MENUNGGU CINTA TUHAN oleh Lily Haslina Nasir

Posted by Leeza | Posted in


Ketika membaca review oleh sahabat dan teman juga melihat pada cover novel yang simbolik menjadikan saya seperti nanar untuk mendapatkannya. Saya berusaha untuk memesan secara online namun kerana 'si rimo' mogok hari itu, saya sampai berpusing mencarinya di pasaran setempat. Seorang sahabat saya sanggup pula membantu untuk memesannya dan saya kemudiankan bayarannya. Begitulah hebatnya pesona 'Menunggu Cinta Tuhan'.

Saya telah habis mengkhataminya tepat jam 6 pagi tadi. Saya akhiri dengan rasa kecewa yang teramat. Saya rasa inilah penulisan Lily yang paling serabai. Kenapa Lily? Adakah terlalu ghairah mengejar dateline sehingga kepakaranmu menjadi goyah dan seadanya sahaja?

Novel ini digambarkan sebagai novel islamik namun bagi saya secara peribadi saya katakan kategori novel ini lebih menjurus kepada novel horror. Dari segi mana dikatakan islamiknya jika hampir 50 peratus isi novel lebih menjurus kepada sihir, ilmu ghaib, hantu dan seadanya. Azrul Rasyid watak hero yang berpendidikan tegar dalam islam seharusnya tahu berfikir mana salah dan betul. Arah manakah yang menyesatkan Azrul jika pendidikannya memang teguh kemudian penuh dengan kasih sayang ibubapanya. Jika Azrul sesat hanya kerana gadis si Pamela Anderson atau Pam Bola itu, rasanya jauh lebih baik golongan artis yang menjadi bahan gossip Azrul. Jika dia menghentam orang lain kerana kehidupan sosial dan skandal mereka, bagaimana pula kehidupannya sendiri? Tidakkah ini memberi kesan kepada kerjayanya? Azrul bersolat dan mengaji mengapa dia tampak terkejut bila diajak ke Mekah? Kemudian apa peranannya terhadap unsur islamik dengan perangai 'tiger' dan bodoh sombong seadanya? Bukankah islam memerlukan kelembutan dalam kehidupan?

Kemudian watak Khalida Atikah digambarkan takut-takut. Dari awal sampai akhir penakut dan pendiam. Di manakah peranannya ? Saya tak suka dengan gambaran watak penakut si Khalida ini terutama semasa menemuduga Cik Latifah di restoran. Dia sudah mendapat info bonus daripada Kak Piah dan juga tentang Murat. Kenapa dia tak mempergunakan peluang ini dan seharusnya penulis memperkembangkan isu Murat tersebut. Seharusnya Khalida membuat siasatan susulan dengan Encik Murat. Sepatutnya Lily gunakan watak Khalida untuk menonjolkan islamik dan meniup kesedaran pada Azrul Rasyid. Adakah maksudnya hendak menonjolkan keberanian Khalida melalui tulisannya? Rencana Bergendang bersama Raden ditulis dengan panjang lebar, seakan Lily hanyut dengan suasana tersebut. Mungkin Lily tidak perasan bahasanya semakin tidak konsisten dan lupa tentang latar belakang tulisannya. Mukasurat 397 , ditulis keadaan pada masa itu berlaku di majlis gilang gemilang karpet merah, maka si Raden bertemu dengan rakannya ,bersembang dan membuka rahsia. Kemudian digambarkan pula masa itu majlis makan malam majlis hari jadi untuk Bapa Gula rakan Raden tersebut, siap mendemonstrasi penggunaan minyak cenuai. Aduhh Lily....jika diperhati betul-betul, majlis gilang gemilang karpet merah mungkin gambaran majlis award artis. Bagaimana mereka berdua boleh bersembang panjang lebar dan kita sedia tahu bahawa serapat manapun kita dengan sahabat kita ,tidak mungkin kita berkongsi sesuatu yang mengaibkan ini. Apa lagi hendak mendemonstrasi di depan mata. Dan banyak pula 'cut and paste' dari blog, website dan email. Tidak perlu sebenarnya untuk meletakkan kesemuanya ini sebagai menambah mukasurat. Hakikatnya Lily banyak membuang muka surat dengan segala info dan 'cut and paste' ini.Mengapa Lily tidak indahkan lagi novel ini dengan perubahan hubungan Azrul dan Khalida. Tidak semestinya selamanya mereka bermusuhan.

