berpanas dalam kereta ketika saya usung ke bandaraya Kuching, dan terkadang ia tersadai sepi dalam bakul mengajar saya. Pun juga novel ini ketika ia hampir saya habiskan , anak saudara saya si Rina pula tersalah ambil dan bawa balik ke Kuching. Jadi seminggu ia berada di Kuching dan saya menyusul kemudian mengambilnya. Dalam seminggu ini, Rina dan Arie pula yang mendahului saya menghabiskan novel ini...uwaaaa. Mereka sepakat memberi komen : Best Usu...menangis kami ,sedih benar.

Sayang seorang Qaiser karya ke 3 milik Anuar Kamaruddin menampilkan kelainan daripada karyanya yang sebelumnya iaitu Blog Priasetia dan Terawih Terakhir. Apa yang ingin saya katakan karya ini best sangat dan saya puas menangis dalam menghayatinya. Itu salah satu faktor saya lambat menghabiskannya.

Qaiser dan Qistina dua nama yang cantik digandingkan menjadi sepasang sejoli yang romantik. Qaiser ,lelaki lindungan Kaabah dan Qistina perempuan yang berbeza perwatakan dengan Qaiser dipertemukan dalam keadaan Qitina yang lucu, siap melatah lagi tu. Pertemuan yang nyata menjatuhkan 'voque' Qistina gara-gara desas-desus tingkat 14 (tingkat surau untuk Bank Wira) yang dikatakan berhantu. Dora dan Laura , jula-juli bintang 7, dua sahabat Qistina mendesak dia ke tingkat 14 untuk menemui lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya. Sejak pertemuan itu Qistina yang sudah jatuh hati pandang pertama sentiasa berusaha untuk mendekati Qaiser malahan telah mengubah ciri-ciri berpakaiannya , malahan gaya hidupnya sedikit demi sedikit turut berubah. Begitu hebat panahan asmara cinta pandang pertama. Dora dan Laura menjadi penasihat secara informal kepada Qistina sehingga timbul beberapa perkara lucu yang dilakukan mereka seperti berpakaian ala perempuan Arab.

Dalam proses merapatkan dan mengemaskinikan ikatan hati dua insan ini, penulis juga menekankan kekeluargaan kedua belah pihak. Keluarga Qaiser yang baik, penyayang dan penuh dengan kebahagiaan. Irfan dan Umairah dua orang remaja yang menjadi anak saudara kesayangan Qaiser. Mereka berdua ini terlalu rapat dengan Pak Su mereka sehingga mereka lebih suka berkongsi segala masalah mereka dengan beliau . Masalah Umairah yang menggantung satu semesternya menjadi tandatanya Qaiser sehingga dia menyiasat . Namun ia gagal mengaitkan dengan masalah Umairah sehinggalah Allah takdirkan Huzaimi Kamal bekerja dengan Qaiser di Bank Wira. Saya sendiri tidak menduga Huzaimi dan Kamal adalah orang yang sama sehingga kehadiran burger menyingkap segala teka-teki ini.

Watak Qaiser ini watak lelaki idaman semua wanita. Terserlah sifat-sifat yang bertanggungjawab dan atas nama kebaikan ini pula menjadikan ia mudah diperdaya oleh perempuan hipokrit seperti Natrah. Saya tidak menyangka suaminya ialah Luqman Hakim ,ayah kepada Qistina. Sukar saya membuang imaginasi saya yang mengada-ngada ketika membaca novel ini. Saya seakan menonton teledrama hidup di mana, watak Qaiser adalah bayangan watak Anuar sendiri dengan Irfan didokong oleh Azim Kamaruzzaman , dan watak Umairah pula seperti watak anak saudaranya si Piah. Kuzyril pula mewakili watak Hazami. Dan Qistina ????? Entah , saya tak dapat menduga siapa Qistina dalam dunia realiti. Hahaha..hebatkan imaginasi saya ini....dan ia membuat saya tersenyum-senyum sendiri. Namun pada saat-saat akhir hampir ke penghujungnya, saya tak henti-henti menangis. Saya menangis dengan watak Irfan dan Umairah. Saya begitu tersentuh dengan nekad Irfan untuk membantu pak cik nya. Ini cukup membuktikan betapa eratnya hubungan mereka dengan Pak Su nya ini. Kalaulah ada anak saudara saya yang sangat menyayangi saya seperti Irfan dan Umairah, alangkah bahagianya hidup saya.

Watak antagonis , Syafiq dan Natrah ternyata akhirnya kecundang dalam jalan yang songsang. Syafiq yang kita tahu mempunyai rasa cinta kepada Qistina namun saya percaya cinta tidak ikhlasnya ini berlandaskan nafsu serakah mahukan harta milik Qistina yang merupakan anak tunggal kepada Luqman Hakim, pengusaha tekstil yang kaya. Si Natrah pula ,ingatkan dia menyintai Qaiser maka dia berusaha untuk merebut hati Qaiser semula tetapi rupa-rupanya dia ingin menjerat Qaiser untuk menjadi pak sanggup kepada anak dalam kandungan, hasil perbuatan zinanya.

Pengolahan semua watak sampingan cukup menceriakan. Plot cerita juga berkembang dengan baik dan teratur. Penulis juga menyelitkan info tentang penyakit yang dialami oleh Qaiser iaitu penyakit SLE -Systemic Lupus Erythematosus. Qaiser pula jenis manusia yang menyembunyikan sakitnya daripada keluarga ,atas alasan tidak mahu keluarganya bimbang dengan keadaan kesihatannya . Umairah yang menyiasat setelah menemui botol ubat dalam kereta Pak Su nya ,tidak pula dikembangkan hasil siasatannya oleh penulis. Ternyata Umairah seperti gagal untuk mengorek rahsia Pak Sunya ini. Qaiser bijak menyembunyikan keadaan penyakitnya.

Syabas Anuar Kamaruddin kerana berjaya menghasilkan sebuah karya cinta yang hebat berlandaskan Islamik . Percintaan secara Islamik indah dan romantiknya berbeza. Yang penting kehadiran seorang Qaiser berjaya mengubah gaya hidup Qistina . Pun juga secara tidak langsung mengubah perangai negatif Puan Zabedah, ibu Qistina yang materialistik. Sikap dermawan Qaiser terhadap Mak Cik Anggerik sangat mengkagumkan sedangkan ia pertemuan kali pertama. Pendek kata dalam ulasan yang panjang, novel ini berbaloi dibeli dan patut dimiliki oleh semua pembaca. Benar ia karya penulis lelaki , penulis baru pula....tetapi tulisannya kian mantap. Kelainan itu yang dikehendaki. Sentuhan Anuar Kamaruddin ini lembut, dan dekat di hati. Saya berdoa , semoga Anuar Kamaruddin dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menulis. Saya juga berdoa dia diberi kekuatan mental untuk menghadapi segala dugaan hidup terutama ranjau dalam penulisan . Selamat meneruskan perjuangan Anuar Kamaruddin.

Comments (2)

Wah!! Best r review akak!
nama saya pun ade..ngee...

Uncle mesti happy baca review akak..
:)

hermm....macam best...x sabo nak baca nie.,...saya ada beli novel die....tp blum baca lagi nie..nnti nak bac huhuhuhuhu x sabo nie,,,, ^.^