Saya Seorang Guru

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini adalah HARI GURU MALAYSIA. Sekolah saya akan meraikan Hari Guru peringkat sekolah pada 19 Mei 2010, Rabu nanti. Tahun ini genap 20 tahun perkhidmatan saya sebagai guru. Insya-ALLAH jika dizinkan ALLAH, masih ada 15 tahun lagi untuk berkhidmat sebagai guru.

Guru bukanlah cita-cita original saya kerana saya lebih minat dalam urusan kira-mengira. Saya mendapat tawaran ITM Shah Alam tahun 1986 untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Akauntasi tetapi hasrat ini terkubur kerana masalah kewangan. Semasa di tingkatan 6 atas di SMK TUN ABG HJ OPENG, Petrajaya, semua rakan sekelas telah sibuk mengisi borang kemasukan maktab perguruan kecuali saya. Entah kenapa satu kelas itu memaksa saya mengisi maklumat dalam borang maktab dengan dikawal rapi oleh mereka sendiri, malahan urusan menghantar borang itu ke IPG pun mereka yang buat. Bila saya soksek-soksek rupanya ini komplot cikgu Ayob Salleh juga. Murninya seorang guru, sentiasa mendapatkan peluang untuk semua anak muridnya dalam kerjaya masa depan. Hasrat memasuki universiti juga tertunda kerana alasan yang sama, kemiskinan. Ayah merayu saya memasuki maktab perguruan sahaja.

Satu semester di MPBL , Kuching, saya membuai rasa kecewa sehingga keputusan saya merudum dalam peperiksaan. Sehinggalah saya menerima sepucuk surat dari guru saya , Cikgu Mohd Yamin yang memberikan nasihat dan galakan untuk teruskan perjuangan . Pun begitu abang saya yang waktu itu baru mendapat pekerjaan sering mengunjungi saya dan memberi galakan : berjuang dik. Saya bangkit pada semester ke dua dengan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan....malahan pernah mendapat markah 100% dalam Bimbingan dan Kaunseling.

Bila pertama kali berdepan dengan murid, timbul rasa takut dan seram : dapatkah aku mendidik mereka? Waktu itu teori di maktab dengan praktikal secara realiti tidak sama. Segalanya baru dan harus ditanggani secara spontan. Apa lagi di SRB St Andrew , saya diberikan subjek BM ,Maths dan KT. Bm pula kena karangan juga. Wow, subjek ini selalu dielak oleh guru pelatih sehingga kini. Kalau tak buat, tak mencuba kita takkan dapat pengalaman sedangkan pengalaman itu berharga tak ternilai oleh mana-mana RM . Beberapa bulan saya mengambil peluang itu berguru dengan guru-guru cina berpengalaman mengajar Maths, juga guru-guru pakar BM mengajar karangan. Syukur sangat semasa diobserve lecturer Madam Fong ( lecturer kesayangan saya) prestasi saya cemerlang. Kawan-kawan saya bilang saya anak emas Madam Fong, sebab kalau kuliah dia selalu panggil saya ke biliknya masa rehat. Balik saya dari biliknya mesti penuh dengan beberapa bekas makanan.

Kemudian dari tahun ke tahun saya berjuang dalam dunia pendidikan ini. Dari Daro, ke Kuching dan seterusnya kembali ke Asajaya segala jalan telah saya redah. Laut, udara dan darat saya harungi. Nyawa dalam bahaya ketika speed boat rosak di laut juga telah saya hadapi. Bas kemalangan ketika ke sekolah pun juga saya hadapi. Segalanya seperti buih-buih menghiasi perjalanan hidup. Mendidik anak-anak dari yang sihat kepada yang OKU ( autisme, cacat anggota) dan dari yang baik santun kepada murid nakal gangster tidak mematahkan semangat ini. Teringat ketika berada di tengah antara murid gangster dengan bapa murid lain , dalam hati saya berdoa : Ya Allah lindungilah aku. Masa itu si anak sedang menggenggam sebatang kayu untk memukul si bapa , namun demi rasa hormatnya kepada saya dia melepaskan kayu itu dan kembali tenang. Si bapa pula saya nasihatkan jangan bertindak melulu tanpa pengetahuan GB. Saya pernah menyelesaikan kes budak mengamuk dengan tenang dan kemudian GB datang dengan kayu hokinya....dia pernah tanya saya apa ilmu yang saya pakai sehingga budak mengamuk itu menurut saja kata-kata saya. Dan kelas itu tiada guru yang sanggup menjadi guru kelasnya dan saya sukarela menawarkan diri. Pada akhir UPSR semua mereka lulus dengan cemerlang malahan murid-murid nakal itu mendapat B dalam Bahasa Inggeris....hehehe.

