DOA BUAT SUAMIKU oleh Sri Diah

Posted by Leeza | Posted in


Alhamdulilah kerana saya berjaya menghabiskan bacaan novel DOA BUAT SUAMIKU karya Sri Diah , penulis yang juga saya minati karyanya. Sejak dua menjak ini Sri Diah semakin matang menulis dengan penggunaan bahasa yang cantik namun berat dan isu yang dia bentangkan pun berkaitan dengan kedewasaan.

Novel ini kisah saya ! Oppsss...bukan saya seorang tetapi novel ini dedikasi untuk semua wanita yang hatinya belum dimiliki. Novelis meletakkan dirinya sebagai pelaku utama namun bukan satu watak sahaja tetapi semua watak yang terlibat. Memang sakit baginya sakit juga bagi saya membaca dan menghayati setiap perwatakan watak. Setiap episod mewakili watak dan kita hanya akan dapat mengetahui watak siapa setelah menghayatinya sendiri. Pendekatan yang berbeza.

Sinopsis ringkasnya Hazwani wanita 40 tahun , solo dan berkerjaya tinggi. Dia dicintai dan dilamar oleh tiga lelaki, Iskandar bekas tunang ( 35 tahun ) , Datuk Munir majikan merangkap ayah sahabat baiknya Ain Fatihah dan Radhuan lelaki bujang. Jika Hazwani terdesak dan tidak kuat semangat pasti Iskandar menjadi pilihannya sebab rasa cinta masih ada untuk lelaki tersebut. Pada akhirnya siapa yang dia pilih, melahirkan rasa lega yang teramat dan saya bersorak sebab jodoh wanita sekental Hazwani adalah lelaki terbaik, masih bujang dan bukan milik sesiapapun. Kita didedahkan dengan isu lelaki yang sudah berumahtangga dan ingin berpoligami. Adakah semata kerana seksual seperti Iskandar yang mempunyai isteri yang sudah menopause dalam usia yang terlalu muda dan mengalami masalah komplikasi kelahiran anaknya sehingga rahim terpaksa dibuang. Atau adakah kerana rasa kasihan dan keinginan merasa pucuk muda seperti Datuk Munir ? Begitu juga dengan adanya konflik dalam rumahtangga Ain Fatihah apabila suaminya Si Hamdan terjebak dengan along. Kita juga disajikan dengan emosi seorang ibu yang tertekan dengan keadaan anak perempuannya yang sudah andalusia ,ditambah lagi perencah rasa marah kerana kematian suami tercinta yang terlibat kemalangan bersama Hazwani.

Tahniah saya lafazkan kepada Sri Diah sebab berjaya menyelami hati wanita berusia dengan begitu dalam sedalamnya. Saya sakit menghayati novel ini. Parah rasa hati bila Iskandar yang mulanya dulu melukakan Wani datang terhegeh-hegeh semula untuk kembali menjalin cinta dan memiliki Wani. Hanya kerana kekurangan isterinya. Egonya lelaki seperti ini. Jika Junainah sempurna dan tidak sakit, saya rasa Iskandar tidak akan kembali menagih cinta dari Hazwani. Dia pernah menelefon Hazwani menceritakan kebahagiannya seolah mahu merobek luka Wani yang sudah sedia ternganga luas. Aduhhh...mahunya saya sumpah lelaki ini menjadi katak. Bila saya terus membaca seakan saya bimbang Wani akan terdesak dan menerima kembali lelaki ini. Dalam hati saya sentiasa berdoa...janganlah Iskandar yang dia pilih. Jika ya...pasti saya bakar buku ini terus...kehkehkeh..emosi saya kerana novel ini. Dan ketika Datuk Munir melamar Hazwani dan wanita ini tidak terluah menyatakan yang hatinya sudah dimiliki oleh Radhuan, saya jadi bimbang kembali. Apalagi Datuk Munir meletakkan syarat kepada anaknya Ain supaya memujuk Wani bersetuju dengan lamarannya jika mahu dia membantu suaminya bebas dari along. Bimbang saya Ain akan menggunakan cara kotor untuk memujuk Wani. Namun alhamdulilah sebab ternyata Ain sahabat yang sangat tulus. Persahabatan beginilah yang diperlukan oleh semua orang. Cuma watak Radhuan tidak terlalu menonjol , percintaan mereka juga tidak digambarkan dengan romantis .Hanya sekadar percutian di Tokyo sahaja, kita dapat katakan bahawa pasangan ini dalam proses mengenali diri masing-masing. Namun kesungguhan cinta Radhuan patut dicontohi oleh semua lelaki , dia sanggup menjejak Wani hingga ke Tokyo. Masalah Wani sebenarnya bukan kerana tiada lelaki yang menyintainya tetapi dia seakan fobia dan trauma dengan kegagalan hubungan yang selalu tidak menjadi. Lantas dia persembahkan segala hati dan ruang hidupnya bertawakal kepada ALLAH SWT. Banyak hadis dan ayat yang penulis ini paparkan pada setiap sudut cerita. Terlalu banyak untuk menambah mukasurat. Ada satu yang buat saya garu kepala ialah bila Iskandar menceritakan baru lepas mendaftar kelahiran Nur Hazwa di Balai Polis. Agaknya cerita ini berlaku lama dulu. Sekarang ini kelahiran didaftar di Pejabat Pendaftaran sahaja dan tidak perlu ke Balai Polis.

Gaya bahasa cantik dan struktur ayatnya kemas dan teratur. Memang berat untuk menghayati novel ini. Terkadang saya bosan dengan bunga-bunga bahasa yang digunakan. Cuma penulis terlalu banyak imbas kembali peristiwa lampau terutamanya saat kematian abah. Hubungan ibu dan anak memang rapat namun disebabkan trajedi kematian abah menyebabkan hubungan ini menjadi celaru sehingga ibu Wani sanggup menyaman Wani di mahkamah atas tuduhan kecuaian memandu hingga menyebabkan kemalangan. Nampak ibu Wani menghadapi tekanan jiwa hingga Wani sanggup melarikan diri ke KL selama sebulan. Cuma pengakhiran cerita penulis lupa dengan watak Iskandar. Kita tak tahu apa terjadi kepada Iskandar sebab dia menghilangkan diri beberapa hari sehingga ibubapa Junainah mencarinya. Dan saya hairan dengan watak ibu Hazwani sebab pada akhir cerita dia tidak lagi mendesak Wani menerima Iskandar. Mungkin ibunya buat solat istikharah.

Walau berat sekalipun isu atau bahasanya mendalam dengan maksud yang tersirat , saya tetap akan membaca dan menghayatinya. Gaya Sri Diah masih tetap diminati.

Comments (0)