Kelakarnya Kawanku

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini saya sibuk sungguh mencari satu dokumen untuk difotostat bagi tujuan mengisi borang time-based DG44. Saya tidak ingat di mana saya meletakkannya sebab kali terakhir saya menggunakannya ialah tahun lepas. Ketika inilah, saya bersembang dengan kawan baik saya Madam T tentang perlunya penyimpanan dokumen-dokumen penting. Dia sendiri katanya meletakkan semua surat menyurat dalam fail folder mengikut tahun. Saya pula mengumpulkan dalam fail folder tetapi tidaklah ikut tahun.

Kemudian timbul cerita tentang pengalamannya menyelamatkan dokumen-dokumen penting semasa kebakaran gerai berdekatan dengan kedainya. Waktu itu dia baru mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Ketika dia sedang membuai anaknya dalam buaian dia dikejutkan dengan bunyi letupan kemudian ramai menjerit menyuruh mereka keluar dari kedai tersebut. Suaminya pula tidak kelihatan kerana sibuk membantu memecahkan gerai-gerai dan kedai berdekatan untuk mengalihkan tong-tong gas dan tong minyak. Masa itu keretanya sudah dibawa menghala ke jalan. Anak-anaknya yang masih kecil diselamatkan dan diletakkan dalam kereta. Ada orang kampung yang baik membantu menjaga anak-anaknya. Dia menyelamatkan semua dokumen satu laci penuh dan menggunakan kain buaian anaknya untuk mengangkut semua fail keluar kedai. Kemudian dia teringat susu anaknya. Dia terus mengangkut semuanya sekaligus. Lepas itu dia teringat pula perlukan tilam dan bantal. Maka berulang-aliklah dia mengangkut tilam dan bantal dan sumbat ke dalam kereta. Lepas tu teringat pula dengan kipas angin...maka kipas anginpun diangkut sama. Masa itu katanya , dia tak terfikir buat apa mengangkut kipas dan bukannya ada plug untuk diguna. Saya yang gelak guling-guling sempat bertanya, banyaknya masa kau mengangkut semua barang-barang tersebut. Pengalaman ini katanya amat menakutkan tetapi juga sangat kelakar bila dikenang balik.

Sekarang , jika berlaku apa-apa di rumah pasti tak sempat nak selamatkan. Maka saya terfikir alangkah perlunya beg beroda yang sesuai untuk mengangkut semua barang-barang ini. Itu jika dokumen dapat diselamatkan .Jika tidak, kenalah redha menerima ketentuanNya. Maka , berdasarkan cerita ini saya sedar saya harus menyimpan dan mengemas kini semula semua dokumen penting dalam fail-fail yang sedia ada.

Comments (0)