BLOG PRIASETIA oleh Anuar Kamaruddin

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel BLOG PRIASETIA adalah karya sulung penulis lelaki tunggal NB Kara Sdn Bhd. Sejujurnya saya akui saya kurang meminati karya mana-mana penulis lelaki selain Abdul Talib Hassan dengan karya bombastiknya SAGA kerana gaya penyampaian lelaki biasanya hambar, terlus dan lurus ke titiknya. Namun anehnya jika dilihat pada sifat luaran lelaki sebenarnya punya daya rayuan gombal yang mampu melelapkan sesiapa juga hati wanita. Siapa Anuar Kamaruddin ? Dia hanya budak handsome yang biasa-biasa sahaja namun terserlah kreativitinya melalui laman blog peribadinya kemudian makin luar biasa bila dia menunjukkan bakat dengan mereka sendiri cover novel sulungnya ini.

Namun pendapat negatif saya berakhir dengan positif bila saya semakin ralat mahu meninggalkan buku itu ketika menatapinya. Dalam tempoh tak sampai 48 jam saya berjaya menamatkan bacaan saya dengan kepuasan. Novel ini mengikat saya......

Blog Priasetia adalah sebuah laman blog yang tanpa sedar menjadikan semua kisah di dalam novel ini berhubung kait antara satu sama lain. Gaya penyampaian dan perkembangan plotnya sangat menarik dan tidak membosankan. Kisah watak utama seorang gadis comel, Yuni Shora seorang pereka grafik di syarikat alatan muzik menjadi pengunjung setia laman blog PRIASETIA. Keceriaan watak Yuni Shora dengan lingkungan kehidupan keluarga yang bahagia namun tidak lari dari menghadapi masalah adiknya yang brutal, Azroi. Di sini kita didedahkan betapa susahnya mengawal remaja kini yang terlalu bebas dengan kehidupan sosial luar dan terpengaruh dengan kawan. Azroi yang merasa rendah diri dan terasa diabaikan oleh ibubapanya mengambil jalan yang salah sehingga hidupnya terjerat dengan dadah. Bagi sesiapa yang menghadapi remaja seperti ini, tentu faham perasaan bimbang dan amarah kita dalam menahan kesabaran dengan perangai mereka yang biadap dan memberontak. Hati kita bahagia dan tenang menghadapi kehidupan Yuni yang ceria dan sukses di tempat kerja . Masalah di rumah tidak membantutkan semangat kerja dan kreativitinya.
Pertemuan semula setelah sekian lama berpisah antara Yuni dan Richard a.k.a Rasheed X mencetuskan rasa cinta di hati Rasheed namun lambat di hati Yuni. Bukannya Yuni tidak menyintai Rasheed tetapi kehilangan Azroi menyebabkan Yuni lebih memfokus pencarian maklumat untuk menjejak kehilangan adiknya. Blog Priasetia yang mengaitkan Lola Kesandra dan nota cinta Azroi menyebabkan Yuni menjejaki kebenaran yang pahit tentang sisi gelap adiknya dengan Lola Kesandra dan hubungan dengan Mr Big K pengedar dadah yang terkenal.
Kemudian kehilangan Azroi dan kemunculan semula 'Amir' yang hilang ingatan selepas kemalangan merupakan satu peluang kedua dalam hidup Azroi. Dia memberi sinar dalam kehidupan keluarga Aminah yang mengalami sakit jiwa akibat kematian suami dan anaknya. Ketika dinyatakan yang wajah Azroi seiras dengan wajah Amir, saya sudah dapat mengagak bahawa Azroi mempunyai pertalian darah dengan keluarga Aminah sebab kemungkinan sepupu mempunyai keirasan wajah adalah nyata. Pelbagai rasa kita cicip dalam novel ini, ada rasa gembira, ceria, kasih sayang, nakal, cemas, ganas, dan lucu.

