DARI KERANA MATA oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in


Asalamualaiakum w.b.t.
Novel terbaru daripada Norhayati Berahim ! Keterujaan saya memiliki novel ini tidak dapat digambarkan dengan seribu perkataan namun ia saya dakap sepanjang malam sebelum lena ku bertandang. Dari Kerana Mata hasil nukilan Norhayati Berahim menceritakan kisah yang klasik dan santai. Kita terbuai dengan pelbagai emosi di dalamnya , gembira, sedih, luka, kasihan, keliru dan kejutan.

Saya membaca novel ini dua minggu dan ia saya baca mengikut masa senggang saya sedangkan jika ikutkan hati, saya hendak membaca novel ini dalam tempoh dua hari sahaja. Novel ini best!

Kisah cinta ? Sudah semestinya namun NB tidak pernah menulis novel cinta yang melampau-lampau...Kali ini ia mengungkapkan cinta yang wujud sejak kecil dan dibajai sehingga ke dewasa , tidak pernah berubah. Benarlah bahawa cinta pertama tak semestinya menjadi cinta monyet. Cinta masa kecil dari hati yang tulus dan diiringi dengan doa dan mengingati ALLAH memohon agar cinta yang terpisah ini bisa dipertemukan semula. Atan , nama manja untuk Nik Azri , menyayangi sahabat masa kecilnya dan berdoa agar dipanjangkan jodohnya dengan Jaliha. Dugaan bukan sedikit namun cinta ini tidak pernah berubah. Inilah kelembutan cinta dalam Dari Kerana Mata.

Keseluruhannya ,NB menerapkan cara pendidikan anak yang seharusnya untuk melembutkan dan membentuk jiwa anak-anak membesar dengan emosi yang sihat. Terus-terang saya katakan , saya terpukul sebab cara saya mendidik Luqman seperti cara Zaiton mendidik Akim,asyik angin sahaja terutama apabila dia membuat onar dengan kenakalannya yang terlampau. Saya sendiri dididik sedemikian sehingga saya jarang bercakap apa lagi hendak mengadu sekiranya terlibat dengan masalah di sekolah atau bergaduh di sekolah. Jika menjawab dianggap biadap, jadi baiklah disimpan diam-diam sahaja.Kemudian kita tertanya-tanya mengapa Dr Ramona membenci Jaliha sejak kecil. Sedih melihat Jaliha dikasari semasa dia bermain basikal dengan abangnya. Saya meneka kemungkinan sebab kematian ayahnya ada kaitan dengan Jaliha. Ya...betullah tekaan saya ini. Saya kemudian asyik tertanya mengapa Atan tidak bertemu dengan bapa saudaranya dan siapakah bapa saudara Atan. Jawapannya anda ketemu di hujung novel ini dan jawapan itu tidak kita duga sama sekali. Ia dikuatkan dengan faktor usia.

Banyak kasih sayang diceritakan dalam Dari Kerana Mata ini. Kasih sayang keluarga membahagiakan sesiapa yang membacanya. Nuansa bahagia ini menemani hati kita hingga ke akhir cerita. Kasih-sayang nenek iaitu Nek Senah dan Nek Boyah, menjadi tempat cucu mereka mengadu. Kedua nenek ini pula kaya dengan nasihat dan petua. Dalam hati saya berkata , best ada nenek sebab saya tidak pernah merasa kasih sayang arwah nenek-nenek saya. Cuma saya rapat dengan arwah datuk dan tentulah berbeza sebab dunia lelaki tidak sama dengan dunia wanita.Kasih sayang abang kepada adiknya , Johari sehingga dewasa masih akrab dan bersikap protektif. Kasih sayang Haji Arshad bapa tiri Jaliha membuatkan anak-anak ini bermotivasi tinggi dalam akademik ,kerjaya dan kehidupan .Hubungan yang rapat ini menutup kekurangan dan kelemahan Dr Ramona dalam menyayangi anak-anaknya. Bila Dr Ramona tidak sibuk bekerja, dia merasa amat kehilangan sebab anak-anak tidak bergitu mesra dengannya. Keadaan ini menyebabkan teromasanya menjadi-jadi...sehingga pemikiran negatif dan syak wasangka terhadap anak gadis dan suami sendiri. Kasih sayang seorang emak angkat , Puan Salmah terhadap Nik Azri menyebabkan Nik tidak terlalu terbawa dengan kesedihan masa lampaunya. Malahan hubungan ibu dan anak angkat menjadikan Nik Azri semakin berjaya dalam perniagaannya. Pun begitu, Nik Azri tidak mengabaikan kegiatan mengaji Al Qurannya, malahan harta yang dia dapati dipergunakan ke jalan Allah iaitu membina madrasah di Pattani. Dia berjaya menunaikan janjinya kepada arwah nenek, Nek Boyah.

Banyak isu dan info yang NB terapkan dalam novel beliau ini.

1. Isu si bapa yang mengabaikan nafkah anak seperti Deraman .Sikap bapa yang tidak bertanggungjawab ini amat menyakitkan hati kita membacanya. Apa tah lagi si bapa menipu status ekonominya dengan mengaku muflis supaya tidak perlu membayar hutang-piutang. Hakikatnya kehidupan Deraman yang sebenarnya adalah berharta.

2. MLM adalah jenis perniagaan yang lebih banyak haram kerana ia adalah perniagaan yang berada di atas angin. Ramai yang terjebak dengan penipuan MLM ini dan DKM telah mendedahkan apa MLM sebenarnya. Terimakasih kerana saya sendiri pun pernah terjebak dengan MLM ini.

