KEMILAU MENTARI oleh Zuraidah Othman

Posted by Leeza | Posted in


Buku  ini adalah kompilasi 3 novel karya Puan Zuraidah Othman . Bila membacanya saya berasa senang hati kerana sudah tentu penulisannya segah nama beliau . Karya-karya beliau tidak menghampakan pembaca kerana penggunaan perbendaharaan kata yang standard dan mudah difahami. 

KASIH SEIMBAS PANDANG 
Kisah Syafikah gadis yang menjadi mangsa kehendak ayahnya untuk dikahwinkan dengan orang tua yang kaya di kampung tersebut,Pak Ngah. Oleh kerana keengganan Syafikah menurut kehendak ayahnya, maka dia selalu menjadi bebelan dan penangan ayahnya yang panas baran. Syukurlah Syafikah mempunyai ibu yang sering mempertahankannya. Pak Karim beria-ia hendak mengahwinkan anaknya dengan Pak Ngah kerana dia sudah banyak berhutang dengan Pak Ngah. Di tempat kerjanya pula, Syafikah menghadapi masalah dengan Hamdan yang sukakannya yang pada dasarnya berniat hendak membalas dendam kepada Aziq Shahriman jejaka yang dalam diam menyintai Syafikah. Kenapa Hamdan mendendami Aziq, kena cari jawapannya sendiri. Ini bermaksud penulis mengajak kita terus membaca novel ini sehingga ke noktah terakhir untuk mengikuti renteten kisah antara Syafikah dan Aziq. 
Tema yang disampaikan oleh penulis dalam novel ini adalah kasih sayang, kepercayaan dan persahabatan. Kasih sayang ibu yang ditonjolkan oleh Mak Eton ( ibu Syafikah) dan Mak Siah (ibu Aziq) menjadi penawar kedukaan anak-anaknya. Malahan semua ibu sentiasa melindungi anak-anaknya melainkan ibu yang tertutup hati dan mindanya. Kepercayaan yang diberikan kepada sahabat bila dikhianati menjadi duri dalam daging. Begitu busuknya hati dendam Hamdan terhadap Aziq. Kepercayaan yang ditaruhkan Syafikah terhadap Aziq ketika dia melarikan diri menjadi bayangan kepada pembaca untuk mengetahui bahawa Syafikah telah menaruh hati kepada Aziq. 
Saya sukakan gaya penulisan Puan Zuraidah yang ringkas dan santai. Jalan ceritanya juga menarik dan lucu terutama pada saat Syafikah membeli lauk kedai....kahkahkah, ikan kembung bertukar menjadi ikan merah...kelakar sungguh. Penyudahnya juga menggembirakan , penyatuan dua hati dengan restu kedua belah keluarga...alhamdulilah.

JANGAN ADA BENCI

Novel kedua ini pula lebih panjang dan lebih mencemaskan. Ia mengisahkan dua beradik tiri yang tidak sehaluan. Hafizah @ Nadia Ameza adalah watak putih yang sentiasa mengalah demi kebahagiaan ibu kesayangannya. Nadia Amera pula adalah anak manja Encik Nazim yang sejak kecil sangat membenci Nadia Ameza dan ibunya. Ameza banyak bersabar dan mengalah tetapi naik angin bila soal ibunya dikeji. Kita sebagai anak tidak mudah bertolak ansur jika maruah ibu kita diperkotak-katikkan.Pergaduhan menjadi sengit bila melibatkan soal lelaki. Kasihan saya kepada nasib ibu Ameza dan Encik Nazim. Segalanya kerana sikap manja yang melampau Amera. Geram saya dengan perempuan ini kerana Ameza telah menyelamatkannya daripada Rashid, lelaki buaya .Bukannya hendak berterimakasih tetapi menyalahkan Ameza dan menjadikan peristiwa tidak jadi bertunang ini penyebab dia mendendami Ameza. Maka dia mengatur strategi yang menyebabkan Ameza terpaksa mengahwini Raziman lelaki yang baik. Ini menjadi konflik novel ini memandangkan Raziman hanya menyintai Amera dan Ameza pula sedang berkasih sayang dengan Amer Mukhlis. Gelihati juga kerana petanda masing-masing sudah berjaya melupakan kekasih masing-masing sangat melucukan dan tidak logik sungguh. Apa yang dinyatakan adalah mustahil bagi mereka tetapi Allah berkuasa menentukan segalanya. Maka bayangkan bagaimana Raziman lelaki melayu biasa yang baik menyanyikan lagu hindustan dan Ameza pula memakai baju berwarna merah yang tidak disukai Amer. Watak yang paling saya suka dalam novel ini ialah Mak Minah , orang gaji mereka. Beliau sangat cute....:)

KAULAH SEGALANYA
Novel ketiga ini juga tidak kurang menariknya. Walaupun ia mengisahkan tentang kehidupan remaja tetapi persoalan yang disampaikan lebih kepada kekeluargaan. Konflik kisah cinta Farez dengan Zati yang berakhir dengan perpisahan akibat kejahatan Azwan. Lelaki ini mempergunakan cara kotor untuk memiliki perempuan yang tidak menyintainya. Ini menjadi iktibar kepada remaja dan wanita bujang supaya tidak sewenangnya keluar menemui lelaki . Bimbang kejadian tidak diingini berlaku. Derita si kakak menjadikan adiknya Zahir , ketua pengawas yang disayangi sekolahnya melampiaskan rasa dendam kepada Fatin adik kesayangan Farez. Zahir menggunakan jerat percintaan sebagai senjata yang paling ampuh untuk merosakkan kehidupan Fatin sekaligus memalitkan arang di muka Farez. Apa yang berlaku kepada Fatin tentu sahaja Farez dan keluarganya turut menerima kesan. Namun bersyukurlah kerana Fatin terselamat dengan berdoa dan mohon pertolongan Allah. Apa yang dapat disaksikan ialah bayangan kakaknya membantutkan hasrat Zahir...syukur alhamdulilah kerana Fatin terselamat daripada menjadi mangsa dan Zahir juga terselamat daripada membuat dosa besar. Siapakah dalangnya ? Tentu sahaja pembaca akan dapat menduganya dan lebih sahih setelah membaca novel ini. Ya hubungan muda mudi ada batasannya supaya terpelihara cinta yang suci. Jangan sesekali biarpan iblis syaitan berpesta dengan kesilapan kita. Berhati-hatilah dalam pergaulan harian supaya tidak terjerumus ke lembah kemusnahan. Juga sucikan hati daripada hasad dengki  yang menjadi api membakar diri dan insan lain.

Ternyata kepuasan dapat dirasai dengan ketiga novel yang dikompilasikan dalam Kemilau Mentari. Tepat sekali bahawa cinta sejati terlalu banyak dugaannya. Jangan sesekali lupakan Allah dalam apa juga yang dilakukan. Tahniah Puan Zuraidah Othman dan saya menunggu karya terbaru yang pastinya lebih mantap dan bertarnsformasi ke arah kedewasaan....

Comments (1)

hye,,u ada novel jangan ada benci?if ada blhkah jual kat saya :)