Rezeki Luqman

2

Posted by Leeza | Posted in


Kegemaran Luqman ialah memancing udang. Setiap kali dia mendapat wang yang diberikan oleh rakan-rakan saya, dia gunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli joran. Saya tidak kisah dia memancing asal dia tahu menjaga keselamatan diri dan balik ke rumah masa makan. Petang ini dia muncul dengan pakaian yang basah lencun dan berbau lumpur. Sah....dia baru lepas menangguk udang di sungai. Dengan wajah yang sangat gembira dia menunjukkan hasil yang diperolehinya , seplastik udang. Ia memenuhi dua bekas plastik yang besar ini dan beratnya saya anggarkan 2 kilogram. Saya tahu dia bimbang saya naik angin dengan keadaannya yang kotor tersebut. Saya tidaklah sekejam itu sebab saya tahu Luqman boleh dibentuk dengan lemah lembut. Kebetulan rumah saya ada tetamu, maka saya beritahu dia apa yang perlu dilakukannya.

Pertama : Bersihkan udang dan masukkan ke dalam bekas untuk disimpan dalam freezer. Kami bersetuju untuk masakkan udang ini esok kerana hari ini sudah ada lauk , ketam masak asam pedas.

Kedua : Dia harus mencuci pakaian kotornya dengan sabun kemudian rendam dalam baldi untuk saya cuci keesokkan harinya.

Ketiga : Dia harus mandi dan membersihkan kotoran dan bau busuk badannya.

keempat : Dia harus membuang sampah sarap.

Alhamdulilah...sebab semua tugas ini dia lakukan dengan baik. Saya puas hati...dan gembira.

Luqman tengah membersihkan udangnya dengan dahi yang bertampal plaster kerana buat accident masa membuat stunt basikal.....tak pernah serik-serik.

Inilah rezeki Luqman dan alhamdulilah kami bertiga dapat merasai hasil yang dia dapat.

Ahad : Just Stay At Home

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini mak saya nampak lebih sihat dari hari-hari yang sudah. Cuma saya rasa pening-pening sedikit. Sejak akhir-akhir ini kesihatan diri saya tidak begitu baik. Setelah berjumpa doktor pakar, semangat saya seakan merudum . Sejujurnya tidak ingin melalui kembali detik-detik bergantung dengan pil-pil dan berulang-alik ke doktor pakar setiap minggu. Namun apa harus saya lakukan, apa pilihan yang saya ada? Sekarangpun saya sesekali culas memakan ubat yang diberikan oleh doktor. Juga saya tidak mahu memberatkan otak saya untuk memikirkan langkah-langkah yang harus diambil seterusnya. Ya...keputusan itu di tangan saya sendiri.

Hari ahad hari yang santai. Saya mulakan sarapan pagi dengan bihun tomyam untuk menghabiskan saki baki tomyam semalam yang ketiadaan ayamnya. Alhamdulilah kerana masih diberi kesempatan oleh ALLAH untuk hidup sihat dan menikmati juadah seperti ini. Saya perlukan ketenangan untuk memikirkan langkah-langkah seterusnya. Saya tahu ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Banyak sebenarnya. Namun saya belum bersedia untuk berkongsi galau hati ini dengan ahli keluarga saya. Keputusan di tangan saya......dan saya harus mengalih hala tuju tugas ini. Ah...lupakan sahaja. Bukankah hari ini hari Ahad , hari untuk kita bersantai dan bergembira. Maka, biarlah saya tenggelam dengan novel terbaru dari NB kara ini...novel Nora Ismail. Saya berharap setelah membacanya saya dapat kembalikan senyuman dalam diri saya sekarang....semoga dapat kembalikan semangat yang kian merudum ini.

Buat Seorang Kawan....

0

Posted by Leeza | Posted in


Kawan terbaik kawan yang mendoakan
Kawan yang mendoakan hidup yang aman
Kawan yang baik kawan yang setia
Setia di dunia, setia di sana

Kawan terbaik cermin tidak berdusta
Hanya dia yang bisa mencantikkan
Kawan bersama suka dan duka
Kawan menangis dan juga ketawa
Setia di dunia, setia di sana

Kusyi Hirdan
15-12-2010

Inilah hadiah istimewa yang penulis novel "Galau Di Hati Seri" dan "Harga Cinta" kirimkan melalui Kamisah Mohd Nazri semasa rombongan Kakak Norhayati Berahim datang bercuti ke rumah saya baru-baru ini. Pada awalnya beliau dan suami merancang turut serta dalam rombongan tersebut malahan merekalah yang terawal menempah tiket penerbangan. Pada saat-saat akhir ,pemergian mereka terpaksa dibatalkan kerana perginya arwah ibu mertua beliau ke rahmatullah. Saya mula mengenalinya melalui novel "Galau Di Hati Seri", kemudian menemuinya secara 'live' di Pesta Buku Antarabangsa KL 2010. Beliau seorang yang peramah , baik hati dan mesra. Kemudian jiwa 'anak-anak' yang masih ada dalam diri membuatkan saya tidak menghadkan umur bacaan saya dan novel-novel remaja beliau turut saya miliki untuk dibaca. Tulisannya mantap dalam Harian Metro dan isu yang dipaparkan di ruangan HATI membuat saya menyelak laman tersebut terlebih dahulu setiap kali membeli akhbar tersebut. Terima kasih Kusyi Hirdan...dan saya baru tahu nama penuh awak pada sampul buku yang masih saya simpan.....keturunan raja rupanya. :)

Persis dua rangkap sajak yang dihadiahkan ini, terima kasih kerana menganggap saya salah seorang kawan awak....betul, kawan terbaik ialah kawan yang sentiasa mendoakan keberkatan hidup kita. Semoga kita terus bersahabat di dunia dan akhirat...amin.

