Durian ,sedapnya menjilat jari.

0

Posted by Leeza | Posted in

RM30 untuk durian-durian ini.
 Saya menyukai durian tetapi saya tidak pandai makan tempoyak. Beberapa minggu ini saya terasa mengidam hendak makan durian. Jika sudah sedemikian maka saya berusaha juga mencarinya. Jumaat lepas ketika saya mengservis kereta di Bengkel kepunyaan Zainal di Kampung Tambirat saya melilau juga mencari kalau-kalau ada durian dijual di tepi jalan. Semasa balik itulah saya ternampak seorang cina mengangkut durian ke tepi jalan. Yessss...rezeki saya. Maka saya terus membuat pusingan U-turn demi hendak membeli durian. Oleh kerana emak saya tidak mahu makan durian, sebiji pun jadilah. Dipendekkan cerita , tawar menawar akhirnya saya memborong ke tiga-tiga durian ini dengan harga RM30. Bila dibuka sebiji kecil itu (percuma) hanya dua ulas sahaja boleh dimakan. Yang sebiji ini sebahagian buruk. Saya memanggil Azizi dan Luqman untuk makan bersama. Luqman juga menyukai durian. Sebiji lagi saya berikan kakak saya yang tinggal di hadapan rumah saya.Dan sebiji lagi, keesokkannya saya membuat 'MANIS DURIAN'.Ia sedap dimakan dengan nasi putih atau roti tawar.
Manis Durian yang diperbuat dari santan dan gula putih.

PESTA ASAJAYA

0

Posted by Leeza | Posted in

Minggu lepas pada hari Ahad 27 Mac 2011,saya ,kak Pek dan Luqman telah mengunjungi Pesta Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya. Antara acara yang diadakan pada hari itu ialah pameran tani, Liga Samarahan futsal lelaki dan perempuan, sukaneka dan cabutan bertuah. Ketika sampai di sana didapati banyak motosikal , kereta yang memarkir di kiri kanan jalan. Ini menyebabkan kesesakan dan polis dan rela terpaksa campur tangan. Bila dilihat pada fizikalnya , kita dapati pesta ini tentu hebat sehingga ada yang membawa bayi yang masih kecil. Kasihan melihat bayi-bayi ini dibawa meredah teriknya mentari.
Sebahagian pengunjung pesta.

Kuih muih kering antara jualan yang ada

Jualan Pakaian Lelong.
Malangnya pesta ini sangat mengecewakan kerana tiada gerai yang benar-benar menarik minat kita untuk membeli barangan tersebut. Hanya yang banyak terdapat ialah gerai menjual burger dan air. Alangkah eloknya jika ada gerai menjual ABC spesial, buah-buahan tempatan seperti durian, mangga, tembikai ,atau gerai menjual makanan seperti keropok lekor, mi goreng, nasi ayam penyet dan sebagainya. Saya hanya tertarik dengan burung puyuh goreng . Harga seekor ialah RM5. Saya membeli dua ekor.
Burung puyuh goreng RM 5 seekor.
 Kami tidak lama berada di pesta ini kerana bila kami menjenguk dewan tempat mengadakan Liga Futsal, baru kami hendak menjenguk muka kami hampir terkena bola yang ditendang. Nasib baik ada jaring ynag merentang. Apa lagi komen kakak saya: tak berani aku tengok main bol ini. Seterusnya kami terus ke Pekan Asajaya membeli beberapa barangan...dan kami dibelanja oleh abang saya Saadi  minum di gerai . Kami akhirnya membeli tudung jualan murah RM15 sehelai.
Semasa perjalanan pulang kami melihat sebuah motosikal menarik. Gambar ini Luqman yang ambil..hahaha.
Seorang ayah membawa anak-anaknya melihat pesta .

