KSSR Dunia Sains Dan Teknologi

1

Posted by Leeza | Posted in

Inilah bahan yang diberikan kepada kami, tiada fail . Syukur alhamdulilah..dapat beg 'bonia' mahal ini.
KSSR adalah Kurikulum Standard Sekolah Rendah , sebuah kurikulum yang digubal bagi menggantikan kurikulum-kurikulum yang lama :
1. 1983 -KBSR Kurikulum Baru Sekolah Rendah
2. 1993 - KBSR Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
3. 2003 - KBSR Semakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
4. 2010 - KSSR Kurikulum Standard Sekolah Rendah

Baru-baru ini saya menghadiri kursus pendedahan KSSR untuk subjek DST Tahun 2 yang akan digunapakai tahun hadapan. Sekolah saya cuma ada dua guru Sains dan kebetulan rakan sejawat saya yang mengajar DST tahun ini menjalani rawatan doktor pakar di hospital KL maka saya menghadirinya. Kebetulan kami bersetuju mengagihkan kelas-kelas Sains berdua. Dia akan mengajar DST tahun 1, Sains Tahun 3 dan Sains Tahun 5. Saya pula akan mengajar DST tahun 2, Sains Tahun 4 dan Sains Tahun 6. Sekurang-kurangnya saya berharap pada tahun 2013, saya berehat sekejap daripada mengajar Sains UPSR Tahun 6. Otak saya terlalu penat .
Apa bezanya DST (Dunia Sains Teknologi) dengan Sains PPSMI ?  Banyak sebenarnya. Science PPSMI berfokus kepada 5 tema utama : Living Thing, Force And Energy, Materials, Astronomy and Technology. Sementara DST pula mempunyai dua elemen berbeza iaitu Sains dan TMK (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) Keduanya ini diajar berasingan. 48 waktu untuk Sains dan 12 waktu untuk TMK.Walaubagaimanapun,semasa mengajar Sains terdapat satu EMK (elemen merentas kurikulum ) dan TMK dimasukkan sebagai satu alat untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Persediaan mengajarnya juga berlainan daripada dahulu. Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan pedagogi 4 fasa (persediaan, imaginasi, perkembangan dan tindakan).Dulu tertulis Learning area, Learning Objectives and Learning outcomes. Sekarang cuma guna Standard kandungan dan Standard Pembelajaran dan terdapat objektif pembelajaran. Setiap kali selesai proses pengajaran dan pembelajaran kami kena buat PBS (penilaian berasaskan sekolah) .PBS ini meliputi 40% markah keseluruhan dalam UPSR. Tahun 1hingga 3 menggunakan PBS sebagai pernilaiannya. Tahun 4 hingga Tahun 6 ada subjek UPSR 60% dan PBS 40%.
Rasanya ramai mengeluh bebanan kerja yang kian bertambah. Saya secara peribadi menerima dengan redha semua ini. Bukankah inilah corak pendidikan di negara kita, sentiasa berubah ? Kelas yang akan saya ajar tahun hadapan adalah kumpulan pertama untuk KSSR ini dan menghadapi UPSR 60% pada tahun 2015 nanti. Persediaan bukan tahun hadapan bermula tetapi mulai sekarang. Saya telah mengatur strategi untuk melaksanakan proses pengajaran pembelajaran ini dan ia akan saya mulakan dari sekarang. Selepas UPSR nanti masa terluang saya akan digunakan untuk mengajar murid-murid tahun 1 itu mendaftar email. Email sudah digunakan tahun hadapan kerana satu kemahiran dalam TMK ialah murid-murid dapat bertukar pesanan menggunakan email sesama mereka. Hadapi segalanya secara positif. Yang pasti saya tidak mahu menjadi negatif dan berfikiran negatif lagi. Jika penat ,berehatlah ...itu yang akan saya lakukan. Yang pasti mengajar anak bangsa itu satu amanah yang sangat berat. Dan saya tidak mahu menjadi orang yang berdosa dan tidak amanah.

Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Berpuasa.

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum kepada semua sahabat dan pembaca...
Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan yang mulia, penghulu segala bulan. Saya mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf kepada semua kawan dan sahabat terutamanya yang rapat dengan saya , Kak Norhayati Berahim, Kusyi Hirdan ,Zulkifli Haron,Khamisah Mohd Nazri, Suraya Yaacob, Arelyn Yusof , Sri Diah Shaharuddin sekeluarga dan ramai lagi jika ada kesilapan dan dosa saya yang terlalu besar ,sengaja atau tidak disengajakan dalam pergaulan kita seharian. Juga mohon dihalalkan makan minum dan segala pemberian , terimakasih banyak-banyak. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segalanya.
 Saya sedar saya hanya manusia biasa yang terlampau banyak kekurangan terutama dari segi kekuatan hati. Namun saya sentiasa berusaha untuk memusnahkan segala kesakitan itu dan terimakasih kerana mengajar saya banyak perkara. Ampunkan lah saya atas segala-galanya. Juga tidak dilupakan kepada semua penulis yang karya-karyanya saya buat ulasan di sini , terutama Lily Haslina Nasir yang pernah saya hentam dengan sadisnya, juga Sri Diah yang saya patahkan semangatnya dengan kesilapan teknikal dalam novelnya....maafkan saya.....saya sudah lama akui saya tidak sempurna. Maafkanlah saya sebelum kita berpuasa 1 Ramadhan.....Saya doakan semuanya sentiasa sihat walafiat dan gembira dalam menjalani ibadah puasa yang akan datang. Saya doakan semoga terus berjaya dan bahagia pada bila-bila masa. Sesungguhnya saya gembira bila anda semua gembira dan saya akan sedih jika anda berduka....tabahkan hati selalu menghadapi setiap dugaan ini. Selamat berpuasa.....

Madah Pemangkin Semangat

0

Posted by Leeza | Posted in

Empat hari berkursus ada madah yang saya petik dan tulis dalam buku kecil saya. Ia peringatan untuk diri saya sendiri.

1. Today's preparation determines tomorrow achievement.

2. A journey of a thousand miles must begin with a single step.

3. Adalah berdosa besar seorang guru yang tidak   tahu  samaada muridnya faham ke tidak apa yang diajarnya.

4. Orang yang cemburu keterlaluan adalah orang yang sakit jiwanya.

Dari mana saya dapatnya? Dari dinding dalam bilik kursus, dari kata-kata pegawai SPA , Mr Lau dan dari kakak kesayangan saya kak NB melalui FB statusnya yang sempat saya tengok sekejap cuma.

Mimpi Mainan Tidur

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini berakhirlah kursus KSSR Dunia Sains Teknologi . Hari ini saya tak berapa sihat, demam . Seharian saya asyik muntah sehingga tidak dapat menjamah makanan .Tekak terasa perit. Semalam saya terganggu dengan mimpi dan wajah Kak Rutz begitu jelas sekali. Saya risaukan kesihatannya kerana semasa saya pernah bersamanya dulu, dia selalu sakit. Sebaik balik kursus, saya terus menelefonnya yang sekarang berada di KL. Dia sihat ! Katanya mungkin mimpi itu berpunca sebab saya teruja sangat hendak berjumpa dengannya sabtu lepas tetapi tidak kesampaian. 26 tahun tidak berjumpa. Syukurlah dia sihat. Juga gangguan itu sebab rasa takut dan terkejut bila terbabas atas titian kayu semasa hujan lebat. Syukurlah saya selamat... Namun ia peringatan kepada saya untuk mengelak jambatan itu semasa hujan lebat. Sangat bahaya kerana kayu licin dan lari.

