IBUBAPA dan DADAH

Posted by Leeza | Posted in

Malam ini ketika saya mengemas fail-fail lama, saya terjumpa satu risalah hasil daripada kursus anti dadah anjuran PEMADAM Sarawak dan PBSMM Sarawak pada tahun 1997 yang lalu. Saya tertarik dengan apa yang boleh ibubapa buat mengenai penggunaan dadah. Satu cara yang paling mudah untuk ibubapa lakukan ialah memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya. Kasih sayang mengikat erat hubungan ibubapa dan anak. Antara yang boleh kita lakukan sebagai ibubapa ialah :

1. Beri dia bimbingan- tekun dan berterusan.Ini penting sekali bagi kesuburan pertumbuhan mentalnya.

2. Beri dia masa anda. Masa yang digunakan bersamanya adalah lebih bermakna dari apa yang anda jangkakan.

3. Beri dia peluang mempelajari dan mengalami hal-hal baru. Ini memperkayakan pemikirannya.

4. Beri dia galakan bekerja dan bermain. Jangan dihadkan percubaannya untuk meneroka, mencontohi, merekacipta, membina dan sebagainya.

5. Beri dia tanggungjawab , bermula dengan kerja-kerja mudah. Latihan begini bertujuan membentuk keyakinan diri.

6. Beri dia hak mempunyai watak berbeza . Dia unik -jangan bandingkan dia dengan adik-beradiknya.

7. Beri dia pujian atas segala pencapaiannya. Lebih-lebih lagi kerana usahanya mencuba, walaupun dia kandas.

8. Beri dia kebebasan bersuara . Timbangkan umur dan tabiat perangainya bila anda tidak menyetujuinya. Anda boleh singkirkan kelakuannya , tetapi jangan sekali-kali mengutuknya.

9. Beri dia keyakinan serta ketenteraman - sentiasa jangan menjauhi diri daripadanya atau mengugut untuk menarik balik kasih sayang anda atau mengancam menyerahkannya kepada orang lain.

10. Beri dia segala yang diperlunya tanpa mengharapkan balasan. Bukan kehendaknya untuk dilahirkan tetapi adalah kehendak anda. Oleh itu , asuhilah dia menghormati orang tua dan taat kepada ibubapa.

Saya terjeda sekejap dengan 10 langkah menyemai kasih sayang yang disyorkan dalam risalah tersebut....ada langkah pincang yang saya telah lakukan. Rasanya belum terlewat untuk mengubah setiap langkah kasih sayang. Secara tidak diduga , saya ditakdirkan menjadi ibu kepada anak-anak arwah kakak saya . Kakak saya NB berulang kali memberi nasihat : sayangi dan peluk dia , Za. Saya berusaha.....kerana sejujurnya saya akui yang saya kekok dalam menunjukkan belaian kepada anak-anak saudara saya yang nakal ini. Mungkinkah saya bias? Namun syukur alhamdulilah kerana tiada anak saudara yang jauh terpesong kearah dadah.... semoga Allah melindungi dan menjauhkan mereka dari DADAH.

Comments (1)

Za..macam qaisara semuanya terlebih, kasih sayang, perhatian, material..moga-moga satu masa nanti dia menghargai apa yang kami beri pada dia..