KARIPAP ATAU BURGER? oleh Sophie Othman

Posted by Leeza | Posted in

Bismillahirahmanirrahim...
Apabila penulis ini menyatakan dia akan mengirim Karipap atau Burger kepada saya, hati sangat gembira kerana menerima buku percuma yang istimewa daripadanya. Karya sulungnya ini  menjadi tandatanya dalam diri saya. Tanggal 12 Julai 2011 saya mengambil bungkusan Pos Ekspres ini di Pejabat Pos Asajaya sebaik sahaja saya tamat membuat kelas tambahan UPSR Sains Tahun 6.  Saya sebenarnya terkejut menerima bungkusan yang besar lebar ini kerana saya tidak sangka saiznya sebegini. Bila sampai di rumah, saya begitu tertarik dengan reka bentuk dan warna lembut yang menceriakan. Sejuk mata memandang. Saya terus membelek-beleknya dan mendapati terdapat lima kisah di dalamnya. Dari segi fizikal, buku ini sangat cantik dan perlu dimiliki oleh kanak-kanak. Harganya juga berpatutan iaitu RM7.50 untuk Semenanjung dan RM10.50 untuk Sabah dan Sarawak.
Jarang dalam sejarah pembacaan saya untuk terus membaca buku yang dibeli atau diterima. Namun Karipap atau Burger ini tidak membiarkan ia terus terbiar dalam almari untuk menunggu giliran untuk dibaca. Dipendekkan cerita, Karipap atau Burger ini terlalu menyelerakan sehingga ia melangkaui giliran yang sepatutnya. Saya juga melanggar kebiasaan saya untuk membaca tanpa melapik buku itu terlebih dahulu. Hanya setelah selesai dibaca barulah saya bersusah payah melapiknya. Mungkin ada yang mengatakan bahawa ini buku kanak-kanak, apa kes dibaca oleh saya yang sudah 40an ini. Namun bagi saya sebagai guru saya harus membaca semuanya tanpa mengira had umur supaya saya dapat berkongsi cerita dengan kanak-kanak sekolah rendah.
Sekarang saya ingin membuat ulasan tentang isi buku tersebut. Karipap atau Burger yang termasuk dalam kategori Kid's Prima adalah buku yang baik. Saya buat ulasan ringkas tentang setiap kisah di dalamnya.

1.Tolong...Lutut Saya Berdarah!

Ia mengisahkan si Halim yang tidak membantu kawannya Amin yang tercedera ketika bermain bolasepak tetapi sebaliknya mentertawakan Amin. Dia menyesal dan insaf setelah mendengar cerita ibunya tentang semut dan burung merpati yang saling membantu.Jalan cerita menarik dan sisipan cerita semut dan burung merpati memperindahkan isi cerita. Namun pada mukasurat ke 4, ada eloknya penggunaan titik bagi mematikan sesuatu ayat diambil berat. Contohnya :.........di padang bola berhampiran rumah ( ) Tiada titik di sini. Mungkin kesilapan teknikal.

2. Taman Mini Aina dan Lokman
Ia mengisahkan keluarga Aina dan Lokman sedang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah mereka. Aina dan ibunya Puan Rohani menyiram pokok-pokok bunga . Lokman dan ayahnya pula membakar sampah dan membersihkan kolam ikan. Isi cerita menarik dan padat kerana penulis menekankan mengapa pokok bunga perlu disiram dan bagaimana cara menjaga pokok-pokok bunga supaya hidup subur. Ini boleh digunakan oleh saya dalam mengajar tajuk Keperluan Asas Tumbuhan dalam matapelajaran Sains Tahun 4. Penulis juga menekankan bahaya nyamuk Aedes pembawa demam denggi. Begitu juga dengan cara penjagaan ikan di kolam dan bagaimana mengganti dan membersihkan air kolam yang kotor. Cuma adalah lebih baik lagi jika penulis memberikan beberapa contoh ikan yang dipelihara dalam kolam tersebut seperti mana beliau memberi contoh pokok-pokok bunga yang terdapat di taman mini . Nilai kekeluargaan juga diserapkan dengan penghargaan terimakasih kepada ibu yang menyediakan minuman petang.Malahan sikap anak-anak yang suka membantu ibu bapa juga diterapkan dengan jelas.