Hati Menangis

0

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari ini saya amat sibuk dengan kursus. Nantilah saya ceritakan tentang kursus tersebut. Waktu saya menulis catatan hari ini, saya terbangun jam 3 pagi kerana menangis dalam tidur. Saya bangun dan keluar bilik kemudian saya sambung menangis lagi. Apa yang saya sedihkan sangat sehingga menangis berleretan ini ? Ceritanya amat panjang dan berlarutan serta berleretan menjadi fobia sehingga kini. Namun duka dan luka yang terlalu lama dipendam itu menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada sesiapapun sebab orang takkan faham apa yang ada di hati kita.
Saya tidak pasti dan tidak faham tentang mimpi ini. Namun saya tahu biarpun hati saya kecewa olehnya, saya masih menyayangi dan merinduinya. Atau adakah ia simbolik dengan apa yang terjadi sekarang ? Apakah ia berkaitan dengan tindakan saya menutup akaun Facebook untuk sementara waktu ? Segalanya menjadi tandatanya. Namun mimpi ini membuat saya masih menitiskan airmata.....dada terasa amat sebak dan sakit.

Biarlah saya ceritakan tentang mimpi ini. Saya bertemu semula dengannya setelah berpisah terlalu lama, pertemuan tidak sengaja. Ketika saya menghampirinya , tiba-tiba dia berpaling dan melarikan diri. Saya mengejarnya tanpa sempat berselepar . Saya terus mengejar tanpa peduli kaki saya berdarah terkena batu dan kaca tajam. Namun di satu bahagian bayangnya sudah menghilang. Saya sangat kecewa dan menangis balik ke rumah. Reaksi wajahnya tidak menampakkan dia membenci saya....dia gembira , tersenyum namun nampak kesedihan yang amat.  Setiap kali saya kesedihan saya mengingatinya dan berdoa kepada Allah moga dia dipelihara sentiasa. Saya sayang dia, saya juga sayang semua yang pernah rapat dalam hidup saya. Tidak pernah ada rasa benci biarpun mereka meninggalkan saya tanpa sebab.

2nd Time Book Exhibithion At Crown Square, Kuching

0

Posted by Leeza | Posted in

Pameran buku terpakai ini diadakan di Crown Square mulai 22 Julai 2011 hingga 8 Ogos 2011. Kesemua buku yang dijual adalah daripada USA . Penganjur membeli buku-buku terpakai ini secara borong. Banyak buku-buku yang dijual masih dalam keadaan bersih. Mereka menggunakan 2 buah ruang legar di Tingkat 2. Sahabat saya , Ariza Ghazalee merupakan pembaca buku yang tegar dan dia meminati karya-karya Danielle Steel. Atas maklumat yang diberikannya saya mengunjungi pameran ini bersama anak saudara saya dan cucu saya Asmara.  Saya tentu sahaja membelanjakan Asmara buku-buku tersebut termasuk Putri. Rambang mata saya apabila  melihat buku-buku yang banyak. Kawan saya memesan 10 buah buku tetapi saya belikannya 12 buku kerana harga cuma RM7.90 sebuah.Saya pula membeli 15 buah buku ....hehehehe. Entah bila habisnya nanti. Yang seronoknya, ada seorang pemuda cina yang juga shopping buku telah membantu saya mencari buku-buku Danielle Steel. Saya juga mendapat kupon percuma sebanyak RM25 dan saya menukarkan kupon ini dengan sebuah kalkulator Casio.

