Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatu'.
Sesungguhnya bersyukur saya ke hadrat Illahi sebab dalam sibuk macam manapun saya masih berkesempatan membaca novel ini. Apa lagi semakin saya rancak membaca setiap episod semakin terasa tak mahu dilepaskan buku ini walau sesaatpun. Saya berasa watak-watak seperti Ali, Izaz Noraini, Elin, Puan Fatihah, Mak Cik Rohana dan Ustaz Peter semakin dekat dengan jiwa saya. Semangat Izaz Noraini terasa ingin saya pinjam untuk mengharungi setiap hari yang penuh dugaan. Kewibawaannya menjadikan dia seorang ketua yang dinamik sehingga Kolej Elita menjadi termasyur dan semakin maju .
Apa lagi yang harus saya katakan, saya sebenarnya sangat gembira dengan novel ini. Terkadang terfikir bagaimana Kusyi Hirdan dapat memerah otak segigihnya sehingga watak-watak memainkan peranan penting dalam mengembangkan plot cerita. Isu-isu yang disampaikan tidak bosan untuk dihayati.
Hubungan Ali dan Izaz Noraini sangat baik malahan dalam siri ke 3 ini, Ali menunjukkan sikap prihatin yang sangat dikagumi. Pada saat ratu hatinya jatuh sakit Ali sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya ratunya itu sihat kembali. Dan amat lucu bila dia mengarahkan semua pembantunya bekerjasama untuk merahsiakan tentang mesyuarat PIBG dan masalah yang ditimbulkan oleh Cikgu Nora. Hahaha...ternyata Ali salah perhitungan kerana warga Kolej Elita seperti pengawal dan penyambut tetamu telah membocorkan rahsia terlebih dahulu kepada Pengetua yang kuat bekerja ini. Sikap Ali ini mengingatkan saya dengan sepasang sahabat Geng Pizza saya, suami isteri ini selalu berdua dan si suami bersikap sangat protektif seperti Ali.
Antara masalah yang ditimbulkan ialah tentang Cikgu Nora yang menghadapi masalah rumahtangga sehingga menjejaskan prestasi kerjanya. Ini membantutkan hasrat Izaz Noraini yang hendak menjadikannya sebagai pengganti. Namun masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah bila Izaz dan Ali berbincang dengan suami Cikgu Nora. Menarik sebab isu yang diutarakan ialah perbezaan pendapatan suami isteri , suami yang merasa rendah diri dengan kedudukan isteri. Juga masalah yang diwujudkan dalam siri ke 3 ini ialah persahabatan Izaz dengan Johana, Maimun dan Naila. Di antara kesemuanya ternyata Johana paling terkesan dengan sikap rajuknya. Johana yang tidak dapat menerima perubahan sehingga dia merasa sensintif, berjauh hati dan bersyak wasangka yang bukan-bukan. Dia tidak menerima bahawa sahabat-sahabatnya mempunyai komitmen masing-masing. Namun Izaz sentiasa berharap persahabatan mereka tetap kekal dan sentiasa berusaha untuk menyatukan semua kawannya. Hati Johana masih perlu Izaz pujuk lagi. Masalah Zara pula adalah kedudukan ayahnya yang hampir muflis. Kejatuhan syarikat ayahnya angkara fitnah menyebabkan Zara bersedia untuk hidup sebagai gadis biasa-biasa sahaja. Namun kumpulan Izaz dan Ali dengan dibantu oleh kumpulan penyiasatan tidak bertauliahnya seperti Elin dan Nancy berjaya merungkaikan komplot yang hendak menjatuhkan empayar perniagaan Tan Sri Zamanis. Ternyata kumpulan pentadbiran Kolej Elita berjaya menyelamatkan keluarga Zara.
Tiga watak jahat dalam siri ini , Tan Sri Khalid, Datuk Hamzah dan Cikgu Safiah , masih menjadi ancaman kepada Kolej Elita. Saya berharap watak Cikgu Safiah menerima padahnya hasil kejahatannya. Saya dapat meneka kemungkinan pada siri yang akan datang Cikgu Sufiah akan menerima pukulan dan tamparan daripada suaminya Datuk Hamzah. Bukankah Datuk Hamzah seorang yang panas baran?
Bagaimana dengan Ustaz Peter ? Dia lelaki yang baik dan romantik kerana menyediakan makanan untuk Izaz Noraini. Dia juga pilihan Puan Fatihah. Namun rahsia hati Izaz Noraini sudah kita ketahui bila dia katakan bahawa dia dan Uztaz Peter tiada keserasian. Dia tidak merasa selesa seperti mana dia selesa dengan Ali, yang saling memahami satu sama lain. Pada saat Izaz hendak meletakkan jawatannya sebagai pengetua, Ali turut menjalankan cara yang sama dengan meletak jawatan serta merta. Ini menimbulkan masalah sedangkan Izaz meletakkan Ali sebagai penggantinya. Lucu pada saat Izaz memujuk Ali untuk kembali ke Kolej Elita. Pada saat ini kita lihat emak Ali dan emak Izaz dapat memahami hati kedua-duanya sudah saling terpaut.Opps belum habis lagi sebab siri ini saya diberitahu akan sampai siri ke 6. Harap nanti Izaz dan Ali bersatu ke jinjang pelamin. Kita tunggu dan lihat nanti......semoga siri seterusnya akan muncul di pasaran tak lama lagi. Tahniah untuk Kusyi Hirdan. Empat bintang saya berikan.
Comments (0)
Post a Comment