Kedatangan Yang Ditunggu

1

Posted by Leeza | Posted in


Percutian Kak NB dan beberapa orang rakan FB telah lama dirancang. Akhirnya pada 17 Disember hingga 20 Disember 2010 yang lalu mereka telah tiba ke Sarawak untuk bercuti dan tinggal di rumah saya. Terus-terang saya katakan bahawa saya tidak pernah menerima tetamu tidur di rumah saya memandangkan lokasinya agak jauh dari Kuching ,dalam 80 km. Lagipun tiada sesiapapun yang sudi....hahahaha. Syukur alhamdulilah kakak saya ini sudi untuk tidur di rumah saya dan menyelami suasana kehidupan kampung Melayu di Sarawak.


Bilik abang yang saya kemas dan sediakan untuk Kusyi Hirdan dan suaminya Zulkifli pada awalnya dan sepanjang percutian itu, Feeza yang tidur seorang.



Bilik tidur saya yang saya khaskan untuk Kak NB dan Qaisara, hanya semalam sahaja dia dan Kham tidur di sini.

Persiapan saya buat sebaik yang saya mampu kerana saya hendak memastikan keselesaan semua tetamu saya. Saya sangat gembira dan teruja dengan kedatangan insan-insan yang ditunggu ini. Sehingga tarikh mereka sampai belum tiba selagi itulah saya asyik mengemas dan berfikir apa yang perlu disediakan dan dilakukan.


Sejak malam pertama lagi Qaisara tidur di bawah , depan TV. Malam itu dia tertidur dan saya terus memasang kelambu kerana tingkat bawah banyak nyamuk. Dalam bilik tak berapa sangat. Tengah malam bila tersedar , Qaisara menjerit terkejut melihat kelambu tersebut dan nampaknya dia suka .Maka 3 malam dia tidur di rumah saya , 3 malam jugalah dia berkelambu. Pada malam kedua , dia tidak mahu tidur dan bermain dengan sekotak tisu yang diikatnya pada tali hujung kelambu. Sementara uminya bersembang dengan saya sepanjang malam.

Inilah salah seorang yang keletihan pada malam kedua. Bila dia sedar hanya saya yang duduk berfb di depannya , dia terus lari ke dalam bilik di tingkat atas. Kakak tentulah menidurkan anaknya dalam kelambu. Mereka tidur bertiga dengan Bibik.



Kak NB dan Teta sibuk menikmati keropok Leko yang dijual di Feri Point Samarahan. Feeza pula tak habis-habis dengan peace nya.

Waktu petang melepak depan TV ,budak muda yang berbaju petak itu sedang bermain blok lego milik Putri. Si Dwan pula tak tinggal dengan FB nya. Budak perempuan dengan peacenya berjangkit dengan Teta pula.

Waktu malam, kami membuat goreng pisang untuk melepak depan TV. Sharif bidan terjun yang memandu van putih , dengan ringan tangannya membuat sambal kicap. Kalau saya makan je dengan susu manis pekat. Sharif ini mak saya gelar 'budak sigat' (budak rajin) sebab dia rajin tolong membasuh pinggan mangkuk.

Budak Muda ini akhirnya hari ini dalam sejarah diumumkan telah memakai baju kelawar yang Kak Nb belikan. Mak gelarkannya : perempuan berambut pendek. Dia dah gunakan setin susu pekat manis untuk membuat sejag besar teh tarik.....Sayangnya saya batuk teruk jadi hanya minum air suam kosong sahaja...huhuhu. Jadi, tak dapatlah saya makan goreng pisang bercicahkan susu.

Bibik tengah menggoreng pisang. Mak saya kata sedap goreng pisang tersebut...maklum makanan kegemarannya.

Aktiviti malam pula : melepak dan bersembang. Feeza sedang berfb dan peace tak tinggal.
Saya mengambil kesempatan menyuruh kak NB menandatangani semua koleksi novel karyanya. Dua tiga kali saya turun naik tangga mengangkut novel tersebut.


Akhirnya saya berkesempatan juga berjumpa dengan Norhayati Sulaiman peminat tegar kak NB dari Mukah.

Ini aje gambar saya dengan Qaisara...kami bergambar di Gerai Francis di Pasar Malam Satok.

Sementara menunggu uminya sibuk bersembang, Teta main sendiri.

Budak ini tak tinggal FB nya...online je keje dia.

Kakak NB sedang melayan FB juga.

Ini aje gambar di Taman Rekreasi Ranchan, Serian. Gambar yang lain, kepala saya tak de, badan je yang nampak...hahaha bibik o bibik. Sebenarnya saya merancang hendak membawa mereka ke Taman Negara Bako tetapi dikhabarkan laut bergelora dan ombak besar membahayakan. Maka jadilah Serian destinasi bidan terjun.

