Posted by
Leeza
|
Posted in
Santai
Tahun ini cutinya ialah 4 hari. Sebelum cuti , pelbagai rancangan diatur dalam minda.Antaranya hendak menyiap kerja-kerja sekolah dan mengemas rumah. Bermulanya cuti hari sabtu, rancangan terpaksa ditukar kerana sekolah ada program khidmat masyarakat dengan 85 pelajar dari UITM Samarahan. Siang-siang, boss sudah ingatkan saya mesti turun sebab dia nak gambar untuk diletak dalam blog sekolah. Maka setengah hari habis di situ, gotong-royong dan ambil gambar. Selepas itu baru dapat teruskan rancangan ke Kuching untuk membeli keperluan rumah terutamanya stok makanan. Ingatkan stok makanan untuk seminggu tetapi dua hari sudah habis kerana tanpa disangka abang bukan datang dengan keluarganya sahaja tetapi juga kawan-kawan menantu dan juga adik ipar sekeluarga. Apa lagi ramai anak-anak yang pastinya suka makan dan kelaparan sentiasa. Satu yang saya tak suka ialah bila tidak diberitahu rancangan mereka ini awal-awal sebab jika saya tidak tahu maka persediaan pun tidak ada. Akhirnya saya pasrah sahaja, apa sahaja makanan yang ada saya keluarkan untuk menjamu tetamu-tetamu yang ramai ini. Contohnya , Fakhry memesan ayam KFC, maka saya belikan yang 12 ketul sahaja untuk kami sekeluarga sahaja. Bila sampai terkejut saya sebab ada 5 orang extra...maka terpaksalah kongsi apa yang ada itu sahaja. Selepas banjir semua tilam dan bantal telah saya simpan di atas. Ruang tamu tingkat bawah kosong sahaja dengan 2 kerusi tanpa kusyen. Jadi memandai sahajalah mereka selongkar tilam bantal dan kusyen tetapi saya ingatkan sebelum balik mesti kemas elok-elok sebab saya tak larat mengemas semuanya. Dan bila mereka telah balik, ternyata kemas hanya sekadar kemas pada rupa sahaja. Maka akhirnya tugas mengemas balik semula kepada saya. Satu bendapun apa sahaja yang berkaitan dengan kerja sekolah tidak dapat saya sentuh kerana budak-budak ramai. Mereka berlari, merangkak dan menjenguk, kosentrasi tiada. Saya pula bila melihat Baby Aidil menjulur di lantai saya terus ambil dan pangku sambil buka laptop. Sukalah dia melihat laptop dan tangannya cepat sahaja hendak mengetuk keyboard...hahaha. Si Baby Krisna pula tak mahu dipegang, madang menangis sahaja. Kakak Aidil si Tania lagilah, diam sahaja tetapi tangannya cepat sahaja mencapai itu ini. Jadi dua misi utama sempena Tahun Baru Cina tidak tercapai langsung. Ahad pula majlis perkahwinan adik ipar abang saya si As dan Hatta. Saya sempat menjenguk sekejap sahaja majlis mereka kerana bergilir untuk menjaga emak. Isninnya pula , majlis cukur rambut dan aqiqah si Isya, adik Putri. Apa yang menyentuh perasaan ialah, satu menu lauk ialah sambal sardin campur sawi masin , lauk yang dicadangkan oleh arwah Atok Janggutnya. Sebelum itu, Isya juga dikhatankan dan emak sempat menyaksikannya. Berhari-hari emak bercerita mengenai Isya dikhatan. Selasa barulah saya menghabiskan masa dengan meneruskan misi awal. Walaupun kesuntukan masa , saya berusaha untuk menyiapkannya. Ternyata cuti sentiasa penuh dengan aktiviti. Ramalan awal menyatakan hari ini banjir besar dengan King Tide setinggi 6.1m , tetapi syukur alhamdulilah kerana hujan tidak berterusan . Moga selepas ini tidak lagi ada banjir berlaku.....amin.
|
Perkahwinan Asfarizan dan Talhatta |
|
Anak saudara saya Zul menjadi pengapit dengan sepupunya. |
Comments (0)
Post a Comment