HARGA CINTA oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in


Harga Cinta merupakan novel kedua Kusyi Hirdan di bawah penerbitan NB KARA Sdn Bhd. Novel ini telah saya tamatkan dalam tempoh 2 hari sahaja . Sinopsis ringkasnya mengisahkan suka duka hidup seorang anak angkat yang terbelenggu dengan rasa cinta dengan abang angkat dan dalam masa yang sama hendak mempertahankan hubungan kekeluargaan yang terbatas dari segi hubungan halal atau mahram. Novel ini banyak mengungkap dilema dan status anak angkat dalam masyarakat kini.

Nor Aida Shafiee atau nama sebenarnya Nor Aida binti Ahmad Rizal merupakan anak yatim piatu yang diangkat oleh pasangan Rosmaria dan Shafiee dan diserahkan sendiri oleh ibu saudaranya Puan Khatijah atas sebab kemiskinan hidup. Inilah salah satu faktor mengapa seseorang anak diserahkan kepada keluarga yang lain. Namun apa yang dilakukan oleh pasangan Rosmaria dan Shafiee iaitu membintikan Nor Aida dengan nama Shafiee , atas alasan untuk merahsiakan asal usul Aida adalah salah sama sekali. Ini juga berlaku pada masyarakat kini. Kemudian atas kesedaran yang lama tertunggak akhirnya Aida diberitahukan status sebenarnya . Ini mengejutkan Aida dan sedikit demi sedikit ia mengubah keadaan...satu situasi yang paling ditakuti oleh ibubapa angkatnya. Dalam masa yang sama perasaan sayang sebagai adik beradik juga berubah dengan banyak faktor penyumbang antaranya kewujudan Yang Faridah dan Hadi dalam hubungan Aida dan Khamil. Perasaan sayang yang obses antara Khamil dan Aida sepatutnya boleh disatukan jika keduanya meluahkan perasaan dengan cara terbuka. Namun keegoan kedua-duanya biarpun Aida menuduh Khamil yang ego menyekat jalan yang sebenarnya telah terbentang lurus untuk mereka ke jinjang pelamin. Entah kenapa pada saat-saat keduanya main tarik tali, saya terasa hendak sekeh kepala keduanya ini...menyakitkan sungguh. Eksyen je lebih. Namun ia lantunan kepada saya sendiri kerana inilah kesopanan sikap orang Melayu sejati....yang terdidik dengan teguh dan asas agama yang kuat. Dan pengakhirnya adalah yang terbaik kerana ia menyatukan semua pihak dan kebahagiaan itu hakikatnya harus dengan sedikit pengorbanan. Seseorang pernah memberi nasihat kepada saya bahawa sesuatu yang didapatkan dengan susah payah adalah paling bererti berbanding dengan sesuatu yang didapat dengan mudah. Demikianlah yang cuba disampaikan dalam novel ini....ia harus dibaca oleh semua golongan untuk menjadi panduan dalam mengekalkan tali kekeluargaan yang kukuh dan berlandaskan rasional dan bukan dengan hati yang membuta tuli dan emosional.

Selain sekitar kisah Aida , ia juga mengisahkan apa yang berlaku kepada Syaza yang terpaksa membayar harga cintanya yang terlalu mahal dengan kerenggangan keluarganya....terutama ibu tercinta. Jika dilihat dari sudut logik , hati ibu Syaza dapat kita selami kerana tiada ibu yang dapat merestukan anak gadisnya yang masih menuntut berkahwin awal. Begitu juga dari segi tatatertib dan etika , Hisyam tidak sepatutnya terlalu mengikut perasaan , apa lagi apabila berlaku keadaan Syaza banyak melepak berduaan di pejabat Hisyam. Ini ternyata melanggar peraturan kolej dan asrama. Kemudian tanpa menyiasat dengan teliti , Murni sahabat yang mementingkan masa depan sahabatnya disalahtuduh sehinggalah bertahun kemudian barulah Syaza tahu kebenaran setelah diberitahu oleh Aida. Dendam sesuatu yang tidak harus disimpan dalam sudut hati setiap orang kerana selagi dendam itu ada ia bagai selumbar yang mencarik dan melukakan hati setiap insan malahan membunuh persahabatan dan persaudaraan.

Dalam novel ini saya sukakan beberapa perkara :

1. Watak Anis dan Aini , dua watak adik kepada hero dan heroin . Perwatakan yang ceria, santai, tenang dan bersifat penyelamat untuk abang-abang dan kakak mereka. Watak keduanya ini menjadi penyambung ukhuwah sesuatu hati yang tercalar dan terluka. Suka dengan bagaimana Aini memainkan peranan dalam melayan Yang Faridah dan Khamil. Begitu juga dengan Anis yang menyatukan hati Hadi dengan Aida. Sesungguhnya hati Aida terlalu degil dan kayu batu dalam menilai hati insan-insan yang menyayanginya. Saya turut rasa marah bila dia menghilang ke Kelantan.

2. Ayat-ayat ini : Cinta sejati. Tempat, waktu dan usia,bukan penghalangnya. Jodoh kuat , siapa yang boleh menolaknya.

3. Jangan berhenti mengharap dan jangan berhenti berdoa.....ini ayat yang harus kita semua jadikan pegangan agar rasa kecewa, putus asa atau despresi tidak akan pernah menjenguk dalam setiap saat jantung kita berdegup.

4. Bab 81 : Hahahaha...saya pada mulanya terasa terkejut dan tanpa sedar membelek sehingga ke hujung....Kusyi Hirdan dengan teknik misterinya....kejutan yang hampir meletupkan rasa marah sebab .......saya tak mungkin merestukan jika ini pengakhirnya.

Ayat-ayat yang ringkas, senang difahami dan juga jalan cerita yang menarik. Permulaan yang mengundang tandatanya dan epilog yang membahagiakan....tahniah buat Kusyi Hirdan.

Kelemahannya cuma kesilapan teknikal perkataan KOTA dan KOTAK menjadi kuta dan kutak. Hanya itu sahaja kesilapan yang saya nampak tanpa menggunakan kacamata.

Jadi wahai para sahabat dan pembaca blog saya, dapatkan novel ini dipasaran. Anda boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran atau menempah secara online di http://www.nbkara.com.my atau di http://www.novelnbkara.blogspot.com

Comments (0)