Qaisara sedang menikmati kek-kek di Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Pengunjung boleh mencuba semua jenis kek yang ada sebelum membuat pilihan.

Di luar kedai kek tersebut mereka membeli ikan terubok masin pula. Saya tak sempat hendak membawa mereka ke Satok dan Waterfront kerana kesuntukan masa.

Inilah sebahagian kotak-kotak kek dan ikan terubuk masin. Apa yang menarik ialah masing-masing melukis simbol tersendiri untuk memudahkan pengecaman.

Saya terlupa dengan breakfast sehingga mereka ini terpaksa brunch di Tun Jugah Food Court. Kesian mereka kan....macam tak baik pula saya melayan tetamu.

Akhirnya saat perpisahan pun tiba. Mereka bertiga sibuk memeriksa beg untuk memastikan dokumen penting ada. Selamat berangkat pulang ......lain kali datang lagi. Right here waiting with open arms..insyaAllah kalau ada rezeki dan umur panjang kita bersua lagi.

Aktiviti Cuti : Recycle

0

Posted by Leeza | Posted in


Selain mengecat dan mengemas, salah satu aktiviti masa senggang saya ialah mengumpulkan barangan yang boleh dikitar semula. Antaranya ialah tin minuman aluminium ini. Menurut sumber yang entah betul ke tidak, kononnya pin pembuka tin ini bernilai tinggi dan digunakan untuk membuat kaki palsu. Tidak pula saya menyemak kesahihan pernyataan ini. Tapi pembeli besi buruk enggan membeli pin ini ,katanya terlalu mahal dan mereka tidak mampu.

Tin-tin ini perlu dilenyekkan dahulu . Saya menggunakan tukul untuk melenyekkannya. Sekilo tin ini harganya rm3.00. Jadilah kan....untuk beli gula kah atau untuk beli air. Hahaha....Sudah banayk barang yang saya buang ke tempat pembuangan sampah di Asajaya. Sudah 4 kali saya mengangkut benda-benda buangan ini dan biasanya sekumpulan manusia akan menyelongkar plastik-plastik hitam tersebut dan memilih barang-barang yang mereka mahukan. Sempat saya berpesan ,janganlah diselerakkan sampah-sampah yang telah saya buang.

UMAIRAH DAN KUDA PUTIH oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in


Umairah dan kuda putih merupakan karya kesayangan Kusyi Hirdan dan karya ini memenangi Hadia Sastera Perdana anjuran DBP baru-baru ini. Saya bangga sebab senaskah karya yang hebat ini dihadiahkan oleh penulis kepada saya pada bulan April 2010 yang lalu. Saya cuma berkesempatan membacanya semalam dalam tempoh masa tidak sampai 24 jam.

Novel ini bukan novel kanak-kanak bagi saya tetapi ia sesuai dibaca oleh semua tahap umur. Ia menyentuh isu kekeluargaan sedalam-dalamnya. Umairah gadis yang kesepian namun terpaksa menjalani hidup dan memikul tanggungjawab yang berat dalam keluarganya. Selepas tragedi kematian adiknya Aini kerana demam kuning, dua tahun keluarganya menjadi tidak keruan. Ibunya Noraini mengalami tekanan jiwa sehingga menjadi seorang yang tidak waras , sakit dan tidak bercakap. Umairah terpaksa menguruskan ibunya, dan menyuap beliau makan. Ayahnya Rushdi pula lebih banyak meluangkan masa di Ladang Merah milik Datuk Merah. Neneknya Zaitun yang tua dan tidak berapa sihat terpaksa memasak makanan untuk ke tiga beranak ini dan terjadilah rutin harian Umairah menghantar makanan ke ladang untuk ayahnya dan kemudian ke rumah untuk makanan emaknya. Sejak itu ,setiap petang Umairah tidak bersekolah agama.Masanya lebih banyak dihabiskan di ladang.

Segalanya bermula semasa kelahiran seekor kuda putih,Umairah diberikan peluang untuk menamakan anak kuda tersebut dan bermain dengannya. Keistimewaan Umairah yang Allah anugerahkan ialah Umairah boleh berinteraksi dengan kuda putih ini merapatkan hubungan di antara keduanya. Dua makhluk Tuhan yang sunyi sepi berkongsi rasa dan cerita. Persahabatan ini ditambah dengan kehadiran Jaja. Namun dugaan bukan sedikit terhadap keluarga Umairah. Hasad dengki Hamdan anak saudara Datuk Merah terhadap Rushdi menyebabkan banyak kejadian yang tidak diingini berlaku antaranya kandang kuda terbakar, Putih hampir diculik dan yang paling teruk ialah fitnah yang menyebabkan nenek Umairah, Nek Tun meninggal dunia kerana diserang strok. Sejak kematian ibunya, Rushdi berubah sikap dan lebih prihatin dengan anaknya Umairah. Hubungan ayah dan anak ini membahagiakan Umairah. Sehinggalah Jaja dimarahi oleh ayahnya Jalil dan kemudian dikejarkan ke hospital akibat diserang asthma. Sekali lagi keluarga ini dicaci-maki dan disalahkan menjadi penyebab bencana. Hamdan pula memfitnah Rushdi dengan Datin Mariah sehingga ia dihalau dan dimarahi. Tekanan demi tekanan menyebabkan Rushdi mengambil keputusan untuk berhenti dari ladang tersebut dan berpindah ke Taiping. Perpisahan yang menyayat hati antara Umairah dan Putih menghancur lumatkan hati keduanya. Paling sendu bila Putih cuba menyembunyikan Umairah yang tidur di kandangnya dengan longgokan jerami kering. Dalam saat kesunyian ini, Putih begitu nekad keluar dari ladang dan mencari Umairah. Hanya pada akhirnya Umairah sendiri yang tahu kedudukan Putih dalam bahaya. Halangan bapanya menyebabkan Umairah meluru keluar dan dilanggar kereta. Ketika koma inilah ibunya Puan Noraini seakan tersedar dari mimpi yang panjang. Secara tidak langsung Puan Noraini sembuh dari penyakitnya dan Umairah pula sedar dari komanya.