Kelakarnya Kawanku

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini saya sibuk sungguh mencari satu dokumen untuk difotostat bagi tujuan mengisi borang time-based DG44. Saya tidak ingat di mana saya meletakkannya sebab kali terakhir saya menggunakannya ialah tahun lepas. Ketika inilah, saya bersembang dengan kawan baik saya Madam T tentang perlunya penyimpanan dokumen-dokumen penting. Dia sendiri katanya meletakkan semua surat menyurat dalam fail folder mengikut tahun. Saya pula mengumpulkan dalam fail folder tetapi tidaklah ikut tahun.

Kemudian timbul cerita tentang pengalamannya menyelamatkan dokumen-dokumen penting semasa kebakaran gerai berdekatan dengan kedainya. Waktu itu dia baru mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Ketika dia sedang membuai anaknya dalam buaian dia dikejutkan dengan bunyi letupan kemudian ramai menjerit menyuruh mereka keluar dari kedai tersebut. Suaminya pula tidak kelihatan kerana sibuk membantu memecahkan gerai-gerai dan kedai berdekatan untuk mengalihkan tong-tong gas dan tong minyak. Masa itu keretanya sudah dibawa menghala ke jalan. Anak-anaknya yang masih kecil diselamatkan dan diletakkan dalam kereta. Ada orang kampung yang baik membantu menjaga anak-anaknya. Dia menyelamatkan semua dokumen satu laci penuh dan menggunakan kain buaian anaknya untuk mengangkut semua fail keluar kedai. Kemudian dia teringat susu anaknya. Dia terus mengangkut semuanya sekaligus. Lepas itu dia teringat pula perlukan tilam dan bantal. Maka berulang-aliklah dia mengangkut tilam dan bantal dan sumbat ke dalam kereta. Lepas tu teringat pula dengan kipas angin...maka kipas anginpun diangkut sama. Masa itu katanya , dia tak terfikir buat apa mengangkut kipas dan bukannya ada plug untuk diguna. Saya yang gelak guling-guling sempat bertanya, banyaknya masa kau mengangkut semua barang-barang tersebut. Pengalaman ini katanya amat menakutkan tetapi juga sangat kelakar bila dikenang balik.

Sekarang , jika berlaku apa-apa di rumah pasti tak sempat nak selamatkan. Maka saya terfikir alangkah perlunya beg beroda yang sesuai untuk mengangkut semua barang-barang ini. Itu jika dokumen dapat diselamatkan .Jika tidak, kenalah redha menerima ketentuanNya. Maka , berdasarkan cerita ini saya sedar saya harus menyimpan dan mengemas kini semula semua dokumen penting dalam fail-fail yang sedia ada.

MENGAPA AKU MASIH JADI PENGETUA? oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel Mengapa Aku Masih Menjadi Pengetua? adalah novel kesinambungan siri pengetua karya Kusyi Hirdan. Novel ini mengisahlan kesinambungan cabaran Izaz Noraini , pengetua Kolej Elita yang termuda di Malaysia. Tahun ke dua ini masih mendedahkan Izaz dengan cabaran dan dugaannya sebagai pengetua. Pada permulaan novel didedahkan komplot dua orang manusia untuk meletupkan makmal Kolej Elita. Gimik pertama yang menarik digunakan oleh penulis untuk mencetuskan tandatanya di minda pembacanya.Sehingga ke akhir novel ini , jawaban tentang siapa dalang di sebalik letupan itu masih belum terjawab.

Kali ini Izaz  Noraini berdepan dengan keletihan dirinya yang terpaksa menjadi pengetua dan dalam masa yang sama menjadi pelajar di Universiti. Bukan sahaja segala masalah kolej menjadi beban yang begitu berat namun dia merasakan dirinya kurang diperhatikan oleh ibunya Puan Fatihah yang sibuk dengan kehidupan rumahtangga barunya dengan peguam syarikat, Encik Mahir. Orang yang paling mengambil berat tentang Izaz ialah Ali yang telah berubah menjadi lelaki sejati. Dalam diam-diam Ali menyimpan rasa cinta di hatinya terhadap Izaz.

