29 Disember 2011
Pagi ini air sudah surut ke buku lali. Seawal pagi saya mencuci pakaian-pakaian yang basah. Saya tidak boleh mencuci kesemuanya sekali kerana di dapur masih tinggi aras air dan ketiadaan tempat menyidai. Lagipun belum tentu cuaca panas hingga ke petang. Almari emak sudah dicuci.(almari plastik). Pagi ini abang Hamdan sekeluarga datang membantu. Saya agihkan tugas-tugas kepada anak-anaknya. Kedua-dua kerusi roda emak dicuci dan dijemur di veranda rumah kakak. Rumah saya masih bergenang air. Tidak banyak yang dapat mereka bantu kerana air masih banyak dalam rumah. Kebetulan jalan sudah kering, saya dibantu abang untuk mengambil kereta di hujung jalan kampung. Cacing-cacing tanah bergelimpangan atas jalan. Saya melihat ada anak kala di dalam rumah. Saya perlu lebih berhati-hati bimbang diri sendiri dalam bahaya. Petang, selesai makan tengahari saya terus membersihkan bilik emak kerana airnya sudah kering. Syukur alhamdulilah kerana selesai untuk satu bahagian rumah. Seterusnya saya seakan keliru kerana semua benda hendak dibuat termasuk menjemur tilam dan beberapa barang elektrik. Hujan yang turun tidak menentu menyebabkan saya kepenatan juga sehingga sebuah pasu pecah terkena tilam. Timbul rasa marah tanpa alasan. Tidak mahu melayan emosi hasutan iblis syaitan, saya terus mengemop lantai yang kotor. Bahagian yang masih bergenang air saya cedok dengan penyapu dan pencedok sampah. Jika mengemop lebih cepat bersih. Sesekali saya ke rumah kakak melihat keadaan dia. Saya bimbang dia pengsan tanpa pengetahuan kerana kakak saya ini kalau tidak bersih dia akan bingung. Semua benda hendak dikerjakannya dalam satu masa. Ternyata benar naluri saya bila dia memberitahu satu almarinya roboh kerana bahagian bawah sudah reput terkena air. Syukurlah dia tidak dihempap almari kerana banyak juga barangan berkaca di dalam almari tersebut. Saya terus teringat dengan tv yang besar di ruang tamu. Terus saya meminta bantuan Loqman dan kawan-kawannya dan kakak juga turut membantu. Bila saya memeriksa almari yang digunakan untuk meletak tv, ternyata bawahnya sudah lembut. Kami berlima mengangkat tv dan meletakkannya di atas meja yang lebih kukuh. Walau sibuk manapun dengan kerja pembersihan , sesekali saya harus ke atas untuk menjenguk emak. Saya ingatkannya saya sedang bekerja di bawah dan dia tidak perlu tercari-cari saya. Emak sebenarnya sudah rindu hendak tidur di biliknya semula. Namun saya bersyukur kerana dia nyenyak tidur di bilik atas . Saya risau dengan persiapan ke sekolah..... saya masih belum melengkapkan sukatan pelajaran dan rancangan mengajar tahunan untuk subjek yang saya ajar. Line internet menyukarkan saya. Ya Allah, berilah saya kekuatan kesihatan ,jasmani dan mental untuk menghadapi segala problema ini. Saya sudah memesan abang saya untuk mengambil si KANCIL kerana susah untuk saya menjaganya pada saat cuaca tidak menentu. Paras air semakin surut |
Abang membantu saya memandu Kancil balik ke rumah. |
Anak saudara saya ini suka sangat bermain air. |
Yang ini pula si Fakhry yang mengejar itik. |
Emak dengan cucunya si Fahmi |
Dan ketika entry ini saya update , air sudah benar-benar surut. Sukur alhamdulilah kerana abang-abang saya membawa keluarga balik membantu saya membersihkan rumah. Bimbang banjir melanda lagi semasa perayaan Tahun Baru Cina nanti maka sofa saya suruh naikkan lebih tinggi lagi di atas kepala kerusi. Peti ais yang besar saya suruh letak di tingkat atas. Saya bersyukur kerana mesin basuh saya berfungsi walaupun berendam dalam air. Beberapa hari saya mencuci menggunakan tangan sehingga jari-jari saya bengkak dan sakit. Persiapan banjir akan datang telah saya lakukan dengan lebih teliti....moga tidak lebih teruk seperti sekarang.
salam za...
subhanallah...teruknya rmah za kena air pasang banjir ye...
semoga za dan emak diberi kesihatan yang baik...
june baru aja baca blog za... maaf za kerana baru tahu, june baru aje balik dari kampung..
june dan anak2 kurang sihat semasa di kampung, kami anak beranak diserang sakit perut dan muntah2.. june sampai aje ke kluang terus tumbang dengan demam dan gastrik yg teruk...Alhamdulillah kami anak beranak sudah beransur pulih cuma selera makan agak berkurang... ujian ditahun baru semoga Allah memperkukuhkan lagi keimanan kita ye za..Amin.