Almari Baru Luqman

Posted by Leeza | Posted in


Selama Luqman tinggal dengan saya, barulah kelihatan pakaiannya terurus sedikit. Mula-mula dulu semasa awal ketiadaan arwah emaknya, pakaiannya entah di mana sehingga seluar dalam pun tidak ada. Pakaian hariannya saya gunakan bakul dan mudah untuknya mengambil. Beberapa bulan tiap hari saya menyusun pakaiannya, seluar sama seluar, baju sama baju kerana dia mempunyai perangai yang suka menyelerakkan pakaian. Bila saya tarik telinganya dan paksa dia mengemas dan menyusun barulah tabiat buruknya berkurangan. Satu lagi perangai yang saya tidak suka ialah meninggalkan pakaian di mana sahaja tempat dia menanggalkannya. Kalau sudah suara saya bising barulah sekarang dia terbiasa, pakaian basahnya diasingkan dengan pakaian yang kering di tempat yang disediakan. Setiap kali dia terjun ke dalam sungai dan menyusur sepanjang sungai dengan baju yang basah dan kotor, saya takkan mencucinya. Saya pastikan dia mencuci sendiri dan membersihkan bau yang busuk dan kotoran tersebut sendiri.

Telah lama saya mencari almari jenis ini untuk Luqman. Ia mudah dan ringan digerakkan dan dibersihkan selalu. Ini penting jika berlaku banjir mengejut di kampung saya. Ia mudah diselamatkan. Kelmarin saya akhirnya menemui almari ini dijual murah di Parkson, Spring dengan harga rm59.90. Gembira Luqman dengan almari baru ini. Dia memasang sendiri dan membersihkan sendiri almari tersebut. Saya mengajarnya menentukan cara menyimpan pakaian supaya mudah untuknya menyimpan dan mencari pakaiannya sendiri.

kelihatan dia mempunyai banyak seluar pendek dan seluar panjang untuk dipakai harian tetapi , seluar pendek berpetak yang dipakainya itu juga yang digunakan hari-hari. Dia mempunyai dua helai seluar ini. Begitu juga dengan t-shirt hitam yang digunakannya. Nampak hitamkan? Kegiatan hariannya memancing . Turun pagi balik makan tengahari dan turun lagi sampai senja. Tak apalah, dia tak ada aktiviti lain selain memancing bersama kawan-kawannya sendiri.

Comments (0)