Novel ini mendedahkan beberapa masalah baru antaranya Sherina yang didera oleh ayahnya Datuk Hamzah yang kemudiannya mendendami Izaz Noraini dan Kolej Elita. Kemudian masalah dua pelajar yang menyamar dalam internet dan menipunya Cikgu Farah. Masalah ini berlanjutan dengan ayah Normawar yang menggilai Izaz Noraini. Wantu pula menghadapi masalah ditinggalkan kekasih dan cuba membunuh diri. Bukan hanya pelajar bermasalah tetapi kali ini MAMJP mengungkapkan masalah Cikgu Khairil yang didakwa menculik pelajarnya Sherina , Cikgu Farah yang ditipu pelajarnya, Cikgu Farhana yang hanya bertudung di Kolej Elita dan gangguan Cikgu Safiah dan Farisha Diana. Segala masalah ini setelah dibincang dengan permuafakatan semua kakitangan dan pengurusan akhirnya dapat diselesaikan. Dendam Datuk Hamzah membuat Izaz Noraini difitnah mengandung lua nikah sehingga pengsan. Sokongan keluarga dan kawan serta pelajar-pelajar Kolej Elita yang diketuai oleh Zara menjadikan Izaz Noraini menjadi kuat dan tabah.

Sikap prihatin  juga tidak melupakan  nasib malang Cikgu Nancy yang dibantu oleh Izaz dan rakan-rakannya. Ini akhirnya mencetuskan nur pengislaman Cikgu Nancy dengan nama Nancy Noraini ,syukur alhamdulilah. Amalan mengadakan kelas agama di butik Kolej Elita yang dijalankan oleh Elin mendapat sambutan. Kali ini Elin dikunjungi oleh adiknya Elias yang pulang untuk selamanya. Elias yang kembali dengan keadaan nyawa dipenghujung usia kerana kanser. Sedih kerana ada ibubapa yang tidak berhati perut seperti Tan Sri Khalid. Anak adalah anugerah Allah SWT namun manusia bongkak dan sombong kerana terpedaya oleh harta.

Bagaimana Izaz  tidak peka dengan perasaan  Ali dan Ustaz Peter Muaz terhadapnya?Saya cuma dapat mengesan perasaan Izaz yang menyukai Ustaz Peter tetapi kemudian terkeliru dengan rasa sayangnya terhadap Ali.  Rasa hati ke dua lelaki ini dapat kita rasa saat keduanya memberi keronsang sebagai hadiah harijadi Izaz Noraini. Dalam kesibukan dengan tugasnya, Izaz tidak sesekali melupakan persahabatannya dnegan Maimun, Johana dan Naila. Inilah yang mendorongnya membantu Maimun menyelesaikan krisis dengan tunangnya angkara Farisha Diana yang berdendam dengan Izaz Noraini.

Keseluruhan ceritanya sangat menarik. Saya sungguh terhibur dan gelak guling-guling saat Ali bercerita tentang nama Izaz yang popular dan kemudian diikuti dengan letupan makmal. Takkan ada sound effect ? hahahaha....menghiburkan dan sangat menarik.

4 Bintang saya berikan daripada 5 bintang yang ada....Sila dapatkan dengan membuat pesanan di laman web http://www.jendelaku.com

Cuti Pertengahan Penggal 1 /2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum rakan-rakan pembaca.
Cuti kali ini bermula 12 Mac 2011 sehingga 20 Mac 2011 selama seminggu. Meskipun saya tidak ke mana-mana untuk bercuti namun cuti saya kali ini dimanfaatkan dengan sepenuhnya sehingga tiada ruang untuk rasa bosan menjenguk.
Kebetulan ada beberapa tugasan sekolah yang perlu saya siapkan samada memeriksa kertas ujian Sains murid-murid saya, atau urusan dokumentasi beberapa bahagian  yang saya uruskan.  Apa yang saya hendak pastikan ialah tugasan ini siap sebelum cuti berakhir. Bila berbicara pasal tugas , saya seakan teringat impian yang satu itu...mungkin akan memikirkannya dengan serius.

Satu aktiviti yang juga saya hendak lakukan semasa cuti ini ialah hobi memasak. Saya mahu mencuba beberapa resipi baru seperti yang saya selalu lakukan. Lakukan sesuatu yang menggembirakan diri sendiri.

