SUNGGUH AKU CINTA oleh Anis Ayuni

Posted by Leeza | Posted in


Novel 'SUNGGUH AKU CINTA' baru sahaja saya khatam beberapa minit yag lalu. Kisah cinta antara Humaira janda yang diceraikan oleh Azhan kerana hendak berkahwin baru dengan seorang bujang terlajak, Fajaruddin. Cinta mereka bersemi seiring dengan hobi mereka yang menyukai aktiviti lasak seperti mendaki gunung , menerokai hutan belantara dan menyertai pertandingan menaiki Menara Kuala Lumpur. Namun sedar statusnya sebagai janda , seboleh mungkin sedaya upaya Humaira mengelakkan hatinya daripada jatuh sayang berlipat ganda dengan Fajar yang tidak pernah putus asa memikat hati. Pada akhirnya hubungan ini mendapat tentangan daripada ibu Fajar, Datin Yati. Mengalahkah mereka? Tidak sama sekali malahan cinta yang membara semakin intim dan bertaut mesra. Musibah yang menimpa kepada Nur Suria adik Fajar yang kehilangan suaminya dalam usia yang muda menginsafkan Datin Yati untuk menerima kehadiran Humaira sebagai menantu.

Perjalanan percintaan Maira dan Fajar memang ada halangan orang ketiga iaitu rayuan daripa Azhan bekas suami Maira yang ingin kembali menagih kasihnya. Begitu juga dengan Jezmine yang menaruh hati kepada Fajar. Apa sahaja halangan ,jika sudah jodoh takkan beralih arah dengan ketentuannya.

Latar belakang tempat dan suasana lebih setengah dari mukasurat novel ini menceritakan aktiviti kegiatan ekspedisi dan aktiviti lasak ke dua hero ini untuk menggambarkan pertemuan dan mula putik asmara keduanya berkembang. Ini bahagian informasi yang ingin didedahkan oleh penulis kepada pembacanya iaitu tentang kegiatan lasak ini dan juga risiko pendaki gunung seperti penyakit acute mountain sickness (AMS) akibat perubahan altitude gunung. Didedahkan juga persediaan yang perlu dilakukan jika ingin menyertai ekspedisi mendaki gunung ini.

Romantiskah percintaan mereka ? Oh rasanya sesedap rasa. kehkehkeh. Biasalah lagak hero mengurat heroinnya. Apalagi bila berjumpa dengan wanita janda yang pernah mengalami tragis percintaan yang melukakan tentu sahaja segala rayuan menjadi bagai satu amaran untuk berhati-hati. Cuma satu bahagian yang saya tidak suka dalam novel ini. Adegan Fajar memujuk rayu dan meluahkan isi hati kepada Humaira menggunakan tajuk-tajuk novel di dalam kedai buku. Kenapa saya tidak suka? Sebabnya saya pernah terbaca adegan seperti ini dalam sebuah novel yang lain. Cara yang sama . Saya tak tahu samada novel lama penulis ini sendiri atau novel orang lain. Kalau dirujuk kepada umur Fajar dan Maira rasanya teknik percintaan ini tidak sesuai sebab kebudak-budakan. Alahai ..... saya dah berusia sebab itu tidak suka. Hehehehe...pembaca yang muda remaja mesti suka....Atau cinta itu memang buta, usia yang matang boleh menjadi muda remaja semula. Ada dua perkataan yang suka digunakan oleh novelis ini iaitu bercangkaliwang dan mengumpamakan. Dia seakan mencari keyakinan dengan mengunakan dua perkataan ini berulangkali.

Novel ini bagus juga dibaca sebab gaya bahasa menarik dan tidak berjela-jela. Cuma pada akhir cerita kisah Nur Suria dan Tengku Zakir dibuat seperti berebut-rebut untuk menjimat mukasurat. Sesuailah dibaca untuk setiap peminat novel. Saya memang membaca semua karya Anis Ayunni namun novel ini tidak dapat melawan kehebatan novel SUARA HATI , karya pertamanya. Semoga dia tetap terus menghasilkan karya yang lebih bagus dan matang pada masa akan datang.

Comments (1)

saya nak cari novel suara hati anis ayuni ni. tp byk2 novel anis, saya sungguh suka gemersik kalbu!