Dugaan

Posted by Leeza | Posted in

Betapa besarnya pahala anak yang terpilih menjaga ibubapa yang uzur. Namun adakah kita juga mudah mendapat dosa bila sesekali tanpa kita sedari kita menyinggung hati orang tua kita.

Saya sebenarnya mempunyai banyak perkara yang ingin saya kongsi bersama pembaca blog. Ruangan review novel terbiar begitu sahaja. Mengapa saya menjadi sangat malas? Apa sahaja bila difikirkan bagai menjadi satu alasan. Namun saya terlalu letih. Rutin saya menjadi sangat sibuk sejak sebelum ke KL untuk PBAKL lagi. Mak saya semakin memerlukan perhatian saya. Dalam masa yang sama sejak 1 April , pembantu rumah saya , Anizan telah berhenti kerana bekerja di kilang TAIYO. Ketiadaan pembantu dan kondisi mak yang sangat lemah menyebabkan dia terjatuh. Tangan kirinya tercedera. Kami hendak membawanya ke hospital namun dia berkeras enggan. Begitu cuak hatinya hendak mendapatkan rawatan hospital. Mungkin kerana dia sudah patah hati dengan layanan hospital yang tidak begitu baik. Saya pernah marahkan misi hospital mata kerana dia marahkan mak saya yang tidak dapat membaca huruf ABC untuk pemeriksaan mata. Bagaimanalah mak saya kenal huruf jika dia seorang yang buta huruf. Kemudian banyak kali membuat pemeriksaan mata , dia dijadikan bahan ujikaji doktor-doktor pelatih. Dia datang sebelum jam 8 pagi tetapi diberi giliran jam 1 petang...makin lemahlah badannya kerana letih dan lapar. Ini membuatkan kami menghentikan pemeriksaan matanya.

Syukur alhamdulilah setelah saya dan kakak sulung saya mencari dapatlah seorang pembantu baru, warga indonesia dan suaminya pula ada persaudaraan dengan mak. Dia diberikan gaji RM300 sebulan. Dia ditugaskan menjaga mak saya semasa ketiadaan saya. Kakak saya sering sibuk dengan urusan keluarganya jadi tak dapat membantu tengokkan mak. Dalam keadaan uzur ini, mak seakan tidak mahu ditinggalkan oleh saya. Semasa saya di KL baru-baru ini, dia demam, tak dapat bangun dan tak boleh tidur. Bila saya balik dan melihat wajah saya , dia menangis. Saya tahu mak begitu sayangkan saya. Meskipun layanannya kepada saya masa mudanya dulu amat mengecewakan saya, namun saya tahu mak saya adalah teratas dan segalanya bagi seorang anak.

Pada saat dia semakin sembuh dan sihat, dia boleh bangun sendiri. Sayangnya saya terlepas pandang keadaannya yang tak duduk diam. Siang dia tidur dan malam  dia berjaga.Jadi seperti senikata lagu nenek si bongkok tiga, hehehe. Saya siangnya balik sekolah selalunya akan berada dekat dengannya melayan kehendak dia. Jika dia baring di bilik setiap 10 minit saya menjenguknya di bilik dengan pintu yang terbuka. Sehinggalah , satu petang dia amat gelisah sekali. Lampin pakai buangnya sudah lunyai dikerjakannya. Malamnya dia beberapa kali membangunkan saya, samada bertanyakan waktu atau meminta air. Pada jam 2 pagi saya terbangun tidur dan melihat dia sedang menyelongkar almarinya mencari sesuatu.Setelah ditegur dia tidur semula. Saya keletihan sebaik balik dari Kota Samarahan kerana seharian menjalani program perayaan Hari Guru peringkat daerah Samarahan,terus tidur dengan lenanya. Jam 4 pagi tetiba saya terasa jantung saya bagai terhenti mendengar bunyi bising benda jatuh. Saya terus bangun dan terjun katil melihat mak saya terlungkup atas lantai berdekatan pintu. Sebetulnya dia tidur dengan saya di atas katil. Saya terus memangkunya dan memeriksa kepalanya . Saya bertanyakan bahagian mana dia sakit.Tangan belum seratus peratus sembuh sudah terjatuh lagi. Saya berusaha mengangkatnya untuk dibaringkan ke atas katil. Namun kudrat saya terhad. Saya keseorangan pula di rumah. Saya terus berdoa dengan mak dalam pelukan saya....Ya Allah, kau berikan ku kekuatan untuk aku mengangkat emakku ini. Dengan lafaz Bismillah dan Allahu Akbar, saya dengan mudah mengangkat mak saya dan letakkannya perlahan di atas katil. Terasa putus urat perut dan pinggang. Namun segalanya saya ketepikan. Saya terus bangunkan kakak saya di rumahnya. Masa itu jam 4 pagi, gelap gelita...rasa takut dengan ular di luar rumah tak terlintas langsung. Saya tugaskan kakak saya menelefon semua adik beradik saya. Saya penat hendak menerangkan keadaan emak dan salah seorang abang saya bertanya : Bagaimana emak boleh jatuh..ha? Saya hanya menyatakan keadaan emak yang tak dapat duduk diam.

Abang sulung saya balik dan abang yang jadi Guru Besar pun balik. Saya mengharapkan ada cadangan untuk membawa mak ke hospital untuk dapatkan rawatan. Sehinggalah abang saya yang bekerja sebagai guard di UNIMAS balik bersama keluarganya , dia mencadangkan bawa mak ke rumahnya untuk dapatkan rawatan tukang urut di Kampung Meranek tempat kediamannya. Mak mulanya enggan namun setelah saya yakinkan bahawa saya akan bercuti sehari untuk menemaninya, barulah dia bersetuju. Tepat sekali, dia meraung kesakitan pada malamnya. Menurut tukang urut , mak saya ini sudah banyak kali jatuh . Malamnya dia langsung tidak dapat tidur kerana kesakitan. Saya sendiripun sama. Masa itu tak terucap keletihan dan kesakitan saya alami. Dada saya yang masih sakit terasa sakit semula. Namun waktu itu, kepentingan diri dan keadaan diri menjadi tempat ke dua. Masa itu mak perlukan saya,. Bukankah dia telah begitu berkorban jiwa raganya semasa melahirkan saya? Dan alhamdulilah biarpun memang sakit, namun emak saya nampak semakin pulih. Dia juga sudah dapat melelapkan matanya.

Ya, bila begini saya perlu mengubah segala rutin hidup saya. Selagi mak saya masih ada, selagi dia sihat. saya tetap utamakannya dalam hidup saya. Jiwa yang sensitif saya abaikan. Meskipun terkadang tercalar melayan bisikan iblis untuk merasa cemburu, namun atas nasihat seseorang saya ketepikan ia. Jangan melayan sangat perasaan negatif kerana pada saat-saat ini saya perlukan kekuatan jiwa raga saya untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Saya tahu semua pembaca dan semua rakan sentiasa bersama saya dengan doa dan memberikan saya kekuatan. Terimakasih...

Comments (0)