Hairannya sabtu dan ahad sudah menjadi kebiasaan majlis perkahwinan diadakan terutamanya semasa cuti. Ini bermakna saya tidak dapat memilih sabtu dan ahad sebagai hari untuk keluar dari US pada masa cuti ini. Saya memilih satu hari untuk saya lakukan kesemua aktiviti rasmi dan penting tersebut dan hari-hari lain lebih suka berada di rumah melayan emak saya.

Banyak sebenarnya aktiviti yang boleh dilakukan ketika berada di rumah....kebetulan saya cuba melatih diri untuk malas berjalan...malas memandu sebenarnya.

KARIPAP EPAL

0

Posted by Leeza | Posted in

 Baru-baru ini saya membawa balik 4 ketul pai epal Mc D. Emak saya menyukainya sehingga dia makan dua ketul. Yang lain saya beri kakak dan Luqman. Oleh kerana saya tak berkesempatan untuk ke Mc Donald, maka saya cuba membuat sendiri pai epal ini.


Bahan-bahan untuk intinya ialah : 5 biji epal hijau dipotong kecil, sesudu teh serbuk kulit kayu manis dan secawan gula (bergantung kepada kesukaan sendiri)

Aru /goreng semua bahan menggunakan api yang kecil sehingga pekat dan epalnya lembut. Lenyekkan epal menggunakan garfu.

 Bahan-bahan untuk doh pula ialah : 5 cawan tepung gandum, 2 cawan mentega dan sesudu teh garam dan air setengah cawan.(bergantung kepada kekerasan doh).


Uli tepung dengan garam dan mentega. Kemudian letak air sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh.Bulatkan doh dan canai di atas papan. kemudian letak atas acuan  karipap. Isikan inti epal tadi . Sebaiknya guna acuan yang besar supaya mudah memasukkan intinya. Kalau buat gunakan acuan kecil, jenuh dan mudah terbuka pastrinya.
Ta da.....dah siap. Bolehlah menggorengnya menggunakan minyak dengan api sederhana. Jika mahu keras, letakkan dulu karipap tadi dalam freezer untuk 10 minit baru menggorengnya.

Ada satu yang saya buat bentuk epal pie...tetapi penghujungnya menggunakan acuan karipap lagi kelihatan cantik.

Selamat mencuba...sebab saya akui saya tidaklah pandai memasak. Saya mencuba resipi ini untuk pertama kali. Jadilah kan..untuk melepas keinginan emak . Apa saja yang saya lakukan untuk mak saya....Dan seperti biasa dia berkata pai epal Mc D juga yang sedap...hahahaha.

Gambar Teta

0

Posted by Leeza | Posted in

 Qaisara Seyit Kara  saya temui buat pertama kalinya semasa Pesta Buku Kuala Lumpur 2009 di The Mines . Masa itu usianya baru 3 tahun. Dia anak yang comel, mempunyai rambut yang sangat cantik. Wajah apa tah lagi. Masa umur 3 tahun dia sudah pandai bergaya di hadapan kamera. Senyum manisnya takkan pernah lekang daripada seulas bibir manisnya.
 Semakin meningkat usianya hingga 5 tahun sekarang, dia semakin pandai bergaya di hadapan kamera. Cara berpakaian pun cantik . Apa tah lagi uminya jenis yang suka melihat anak gadisnya sentiasa bergaya.
 Kali ini  pertemuan saya dengannya membuatkan  saya melihat perubahan yang sangat ketara pada Qaisara. Inilah hasil pembelajaran di sekolah. Setiap kali dalam perjalanan dalam kereta dia menyanyi lagu-lagu dan membaca ayat-ayat Al quran pendek dengan gaya tersendiri. Saya tertarik dengan lagu dan gaya yang disampaikan oleh Qaisara. Menarik. Secara tidak langsung saya belajar seseuatu daripada kanak-kanak berumur 5 tahun ini. Pendidikan awal kanak-kanak jika kena gayanya akan menjadikan kanak-kanak itu menguasai dengan baik hasil pembelajaran. Lebih-lebih lagi dalam menghafal ayat-ayat Al Quran, ada gaya tersendiri yang memudahkan kanak-kanak berumur 5 tahun menguasainya. Terimakasih kepada anak kecil ini sebab memberikan saya pengetahuan dan cara pendekatan yang sesuai untuk kanak-kanak peringkat awal persekolahan.
 Setiap kali saya ke rumahnya , dan semasa balik saya mesti mengambil gambar bersamanya. Tengoklah duduknya sudah mencecah leher saya. Setahun lagi mesti dia kelihatan tinggi .
Hahaha...asal muka tu Teta? Macam bosan sahaja....hahaha.