Kisah Cik Latifah dan Nureen pula pun satu hal. Lebih banyak penggunaan frasa muntah hijau dan semua yang jelek sehingga saya tidak rasa takut tetapi mual dan saya yang muntah berkali-kali. Cerita mereka ini lebih menguasai jalan cerita novel sehingga timbul rasa seram terutama pada waktu malam Cik Latifah memuja dan memanggil pelarisnya. Watak Din ,Ismail dan Kak Yam pula tidak terlalu menonjol , ia digambarkan insaf dan tidak mahu bersubahat namun enggan pula bertindak untuk menentang. Perjuangan tidak ada ertinya tanpa tindakan dari segi perlakuan . Mereka masih takut-takut dengan Cik Latifah.

Ibu Azrul juga digambarkan pengsan ketika mengerjakan umrah ,kononnya dia dihukum. Adakah seorang wanita yang dirogol dikatakan berdosa? Mungkin dimaksudkan ialah Puan Azah rasa berdosa kerana merahsiakan status Azrul daripada suaminya . Anak dilahirkan selepas 6 bulan perkahwinan , berhak berbinkan suaminya. Juga perlukan kita bertaubat di mekah sahaja? Mengapa ibubapa Azrul perlu menunggu ke Mekah untuk menceritakan status sebenar Azrul ? Bukankah Azrul lebih dari matang untuk menerima kenyataan ini?

Terdapat juga kesilapan teknikal iaitu :
mukasurat 308 - Azrul Azhar, mukasurat 339- kak Sham, mukasurat 394 - Pak Ali,azroy.Mukasurat 464 pula nampak kisah sangat bercelaru. Memula kisah Cik Latifah kemudian perenggan berikutnya pula kisah Azrul. Kecelaruan ini makin memeningkan kepala apabila Lily merapu dengan ayat-ayat : sepasang kaki kecil berlari di gemercik air. ikan bersisik-sisik terkejut ,cepat berenang jauh dalam kilatan-kilatan sungai.... aduhai Lily Haslina Nasir pujaanku. Apa benda yang merepek soal budak, air dan sungai ini? Sedangkan suasana masa itu hanyalah runtuhan bangunan dan banjir lumpur.Bila masa pula ada rebung di situ? Lain kali saya harap Lily jangan pasang muzik kuat-kuat ketika menulis. Satu lagi ayat yang saya puas memikirkan maksudnya ialah penggunaan perkataan 'makam'. Ya, itulah cinta yang paling tinggi makamnya yang pernah dirasakan. Makam itu maknanya pusara atau kubur. Jika 'maqam' dalam bahasa Arab maknanya ialah kedudukan. Mungkin maksud Lily ialah kedudukan yang paling tinggi untuk cinta Tuhan.

Cinta Tuhan sentiasa ada untuk semua hambanya. Yang pasti, cinta kita kepada Tuhan yang masih tidak ada kepastiannya sebab ada antara kita yang masih tidak mahu menyintai Tuhan. Namun Tuhan tidak pernah berhenti menyintai kita.

Saya mengharapkan novel Lily yang akan datang lebih baik daripada ini. Secara terus-terang saya akui novel Aku Ada Kamu adalah karya Lily yang terbaik setakat ini. Janganlah lagi ada unsur mistik di dalamnya...

Comments (2)

saya yg tak reti nak kupas novel pun terasa mcm byk kelemahan novel ni berbanding novel kak lily yg lepas. mcm kak liza katalah, seperti terburu2 nak kluarkan novel ni. semoga kak lily tdk mengulangi kesilapan (boleh ke sy panggil kesilapan) yg serupa lagi.

kak liza ni kalau buat ulasan memang panjang lebar dan terperinci giler....
ida belum beli lagi nv ni. tp teringin gak nak baca sebab kak nik dan shelly kata best. tp akak kata x best. so ida pun nak buat penilaian ida sendirilah.. hehe...