Kala hati mahu berbicara....

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum....
Pada saat hati mahu berbicara , seribu kata ingin diluahkan namun sayangnya jari jemari bagai kaku untuk mengetik setiap abjad pada papan kekunci. Setiap saat yang berlalu merenung diri dan mendengar dentuman guruh di langit yang menangis , setiap kali itulah hati dan bibir tak putus melafazkan ayat-ayat cinta untukNYA yang satu memohon perlindungan dan belas ikhsanNYA agar musibah yang melanda seluruh kampung kami reda .Janganlah kami diduga dengan dugaan yang tak mampu kami tangani. Kuatkanlah iman kami agar tidak lupa mengingatiMU.
Kini adalah kali kedua rumah saya dimasuki air . Dalam masa yang sama , penjaga emak berhenti kerana saya menegur kelewatannya datang kerja memandangkan saya terpaksa turun awal ke sekolah. Sementara belum ada penjaga, saya terpaksalah bekerja keras setiap awal pagi menyiapkan keperluan mak, memandikannya dan memasak makanannya sepanjang hari. Jadi, kakak saya yang menjaga dua cucu tidaklah terbeban sangat. Kasihan jugalah melihat emak yang terpaksa bersusah payah seawal pagi berulang-alik ke rumah kakak.
Sekarang saya selalu menyiapkan kerja sekolah di sekolah sahaja. Di rumah selain sibuk dengan mengemas rumah dan melayan emak , saya mula meluangkan masa membaca buku-buku yang saya beli. Nampaknya banyak buku yang saya tak buat lagi reviewnya. Saya mengikut mood juga. Jika saya ada mood, saya tak ambil masa yang lama menulis review. Moga saya dapat dikuatkan hati menulis review buku-buku kerana saya minat menulis. Apa yang saya baca saya nak kongsi bagaimana perasaan saya terhadap satu-satu buku yang saya telah baca.
Hari ini buat pertama kali saya mengajar Tahun 1 dan Tahun 2, Dunia Sains Teknologi KSSR, subjek baru, murid pun baru. Seronok melihat anak-anak kecil ini. Mereka berminat sungguh belajar dan saya suka....:) Ini secara tidak langsung menaikkan semangat saya mencanak-canak. Semoga mereka menerima pengajaran saya dengan baik.

Comments (0)