Penanda Buku Yang Cantik

4

Posted by Leeza | Posted in

Perjumpaan kami dengan Eiyra dan tunangnya di Sogo Food Court.

10 jenis penanda buku yang saya beli.      

Saya mengenali gadis penanda buku ini, Eiyra Syra Lola Mokhtar melalui kak Norhayati Berahim. Itupun kerana saya tertarik dengan penanda buku yang berbagai reka bentuk dan warna ini.Lantas saya dan kak NB mengambil kesempatan membuat temujanji dengan Eiyra di Sogo pada petang 26 Februaru yang lalu untuk membeli penanda buku yang dibuatnya . Kebetulan hanya ada 20 jenis penanda buku dan saya membeli 10 sementara kak NB membeli 10 jenis. Itupun berebut dengan warna dan coraknya...hehehe.

Apa yang istimewa dengan penanda buku ini ? Ia cantik dan hanya ada satu unit untuk setiap corak yang ada. Saya gunakan sebagai hadiah kepada geng buku saya terutama kawan yang membaca buku-buku NBKara . Murid-murid yang melihatpun teruja dan saya berjanji dengan mereka jika dapat A dalam Sains semasa Pra UPSR 2 minggu lagi, saya akan berikan satu penanda buku tersebut. Ada murid lelaki yang berkata : Cikgu, itu untuk budak perempuan je..takde ke khas untuk budak lelaki ? Sudah tentu yang bersuara tersebut adalah budak lelaki. Maka Eiyra , akak sampaikan suara hati budak lelaki ini kepada awak. Cuba buat corak yang nampak maskulin. Atau buat keychain yang menarik ?

 Jika ada rakan-rakan yang tertarik dengan penanda buku bolehlah hantar mesej ke inbox EIYRA SYRA LOLA MOKHTAR di Facebook beliau. Harga satu penanda buku ini ialah RM10. Anda boleh membuat tempahan secara online. Ia sesuai untuk anda membaca buku dengan bergaya dan boleh dijadikan hadiah kepada anak-anak atau sahabat handai. Saya sendiri menghadiahkan kepada kawan saya sempena hari jadinya . Guru kan ada buku kitab tebal yang wajib dibawa ke mana-mana ? Jadi hiasi buku anda dengan penanda buku yang cantik ini. Pilih apa sahaja warna kegemaran anda....

SYUKUR ALHAMDULILAH

1

Posted by Leeza | Posted in

 Saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya saya berpeluang menghabiskan hujung minggu ini 25 Februari hingga 27 Februari di rumah novelis idola saya , kakak Norhayati Berahim bersama dengan Khamisah Mohd Nazri. Apa lagi saya terpilih untuk menjadi pengulas buku dan penerbanganpun ditaja oleh beliau. Terimakasih tidak  terhingga atas segala-galanya .Terimakasih Khamisah kerana mencadangkan kepada kak NB untuk memilih saya menjadi pengulas buku. Saya harap ulasan saya cukup baik untuk ditonjolkan .Bila ingat balik , malu saya dengan perangai diri sendiri.Maaf berjuta kali atas segalanya.