Saya gelak guling-guling dengan watak Inspektor Sahab yang ala-ala polis Bombay namun dia adalah Islam. Begitu juga dengan watak Pak Shuib dengan bahasa inggerisnya. Sebutan 'sotong' menjadi 'setong' membuat saya ketawa melangap-langap. Apa lagi dengan nama klinik 'Sihat ceria sentiasa' membuat saya senyum sampai ke telinga. Gaya bahasa cukup santai dan mudah difahami. Ada satu stail yang Anuar ikut gaya NB iaitu memperkenalkan makanan karipap sardin dan makanan jawa kresengan. Saya masih mengingati sedapnya karipap sardin buatan kak Jah semasa di Kl dulu dan ini kali pertama saya merasa karipap sardin. ( kunonya saya kan..) Banyak info dimuatkan dalam novel namun cara penerangannya cukup santai dan mudah difahami. Serasi dan sebati dengan adunan penulisan ayat-ayat . Plot tersusun kemas. Semasa Rasheed meluahkan isihati kepada Yuni yang sibuk bermain game tenis di handfonnya, saya seakan membayangkan cerita cinta hindustan....suasana itu sungguh mengkagumkan. Nilai-nilai murni tidak dilupakan, pertemuan semula Azroi dengan keluarganya membuat saya menitiskan airmata. Saya bersyukur pengakhiran nasib Azroi adalah baik dan bukan mati di tali gantung atau mati tanpa sempat bertaubat. Syukur sangat-sangat, semoga anak-anak remaja kita yang jauh tersesat kembali ke pangkal jalan......amin.

Tahniah kepada Anuar Kamaruddin. Tahniah juga kepada editornya Anida Daud dan tahniah juga kepada NB Kara sebab melahirkan dan membimbing bakat baru ini ke persada penulisan. Semoga Anuar Kamaruddin jangan mudah lupa diri setelah berjaya menghasilkan novel sulung ini, kekalkan gaya penulisan anda dan perbaiki menjadi lebih baik lagi.

ILHAM HATI oleh Damya Hanna

0

Posted by Leeza | Posted in


Saya tidak pernah ketinggalan membaca novel karya Damya Hanna. Novel ini telah saya khatam petang semalam . Novel ini menceritakan kisah seorang isteri yang hilang ingatan amnesia selepas terlibat dalam kemalangan. Rian kehilangan memori 4 tahun terakhirnya sehingga dia tidak mengenali suaminya Hanif dan segala peristiwa yang berlaku dalam 4 tahun itu. Keadaan ini membolehkan suaminya Hanif mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap Rian. Di sinilah kekuatan novelis ini mengembangkan plotnya sehingga timbul pelbagai peristiwa yang terkadang tegang, romantis dan berakhir dengan ketegasan dan luka mendalam di pihak Rian. Sedari awal lagi saya tertanya-tanya kenapa Hanif berdendam, bagaimanakah karekter awal Rian sebelum kemalangan dan apa kandungan wasiat arwah datuk Rian? Rasa tanda tanya yang menggoda ini membuatkan saya terusan menatapi karya ini di sebalik kesibukan harian saya.
Apa yang pasti , keadaan kehilangan memori ini memberi peluang kedua dalam hidup Rian untuk berubah sikap dan memperbaiki kehidupannya. Rian menjadi wanita baru yang berazam menjadi isteri yang baik kepada suaminya.Malahan walau dendam berkobar-kobar, Hanif akur dengan kehendak hati yang sudah jatuh sayang dan memberi peluang kepada dirinya mengecapi kebahagiaan berumahtangga. Kemaafan adalah sesuatu yang terindah, itulah terjadi dalam hubungan Rian dan hanif. Saling memaafkan memungkinkan mereka mengecapi kebahagiaan.
Walau bagaimanapun, penulis tidak mengendahkan soal wasiat arwah datuk Rian. Sehingga cerita sampai ke penghujung, saya tidak tahu apakah isi kandungan wasiat arwah datuk Rian sehingga Rian nekad menjadikan Hanif sebagai suaminya. Apa yang saya faham ialah, arwah datuk meletakkan syarat agar Rian berkahwin dahulu barulah wasiat itu dapat dibaca oleh Rian. Sehingga ke akhirnya Rian masih tidak dapat mengingati sepenuhnya peristiwa 4 tahun terakhir dan hanya mengetahui segala kisah dan perangainya melalui jurnal atau diari peribadi yang dijumpainya di bilik tidur yang sentiasa terkunci. Terlalu banyak tanda tanya yang masih samar-samar dan tidak jelas seperti bayangan sepasang lelaki dan perempuan yang dilihat oleh Rian semasa kemalangannya. Apa penyebab kemalangan itu terjadipun tidak dinyatakan oleh novelis ini. Rian pemandu kereta mewah dan peminat aktiviti bermotor lasak, tentu adalah pemandu yang mahir. Penulis banyak mengungkapkan segala pertelingkahan mulut yang terjadi antara Rian dan Hanif. Jika ada dugaannya pun hanya kehadiran Nurliza yang menagih kasih Hanif kembali dan ini tidak berjaya menggugat rasa kasih yang telah wujud di hati Hanif untuk isterinya Rian. Watak Nurliza ini gambaran watak seorang pesakit kanser tahap terakhir dan sudah tahu kematiannya semakin mendekati. Kenapalah penulis masih menggambarkan wanita yang patutnya hanya memikirkan soal mati dan memperbanyakkan amal ibadat ini dengan mengejar cinta seorang lelaki sehinggakan dia nekad menemui Rian memohon untuk dibenarkan berkongsi Hanif. Apabila permintaannya ditolak oleh Rian atas alasan tidak mahu Hanif lebih terluka dengan kehilangan yang pasti dihadapinya juga, dia nekad pula menelan pil penenang. Singkat sangat pemikiran watak Nurliza sebagai wanita melayu Islam.