Breakfast Di Coffee O Corner

0

Posted by Leeza | Posted in

Mi Kolok Special rm5.00
Pada 24 Julai 2011, guru saya Cikgu Mohd Yamin mengajak bersarapan pagi di restoren Coffee O Corner ,Satok sebelum dia terbang balik ke KL tengaharinya. Beliau ke Kuching sehari sebelumnya atas urusan tugas rasminya sebagai pengarah bahagian kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. Malam itu diadakan persembahan perasmian daripada murid-murid Sekolah Seni Kuching di UNIMAS. Menurut beliau , pelajar-pelajar sekolah seni akan menjalani pendidikan akademik biasa dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 tetapi mereka ada tambahan kurikulum seni mengikut bidang yang mereka masuki. Pemilihan masuk berdasarkan kebolehan dan bakat dalam bidang seni tersebut.
Coffee O Corner pula, sangat sibuk dan sesak kerana ramai pengunjung tidak kira bangsa. Kami terpaksa menunggu kekosongan tempat duduk. Namun apa yang dibanggakan ialah tuan punya Coffee O Corner suami isteri turut sibuk melayan pelanggan dan membantu mencarikan tempat duduk. Cuma masalah tempat ini ialah laluan masuk terlalu kecil dan ketiadaan tempat parking. Anak saudara yang menemani saya beberapa kali mengingatkan jangan parking di garisan kuning, bimbang disaman tetapi saya melihat ada sebuah kereta polis juga parking di garisan kuning. Maka dengan tiada rasa segan silunya sayapun memarkir kereta saya di situ asal tidak menghalang laluan orang lain.Banyak yang kami bualkan dan yang turut serta ialah kawan saya Malaysiawati dan suami.
Cikgu Yamin dan suami Malaysiawati,Jemali menu pilihan mereka ialah mi jawa special dengan sate.


Kawan sejak sekolah , Malaysiawati. Tiap kali Cikgu Yamin datang saya mesti mengajaknya menemani. Tak tahu kenapa, saya amat segan dengan Cikgu Yamin..hahaha.

Anak saudara saya, Rina dengan anak angkatnya Asmara.

Inilah gambar ramai-ramai. Syukur alhamdulilah dapat bertemu sebegini. Terimakasih Malaysiawati kerana belanja kami sarapan yang enak.
Secara keseluruhan Cofee O Corner menjadi pilihan yang baik kerana makanan-makanannya yang enak dan pelbagai pilihan.  Saya akan berkunjung ke sini lagi...insyaAllah.

Jalan-jalan Dengan Emak

0

Posted by Leeza | Posted in

 Sabtu baru-baru ini, saya membawa mak saya berjalan-jalan. Sejak malam ,mak saya kuat hendak mengikut saya berjalan. Walaupun abang dan kakak saya menghalang, saya tetap membawa mak berjalan kerana ini keinginannya. Sekurang-kurangnya saya dapat menggembirakannya. Akhirnya kakak saya ini, setelah ditegur oleh saya, mengikut kami berdua. Di Samarahan, saya membawa mak dan kakak makan di Warong 2000 kerana emak hendak makan rojak. Sebenarnya dia hendak makan rojak buah tetapi kerana rojak itu keras maka saya membelikannya rojak ayam sahaja. Berselera sekali dia makan. Dia begitu gembira. Selepas itu saya menguruskan beberapa perkara seperti fotostat,membinding dokumen dan sebagainya. Berebut-rebut saya membuat kerja saya kerana mak kelihatan sudah mula penat. Jam 11 pagi, kami terus bertolak pulang. Kami singgah di Pasar Tani Sampung Gerunggang untuk membeli beberapa buah-buahan.
Buah ciku yang belum masak, sekilo rm4.

Buah mangga sekilo rm10 dan rm6.

Buah kristal - menurut kawan baik saya yang ada menanam buah ini, ia berasal dari Papua New Guinea. Sekilo rm6. Ia tidak terdapat di Semenanjung. Rasanya seperti laici.

Buah wajib dibeli, pisang utei dan pisang berangan. RM2 sesikat.

Labu sebiji rm4.50

Buah kuini yang terdapat di sekolah saya. Free sahaja..hahahaha.    