Ia satu rahmat kerana selepas ini Rushdi menerima tawaran Datuk Merah untuk kembali ke ladangnya sebagai pengurus ladang dengan syarat Hamdan diberi peluang bekerja di ladang untuk membantunya. Kesedaran ini pengakhir yang indah sebab bukan hanya penyatuan persahabatan terjalin ,tetapi juga masyarakat di Kampung Ganggang sedar akan kesilapan mereka. Ini semua kerana kewibawaan Datuk Merah yang bukan sahaja penuh belas ikhsan tetapi juga murah hati dan penyayang. Penulis juga menyelitkan beberapa dialog yang lucu dengan keceluparan mulut si Kuda Putih.

Secara ringkasnya, saya mampu tertawa, ceria dan menangis sepanjang menghayati novel ini. Keluhuran hati menjadi tema utama .....betapa persahabatan dengan haiwan mampu melembutkan hati kita. Tahniah kepada Kusyi Hirdan atas kejayaan novel ini.Semoga terus berjaya pada masa hadapan...amiin.

Ngangkung

0

Posted by Leeza | Posted in


Minggu lepas selepas menghadiri majlis perkahwinan kawan Zahari di Taman Sukma bersama dengan Noria kami bertiga mengambil kesempatan menonton filem Ngangkung di pawagam. Pada mulanya kami pergi ke The Spring. Jenuh Zahari berpusing banyak kali mencari tempat parking di situ. Bila kami ke MBO, kami kecewa sebab MBO tidak menayangkan Ngangkung. Jadi kami pun bertolak ke Riverside Cineplex. Saya pakai agak sahaja menunjukkan jalan ke sana menggunakan Jalan Tun Abdul Razak.Sedangkan jika berpusing bulatan dan patah balik ia lebih dekat sahaja. Hahaha..kasihan driver yang tidak tahu menahu.

Bila sampai di Riverside Cineplex , kami bertembung dengan rakan setugas saya, Cikgu Adil sekeluarga . Dia memaklumkan bahawa tiket sudah habis kerana ditunjukkan pada skrin 'selling fast'. Yang available ialah jam 1530 petang. Saya tidak puas hati selagi tidak mencuba. Saya terus ke kaunter dan dikhabarkan tiket untuk tayangan jam 1430 masih ada tetapi yang kosong hanya di deretan paling depan sekali. Apa lagi , terus sahaja membeli tiket untuk tiga orang di bahagian tepi.

'Ngangkung' satu perkataan yang begitu asing bagi saya. Rupanya NGANGKUNG bermaksud aktiviti memuja menggunakan alat atau objek lama @antik untuk mendapatkan nombor ekor. Ia mengisahkan tiga sahabat yang suka mengangkung untuk mendapatkan wang serta merta. Azim yang hidup sederhana atas desakan hidup sanggup mengikut dua sahabatnya Tasnim dan Wan yang merupakan kaki nombor berjumpa bomoh. Daripada tidak serius akhirnya Azim terjebak sama dengan menggunakan kesemua wang gajinya dipertaruhkan. Si Wan pula sampai meminjam wang dari ahlong . Begitu juga Tasnim yang mengabaikan isteri yang sedang mengandung. Sehinggalah kesemuanya kalah judi menyebabkan Azim mengalami kesempitan hidup. Dalam perjalanannya dari membawa lori di Kelantan dia terserempak dengan seorang bomoh yang memberinya nombor untuk mencapai hasratnya. Dia diberikan mafela merah sebagai azimat. Wan pula dicari ahlong dan dipukul dengan teruk. Beberapa peristiwa menyebabkan ketiganya menjadi insaf. Tasnim kehilangan kandungan bayi dalam perut isterinya. Dia pernah bersumpah jika isterinya mengandung dia tidak akan mengangkung lagi tetapi dia memungkiri sumpahnya ini. Inilah balasan Allah kepadanya. Wan pula kena belasah dengan teruk dan isteri serta ibunya terpaksa menyerah semua wang kemas kepada ahlong tersebut. Sementara Azim yang azalinya adalah ayah penyayang telah bertindak ganas dengan memukul anaknya hanya kerana anak itu memakai mafela merah miliknya. Apa yang pasti ketiga-tiganya mengalami hidup yang tidak tenteram apabila diganggu oleh hantu ngangkung. Antara seram dan lucu yang paling banyak berlaku ialah kelucuan dan kelakarnya hantu ngangkung ini. Antaranya :
1. Ketiga-tiga terus balik tanpa mendengar pesanan gurunya sehinggakan nombor yang diberikan salah digunakan.
2. Hantu ngangkung perempuan itu berposing dengan seksinya atas lori...kelakar gila.
3. Hantu ngangkung sempat bermain chess dengan bomoh tersebut.
4. Bomoh yang dilakonkan oleh Lan petpet , bila jampi serapahnya tidak berkesan dia tarik telinga hantu tersebut keluar rumah dengan selamba.
5. Isteri Tasnim yang pengsan sempat bangun dan berposing 'peace' bila Bomoh Lan mengambil gambar...kemudian pengsan semula.

