Cerita Terkini

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum para pembaca...
Maafkan saya kerana lama membiarkan blog ini  tidak diupdate . Saya akan kembali menulis blog dengan lebih kerap pada masa yang akan datang kerana saya telah membuat beberapa perubahan dalam rutin harian saya.
Saya telah mendapat pembantu emak yang ke tiga, isteri sepupu saya yang agak berusia juga, tidak sihat dan tidak berpengalaman. Memadailah kerana yang saya pentingkan sekarang ialah orang yang dapat menjaga mak saya semasa ketiadaan saya. Saya bersyukur kerana dia ada untuk membantu. Pembantu saya yang kedua dulu berhenti atas desakan suami dan keluarganya, kasihan kerana mereka mengenepikan soal pencarian demi kesenangan di rumah. Gaji pembantu saya itu digunakan untuk menyara suami dan membayar bil utiliti di rumahnya. Saya suka pembantu ke dua saya ini sebab menyenangkan tugas harian saya. Dan sekarang ini, saya terpaksalah balik sekolah mencuci pakaian, mengemas rumah, menyapu dan mengemop lantai, melipat pakaian, membuang sampah, dan bla bla bla...bukankah kerja rumah banyak jenis. Bila sudah letih, selalunya menganggu mood saya setiap hari. Banyak kali mengurut dada untuk bersabar dan berighstifar. Terlalu payahnya sekali sampai satu had , saya merasakan dada saya sangat sakit. Hanya di atas sejadah saya menangis mengadu padaNya, sebab saya tahu hanya DIA yang faham hati saya. Sebagai manusia biasa, rasa sensitif sudah terlalu tinggi dalam diri sehingga menonton TV pun melihat adegan terluka , gaduh, kecewa..cepat sahaja airmata saya mengalir.

Di sekolah biasalahkan kerja pun mana ada habisnya. Hari-hari berdepan dengan kenakalan murid dan kemalasan mereka yang terkadang membuat angin kepala berpusar-pusar keluar dari telinga. Saya cepat angin jika berdepan dengan murid-murid yang malas dan tidak menyiapkan kerja rumah. Begitu juga jika saya tengah mengajar dan menerangkan sesuatu, mereka tersengih-sengih di belakang..cepat sahaja tangan saya mencubit mereka atau saya suruh berdiri dengan kedua tangan memegang telinga. Saya sebenarnya sedang berusaha untuk mencipta rekod baru di sekolah ini,yakni mendapat 100 peratus lulus Sains. Setakat ini bila setiap kali ujian dan latihan yang saya berikan , hanya 1-2 orang sahaja gagal atau tidak hadir , saya rasa kemungkinan untuk mencipta rekod adalah tidak mustahil. Sekarang ini sekolah saya telah memperbaiki mesin printing secara manual dan dapatlah kami membuat banyak lembaran kerja untuk latih tubi murid-murid kami. Saya sudah mengeluarkan mesin taip saya untuk menaip soalan menggunakan stensil. Kawan-kawan gelar itu laptop antik, hahaha.

Program Ukhwah Ke Utara sedang dalam proses mengumpul dana. Alhamdulilah...saya tetap paparkan di facebook saya untuk membantu mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim ini. Saya juga anak-anak yatim namun saya bersyukur kerana menjadi anak yatim ketika sudah memiliki pekerjaan. Kepada sahabat-sahabat dan pembaca blog, silalah membantu pihak  kami mengumpul dana. Hulurkanlah bantuan anda seikhlas hati. Jika rasa ingin membantu, hubungi saya ke email :elleezb@yahoo.com. Terimakasih banyak-banyak ya.
Okay , saya akan lanjutkan lagi cerita saya pada masa yang akan datang kerana saya sedang bersiap hendak ke tempat kerja.

Comments (0)