3. Muflis menjadi langkah yang paling diminati oleh orang untuk mengelakkan pemiutang. Bagaimana si muflis ini dilindungi oleh undang-undang dan seterusnya berpeluang membuka perniagaan baru atas nama isteri. Si Deraman pula kahwin cerai sehingga mencecah 8 orang bini barunya. Aiyoooo...banyak miang lelaki ini.

4. Hubungan anak angkat dengan ibu angkatnya tidak dapat ditukar kepada mahram walaupun suami emak angkatnya adalah bapa saudara kepada si anak tersebut. Begitulah hubungan Atan dengan Puan Salmah. Dalam hati Atan menyatakan keinginan memeluk mak angkatnya namun mana mungkin terjadi sebab tiada ikatan muhrim.

Selain itu, kita juga disajikan dengan beberapa insiden lucu seperti saat Eton dibawa oleh Jaliha menemui emaknya ,Mak Kuntum setelah lebih 10 tahun berpisah. Ia bertujuan untuk mengajar Zaiton yang membelakangkan emak dan nasihat kawan baiknya semasa dia hendak berkahwin dengan Deraman. Perceraiannya dengan Deraman dan derita semasa kelahiran Akim menjadi pengajaran yang bukan sedikit untuk tindakan bodohnya ini. Bersyukur dan bertuahlah si Eton sebab mempunyai sahabat sebaik Jaliha dan kasih sayang keluarga Jaliha sehingga dia mampu membesarkan Akim dengan baik. Malahan Akim menjadi kesayangan semua orang. Sikap akim yang pandai serba serbi mengkagumkan kita namun sikapnya lebih santai dan mesra dengan umi, papa dan atuk berbanding dengan ibunya sendiri yang garang.Panggilan si BUNTIT kerana perut Akim yang buncit menjadi ikutan saya kerana saya dua orang buntit dalam keluarga, anak saudara dan cucu saudara. Lucu sekali bila Buntit menjadi usikan dalam keluarga Jaliha.

Saya juga tertipu dengan usia Tok Kenali , guru yang membuka madrasah di Pattani. Saya ingatkan usianya setua Haji Arsyad , rupanya dia tidak jauh beza usia dengan Atan , umpama abang dan adik. Juga kejutan tanpa diduga bahawa Zack lelaki yang dipadankan oleh Dr Ramona anak kawannya dengan Jaliha rupa-rupanya abang kandung Akim, anak Deraman dengan isteri pertama. Sejujurnya saya menyangka Haji Arsyad adalah bapa saudara kepada Nik Azri tetapi dugaan saya meleset. Orangnya tidak diduga sama sekali.

Basikal merah milik Jaliha menjadi simbolik dalam novel ini. Pun juga basikal Gucci merah yang Nik Azri belikan khas dari luar negeri menyatukan semua dugaan kita bahawa dia ialah Atan masa kecilnya. Tabung ayam yang diberikan oleh Jaliha masih menjadi ingatan kepada Atan dan disimpan di atas meja di pejabatnya. Basikal yang menyatukan kenangan masa kecil keduanya sehingga kasih sayang itu tidak pernah padam menemani hari-hari ke duanya. Kenangan yang bila diingat semula seakan ingin mengulanginya kembali, saat-saat manis bersama.

Tangisan turut mengiringi penghayatan bacaan saya ini. Saya sedih saat Jaliha dipukul dan dimarahi oleh emaknya. Saya juga menangis saat Atan menangisi kehidupannya ketika arwah neneknya meninggal. Dan saya juga menangis saat Atan menemukan kembali bapa saudaranya. Luka terasa terhiris saat Jaliha dikhabarkan oleh Johari tentang amarah dan syak wasangka Dr Ramona terhadapnya dengan bapa tirinya. Pedih jika ibu sendiri menyimpan dendam terhadap anaknya. Rasa marahpun ya bila mengetahui bagaimana corak kehidupan Puan Salmah dengan Encik Borhan yang berkahwin atas kehendak orang tua. Marah dengan Encik Borhan yang menganiayai dan mengikis kekayaan Puan Salmah . Bersyukur sangat-sangat apabila mereka berdua bercerai dan Puan Salmah tidak mahu kembali walau dipujuk rayu oleh bekas suaminya. Lucu dengan perubahan drastik Seman setelah ditarbiyah oleh Jaliha yang kemudiannya mengubah Diana atas dasar cinta.

Akhirnya, saya kekenyangan dan puas hati setelah membaca novel ini. Ia menjadi novel yang diminati . Nampaknya tiada satupun novel Norhayati Berahim yang tidak diminati. Dari Kerana Mata menjadikan kita seakan ketagihan novel-novel NB. Kita tunggu novel seterusnya daripada beliau. Kita doakan beliau dikurniakan kesihatan untuk membolehkannya terus menulis. SYABAS KAKAK NORHAYATI BERAHIM.

P/S : Hubungan yang baik antara kami berdua tidak mempengaruhi review ini sebab jika anda baca novel Dari Kerana Mata ,anda sendiri harus tahu kebenarannya terbukti pada isi kandungan novel yang padat dengan seribu perisa kehidupan ini . Ia menyebabkan kita merasakan semua kejadian pernah terjadi dalam hidup kita. Kebetulan yang memungkinkan kita merasakan kita mewakili salah satu wataknya atau vice versanya.

Comments (2)

salam..sy dh baca dh novel ni...
mmg best...w/pon raser penat nk abihkan novel sbyk 800++ m/s ni..hehhehe

salam..

mmg betul apa yg awak ckp..novel ni amat-amat tidak mengecewakan..sangat rugi kalu tidak dibaca;) hati turut merasai kedukaan yg dilalui Jaliha dan Atan..