Pengajaran yang dapat diambil ialah :
1 Jangan sekali-kali berjudi.
2. Jangan menggunakan benda-benda lama dan bomoh untuk tujuan haram...berdosa sangat-sangat.
3. Menggugurkan anak adalah satu perbuatan dosa besar. Kalaulah ada doktor seperti Doktor Azli , tentu tidak akan berlaku peningkatan kes menggugurkan anak.

Pendekata , filem ini best dan seronok ditonton. Sesiapa yang stress dianjurkan menonton filem ini tetapi sesiapa kaki judi tidak digalakkan meniru gaya mengangkung.....seram.Kerana hakikatnya dalam dunia luar yang realiti tiada hantu yang mampu berlawak.

Almari Baru Luqman

0

Posted by Leeza | Posted in


Selama Luqman tinggal dengan saya, barulah kelihatan pakaiannya terurus sedikit. Mula-mula dulu semasa awal ketiadaan arwah emaknya, pakaiannya entah di mana sehingga seluar dalam pun tidak ada. Pakaian hariannya saya gunakan bakul dan mudah untuknya mengambil. Beberapa bulan tiap hari saya menyusun pakaiannya, seluar sama seluar, baju sama baju kerana dia mempunyai perangai yang suka menyelerakkan pakaian. Bila saya tarik telinganya dan paksa dia mengemas dan menyusun barulah tabiat buruknya berkurangan. Satu lagi perangai yang saya tidak suka ialah meninggalkan pakaian di mana sahaja tempat dia menanggalkannya. Kalau sudah suara saya bising barulah sekarang dia terbiasa, pakaian basahnya diasingkan dengan pakaian yang kering di tempat yang disediakan. Setiap kali dia terjun ke dalam sungai dan menyusur sepanjang sungai dengan baju yang basah dan kotor, saya takkan mencucinya. Saya pastikan dia mencuci sendiri dan membersihkan bau yang busuk dan kotoran tersebut sendiri.

Telah lama saya mencari almari jenis ini untuk Luqman. Ia mudah dan ringan digerakkan dan dibersihkan selalu. Ini penting jika berlaku banjir mengejut di kampung saya. Ia mudah diselamatkan. Kelmarin saya akhirnya menemui almari ini dijual murah di Parkson, Spring dengan harga rm59.90. Gembira Luqman dengan almari baru ini. Dia memasang sendiri dan membersihkan sendiri almari tersebut. Saya mengajarnya menentukan cara menyimpan pakaian supaya mudah untuknya menyimpan dan mencari pakaiannya sendiri.

kelihatan dia mempunyai banyak seluar pendek dan seluar panjang untuk dipakai harian tetapi , seluar pendek berpetak yang dipakainya itu juga yang digunakan hari-hari. Dia mempunyai dua helai seluar ini. Begitu juga dengan t-shirt hitam yang digunakannya. Nampak hitamkan? Kegiatan hariannya memancing . Turun pagi balik makan tengahari dan turun lagi sampai senja. Tak apalah, dia tak ada aktiviti lain selain memancing bersama kawan-kawannya sendiri.

HARGA CINTA oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in


Harga Cinta merupakan novel kedua Kusyi Hirdan di bawah penerbitan NB KARA Sdn Bhd. Novel ini telah saya tamatkan dalam tempoh 2 hari sahaja . Sinopsis ringkasnya mengisahkan suka duka hidup seorang anak angkat yang terbelenggu dengan rasa cinta dengan abang angkat dan dalam masa yang sama hendak mempertahankan hubungan kekeluargaan yang terbatas dari segi hubungan halal atau mahram. Novel ini banyak mengungkap dilema dan status anak angkat dalam masyarakat kini.