Novel ini menarik dengan gaya bahasa yang sesuai , kemas dan teratur. Rasa ingin tahu membuatkan kita terus menghabiskan cerita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi dalam 4 tahun terakhir dalam kehidupan Rian sebelum dia hilang memori.

Hari-Hari Yang Sibuk

0

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari sudah berlalu dan blog inipun terbiar bersama kesibukan tanpa henti. Ditambah pula dengan perkhidmatan broadband yang seperti 'koyong' makin membantutkan mood untuk mengemaskini cerita dalam blog.
Sehari sebelum cuti, kami mengadakan jamuan perpisahan untuk meraikan kelas tahun 6 /2009. Seramai 31 orang murid dan mereka merupakan kumpulan yang mencipta sejarah kecemerlangan untuk SK Jemukan . Jika tahun lepas keputusan sekolah lulus keseluruhan subjek hanya 41% tetapi tahun ini, kelas ini mencapai 83.8%. Bagi subjek saya, Sains, mereka mengulangi kecemerlangan kelas tahun 6 (2004) dengan peratus lulus, 93.7 .Alhamdulilah dengan pencapaian ini.
Pada hari Isnin 23 November 2009, saya membawa 7 orang murid lelaki untuk pergi ke kolam renang kemudian makan di KFC, Samarahan. Mereka teragak-agak melihat kereta kancil saya dan mengemukakan soalan : Muatke cikgu ? Saya hanya ketawa dan menjawab ringkas, : pepandailah kamu memenuhi ruang. Awg Raihan dan Zaidi duduk di depan, Zairul, Hafiz, Jalaludin, Azlan dan Ismail duduk di belakang. Wow...berat rasanya kereta saya. Nasib baik dipermudahkan, tiada pemeriksaan polis sepanjang jalan.
Malangnya, kolam renang ditutup pula untuk sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan. Walau bagaimanapun wajah mereka yang hampa kembali ceria apabila mengadap ayam goreng, kentang goreng, dan kentang wedges dengan cheese.
Selepas kekenyangan saya bawa mereka shopping. Mereka semuanya membeli radio autoscan yang kecil dengan harga RM5.99. Inilah kenangan mereka dan hadiah kerana lulus dengan baik. Saya berikan mereka hadiah ini sebab mereka sejak awal menunjukkan usaha yang positif. Bayangkan daripada tidak lancar membaca , Zaidi, Azlan dan Awg Raihan berjaya lulus dengan baik dalam Sains. Kumpulan perempuan belum lagi saya bawa sebab saya menunggu kolam renang siap dibersihkan.
Hari ini, saya mendapat bungkusan dari Kuala Lumpur lagi. Inilah hadiah istimewa daripadanya. Terima kasih kakak. Cantiknya beg ini....saya nak gunakan semasa perjumpaan reunion KOLEJ's nanti.