Jika ada yang berkata, semakin lama mengajar, guru semakin malas. Bukannya malas tetapi pengalaman membuatkan segalanya di kepala menjadi mudah. Melihat sahaja masalah pembelajaran kita sudah tahu apa jalan yang perlu diambil untuk menyelesaikannya. Inilah beza guru berpengalaman dengan guru yang baru. Namun sayangnya ada guru baru dan terpaksa memilih perguruan sebagai jalan akhir mencari rezeki mereka buat seadanya sahaja. Malahan mereka membandingkan pula tugas dengan guru lama. Saya dulu ketika menjadi penyapu baru semua tugas saya terima dengan senang hati. Yang penting saya nak dapat pengalaman. Malahan ada guru itu diberi tugas, setahun tugasnya tak dijalankan. Alasannya dia tak ada masa dan tak tahu bagaimana menguruskannya. Dan GB yang tak tegaspun, memberikan tugas itu kepada saya pula. Saya tak kata tidak biarpun tugas sedia ada saya banyak. Saya mencari sumber tentang ilmu pengurusan Pusat Sumber, membaca buku-buku pengurusannya dan sedikit demi sedikit setahun itu saya berjaya mengaktifkan perpustakaan sekolah yang dha bertahun berdebu dan buku-buku hilang. Masa itu susah nak cakap, sakit pinggang, sakit belakang ( kesan kecederaan masa kemalangan) dan bergelumang dengan debu.....it is normal for me. Alhamdulilah, sekarang saya selesa dengan sistem yang saya buat sendiri...then it was really really upset when someone said u are not working ? Dan sedihnya orang yang tak buat kerja setahun itu diberikan anugerah kecemerlangan. Hahaha inilah salah satu cabaran perguruan. Belum lagi kes mengorbankan duit gaji sendiri membayar fotostat untuk anak-anak, mengorbankan masa cuti untuk anak-anak dan sebagainya. Welcome to Year 6 world. Itulah sebab ramai cikgu menolak jika diarah mengajar Tahun 6 , alasan mereka tak tahu. pentadbir pula bila sudah tiap tahun keputusan sekolah meningkat, takut hendak berikan tugas ini kepada guru-guru lain tanpa memikirkan kami yang setiap tahun di Tahun 6 perlukan masa rehat juga....atleast setahun berselang. Bagaimanalah hendak kata tak tahu sedangkan kita hasil Maktab yang sama. Jika tak tahu ,anda memang tidak layak jadi cikgu. Never say don't know. Banyak sumber untuk dipelajari.

Woooo....banyak bebelan saya kan. Inilah rentetan menjadi guru. Namun rasa syahdu dan terharu ialah bila melihat hasil-hasil di serata dunia. Malahan saya sekarang mengajar dua generasi , si mak dan ayah bekas murid saya, si anak kini menjadi anak murid. Rasa puas itu tak dapat nak ungkapkan bila di telinga terdengar , Cikgu LB best mengajar. Saya suka subjek Sains. Pun juga tak hairan jika setiap tahun saya mendapat hadiah hari guru yang paling banyak dari guru-guru yang lain. Yang tak sedapnya jika ada suara sumbang di belakanglah. Biasa manusia kan.....Apapun juga halangan yang mendatang, tugas GURU ini mulia dan saya akan teruskan perjuangan ini sebaiknya. Saya mahu menyambung segala usaha semua guru saya yang telah menjadikan saya yang serba kekurangan menjadi guru . Saya ingin menjadi sehebat mereka. SELAMAT HARI GURU untuk semua GURU di Malaysia .

Comments (2)

happy teacher's day kak liza!

SELAMAT HARI GURU!!
:)

yeah..so interesting!!!!Akak amati setiap baris ayatnya,terharu, dan bangga ...Kalau tulis novel,tentu lebih leka membacanya kan dik..!!!