Nor Aida Shafiee atau nama sebenarnya Nor Aida binti Ahmad Rizal merupakan anak yatim piatu yang diangkat oleh pasangan Rosmaria dan Shafiee dan diserahkan sendiri oleh ibu saudaranya Puan Khatijah atas sebab kemiskinan hidup. Inilah salah satu faktor mengapa seseorang anak diserahkan kepada keluarga yang lain. Namun apa yang dilakukan oleh pasangan Rosmaria dan Shafiee iaitu membintikan Nor Aida dengan nama Shafiee , atas alasan untuk merahsiakan asal usul Aida adalah salah sama sekali. Ini juga berlaku pada masyarakat kini. Kemudian atas kesedaran yang lama tertunggak akhirnya Aida diberitahukan status sebenarnya . Ini mengejutkan Aida dan sedikit demi sedikit ia mengubah keadaan...satu situasi yang paling ditakuti oleh ibubapa angkatnya. Dalam masa yang sama perasaan sayang sebagai adik beradik juga berubah dengan banyak faktor penyumbang antaranya kewujudan Yang Faridah dan Hadi dalam hubungan Aida dan Khamil. Perasaan sayang yang obses antara Khamil dan Aida sepatutnya boleh disatukan jika keduanya meluahkan perasaan dengan cara terbuka. Namun keegoan kedua-duanya biarpun Aida menuduh Khamil yang ego menyekat jalan yang sebenarnya telah terbentang lurus untuk mereka ke jinjang pelamin. Entah kenapa pada saat-saat keduanya main tarik tali, saya terasa hendak sekeh kepala keduanya ini...menyakitkan sungguh. Eksyen je lebih. Namun ia lantunan kepada saya sendiri kerana inilah kesopanan sikap orang Melayu sejati....yang terdidik dengan teguh dan asas agama yang kuat. Dan pengakhirnya adalah yang terbaik kerana ia menyatukan semua pihak dan kebahagiaan itu hakikatnya harus dengan sedikit pengorbanan. Seseorang pernah memberi nasihat kepada saya bahawa sesuatu yang didapatkan dengan susah payah adalah paling bererti berbanding dengan sesuatu yang didapat dengan mudah. Demikianlah yang cuba disampaikan dalam novel ini....ia harus dibaca oleh semua golongan untuk menjadi panduan dalam mengekalkan tali kekeluargaan yang kukuh dan berlandaskan rasional dan bukan dengan hati yang membuta tuli dan emosional.

Selain sekitar kisah Aida , ia juga mengisahkan apa yang berlaku kepada Syaza yang terpaksa membayar harga cintanya yang terlalu mahal dengan kerenggangan keluarganya....terutama ibu tercinta. Jika dilihat dari sudut logik , hati ibu Syaza dapat kita selami kerana tiada ibu yang dapat merestukan anak gadisnya yang masih menuntut berkahwin awal. Begitu juga dari segi tatatertib dan etika , Hisyam tidak sepatutnya terlalu mengikut perasaan , apa lagi apabila berlaku keadaan Syaza banyak melepak berduaan di pejabat Hisyam. Ini ternyata melanggar peraturan kolej dan asrama. Kemudian tanpa menyiasat dengan teliti , Murni sahabat yang mementingkan masa depan sahabatnya disalahtuduh sehinggalah bertahun kemudian barulah Syaza tahu kebenaran setelah diberitahu oleh Aida. Dendam sesuatu yang tidak harus disimpan dalam sudut hati setiap orang kerana selagi dendam itu ada ia bagai selumbar yang mencarik dan melukakan hati setiap insan malahan membunuh persahabatan dan persaudaraan.

Dalam novel ini saya sukakan beberapa perkara :

1. Watak Anis dan Aini , dua watak adik kepada hero dan heroin . Perwatakan yang ceria, santai, tenang dan bersifat penyelamat untuk abang-abang dan kakak mereka. Watak keduanya ini menjadi penyambung ukhuwah sesuatu hati yang tercalar dan terluka. Suka dengan bagaimana Aini memainkan peranan dalam melayan Yang Faridah dan Khamil. Begitu juga dengan Anis yang menyatukan hati Hadi dengan Aida. Sesungguhnya hati Aida terlalu degil dan kayu batu dalam menilai hati insan-insan yang menyayanginya. Saya turut rasa marah bila dia menghilang ke Kelantan.

2. Ayat-ayat ini : Cinta sejati. Tempat, waktu dan usia,bukan penghalangnya. Jodoh kuat , siapa yang boleh menolaknya.

3. Jangan berhenti mengharap dan jangan berhenti berdoa.....ini ayat yang harus kita semua jadikan pegangan agar rasa kecewa, putus asa atau despresi tidak akan pernah menjenguk dalam setiap saat jantung kita berdegup.

4. Bab 81 : Hahahaha...saya pada mulanya terasa terkejut dan tanpa sedar membelek sehingga ke hujung....Kusyi Hirdan dengan teknik misterinya....kejutan yang hampir meletupkan rasa marah sebab .......saya tak mungkin merestukan jika ini pengakhirnya.

Ayat-ayat yang ringkas, senang difahami dan juga jalan cerita yang menarik. Permulaan yang mengundang tandatanya dan epilog yang membahagiakan....tahniah buat Kusyi Hirdan.

Kelemahannya cuma kesilapan teknikal perkataan KOTA dan KOTAK menjadi kuta dan kutak. Hanya itu sahaja kesilapan yang saya nampak tanpa menggunakan kacamata.

Jadi wahai para sahabat dan pembaca blog saya, dapatkan novel ini dipasaran. Anda boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran atau menempah secara online di http://www.nbkara.com.my atau di http://www.novelnbkara.blogspot.com

TUHAN MASIH MENCINTAIKU oleh Lily Haslina Nasir

0

Posted by Leeza | Posted in


Bismillahirahmanirahim.....
Tuhan Masih Mencintaiku kesinambungan novel Menunggu Cinta Tuhan telah saya tamatkan bacaannya petang tadi. Sejujurnya harus saya akui , saya terlalu sakit hendak menghabiskan novel ini...mungkin kerana isinya terlalu berat dan padat, mungkin juga bahasanya yang terlalu berbunga-bunga.