Pertama : saya berpeluang berkelah bersama keluarga Kak NB dan geng Pizza (Ridzuan Jaafar dan Khamisah Mohd Nazri) di Taman Lipur Ulu Bendul Kuala Pilah , Negeri Sembilan. Sungainya panjang dan airnya pula sejuk. Yang amat mengkagumkan ialah kebersihannya terjaga. 
Mula-mula memasang khemah. Teta pun tolong sama.
Bergambar beramai di depan khemah . Pak Seyit pun termasuk dalam gambar.
Kak NB menjamu selera sebelum masuk ke dalam sungai. Kelihatan si Atok Baby sedang melayan si Babynya.
Kedua : Saya dapat merasa semua makanan yang saya teringin hendak makan. Takoyaki yang pertama saya rasa, kebab turki juga pertama kali saya makan di Majlis harijadi anak Puan Benazir ,Yassin, mangga  yang enak dari pokok mangga depan rumah Kak NB, air tangan Kusyi , sambal Bilis, air tangan Khamisah , air teh tarik dan bihun goreng, biskut tart nenas dan biskut Kak Halimah Awang.
Takoyaki yang sedap. Makan dua sahaja sudah kenyang. Dan kak NB telah memasak spaghetti meatball nya yang saya minati.



Ayam roasted yang juga sedap.

Cucur Cengkodok Udang yang sedap juga.

Bihun goreng yang digoreng oleh Khamisah. Sedap.
Sambal Bilis yang istimewa hasil tangan wartawan Harian Metro dan juga novelis ,Kusyi  Hirdan. Sedap dimakan dengan nasi lemak.
Akhirnya saya dapat merasa apple pie di Mc Donald ,LCCT .
Ketiga : Saya turut membawa beberapa oleh-oleh yang istimewa dari Kuala Lumpur.


Puding jagung yang kak NB buat sejam sebelum saya bertolak ke LCCT. Saya beberapa kali menanyakannya , sempatkah kak? Ini membuatkan mereka berdua gelakkan saya. Mana saya tahu buat puding ini cuma ambil masa 10 minit sahaja.
Coklat yang kak NB buat dan disaksikan oleh saya dan Khamisah.  Nampak mudah tetapi banyak yang perlu diketahui seperti jenis coklat, penjagaan api, spatula coklat dan jenis pewarna coklat tersebut.


Samosa dan begedil kentang yang Kak NB berikan kepada saya dan kakak saya.
Set sudu hadiah daripada Kak NB kepada kami dua beradik.
Selonggok roti sebanyak RM50 untuk saya bawa pulang. Ketika membelinya di emporium LCCT, banyak yang telah habis., terutama Gardenia dan High5. Hahaha  tangan cilik tu ialah si Buntit ,Putri.

Ke empat : Saya berpeluang melihat benda baru dan belajar banyak perkara terutama tentang kepercayaan dalam persahabatan. Saya sedar saya perlu jauhkan penyakit hati iaitu merajuk dan cemburu agar saya tidak kehilangan sahabat-sahabat saya. 
Pertama kali melihat pokok getah yang ditoreh sebegini secara realiti
Permandangan menarik bagi saya, Kepala Paip paling besar milik SYABAS di KL.
Terimakasih atas segala-galanya. Terimakasih Qaisara Seyit Kara yang menumpangkan bilik kesayangannya untuk ditiduri. Terimakasih  Kak NB dan Suami yang bersusah payah menumpangkan kami dan membawa kami berjalan-jalan. Terimakasih Bibik yang rajin memasak dan melayan kami.Juga terimakasih Kham yang rajin membuli dan menemani saya di sini.Hanya Allah yang dapat membalas segalanya.

SYUKUR ALHAMDULILAH ATAS NIKMAT YANG ALLAH BERIKAN KEPADA SAYA DAN INSYAALLAH SAYA HARUS BERSYUKUR DENGAN APA YANG SAYA MILIKI SEKARANG.
TERIMAKASIH SAHABAT-SAHABAT SAYA KERANA MENYAYANGI SAYA DAN MENYEDARKAN SAYA TENTANG KESILAPAN SAYA.  I LOVE YOU ALL SELUAS ANGKASA....:)