Setiap hari saya meluangkan masa sepenuhnya menguruskan hal keluarga dan rumah. Walaupun cuti, saya tetap menjenguk sekolah untuk menyiapkan beberapa persediaan untuk persekolahan tahun depan. Tiada makna bosan dalam kehidupan harian saya, alhamdulilah. Selamat menyambut hari raya aidil adha untuk semua rakan blogger yang saya kasihi.

Majlis Kecemerlangan Dan Khatam Al-Quran

0

Posted by Leeza | Posted in


Setiap murid dan guru menunggu majlis ini sebagai penutupan persekolahan tahun 2009.Majlis ini dimulakan dengan perarakan untuk 30 orang murid tahun 6 dan 5 yang khatam Al Quran.Mereka diiringi oleh kumpulan Hadrah Kampung Jemukan.

Sebelum mereka memasuki dewan, Ustaz Muhd Sabri memberi sedikit taklimat.

Inilah wajah anak-anak kelas prasekolah 1 dan 2. Tahun depan sebahagian mereka akan masuk tahun satu. Gelisah je si Aiman Darwisy ini....

Inilah kumpulan TAHTIM yang membimbing majlis khatam Al Quran. Menurut Ustazah mulai tahun hadapan murid-murid sendiri akan diajar bertahtim dan membimbing majlis ini sendiri.

Ini pula kumpulan murid yang berjaya menerima hadiah dan sijil . Yang depan tu murid-murid tahun 1. Si Ghalib anak cikgu Adil membolot semua hadiah dan mendapat tempat pertama. Si Hanni (anak ustazah)yang no 2 mengatakan yang dia akan mengambil balik tempat pertama tahun depan. Si Umm Syi'fa(anak ustaz) pun yang no3 berkata : kamekpun mahu no 1 juga. Hanni menjawab : eh..sik boleh. kamek sik maok berik. Hahaha betapa hebatnya azam dan tekad anak-anak ini bersaing untuk menjadi terbaik.

Majlis diakhiri dengan persembahan murid-murid tahun 6,lagu nasyid dan coral speaking. Mereka sendiri yang mainkan muzik. Dua minggu cikgu Zolkifli membimbing dan melatih mereka.

Haaha...inilah budak kecik yang asyik menyakat saya setiap hari, Si Mohd Nor Aiman Aslizam. Tadi bila tengok saya melompat setelah dapat panggilan telefon dia sibuk tanya dari siapa. Dari boyfriend ke? Aduhh lasernya mulut dia.

MENUNGGU CINTA TUHAN oleh Lily Haslina Nasir

2

Posted by Leeza | Posted in


Ketika membaca review oleh sahabat dan teman juga melihat pada cover novel yang simbolik menjadikan saya seperti nanar untuk mendapatkannya. Saya berusaha untuk memesan secara online namun kerana 'si rimo' mogok hari itu, saya sampai berpusing mencarinya di pasaran setempat. Seorang sahabat saya sanggup pula membantu untuk memesannya dan saya kemudiankan bayarannya. Begitulah hebatnya pesona 'Menunggu Cinta Tuhan'.

Saya telah habis mengkhataminya tepat jam 6 pagi tadi. Saya akhiri dengan rasa kecewa yang teramat. Saya rasa inilah penulisan Lily yang paling serabai. Kenapa Lily? Adakah terlalu ghairah mengejar dateline sehingga kepakaranmu menjadi goyah dan seadanya sahaja?

