SELAMAT HARI IBU

Posted by Leeza | Posted in

Ibu saya bernama Puan Amoi binti Judin, berusia 79 tahun. Minggu lepas dia terjatuh sehingga tangannya terseliuh dan bengkak. Saya ingatkan keadaannya tidaklah berapa teruk sangat tetapi kembalinya saya daripada KL saya dapati keadaannya sangat teruk. Tangannya yang asal cuma lebam menjadi lebih bengkak dan besar. Dia tidak menggerakkan tangan kirinya. Pada saat saya melawatnya di rumah kakak sebaik sampai ke rumah, dia menangis melihat saya. Hati saya sangat sedih melihat keadaannya.Memandangkan saya terpaksa menghadiri satu kursus pemantapan pengajaran dan pembelajaran sains 5P di Dewan Suarah Samarahan seharian maka beliau terpaksa saya tinggalkan di rumah kakak saya. Menurut kakak, dia langsung tidak tidur. Dia risaukan rumah yang ditinggalkan.

Sebaik saya balik dari kursus, saya terus mengambilnya dari rumah kakak menggunakan kerusi roda. Kasihan saya melihat keadaannya. Badannya panas petanda dia demam. Semalaman itu saya langsung tidak tidur kerana saya hendak memastikan suhu badannya menurun. Alhamdulilah dia dapat melelapkan mata setelah beberapa hari dan malam tidak tidur. Selain sakit, saya tahu jiwa dan semangatnya sangat lemah kerana ditinggalkan oleh saya. Sedar atau tidak dia berusaha agar saya tidak meninggalkannya. Mana mungkin saya berhenti kerja hanya kerana hendak menjaganya sentiasa. Jika tidka bekerja , bagaimana kami berdua hendak  hidup? Siapa yang akan bagi makan? Secara perlahan-lahan saya memujuk dan memberitahunya bahawa saya perlu bekerja untuk kelangsungan hidup kami berdua. Seharian itu, saya memohon cuti rehat khas untuk merawatnya dan mengembalikan semangatnya yang hilang.

Betapa lemahnya semangat emak saya kerana dia seakan enggan bangun bila merasa kesakitan. Begitu juga sudah tidak pandai untuk memegang barang dengan tangan kanannya, hatta untuk mengorak langkahpun seakan tidak berdaya. Namun sebagai anak kena banyak bersabar dan bijak menanggani masalah ini. Saya pujuk dan paksa dia untuk bangun duduk ketika hendak makan. Sesekali saya letakkan makanan di tangan kanannya. Keadaannya yang lemah menyebabkan beliau sangat berat. Pernah satu kali ketika saya memapahnya ke bilik dia boleh melurut ke bawah. Nasib baik saya sempat menyambar badannya dari jatuh.
Alhamdulilah, bila dipujuk banyak kali dan dengan bantuan beliau dapat duduk, bangun ,berdiri dan berjalan. Segalanya perlu dengan bantuan. Malahan makannya juga teratur dan berselera. Demam beliaupun sudah kebah dan tiada masaah tidur . Kesimpulannya, beliau sangat lemah kerana kurang tidur. Adakalanya bila fikirannya terganggu dia boleh menanggalkan lampin pakai buang dan kemudian cadarnya basah dengan air kencingnya. Bila begini , saya tetap menyalin dengan sabar. Terkadang bergurau juga dengannya. Ishhh mak tak malu ye ....hehehe.

Sekarang, beliau beransur pulih semangat dan fizikalnya. Setelah dua minggu tidak membuang air besar kerana kesakitannya, akhirnya dia dapat membuang air besar secara normal. Saya masih tetap menyuapkannya makanan dan minuman. Jika abang atau kakak saya datang mengunjungi emak dalam masa makannya , saya suruh mereka menyuap mak makan. Biarlah mereka berpeluang berbakti dengan emak. Namun sayangnya , sehingga saat ini impian ini tidak kesampaian. Pada saat saya melihat emak menitiskan airmata saya tahu hati emak amat terluka dan sedih. Mungkin kerana saya mungkin juga kerana orang lain ....sebab saya mungkin tanpa sedar layanan terkurang. Ampunkan saya emak kerana hanya setakat ini sahaja mampu saya lakukan untuk emak....semoga emak cepat sembuh dan cergas seperti biasa.

Selamat hari ibu, emak dan semoga Allah mengurniakan emak kesihatan yang baik dan umur yang panjang. Doakanlah wahai sahabat-sahabat, semoga emak saya cepat sembuh dan semoga saya tetap tabah menghadapi segala dugaan ini...amin. Selamat hari ibu untuk semua ibu-ibu di dunia ....tanpa mu ibu , siapalah aku.

Comments (0)