BANJIR 2011

Posted by Leeza | Posted in

26 Disember 2011

Pada waktu ini saya sudah tidak tahu hendak buat apa-apa. Jam menunjukkan 12.14 pm , hari ke dua banjir berlaku di kampung saya. Saya tidak mahu berendam dalam air dalam rumah saya yang setinggi punggung di ruang tamu dan paras perut di ruang dapur. Lagipun kaki saya masih belum sembuh sepenuhnya. Beberapa hari berendam dan meredah banjir dari hujung kampung (lokasi rumah saya) ke hujung kampung  sangat memenatkan dan menyakitkan kaki . Maka saya ingin berkongsi kisah dan pengalaman bagaimana berada dalam keadaan banjir.
25 Disember 2011
Pagi itu, saya ,kakak dan Putri pergi menghadiri kenduri di Kampung Semera Masjid dan Kampung Semera Lot. Emak saya ditinggalkan bersendirian di kerusinya setelah selesai memberinya makan dan meninggalkannya dengan meja yang lengkap dengan air dan ubat. Selesai kenduri ,kakak mengajak saya ke Asajaya membeli  beberapa barang keperluan.  Balik itulah, hujan turun tanpa henti sehingga menyebabkan banjir besar berlaku. Petang, bila saya melihat parit sudah penuh, saya terus mengemas beberapa barang. Sofa yang berat saya minta tolong Loqman dan Ujang angkat atas kerusi  supaya  tinggi. Saya bimbang dimarahi dan dipersalahkan jika sofa kesayangan orang itu rosak. Dan saya menghantar Kodok ke surau kerana itu kawasan yang tinggi. Malamnya air naik menyebabkan saya melarikan Kancil pula sehingga ke jalan besar di belakang kampung. (jalan cina). Selepas itu saya meredah air separas betis  mengambil si Kodok pula. Kami berdua orang terawal memarkir kereta  di tempat tersebut. Hanya tawakal kepada Allah sahaja.Dalam gelap dan hujan lebat serta petir berdentum, rasa seriau dengan ular tedung dan gelap malam tidak mampu ditakuti lagi , hanya berzikir memohon perlindungan ALLAH sepanjang jalan ke rumah. Syukur kerana saya baru membeli lampu  suluh baru. Balik ke rumah saya membawa emak ke atas kerana biliknya sudah dimasuki air. Tetapi malangnya tenaga emak terlalu lemah. Tergelincir mengheret saya turut terjatuh. Saya berusaha tidak menimpa tubuhnya sehingga tangan terseliuh sakit. Mengalah saya sebentar dan hati tak putus-putus berdoa agar keadaan air tidak terus naik. Saya menyalin pakaian emak yang basah . Tetapi hanya beberapa minit kemudian  air mendadak naik, saya terus mengajak emak  pindah ke atas. Saya tahu kakinya sudah sakit akibat terjatuh. Sedikit demi  sedikit saya memeluknya kuat dan dia tidak  berkain ,hanya menggunakan diaper(TENA), sambil memimpinnya berjalan dalam air separas lutut dengan perlahan  naik ke atas. Doa pada ALLAH menguatkan tenaga saya sebab jika emak tidak kuat dan terjatuh dari tangga, pastinya ia turut membahayakan saya juga sebab saya pasti akan jatuh sama.Bila sampai ke dalam bilik , syukur alhamdulilah. Sebaik dia selesai baring di bilik atas, saya bergegas turun menyelamatkan tilam kami berdua. Malangnya tilam saya sudah basah kena air. Almari emak  yang jatuh hanya satu laci sahaja sempat saya selamatkan. Termasuk tong gas yang terapong dalam air saya tutup dan letak di tempat tinggi. Maka malam itu, jadilah malam yang penuh pasrah melihat dua peti ais , mesin basuh ,sofa dan almari-almari serta semua harta benda di dalamnya ditenggelami air. Saya lupa dalam almari ada jag , toaster , sandwich maker, pemutar telur dan barang elektrik dalam satu almari juga rosak dalam air. Syukur hartan benda sekolah seperti sekotak buku library dan dokumen dan fail penting sempat saya bawa ke atas. Masa itu sengal dan sakit badan tidak  terucap. Bila duduk di tingkas atas, saya tidak dapat melelapkan mata . Hanya berdoa dan solat hajat memohon perlindungan  Allah. Saya teringat malam Krismas , kisah ribut Greg menakutkan saya. Hujan lebat tidak berhenti dan air semakin naik. Saya menelefon kakak di rumah depan , meminta mereka anak beranak lari ke rumah saya di tingkat atas tetapi telefon tidak diangkat. Jam 2.30 pagi anak menantu kakak menelefon menyatakan hendak lari ke rumah saya. Saya mengemas bilik yang awalnya saya simpan kusyen-kusyen  untuk diduduki oleh mereka anak beranak. Saya membuka pintu dan menunggu kakak di situ kerana bimbang dia yang membawa bayi kecil si Alisya 3 bulan  , bimbang terjatuh dalam air kerana  lantai rumah yang licin. Maka ramailah kami di rumah malam itu. 
pandangan dari jendela bilik saya di tingkat atas

Rumah kakak yang pertama kali mengalami banjir

Rumah Luqman

bersambung lagi......

Comments (0)