UMAIRAH DAN KUDA PUTIH oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in


Umairah dan kuda putih merupakan karya kesayangan Kusyi Hirdan dan karya ini memenangi Hadia Sastera Perdana anjuran DBP baru-baru ini. Saya bangga sebab senaskah karya yang hebat ini dihadiahkan oleh penulis kepada saya pada bulan April 2010 yang lalu. Saya cuma berkesempatan membacanya semalam dalam tempoh masa tidak sampai 24 jam.

Novel ini bukan novel kanak-kanak bagi saya tetapi ia sesuai dibaca oleh semua tahap umur. Ia menyentuh isu kekeluargaan sedalam-dalamnya. Umairah gadis yang kesepian namun terpaksa menjalani hidup dan memikul tanggungjawab yang berat dalam keluarganya. Selepas tragedi kematian adiknya Aini kerana demam kuning, dua tahun keluarganya menjadi tidak keruan. Ibunya Noraini mengalami tekanan jiwa sehingga menjadi seorang yang tidak waras , sakit dan tidak bercakap. Umairah terpaksa menguruskan ibunya, dan menyuap beliau makan. Ayahnya Rushdi pula lebih banyak meluangkan masa di Ladang Merah milik Datuk Merah. Neneknya Zaitun yang tua dan tidak berapa sihat terpaksa memasak makanan untuk ke tiga beranak ini dan terjadilah rutin harian Umairah menghantar makanan ke ladang untuk ayahnya dan kemudian ke rumah untuk makanan emaknya. Sejak itu ,setiap petang Umairah tidak bersekolah agama.Masanya lebih banyak dihabiskan di ladang.

Segalanya bermula semasa kelahiran seekor kuda putih,Umairah diberikan peluang untuk menamakan anak kuda tersebut dan bermain dengannya. Keistimewaan Umairah yang Allah anugerahkan ialah Umairah boleh berinteraksi dengan kuda putih ini merapatkan hubungan di antara keduanya. Dua makhluk Tuhan yang sunyi sepi berkongsi rasa dan cerita. Persahabatan ini ditambah dengan kehadiran Jaja. Namun dugaan bukan sedikit terhadap keluarga Umairah. Hasad dengki Hamdan anak saudara Datuk Merah terhadap Rushdi menyebabkan banyak kejadian yang tidak diingini berlaku antaranya kandang kuda terbakar, Putih hampir diculik dan yang paling teruk ialah fitnah yang menyebabkan nenek Umairah, Nek Tun meninggal dunia kerana diserang strok. Sejak kematian ibunya, Rushdi berubah sikap dan lebih prihatin dengan anaknya Umairah. Hubungan ayah dan anak ini membahagiakan Umairah. Sehinggalah Jaja dimarahi oleh ayahnya Jalil dan kemudian dikejarkan ke hospital akibat diserang asthma. Sekali lagi keluarga ini dicaci-maki dan disalahkan menjadi penyebab bencana. Hamdan pula memfitnah Rushdi dengan Datin Mariah sehingga ia dihalau dan dimarahi. Tekanan demi tekanan menyebabkan Rushdi mengambil keputusan untuk berhenti dari ladang tersebut dan berpindah ke Taiping. Perpisahan yang menyayat hati antara Umairah dan Putih menghancur lumatkan hati keduanya. Paling sendu bila Putih cuba menyembunyikan Umairah yang tidur di kandangnya dengan longgokan jerami kering. Dalam saat kesunyian ini, Putih begitu nekad keluar dari ladang dan mencari Umairah. Hanya pada akhirnya Umairah sendiri yang tahu kedudukan Putih dalam bahaya. Halangan bapanya menyebabkan Umairah meluru keluar dan dilanggar kereta. Ketika koma inilah ibunya Puan Noraini seakan tersedar dari mimpi yang panjang. Secara tidak langsung Puan Noraini sembuh dari penyakitnya dan Umairah pula sedar dari komanya.

Ia satu rahmat kerana selepas ini Rushdi menerima tawaran Datuk Merah untuk kembali ke ladangnya sebagai pengurus ladang dengan syarat Hamdan diberi peluang bekerja di ladang untuk membantunya. Kesedaran ini pengakhir yang indah sebab bukan hanya penyatuan persahabatan terjalin ,tetapi juga masyarakat di Kampung Ganggang sedar akan kesilapan mereka. Ini semua kerana kewibawaan Datuk Merah yang bukan sahaja penuh belas ikhsan tetapi juga murah hati dan penyayang. Penulis juga menyelitkan beberapa dialog yang lucu dengan keceluparan mulut si Kuda Putih.

Secara ringkasnya, saya mampu tertawa, ceria dan menangis sepanjang menghayati novel ini. Keluhuran hati menjadi tema utama .....betapa persahabatan dengan haiwan mampu melembutkan hati kita. Tahniah kepada Kusyi Hirdan atas kejayaan novel ini.Semoga terus berjaya pada masa hadapan...amiin.

Comments (0)