KECEWA

0

Posted by Leeza | Posted in

Julai sudah sampai ke penghujungnya, dan rasa kecewa ini seakan tidak dapat terbendung. Ingin rasanya saya meraung menggegar dunia untuk lepaskan rasa kecewa ini namun hanya mampu menyimpan rasa kecewa ini dalam-dalam di sudut hati kecil. Sehingga hati ini seakan bergoncang menahan kepedihan teramat. Apa yang saya kecewakan ? Banyak  dan satunya menyangkut soal kerjaya. Namun saya sering bermuhasabah diri untuk bertahan dan terus bersabar, mungkin tiada rezeki saya. Mungkin janji Allah berlainan untuk saya. Mungkin ada yang berkata , berusahalah. Saya mempunyai banyak idea dan cara untuk berusaha namun saya tersekat di sini. TERSEKAT dan terpaksa. 
Sebenarnya ALLAH tahu yang terbaik untuk saya. Mungkin jika begini , kesannya tak tertanggung oleh saya..maka diperlahankan perjalanan saya. Meskipun saya sangat malu....malu dengan diri yang tidak berupaya. Malu dengan diri yang sepi dalam keriuhan. Dalam sesuatu hubungan saya mengenal untuk memahami isyarat dan petanda. Orang mungkin segan mahu mengatakan tidak, lalu dihaluskan cara penolakan tersebut. Tidak mengapalah....inilah seni perhubungan berhemah.
Apa yang saya sibukkan sekarang ? Saya sibuk dengan projek Kembara Ukhwah Ke Utara sehingga 12 Ogos 2011. Jika ada peluang saya akan turut serta tetapi tentu sahaja menyusahkan kawan-kawan saya. Tidak mahulah menimbulkan rasa serba salah , maka saya doakan dari jauh sahaja. Memadailah saya berusaha untuk meminta dan mengumpul dana untuk program ini. Lagipun saya terikat di sini. Sebolehnya sekarang saya mengelak temujanji hari Ahad kerana hari itu tiada sesiapa menjaga ibu saya. Jika terpaksa juga , saya terpaksa korbankan hari Sabtu untuk menukar giliran ini. Satu hari dalam seminggu saya mesti keluar dari rumah ini. Saya perlukan udara segar dan ia adalah hari untuk saya melunaskan semua urusan rasmi yang terkumpul seminggu. Terkadang letih sebab terkejar ke sana sini, berebut dengan masa. Itupun masih ada orang sanggup mencemuh sebab tidak jaga mak untuk hari itu. MasyaAllah....Tuhanku tabahkanlah hatiku ini.
Isnin sampai Jumaat adalah masa kerja saya. Itupun sekarang saya rasa mutu kerja terjejas sedikit sebab masa-masa tertentu bila tidak masuk ke kelas sambil buat kerja-kerja library saya boleh tertidur dalam duduk. Dasyat sungguh keletihan ini. Namun dalam tidur dan terjagapun otak saya masih bekerja untuk berfikir dan berusaha mengatasi masalah yang timbul dalam kelas Tahun 6 sekarang. Semua guru mengeluh kerana kelas ini tidak menampakkan hasil yang positif. Saya terpaksa gunakan rotan dan menetapkan target apa mereka boleh capai. Bukan memaksa tetapi inilah hakikat kebolehan mereka. Saya sebagai guru yakin anak-anak ini mampu lulus dengan cemerlang dan bintang inilah yang perlu digilap dengan sungguh-sungguh. Jika lepas UPSR sebenar nanti baru saya berhenti rehat....selagi belum 13,14 dan 15 September 2011, selagi itu saya takkan berhenti. Cuma masa saya amat terbatas...:( 
Semoga segala yang saya usahakan tidak sia-sia...cukuplah kejayaan anak-anak murid ini menjadi hadiah untuk diri saya sendiri. Tentang kehidupan peribadi saya, saya cuba bertahan , saya kena redha barulah hati tidak bersedih. Ini bahagian saya...moga di akhirat nanti segalanya ini menjadikan saya senang lenang dan bahagia itu tetap ada walau hanya sedikit dan kecewa itu melaut luasnya.

