MENGAPA AKU JADI PENGETUA oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in


Novel Mengapa Aku Jadi Pengetua merupakan karya Kusyi Hirdan dibawah penerbitan PTS.One dan diterbitkan sejak tahun 2009. Saya tertarik dengan tajuknya kerana kemungkinan berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pendidik. Jelasnya bila saya mengepit novel ini, ia juga menjadi tarikan kepada ahli keluarga saya. Anak-anak saudara pula bertanya sama ada 'Mak Usunya' ini hendak menjadi pengetua dan memberi galakan padu. Fahmi yang berusia 17 tahun berkali-kali mengatakan cerita ini best sedangkan dia tidak membaca. Namun dia akui dia sudah membelek novel ini sepanjang malam semasa saya tidur.

Kini saya akui sememangnya novel ini yang saya tidak tahu dikategori novel remaja atau novel dewasa , menarik minat saya. Seronok membacanya . Mengapa aku jadi pengetua mengisahkan seorang remaja, Izaz Noraini berusia 22 tahun terpaksa menjadi pengetua sebuah kolej swasta demi memenuhi wasiat arwah kakak iparnya Elita. Banyak cabaran yang harus dilaluinya memandangkan usianya yang muda, tidak berpengalaman dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran. Ertinya menjadi pengetua di sebuah kolej swasta yang gah dan terkenal merupakan satu dunia yang dipaksa ke atasnya. Keistimewaan Izaz Noraini ialah dia berpengalaman dalam persatuan dan bergiat aktif dalam kegiatan kaunseling semasa di universiti. Berbekalkan semangat dan pengalaman ini dia dapat menanggani masalah yang silih berganti di kolej tersebut. Izaz Noraini dibantu oleh Ali a.k.a Loli sahabat baik Elita dan disokong padu oleh ibunya Puan Fatihah dan Peguam Encik Mahir. Dia juga mempunyai guru yang berwibawa seperti Cikgu Nora dan kemudian hadirnya Elin adik arwah Elita juga turut memberi sumbangan biarpun pada awalnya dia menentang dan menuduh keluarga Izaz Noraini penipu dan merampas harta arwah kakaknya, Elita.

Best sebab kita seperti disaksikan satu sitkom kehidupan di kolej swasta. Saya gelak guling-guling dengan telatah semua cikgu di kolej swasta ini terutama pada awal kedatangan pengetua termuda ini. Sangat melucukan sehingga novel ini sesuai menjadi terapi untuk insan yang mengalami stres dan kedukaan.

Sesuai dengan tajuk, pembaca dibawa untuk mencari sebab Izaz Noraini diwasiatkan Kolej Elita dan tertanya-tanya mengapa abang Ashman , suami arwah Elita menghilangkan diri dan membiarkan adiknya yang muda remaja itu memikul tanggungjawab yang sangat berat itu seorang diri. Marah jugalah hati saya kerana Ashman menjadi lelaki yang lemah dan tidak bertanggungjawab . Jika sakitpun apa salahnya berada di sisi adiknya untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan moral. Lagipun dia belum dapat keputusan dari doktor sama ada dia sudah dijangkiti atau belum.

Ya , kelainan novel ini ialah ia mengetengahkan satu watak idola , Izaz Noraini dan watak-watak lain menjadi pendamping yang kuat dalam menguatkan perjalanan plot cerita. Apa yang membuat saya turut teruja dengan Izaz Noraini ialah kewibawaannya memimpin sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja ternama tetapi juga berprestij. Apa yang saya suka ialah tindakannya mengubah beberapa tradisi kolej swasta yang selama ini lebih bercirikan sekular dan kebaratan. Antara perubahan yang dilakukannya ialah :
1. Etika berpakaian yang lebih bersopan untuk guru-guru dan pelajar.
2. Program malam Jumaat, live band diganti dengan majlis membaca yassin dan ceramah di surau kolej.
3. Setiap pagi diadakan bacaan doa .
4. Majlis 'Prom nite' ditukarkan kepada majlis makan malam pelajar dan ibubapa.
5. Kelas mengaji dibuat setiap petang khamis dengan Mak cik Rohana sebagai gurunya.
6. Nama Loli semakin dipadamkan dengan penegasan nama Ali. Ia mengubah perwatakan Ali yang lembut.

Bila perubahan baru diperkenalkan , pasti ada yang pro dan kontranya. Tentangan daripada guru-guru bukan sedikit malahan sehingga Kolej Elita difitnah dan masuk suratkhabar. Nama kolej terjejas namun dapat diselesaikan dengan kecekapan Izaz Noraini, Cikgu Nora dan Ali. Bukan sedikit orang yang berdengki dengan Izaz Noraini sehingga bekas tunang Ustaz Peter juga mencemburuinya. Segala halangan dapat diselesaikan dengan baik malahan setiap watak yang bermasalah seperti Cikgu Farhan, Cikgu Khairil, dan Cikgu Nancy berubah setelah dikaunseling oleh Izaz Noraini.

Setelah banyak masalah dan mencari sebab musabab , barulah Izaz Noraini mengetahui punca masalah yang wujud di Kolej Elita . Tan Sri Khalid bapa arwah Elita rupanya hendak merampas Kolej Elita kerana tapak kolej tersebut mempunyai feng shui yang bagus dan menjadi tumpuan sebuah syarikat komputer antarabangsa XTA untuk membina kilangnya. Arwah Elita tidak rela kolejnya jatuh ke tangan bapanya yang tamak haloba tersebut. Perkara ini menyedarkan Elin adik arwah Elita sehingga dia turut membantu Izaz Noraini menyelesaikan masalah kolej yang wujud seperti kes cikgu Nancy dan Kes Zara .

Ternyata novel ini banyak juga memberi informasi dalam mengendali orang bawahan dan staf yang bermasalah. Ia juga memberi cara pendekatan untuk menghadapi pelajar bermasalah seperti Zara. Apa yang pasti, kesabaran dan semangat berjuang menjadikan kita tabah untuk mengadapi segala rintangan yang datang dalam hidup kita. Jangan sesekali berhenti berdoa dan berserah pada Allah untuk memperolehi keredhaanNya.

Masih ada lagi sambungannya .....Mengapa Aku Masih Menjadi Pengetua dan Mengapa Aku Rela Menjadi Pengetua. Kita tunggu kisah seterusnya.

Kekurangannya hanyalah pada saiz font :9 yang terlalu halus bagi mata setua saya. Jika font 12 digunakan ,saya percaya novel setebal 327 ini menjadi setebal 500 muka surat. Juga semasa penulisan dialog, penulis seeloknya menulis siapakah penutur dialog tersebut. Saya terpaksa baca dua tiga kali untuk memastikan siapa penutur sesuatu dialog tersebut.

Dapatkan siri Mengapa Aku Jadi Pengetua ini melalui blog http://www.jendelaku.com atau www.pts.one.com.my.

Comments (1)

saya sngt suke cerita mmengapa aku jdi pengetua.sye suke cerecter izza yng umur 22 tahun yng dh jdipengetue kt kolej elita,....ali pulak x suke kne pnggil dngn glrn ali..loli lgi best ktenye...tpi sye x abis bce lgi..sye akan sokong novel nih....hip2 hore....!!good luck.