Lily pernah memberitahu saya bahawa kesan review novel MCT yang saya buatkan membuatkannya lebih berhati-hati dalam menulis sambungan ini. Dan tahniah saya lafazkan kerana novel TMM ini menunjukkan perubahan dan perningkatan. Bukan sahaja dari segi plot ceritanya tetapi juga pengaturan info dan tazkirah teratur sesuai dengan situasi yang dinaratifkan. Cuma info-info ini terlalu padat dan banyak sehingga saya terlupa seketika bahawa saya hanya membaca novel dan bukannya buku agama.

Gaya bahasa Lily Haslina Nasir indah dan cantik. Ia banyak bermain dengan monolog diri setiap watak. Dan setiap saat bermunajat kepada Allah SWT. Saya suka dengan gaya bahasanya. Kali ini cara pengolahannya lembut dan menyentuh hati. Cuma yang saya kesalkan , LHN dan editor yang terlibat perlu lebih peka dengan penggunaan perkataan 'TIDAK' yang selalu ditinggalkan. Walaupun perkataan itu hanya secuil cuma tetapi peranannya amat besar kerana tanpa TIDAK , ayatnya menjadi lain...bermaksud sesuatu yang antonim. Mungkin kesilapan taip...tapi banyak jugalah. Saya bagi contoh satu : ms 532 .......Biarpun kudratnya terlalu kecil, ia mematahkan semangat untuk terus berusaha menggali runtuhan bukit.....
Justeru itu , perkataan 'tidak' tertinggal dalam ayat tersebut, sedangkan kita tahu maksudnya ia tidak mematahkan semangat..... Kesilapan teknikal yang lain ialah nama Khalida Atikah ditaip sehingga dua kali.

Secara teknikal telah saya komen ringkas sahaja, saya tidaklah sekejam manapun untuk menghentam penulis yang sudah saya kenal sebagai sahabat. Sekarang kita berbicara mengenai isi novel. Kali ini kita didedahkan konflik jiwa yang dialami oleh Azrul Rasyid . Jika dulu dialah harimau yang bermaharajalela dalam jabatan hiburan sehingga ditakuti dan dibenci oleh semua artis dan selebriti. Sejak peristiwa runtuhan kondominium, dia bertukar jabatan dan keputusannya ini bukan sahaja mendapat tentangan pihak syarikat akhbar Dinamik tetapi mengundang sejuta respons dari semua pihak. Namun jiwa Azrul Rasyid yang masih kental egoistiknya paling terasa terpukul dengan kenyataan dirinya anak perogol. Tambah menghentam dukanya bila semua menista statusnya itu. Kali ini watak Khalida Atikah digambarkan lebih berani , lebih tegas dan lebih cekap. Dia juga berjaya melembutkan hati kering si Azrul Rasyid dan juga penyelamat Azrul daripada perangkap Azie , sepupu arwah Nureen. Hati saya marah dengan sikap Azrul terhadap umi dan ayahnya. Kasihan kepada kedua ibubapanya. Sendu hati membaca seorang anak yang menjauhkan diri dari uminya. Kalau ada Azrul Rasyid di depan saya , mahu saya hempuk kepalanya sebab terlampau ego dan sampai hati membiarkan uminya menangis. Dan dalam TMM, kita didedahkan dengan watak bapa kandung Azrul Rasyid, Saiful. Saya mengkagumi watak Puan Rohana dan Encik Hakim, yang redha dengan ketentuan Allah dan menerima segalanya dengan positif. Cuma biasa sebagai manusia yang bila saat tenat baru hendak bertaubat....demikian Saiful yang menjelang kematiannya barulah dia berusaha memohon kemaafan dan keampunan daripada Puan Azah , Encik Hakim dan Azrul Rasyid. Jika diselami juga malu dan benci yang ada di hati Azrul Rasyid, akhirnya hati kecilnya terpujuk juga dengan nasihat Khalida Atikah untuk menjenguk arwah Saiful pada saat akhirnya. Dendam terlerai saat bersua muka, demikianlah kentalnya darah yang mengalir dalam tubuh. Kemudian bermula kelembutan hati Azrul Rasyid dengan aktiviti amal yang dilakukannya dalam pertubuhan sukarelawan membantu mangsa Aids/HIV dan bencana alam di Padang. Kelembutan ini membuatkan dia mampu memaafkan Acik Latifah dan seterusnya menerima anak arwah Azie menjadi anak angkat.