KARIPAP ATAU BURGER? oleh Sophie Othman

0

Posted by Leeza | Posted in

Bismillahirahmanirrahim...
Apabila penulis ini menyatakan dia akan mengirim Karipap atau Burger kepada saya, hati sangat gembira kerana menerima buku percuma yang istimewa daripadanya. Karya sulungnya ini  menjadi tandatanya dalam diri saya. Tanggal 12 Julai 2011 saya mengambil bungkusan Pos Ekspres ini di Pejabat Pos Asajaya sebaik sahaja saya tamat membuat kelas tambahan UPSR Sains Tahun 6.  Saya sebenarnya terkejut menerima bungkusan yang besar lebar ini kerana saya tidak sangka saiznya sebegini. Bila sampai di rumah, saya begitu tertarik dengan reka bentuk dan warna lembut yang menceriakan. Sejuk mata memandang. Saya terus membelek-beleknya dan mendapati terdapat lima kisah di dalamnya. Dari segi fizikal, buku ini sangat cantik dan perlu dimiliki oleh kanak-kanak. Harganya juga berpatutan iaitu RM7.50 untuk Semenanjung dan RM10.50 untuk Sabah dan Sarawak.
Jarang dalam sejarah pembacaan saya untuk terus membaca buku yang dibeli atau diterima. Namun Karipap atau Burger ini tidak membiarkan ia terus terbiar dalam almari untuk menunggu giliran untuk dibaca. Dipendekkan cerita, Karipap atau Burger ini terlalu menyelerakan sehingga ia melangkaui giliran yang sepatutnya. Saya juga melanggar kebiasaan saya untuk membaca tanpa melapik buku itu terlebih dahulu. Hanya setelah selesai dibaca barulah saya bersusah payah melapiknya. Mungkin ada yang mengatakan bahawa ini buku kanak-kanak, apa kes dibaca oleh saya yang sudah 40an ini. Namun bagi saya sebagai guru saya harus membaca semuanya tanpa mengira had umur supaya saya dapat berkongsi cerita dengan kanak-kanak sekolah rendah.
Sekarang saya ingin membuat ulasan tentang isi buku tersebut. Karipap atau Burger yang termasuk dalam kategori Kid's Prima adalah buku yang baik. Saya buat ulasan ringkas tentang setiap kisah di dalamnya.

1.Tolong...Lutut Saya Berdarah!

Ia mengisahkan si Halim yang tidak membantu kawannya Amin yang tercedera ketika bermain bolasepak tetapi sebaliknya mentertawakan Amin. Dia menyesal dan insaf setelah mendengar cerita ibunya tentang semut dan burung merpati yang saling membantu.Jalan cerita menarik dan sisipan cerita semut dan burung merpati memperindahkan isi cerita. Namun pada mukasurat ke 4, ada eloknya penggunaan titik bagi mematikan sesuatu ayat diambil berat. Contohnya :.........di padang bola berhampiran rumah ( ) Tiada titik di sini. Mungkin kesilapan teknikal.

2. Taman Mini Aina dan Lokman
Ia mengisahkan keluarga Aina dan Lokman sedang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah mereka. Aina dan ibunya Puan Rohani menyiram pokok-pokok bunga . Lokman dan ayahnya pula membakar sampah dan membersihkan kolam ikan. Isi cerita menarik dan padat kerana penulis menekankan mengapa pokok bunga perlu disiram dan bagaimana cara menjaga pokok-pokok bunga supaya hidup subur. Ini boleh digunakan oleh saya dalam mengajar tajuk Keperluan Asas Tumbuhan dalam matapelajaran Sains Tahun 4. Penulis juga menekankan bahaya nyamuk Aedes pembawa demam denggi. Begitu juga dengan cara penjagaan ikan di kolam dan bagaimana mengganti dan membersihkan air kolam yang kotor. Cuma adalah lebih baik lagi jika penulis memberikan beberapa contoh ikan yang dipelihara dalam kolam tersebut seperti mana beliau memberi contoh pokok-pokok bunga yang terdapat di taman mini . Nilai kekeluargaan juga diserapkan dengan penghargaan terimakasih kepada ibu yang menyediakan minuman petang.Malahan sikap anak-anak yang suka membantu ibu bapa juga diterapkan dengan jelas.

