Bila RM Beraja Di Hati

Posted by Leeza | Posted in

Kali ini saya ingin bercerita tentang manusia yang hatinya sudah dikuasai oleh RM. Sepasang suami isteri ini mempunyai pekerjaan yang bagus . Namun keduanya tidak pernah puas dengan wang gaji yang ada , maka bekerjalah keduanya mencari wang lebihan. Cita-cita keduanya ialah menjadi jutawan dan mempunyai wang simpanan berjuta . Rumah banglo dua tingkat milik mereka diubahsuai secantiknya. Kemudian membina bengkel 'welding besi' depan rumah buruk kakaknya sehingga rumah kakak tersorok dari pandangan. Jika kenduri arwah ibubapanya , akan dibuat dengan menjamu rakan-rakan di sekolah sahaja. Alasannya senang dan mudah. Malas hendak melayan karenah orang kampung. Pendekata , malas nak beri orang kampung makan.

Baru-baru ini mereka mengamuk kerana dinding bengkel diconteng dengan lukisan tengkorak. Kemudian batang paip patah dilanggar dengan basikal. Kumpulan yang dituduh ialah geng basikal Luqman. Setelah disoal siasat ternyata anak mereka sendiri punya kerja. Namun mereka menidakkan kenyataan ini. Dengan suara bising berdegar-degar si isteri hendak memasukkan budak-budak ini ke dalam lokap. Mentang-mentang suami ada jawatan di balai. Saya berpesanlah dengan Luqman yang saya kuncikan setiap malam agar menjauhi kawasan rumah orang kaya tersebut.

Saya teringat satu masa dulu ketika masih muda, saya banyak membantu perempuan ini meminjamkan buku-buku rujukan SPM. Kemudian ketika dia memasuki maktab saya juga yang membantu mengisi borang permohonannya. Pernah satu kali dia mengejar kakaknya keliling kampung sehingga kakaknya melarikan diri ke rumah saya. Saya juga yang menenangkan kegilaannya . Akhirnya saya yang mengamuk apabila melihat mak saya menggigil di sudut rumah...kedua-duanya saya halau dari rumah saya. Hahahaha...mahu tercengang-cengang perempuan itu.

Cakapnya berdegar-degar....kononnya ASB nya sudah beribu-riban. Kemudian katanya dia hendak membeli rumah baru sebagai pelaburan....bertahun berlalu, dia tidak membeli rumah baru tetapi saya pula yang telah membeli rumah . Dia juga yang dengan lantangnya di depan orang-orang kampung mengatakan saya bodoh menjaga anak-anak saudara. Katanya tidak guna berbakti kepada anak-anak saudara yang takkan menjaga kita nanti. Marahnya saya masa itu tidak terkata. Saya hanya menyatakan : bagi awak mungkin tidak ada makna, tetapi setakat ini anak-anak saudara saya tidak pernah tidak menyukai dan mendekati saya. Dia terdiam kerana anak-anak saudara itu takut dan tidak menyukainya.

Comments (0)