Putri Demam

Posted by Leeza | Posted in

Gambar diambil selepas banjir ke dua.
Setiap hari Putri akan ke rumah saya menghabiskan masa menonton TV dan tidur petang dengan saya. Saya bukannya biasa tidur petang tetapi kerana dia hendak tidur terpaksalah berpura-pura tidur di sebelahnya. Selepas banjir ke dua, saya sibuk membersihkan rumah dan Putri yang degil enggan dilarang muncul juga di rumah saya. Jadilah dia mandur kecil yang selalu mengarah saya mencuci dengan cepat. Angin jugalah mendengar suaranya komplen itu dan ini. Tengah bekerja tiba-tiba dia bertanya dengan lembut. "Nek Su, nek su dah makan kah? " Itu intronya. Bila saya mengiyakan dia minta tolong saya ambilkan nasi dan air dari rumahnya di depan rumah saya. Bila saya menyuruh dia mengambil sendiri, dia enggan dan takut neneknya mengamuk. Walau nakal tetapi keletahnya menghiburkan hati saya.
Hari ini dia demam sehingga tidak dapat bersekolah. Sekolah tadika itu  jauhnya lebih kurang setengah  km dari rumah. Oleh kerana saya lewat balik dari sekolah ,jam 1 petang, maka dia saya suruh berjalan pulang mengikut jiran . Cuaca yang panas jam 11.30 tengahari itu , dengan jarak yang jauh berjalan kaki dan dia tidak menggunakan payungnya, si Putri terus demam setiba di rumah. Dia kan tidak biasa berjalan kaki sejauh itu. Bila dia demam, maka pakej penyakitnya pun turut menyerang, iaitu muntah, cirit birit,sakit kaki dan tangan....apa lagi kakak saya yang kelam kabut dibuatnya. Jadi, selepas Tahun Baru Cina , terpaksalah dia menunggu di sekolahnya sehingga saya balik dari sekolah jam 1 petang setiap hari. Teringat arwah abang ipar, datuk Putri yang dipanggilnya Atok Janggut.....kalau dia ada Putri takkan sesusah ini. Al fatihah untuk arwah. Begitulah yang saya rasa ketika arwah kakak saya pergi buat selamanya....namun kena redha dan hidup harus diteruskan . Moga kedua arwah ini aman di sana.....amin.

Comments (0)