3. Liyana Berjumpa Doktor Gigi

Kisah ketiga ini berkenaan dengan penjagaan gigi. Penulis menekankan perlunya membersihkan gigi setiap pagi sebelum mandi. Begitu juga dengan perlunya pemeriksaan gigi dilakukan setiap 6 bulan sekali. Liyana anak yang baik dan sentiasa menjaga giginya. Di klinik gigi inilah Liyana melihat betapa ada kanak-kanak yang takut berjumpa dengan doktor gigi. Namun doktor gigi bukanlah orang yang harus ditakuti. k
Kemesraan Doktor Julia melayan Liyana boleh memberi gambaran yang positif kepada semua kanak-kanak yang takut dengan doktor gigi. Seeloknya penulis boleh memberi gambaran lebih menggembirakan dengan menulis perasaan Liyana setelah proses pembersihan giginya selesai. Mungkin Liyana boleh menyatakan yang proses pembersihan itu tidak menyakitkan.Penulis juga boleh menyatakan beberapa cara penjagaan gigi secara ringkas dalam dialog Doktor Julia.Namun penulis menggunakan pendekatan lain dengan memasukkan elemen ini dalam nasihat Liyana kepada kawannya Rita yang sedang sakit gigi. Syabas.

4. Karipap atau Burger?
Kisah ini tentang persahabatan Athirah dan Alesya. Athirah ,Umi dan Nasuha selalu berkongsi makanan bekalan mereka pada waktu rehat. Sehinggalah seorang budak baru ,Alesya Abdullah berpindah ke kelas mereka. Alesya pula membawa bekal burger dan tidak mahu berkongsi dengan kawan-kawan barunya. Dia dengan sombongnya menolak pelawaan Athirah untuk makan karipap yang dibuat oleh ibunya. Namun ditakdirkan bekalan makanannya (ayam goreng) dikebas oleh kucing pada suatu hari dan kehadiran ketiga sahabat yang baik telah membantunya daripada kelaparan. Ini menginsafkan Alesya untuk tidak bersikap sombong kepada rakan-rakannya yang lain.Cerita ini agak ringkas sedikit daripada cerita yang lain.

5. Sakitnya Jatuh Basikal

Kisah terakhir ini pula tentang keselamatan di jalan raya. Ceritanya sangat menarik. Radzi anak yang baik dan berjimat cermat. Beberapa nilai baik diterapkan seperti sikap menabung, mendengar kata ibubapa, rajin belajar dan menghormati ibubapa. Digambarkan Radzi kemalangan di sebuah selekoh yang tajam ketika dalam perjalanan menuju ke taman permainan . Dia berjanji dengan Izzudin dan Chandran. Maksudnya Radzi dalam perjalanan seorang diri. Justeru itu, kenapa tiba-tiba ditulis Izuddin dan Chandran panik ? Di mana datangnya mereka berdua ini. Mungkin saya terlepas pandang tentang ini. Maafkan saya.

Lima buah kisah yang menarik untuk dibaca oleh kanak-kanak. Juga terdapat moral cerita untuk setiap kisah tersebut menjadi ikhtibar kepada kanak-kanak. Ibubapa digalakkan membeli buku ini sebagai koleksi anak-anak. Dapatkan daripada http://www.mall.karangkraf.com atau di kedai-kedai buku berhampiran tempat anda. Tahniah kepada Sophie Othman dengan karya sulungnya ini dan juga kredit kepada pelukis grafik kerana ilustrasi yang sangat cantik dan menceriakan. Gabungan warna-warna juga sedap mata memandang. Tahniah, untukmu Piah....saya berikan 4 bintang dan teruskan menulis. Jangan biarkan usaha ini bertitik di sini sahaja tetapi biarlah ia sebagai langkah pertama untuk terus mengorak langkah ke hadapan.


