Aktiviti Cuti : Mengecat Dan Mengemas Rumah

Posted by Leeza | Posted in


Cuti sekolah dah berminggu bermula. Saya tidak ke mana-mana kerana program utama saya ialah mengemas dan mengecat rumah saya terutama tingkat atas yang selalu terbiar. Tingkat atas mudah sangat dimasuki debu dan saya terpaksa bukan sahaja menyapu dan mengemop tetapi juga mengikis celahan lantai dan dinding untuk mengeluarkan debu yang terkumpul. Pagar tingkat atas yang arwah bapak buatkan atas alasan menghalang cucu-cucunya dari turun naik tangga. Saya rasa sejak arwah bapak masih hidup pagar ini tidak pernah bercat. Kebetulan saya membeli beberapa tong cat beberapa bulan yang lalu maka saya mulakan aktiviti ini. Pagar ini kena gunakan berus kecil .

Ini pula pagar besi penghadang dinding tangga tingkat atas. Ada dua set macam ini. Maka inilah yang buat saya mabuk sebab 'keje mutit' , maksudnya , kena teliti sebab ikut aluran corak besi tersebut. Sebenarnya pagar besi ini diambir dari bahagian rumah lama saya dulu. Dan pagar ini banyak nostalgianya. Ia dijadikan pagar bahagian depan dan tingkap pula memanjang seperti pintu. Pagar ini juga menjadi tempat saya memanjat naik turun rumah lama saya dulu. Dan dicelahan kekisi pagar ini jugalah menjadi tempat letak meriam buluh semasa musim raya dan ia mengadap jalan raya. Sudut ini menjadi tempat saya main masak-masak, sudut membaca dan sudut menyimpan angan-angan masa kanak-kanak.

Sudut ini dijadikan tempat solat. Ia juga akan dijadikan tempat tidur Bibik dan Kham....hahaha. Mereka akan datang tak lama lagi, rombongan Tun Teja. Saya mengemas rumah bukan kerana mereka hendak datang tetapi sudah diprogram lama sebelum cuti. Kedatangan mereka hanya menjadi faktor mempercepatkan projek ini.

Dinding bilik abang saya yang saya cat dengan warna hijau. Sudah siap sebenarnya namun saya akan berikan sentuhan terakhir sebelum kedatangan mereka. Setelah saya siap pasang cadar barulah saya akan mempertontonkan bilik untuk pasangan Kusyi dan Zul.

Ini apa pula ? Dinding purple ini dicat anak saudara saya tahun lepas. Dan saya menemui sepasang sudu dan garfu ini , saya gantung sahaja di dinding dengan dua terendak dari Matu Daro. Menurut sepupu saya susah untuk mendapatkannya dan harga pun mahal. Seingat saya membeli terendak ini dengan harga rm20 sahaja satu.

Bagaimana rasa lepas berhari-hari mengemas? Rasa letih pun ya, pening pun ya, malahan menjadi sangat lasak sebab ada bahagian kena panjat terutama bahagian dekat tangga. Saya pun hairan kenapa rumah tingkat atas mempunyai banyak tingkap sehingga bahagian tangga itupun bertingkap. Kalau nak buka dan tutup kena lah jadi Tarzan . Paling teruk jadi monyet...hahaha. Namun sebenarnya saya sangat gembira dan seronok.Ia menjadikan saya menjadi mahir dalam kerja-kerja lasak sebegini. Biarpun malam-malam tangan-tangan saya seperti keras dan kejang.

Comments (0)