TUHAN MASIH MENCINTAIKU oleh Lily Haslina Nasir

Posted by Leeza | Posted in


Bismillahirahmanirahim.....
Tuhan Masih Mencintaiku kesinambungan novel Menunggu Cinta Tuhan telah saya tamatkan bacaannya petang tadi. Sejujurnya harus saya akui , saya terlalu sakit hendak menghabiskan novel ini...mungkin kerana isinya terlalu berat dan padat, mungkin juga bahasanya yang terlalu berbunga-bunga.

Lily pernah memberitahu saya bahawa kesan review novel MCT yang saya buatkan membuatkannya lebih berhati-hati dalam menulis sambungan ini. Dan tahniah saya lafazkan kerana novel TMM ini menunjukkan perubahan dan perningkatan. Bukan sahaja dari segi plot ceritanya tetapi juga pengaturan info dan tazkirah teratur sesuai dengan situasi yang dinaratifkan. Cuma info-info ini terlalu padat dan banyak sehingga saya terlupa seketika bahawa saya hanya membaca novel dan bukannya buku agama.

Gaya bahasa Lily Haslina Nasir indah dan cantik. Ia banyak bermain dengan monolog diri setiap watak. Dan setiap saat bermunajat kepada Allah SWT. Saya suka dengan gaya bahasanya. Kali ini cara pengolahannya lembut dan menyentuh hati. Cuma yang saya kesalkan , LHN dan editor yang terlibat perlu lebih peka dengan penggunaan perkataan 'TIDAK' yang selalu ditinggalkan. Walaupun perkataan itu hanya secuil cuma tetapi peranannya amat besar kerana tanpa TIDAK , ayatnya menjadi lain...bermaksud sesuatu yang antonim. Mungkin kesilapan taip...tapi banyak jugalah. Saya bagi contoh satu : ms 532 .......Biarpun kudratnya terlalu kecil, ia mematahkan semangat untuk terus berusaha menggali runtuhan bukit.....
Justeru itu , perkataan 'tidak' tertinggal dalam ayat tersebut, sedangkan kita tahu maksudnya ia tidak mematahkan semangat..... Kesilapan teknikal yang lain ialah nama Khalida Atikah ditaip sehingga dua kali.

Secara teknikal telah saya komen ringkas sahaja, saya tidaklah sekejam manapun untuk menghentam penulis yang sudah saya kenal sebagai sahabat. Sekarang kita berbicara mengenai isi novel. Kali ini kita didedahkan konflik jiwa yang dialami oleh Azrul Rasyid . Jika dulu dialah harimau yang bermaharajalela dalam jabatan hiburan sehingga ditakuti dan dibenci oleh semua artis dan selebriti. Sejak peristiwa runtuhan kondominium, dia bertukar jabatan dan keputusannya ini bukan sahaja mendapat tentangan pihak syarikat akhbar Dinamik tetapi mengundang sejuta respons dari semua pihak. Namun jiwa Azrul Rasyid yang masih kental egoistiknya paling terasa terpukul dengan kenyataan dirinya anak perogol. Tambah menghentam dukanya bila semua menista statusnya itu. Kali ini watak Khalida Atikah digambarkan lebih berani , lebih tegas dan lebih cekap. Dia juga berjaya melembutkan hati kering si Azrul Rasyid dan juga penyelamat Azrul daripada perangkap Azie , sepupu arwah Nureen. Hati saya marah dengan sikap Azrul terhadap umi dan ayahnya. Kasihan kepada kedua ibubapanya. Sendu hati membaca seorang anak yang menjauhkan diri dari uminya. Kalau ada Azrul Rasyid di depan saya , mahu saya hempuk kepalanya sebab terlampau ego dan sampai hati membiarkan uminya menangis. Dan dalam TMM, kita didedahkan dengan watak bapa kandung Azrul Rasyid, Saiful. Saya mengkagumi watak Puan Rohana dan Encik Hakim, yang redha dengan ketentuan Allah dan menerima segalanya dengan positif. Cuma biasa sebagai manusia yang bila saat tenat baru hendak bertaubat....demikian Saiful yang menjelang kematiannya barulah dia berusaha memohon kemaafan dan keampunan daripada Puan Azah , Encik Hakim dan Azrul Rasyid. Jika diselami juga malu dan benci yang ada di hati Azrul Rasyid, akhirnya hati kecilnya terpujuk juga dengan nasihat Khalida Atikah untuk menjenguk arwah Saiful pada saat akhirnya. Dendam terlerai saat bersua muka, demikianlah kentalnya darah yang mengalir dalam tubuh. Kemudian bermula kelembutan hati Azrul Rasyid dengan aktiviti amal yang dilakukannya dalam pertubuhan sukarelawan membantu mangsa Aids/HIV dan bencana alam di Padang. Kelembutan ini membuatkan dia mampu memaafkan Acik Latifah dan seterusnya menerima anak arwah Azie menjadi anak angkat.

Umpama cerita dalam cerita, LHN menggunakan kemahiran dan pengalamannya mengupas dunia kewartawanan. Berdasarkan projek amal PRIHATIN , kita disajikan dengan perit penat lelah dalam mencari bahan meredah tempat-tempat kediaman setinggan. Betapa miskinnya kehidupan mereka....daif sungguh tempat tinggal warga yang perlukan bantuan sewajarnya. Semuanya dapat saya selami...kasihan sungguh. Kemudian mengungkap penderitaan anak-anak pesakit AIDS/HIV, setuju dengan pendapat bahawa anak-anak ini tidak harus dihukum hanya kerana penyakit ibubapa mereka. Terkadang ibu mendapat penyakit ini bukan kerana ia jahat tetapi hasil angkara suami yang durjana. Masyarakat perlu berfikiran terbuka dan tidak menyisih anak-anak ini. Perkenalan singkat Dr Christopher , Azrul Rasyid dan Ramli membawa kesan dengan pendermaan ginjal . Keluhuran persahabatan yang tidak memandang status walau pada awalnya Azrul Rasyid terlalu pesimis dengan orang seperti Ramli yang mencari rezeki dengan mengorek dan menyelongkar sampah-sampah orang.

Cuma dendam Acik Latifah terhadap Azrul Rasyid membawa padah sehingga masuk ke pusat rawatan mental. Kesungguhan watak Azie yang cuba menjerat Azrul Rasyid terjawab akhirnya bila dia sebenarnya sedang mengandung anak luar nikah dan mahu menjadikan Azrul Rasyid sebagai Pak Sanggup. Namun Azrul Rasyid yang mempunyai bidadari penjaganya, terselamat dari angkara yang mungkar. Kekuatan jiwa Azrul Rasyid untuk terus berpaut pada kekuasaan Allah SWT juga didorongkan luhur hati Khalida Atikah dan doa ibubapanya. Inilah kekuatan novel ini, kita sebagai manusia hendaklah tidak putus memohon doa dariNya...berserah hanya padaNya. Saat hati sangat kacau jangan sesekali berpaling dari NYA...insyaAllah kita akan selamat menjalani hidup yang penuh ranjau ini.

Dan....seperti harapan dan permintaan, TUHAN MASIH MENCINTAIKU akhirnya menyatukan Azrul Rasyid dan Khalida Atikah dalam sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Tahniah Lily Haslina Nasir.

Comments (0)