Novel ini digambarkan sebagai novel islamik namun bagi saya secara peribadi saya katakan kategori novel ini lebih menjurus kepada novel horror. Dari segi mana dikatakan islamiknya jika hampir 50 peratus isi novel lebih menjurus kepada sihir, ilmu ghaib, hantu dan seadanya. Azrul Rasyid watak hero yang berpendidikan tegar dalam islam seharusnya tahu berfikir mana salah dan betul. Arah manakah yang menyesatkan Azrul jika pendidikannya memang teguh kemudian penuh dengan kasih sayang ibubapanya. Jika Azrul sesat hanya kerana gadis si Pamela Anderson atau Pam Bola itu, rasanya jauh lebih baik golongan artis yang menjadi bahan gossip Azrul. Jika dia menghentam orang lain kerana kehidupan sosial dan skandal mereka, bagaimana pula kehidupannya sendiri? Tidakkah ini memberi kesan kepada kerjayanya? Azrul bersolat dan mengaji mengapa dia tampak terkejut bila diajak ke Mekah? Kemudian apa peranannya terhadap unsur islamik dengan perangai 'tiger' dan bodoh sombong seadanya? Bukankah islam memerlukan kelembutan dalam kehidupan?

Kemudian watak Khalida Atikah digambarkan takut-takut. Dari awal sampai akhir penakut dan pendiam. Di manakah peranannya ? Saya tak suka dengan gambaran watak penakut si Khalida ini terutama semasa menemuduga Cik Latifah di restoran. Dia sudah mendapat info bonus daripada Kak Piah dan juga tentang Murat. Kenapa dia tak mempergunakan peluang ini dan seharusnya penulis memperkembangkan isu Murat tersebut. Seharusnya Khalida membuat siasatan susulan dengan Encik Murat. Sepatutnya Lily gunakan watak Khalida untuk menonjolkan islamik dan meniup kesedaran pada Azrul Rasyid. Adakah maksudnya hendak menonjolkan keberanian Khalida melalui tulisannya? Rencana Bergendang bersama Raden ditulis dengan panjang lebar, seakan Lily hanyut dengan suasana tersebut. Mungkin Lily tidak perasan bahasanya semakin tidak konsisten dan lupa tentang latar belakang tulisannya. Mukasurat 397 , ditulis keadaan pada masa itu berlaku di majlis gilang gemilang karpet merah, maka si Raden bertemu dengan rakannya ,bersembang dan membuka rahsia. Kemudian digambarkan pula masa itu majlis makan malam majlis hari jadi untuk Bapa Gula rakan Raden tersebut, siap mendemonstrasi penggunaan minyak cenuai. Aduhh Lily....jika diperhati betul-betul, majlis gilang gemilang karpet merah mungkin gambaran majlis award artis. Bagaimana mereka berdua boleh bersembang panjang lebar dan kita sedia tahu bahawa serapat manapun kita dengan sahabat kita ,tidak mungkin kita berkongsi sesuatu yang mengaibkan ini. Apa lagi hendak mendemonstrasi di depan mata. Dan banyak pula 'cut and paste' dari blog, website dan email. Tidak perlu sebenarnya untuk meletakkan kesemuanya ini sebagai menambah mukasurat. Hakikatnya Lily banyak membuang muka surat dengan segala info dan 'cut and paste' ini.Mengapa Lily tidak indahkan lagi novel ini dengan perubahan hubungan Azrul dan Khalida. Tidak semestinya selamanya mereka bermusuhan.

Kisah Cik Latifah dan Nureen pula pun satu hal. Lebih banyak penggunaan frasa muntah hijau dan semua yang jelek sehingga saya tidak rasa takut tetapi mual dan saya yang muntah berkali-kali. Cerita mereka ini lebih menguasai jalan cerita novel sehingga timbul rasa seram terutama pada waktu malam Cik Latifah memuja dan memanggil pelarisnya. Watak Din ,Ismail dan Kak Yam pula tidak terlalu menonjol , ia digambarkan insaf dan tidak mahu bersubahat namun enggan pula bertindak untuk menentang. Perjuangan tidak ada ertinya tanpa tindakan dari segi perlakuan . Mereka masih takut-takut dengan Cik Latifah.

Ibu Azrul juga digambarkan pengsan ketika mengerjakan umrah ,kononnya dia dihukum. Adakah seorang wanita yang dirogol dikatakan berdosa? Mungkin dimaksudkan ialah Puan Azah rasa berdosa kerana merahsiakan status Azrul daripada suaminya . Anak dilahirkan selepas 6 bulan perkahwinan , berhak berbinkan suaminya. Juga perlukan kita bertaubat di mekah sahaja? Mengapa ibubapa Azrul perlu menunggu ke Mekah untuk menceritakan status sebenar Azrul ? Bukankah Azrul lebih dari matang untuk menerima kenyataan ini?