3. Liyana Berjumpa Doktor Gigi

Kisah ketiga ini berkenaan dengan penjagaan gigi. Penulis menekankan perlunya membersihkan gigi setiap pagi sebelum mandi. Begitu juga dengan perlunya pemeriksaan gigi dilakukan setiap 6 bulan sekali. Liyana anak yang baik dan sentiasa menjaga giginya. Di klinik gigi inilah Liyana melihat betapa ada kanak-kanak yang takut berjumpa dengan doktor gigi. Namun doktor gigi bukanlah orang yang harus ditakuti. k
Kemesraan Doktor Julia melayan Liyana boleh memberi gambaran yang positif kepada semua kanak-kanak yang takut dengan doktor gigi. Seeloknya penulis boleh memberi gambaran lebih menggembirakan dengan menulis perasaan Liyana setelah proses pembersihan giginya selesai. Mungkin Liyana boleh menyatakan yang proses pembersihan itu tidak menyakitkan.Penulis juga boleh menyatakan beberapa cara penjagaan gigi secara ringkas dalam dialog Doktor Julia.Namun penulis menggunakan pendekatan lain dengan memasukkan elemen ini dalam nasihat Liyana kepada kawannya Rita yang sedang sakit gigi. Syabas.

4. Karipap atau Burger?
Kisah ini tentang persahabatan Athirah dan Alesya. Athirah ,Umi dan Nasuha selalu berkongsi makanan bekalan mereka pada waktu rehat. Sehinggalah seorang budak baru ,Alesya Abdullah berpindah ke kelas mereka. Alesya pula membawa bekal burger dan tidak mahu berkongsi dengan kawan-kawan barunya. Dia dengan sombongnya menolak pelawaan Athirah untuk makan karipap yang dibuat oleh ibunya. Namun ditakdirkan bekalan makanannya (ayam goreng) dikebas oleh kucing pada suatu hari dan kehadiran ketiga sahabat yang baik telah membantunya daripada kelaparan. Ini menginsafkan Alesya untuk tidak bersikap sombong kepada rakan-rakannya yang lain.Cerita ini agak ringkas sedikit daripada cerita yang lain.

5. Sakitnya Jatuh Basikal

Kisah terakhir ini pula tentang keselamatan di jalan raya. Ceritanya sangat menarik. Radzi anak yang baik dan berjimat cermat. Beberapa nilai baik diterapkan seperti sikap menabung, mendengar kata ibubapa, rajin belajar dan menghormati ibubapa. Digambarkan Radzi kemalangan di sebuah selekoh yang tajam ketika dalam perjalanan menuju ke taman permainan . Dia berjanji dengan Izzudin dan Chandran. Maksudnya Radzi dalam perjalanan seorang diri. Justeru itu, kenapa tiba-tiba ditulis Izuddin dan Chandran panik ? Di mana datangnya mereka berdua ini. Mungkin saya terlepas pandang tentang ini. Maafkan saya.

Lima buah kisah yang menarik untuk dibaca oleh kanak-kanak. Juga terdapat moral cerita untuk setiap kisah tersebut menjadi ikhtibar kepada kanak-kanak. Ibubapa digalakkan membeli buku ini sebagai koleksi anak-anak. Dapatkan daripada http://www.mall.karangkraf.com atau di kedai-kedai buku berhampiran tempat anda. Tahniah kepada Sophie Othman dengan karya sulungnya ini dan juga kredit kepada pelukis grafik kerana ilustrasi yang sangat cantik dan menceriakan. Gabungan warna-warna juga sedap mata memandang. Tahniah, untukmu Piah....saya berikan 4 bintang dan teruskan menulis. Jangan biarkan usaha ini bertitik di sini sahaja tetapi biarlah ia sebagai langkah pertama untuk terus mengorak langkah ke hadapan.


Comments (0)