Umpama cerita dalam cerita, LHN menggunakan kemahiran dan pengalamannya mengupas dunia kewartawanan. Berdasarkan projek amal PRIHATIN , kita disajikan dengan perit penat lelah dalam mencari bahan meredah tempat-tempat kediaman setinggan. Betapa miskinnya kehidupan mereka....daif sungguh tempat tinggal warga yang perlukan bantuan sewajarnya. Semuanya dapat saya selami...kasihan sungguh. Kemudian mengungkap penderitaan anak-anak pesakit AIDS/HIV, setuju dengan pendapat bahawa anak-anak ini tidak harus dihukum hanya kerana penyakit ibubapa mereka. Terkadang ibu mendapat penyakit ini bukan kerana ia jahat tetapi hasil angkara suami yang durjana. Masyarakat perlu berfikiran terbuka dan tidak menyisih anak-anak ini. Perkenalan singkat Dr Christopher , Azrul Rasyid dan Ramli membawa kesan dengan pendermaan ginjal . Keluhuran persahabatan yang tidak memandang status walau pada awalnya Azrul Rasyid terlalu pesimis dengan orang seperti Ramli yang mencari rezeki dengan mengorek dan menyelongkar sampah-sampah orang.

Cuma dendam Acik Latifah terhadap Azrul Rasyid membawa padah sehingga masuk ke pusat rawatan mental. Kesungguhan watak Azie yang cuba menjerat Azrul Rasyid terjawab akhirnya bila dia sebenarnya sedang mengandung anak luar nikah dan mahu menjadikan Azrul Rasyid sebagai Pak Sanggup. Namun Azrul Rasyid yang mempunyai bidadari penjaganya, terselamat dari angkara yang mungkar. Kekuatan jiwa Azrul Rasyid untuk terus berpaut pada kekuasaan Allah SWT juga didorongkan luhur hati Khalida Atikah dan doa ibubapanya. Inilah kekuatan novel ini, kita sebagai manusia hendaklah tidak putus memohon doa dariNya...berserah hanya padaNya. Saat hati sangat kacau jangan sesekali berpaling dari NYA...insyaAllah kita akan selamat menjalani hidup yang penuh ranjau ini.

Dan....seperti harapan dan permintaan, TUHAN MASIH MENCINTAIKU akhirnya menyatukan Azrul Rasyid dan Khalida Atikah dalam sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Tahniah Lily Haslina Nasir.

Aktiviti Cuti : Mengecat Dan Mengemas Rumah

0

Posted by Leeza | Posted in


Cuti sekolah dah berminggu bermula. Saya tidak ke mana-mana kerana program utama saya ialah mengemas dan mengecat rumah saya terutama tingkat atas yang selalu terbiar. Tingkat atas mudah sangat dimasuki debu dan saya terpaksa bukan sahaja menyapu dan mengemop tetapi juga mengikis celahan lantai dan dinding untuk mengeluarkan debu yang terkumpul. Pagar tingkat atas yang arwah bapak buatkan atas alasan menghalang cucu-cucunya dari turun naik tangga. Saya rasa sejak arwah bapak masih hidup pagar ini tidak pernah bercat. Kebetulan saya membeli beberapa tong cat beberapa bulan yang lalu maka saya mulakan aktiviti ini. Pagar ini kena gunakan berus kecil .

Ini pula pagar besi penghadang dinding tangga tingkat atas. Ada dua set macam ini. Maka inilah yang buat saya mabuk sebab 'keje mutit' , maksudnya , kena teliti sebab ikut aluran corak besi tersebut. Sebenarnya pagar besi ini diambir dari bahagian rumah lama saya dulu. Dan pagar ini banyak nostalgianya. Ia dijadikan pagar bahagian depan dan tingkap pula memanjang seperti pintu. Pagar ini juga menjadi tempat saya memanjat naik turun rumah lama saya dulu. Dan dicelahan kekisi pagar ini jugalah menjadi tempat letak meriam buluh semasa musim raya dan ia mengadap jalan raya. Sudut ini menjadi tempat saya main masak-masak, sudut membaca dan sudut menyimpan angan-angan masa kanak-kanak.

Sudut ini dijadikan tempat solat. Ia juga akan dijadikan tempat tidur Bibik dan Kham....hahaha. Mereka akan datang tak lama lagi, rombongan Tun Teja. Saya mengemas rumah bukan kerana mereka hendak datang tetapi sudah diprogram lama sebelum cuti. Kedatangan mereka hanya menjadi faktor mempercepatkan projek ini.

Dinding bilik abang saya yang saya cat dengan warna hijau. Sudah siap sebenarnya namun saya akan berikan sentuhan terakhir sebelum kedatangan mereka. Setelah saya siap pasang cadar barulah saya akan mempertontonkan bilik untuk pasangan Kusyi dan Zul.

Ini apa pula ? Dinding purple ini dicat anak saudara saya tahun lepas. Dan saya menemui sepasang sudu dan garfu ini , saya gantung sahaja di dinding dengan dua terendak dari Matu Daro. Menurut sepupu saya susah untuk mendapatkannya dan harga pun mahal. Seingat saya membeli terendak ini dengan harga rm20 sahaja satu.

Bagaimana rasa lepas berhari-hari mengemas? Rasa letih pun ya, pening pun ya, malahan menjadi sangat lasak sebab ada bahagian kena panjat terutama bahagian dekat tangga. Saya pun hairan kenapa rumah tingkat atas mempunyai banyak tingkap sehingga bahagian tangga itupun bertingkap. Kalau nak buka dan tutup kena lah jadi Tarzan . Paling teruk jadi monyet...hahaha. Namun sebenarnya saya sangat gembira dan seronok.Ia menjadikan saya menjadi mahir dalam kerja-kerja lasak sebegini. Biarpun malam-malam tangan-tangan saya seperti keras dan kejang.