Cerita Terkini

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum para pembaca...
Maafkan saya kerana lama membiarkan blog ini  tidak diupdate . Saya akan kembali menulis blog dengan lebih kerap pada masa yang akan datang kerana saya telah membuat beberapa perubahan dalam rutin harian saya.
Saya telah mendapat pembantu emak yang ke tiga, isteri sepupu saya yang agak berusia juga, tidak sihat dan tidak berpengalaman. Memadailah kerana yang saya pentingkan sekarang ialah orang yang dapat menjaga mak saya semasa ketiadaan saya. Saya bersyukur kerana dia ada untuk membantu. Pembantu saya yang kedua dulu berhenti atas desakan suami dan keluarganya, kasihan kerana mereka mengenepikan soal pencarian demi kesenangan di rumah. Gaji pembantu saya itu digunakan untuk menyara suami dan membayar bil utiliti di rumahnya. Saya suka pembantu ke dua saya ini sebab menyenangkan tugas harian saya. Dan sekarang ini, saya terpaksalah balik sekolah mencuci pakaian, mengemas rumah, menyapu dan mengemop lantai, melipat pakaian, membuang sampah, dan bla bla bla...bukankah kerja rumah banyak jenis. Bila sudah letih, selalunya menganggu mood saya setiap hari. Banyak kali mengurut dada untuk bersabar dan berighstifar. Terlalu payahnya sekali sampai satu had , saya merasakan dada saya sangat sakit. Hanya di atas sejadah saya menangis mengadu padaNya, sebab saya tahu hanya DIA yang faham hati saya. Sebagai manusia biasa, rasa sensitif sudah terlalu tinggi dalam diri sehingga menonton TV pun melihat adegan terluka , gaduh, kecewa..cepat sahaja airmata saya mengalir.

Di sekolah biasalahkan kerja pun mana ada habisnya. Hari-hari berdepan dengan kenakalan murid dan kemalasan mereka yang terkadang membuat angin kepala berpusar-pusar keluar dari telinga. Saya cepat angin jika berdepan dengan murid-murid yang malas dan tidak menyiapkan kerja rumah. Begitu juga jika saya tengah mengajar dan menerangkan sesuatu, mereka tersengih-sengih di belakang..cepat sahaja tangan saya mencubit mereka atau saya suruh berdiri dengan kedua tangan memegang telinga. Saya sebenarnya sedang berusaha untuk mencipta rekod baru di sekolah ini,yakni mendapat 100 peratus lulus Sains. Setakat ini bila setiap kali ujian dan latihan yang saya berikan , hanya 1-2 orang sahaja gagal atau tidak hadir , saya rasa kemungkinan untuk mencipta rekod adalah tidak mustahil. Sekarang ini sekolah saya telah memperbaiki mesin printing secara manual dan dapatlah kami membuat banyak lembaran kerja untuk latih tubi murid-murid kami. Saya sudah mengeluarkan mesin taip saya untuk menaip soalan menggunakan stensil. Kawan-kawan gelar itu laptop antik, hahaha.

Program Ukhwah Ke Utara sedang dalam proses mengumpul dana. Alhamdulilah...saya tetap paparkan di facebook saya untuk membantu mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim ini. Saya juga anak-anak yatim namun saya bersyukur kerana menjadi anak yatim ketika sudah memiliki pekerjaan. Kepada sahabat-sahabat dan pembaca blog, silalah membantu pihak  kami mengumpul dana. Hulurkanlah bantuan anda seikhlas hati. Jika rasa ingin membantu, hubungi saya ke email :elleezb@yahoo.com. Terimakasih banyak-banyak ya.
Okay , saya akan lanjutkan lagi cerita saya pada masa yang akan datang kerana saya sedang bersiap hendak ke tempat kerja.