....DAN CINTAPUN TERSENYUM. oleh Nora Ismail

Posted by Leeza | Posted in


...dan cintapun tersenyum ,akhirnya saya khatam pada minggu lepas. Karya ke tiga Nora Ismail di bawah penerbitan NB KARA menampilkan kelainan dalam tatacara dan bahasa yang digunakan. Pertama kali yang ingin saya luahkan ialah , saya seakan menonton sebuah sinetron kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam novel ini.

Teruja sebenarnya ketika membaca novel Nora Ismail ini , saya turut hanyut dalam bahasa Indonesianya. Ini kerana saya terbiasa membaca novel-novel penulis Indonesia seperti Mira W, Pramoedya dan lenggok bahasa yang berlainan menarik sekali. Tanpa saya sedari ketika membaca dan menghayati saya seakan turut terserap dialek Indonesia ini. Ya Ampun, penuh penghayatan sekali.

Jalan cerita yang sangat santai dan menarik. Kisah dua manusia yang berlainan negara , sesama Islam dipertemukan untuk jatuh cinta biarpun permulaannya bukanlah seindah pelangi. Umpama anjing dan kucing sentiasa bergaduh dan saling mencaci. Namun hubungan yang sering berkait menjadikan dua hati semakin bertaut. Namun kisah cinta ini takkan menjadi luar biasa jika tidak disulami dengan halangan dan rentangan. Dugaan yang datang bertubi menguji keimanan dan keteguhan cinta sejati ini. Dua halangan yang cukup berat seperti Cinta dari Akhil ,kawan abang Surihani ,Hizar dan kemalangan yang menyebabkan Ervan menjadi cacat, kehilangan tangan kanannya. Cinta Akhil tak mampu menggugat kesetiaan dua hati yang sudah saling memiliki namun kenyataan rendah diri dan kecacatan fizikal lebih menghentam dan mengganas sehingga mampu membuat dua hati ini berkecai, dan meratap hiba. Saat keduanya bergaduh, saya tersenyum dan bayangannya cukup jelas di mata saya. Saat keduanya romantis, saya juga dapat rasa kemanisannya , dan saat perpisahan membuat jiwa saya memberontak...sedih, kecewa dan marah. Marah dengan sikap Ervan yang keterlaluan namun dalam masa yang sama saya tahu bagaimana rasa rendah diri itu. Ia membunuh jiwa.....jiwa saya dan insan-insan yang sayangi saya. Namun Ervan harus bersyukur , kerana dia dilahirkan dalam keberadaan yang mampu mengatasi segala masalahnya dengan mudah. Dia akhirnya mendapat tangan bionik yang dapat membantu tangan kanannya berfungsi seperti tangan asli. Kasih sayang kedua ibubapanya menjadikan Ervan seorang anak yang manja dan akhirnya kembali selari dalam jalan yang benar dan diredhai Allah.

Paling saya suka ialah bahagian Ervan belajar solat daripada Surihani. Sejuk hati saya dengan kerendahan hati Ervan untuk kembali ke jalan yang benar. Bangga saya dengan watak hero yang mengakui kesilapan diri dan sedia menerima bantuan dan ajaran orang lain hatta daripada wanita yang selalu mengejeknya. Pun juga sikap tanggungjawabnya ketika dia sanggup tidur di luar rumah Surihani kerana bimbangkan keselamatan Surihani tinggal seorang diri , sangat berwibawa dan 'gentleman'. Inilah lelaki idaman setiap wanita , yang prihatin dengan kebajikan wanita tersayangnya. Dan kita manusia tak mampu mengelak untuk sesekali terbabas yakni kesumbangan Ervan dan Surihani. Cinta....jika dua insan berduaan yang ketiga ialah syaitan. Ikhtibar untuk semua pasangan bercinta , jangan terlalu hanyut dengan kasmaran yang melampau sehingga lupa batas-batas agama kita.

Apa lagi istimewanya novel ini ? Nora Ismail memperkenalkan dunia batik yang menjadi sumber rezeki Hizar di Pulau Besar. Pun juga perwatakan Akhil sebagai watak antagonis terlalu melampau negatifnya. Alangkah eloknya jika Akhil mampu disedarkan dan dihantar ke pusat pemulihan ketagihan arak. Saya teringin info sebegini untuk menyedarkan insan-insan yang ketagihan alkohol dan bagaimana mahu menangganinya. Cuma ketrampilan Akhil yang menghidu gam menjadi terlalu drastik , seakan dia sudah menyediakan setin gam sebagai cara untuknya membunuh diri. Sedih melihat manusia seperti Akhil mensia-siakan kehidupannya. Bagaimanapun Nora Ismail juga menyelitkan info tentang Pulau Besar. Dan percaya atau tidak saya boleh teringin hendak makan ayam penyet gara-gara si Ervan ini sukakan ayam penyet. Kecur liur dibuatnya.

Gaya bahasa teratur dan banyak menggunakan bahasa Indonesia namun kewujudan nota kaki untuk menyatakan maksud perkataan tersebut sangat-sangat membantu. Ada sedikit typing error juga dalam novel ini yakni nama ibu Akhil ketika saat peminangan Surihani , Puan Jamilah ditaip Puan Salmah. Hanya itu sahaja kesilapannya. Syabas pihak editor NB Kara kerana amat teliti dalam proses pengeditan novel ini.

Komen lain yang tak mungkin saya tinggalkan ialah tentang hasil tangan Nora Ismail dalam membuat cover novel. Menarik dan cantik. Hahaha..dan kereta EVO...aduhai...sangat bertepatan dengan status Ervan yang kaya dan ganteng.

Terimakasih Nora Ismail sebab menulis novel yang sangat menghiburkan ini. Dan cintapun tersenyum mampu membuat saya ceria dan tersenyum dengan pengakhirannya yang manis. Tahniah Nora Ismail....teruskan menulis.

Comments (2)

salam kak leeza

kamek tok salah seorang peminat Nora Ismail @ Rose Harrisa. And kamek juak suka novel2 NB.

bila baca blog NB, dari sia kenal dengan kak leeza.

fuh! kamek suka ulasan ktk pasal novel tok. Best. and apa yang ktk rasa masa maca novel ya.. adalah apa yang kamek asa juak.. :)

salam perkenalan

KemBhoJha @ Delima

Kembhojha,
salam dik. Gembira akak sebab jumpa dan kenal dengan orang yang mempunyai minat yang sama iaitu baca novel. Terimakasih kerana mengunjungi blog akak dan sudi membaca apa yang akak tulis.