Terdapat juga kesilapan teknikal iaitu :
mukasurat 308 - Azrul Azhar, mukasurat 339- kak Sham, mukasurat 394 - Pak Ali,azroy.Mukasurat 464 pula nampak kisah sangat bercelaru. Memula kisah Cik Latifah kemudian perenggan berikutnya pula kisah Azrul. Kecelaruan ini makin memeningkan kepala apabila Lily merapu dengan ayat-ayat : sepasang kaki kecil berlari di gemercik air. ikan bersisik-sisik terkejut ,cepat berenang jauh dalam kilatan-kilatan sungai.... aduhai Lily Haslina Nasir pujaanku. Apa benda yang merepek soal budak, air dan sungai ini? Sedangkan suasana masa itu hanyalah runtuhan bangunan dan banjir lumpur.Bila masa pula ada rebung di situ? Lain kali saya harap Lily jangan pasang muzik kuat-kuat ketika menulis. Satu lagi ayat yang saya puas memikirkan maksudnya ialah penggunaan perkataan 'makam'. Ya, itulah cinta yang paling tinggi makamnya yang pernah dirasakan. Makam itu maknanya pusara atau kubur. Jika 'maqam' dalam bahasa Arab maknanya ialah kedudukan. Mungkin maksud Lily ialah kedudukan yang paling tinggi untuk cinta Tuhan.

Cinta Tuhan sentiasa ada untuk semua hambanya. Yang pasti, cinta kita kepada Tuhan yang masih tidak ada kepastiannya sebab ada antara kita yang masih tidak mahu menyintai Tuhan. Namun Tuhan tidak pernah berhenti menyintai kita.

Saya mengharapkan novel Lily yang akan datang lebih baik daripada ini. Secara terus-terang saya akui novel Aku Ada Kamu adalah karya Lily yang terbaik setakat ini. Janganlah lagi ada unsur mistik di dalamnya...

SUNGGUH AKU CINTA oleh Anis Ayuni

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel 'SUNGGUH AKU CINTA' baru sahaja saya khatam beberapa minit yag lalu. Kisah cinta antara Humaira janda yang diceraikan oleh Azhan kerana hendak berkahwin baru dengan seorang bujang terlajak, Fajaruddin. Cinta mereka bersemi seiring dengan hobi mereka yang menyukai aktiviti lasak seperti mendaki gunung , menerokai hutan belantara dan menyertai pertandingan menaiki Menara Kuala Lumpur. Namun sedar statusnya sebagai janda , seboleh mungkin sedaya upaya Humaira mengelakkan hatinya daripada jatuh sayang berlipat ganda dengan Fajar yang tidak pernah putus asa memikat hati. Pada akhirnya hubungan ini mendapat tentangan daripada ibu Fajar, Datin Yati. Mengalahkah mereka? Tidak sama sekali malahan cinta yang membara semakin intim dan bertaut mesra. Musibah yang menimpa kepada Nur Suria adik Fajar yang kehilangan suaminya dalam usia yang muda menginsafkan Datin Yati untuk menerima kehadiran Humaira sebagai menantu.

Perjalanan percintaan Maira dan Fajar memang ada halangan orang ketiga iaitu rayuan daripa Azhan bekas suami Maira yang ingin kembali menagih kasihnya. Begitu juga dengan Jezmine yang menaruh hati kepada Fajar. Apa sahaja halangan ,jika sudah jodoh takkan beralih arah dengan ketentuannya.

Latar belakang tempat dan suasana lebih setengah dari mukasurat novel ini menceritakan aktiviti kegiatan ekspedisi dan aktiviti lasak ke dua hero ini untuk menggambarkan pertemuan dan mula putik asmara keduanya berkembang. Ini bahagian informasi yang ingin didedahkan oleh penulis kepada pembacanya iaitu tentang kegiatan lasak ini dan juga risiko pendaki gunung seperti penyakit acute mountain sickness (AMS) akibat perubahan altitude gunung. Didedahkan juga persediaan yang perlu dilakukan jika ingin menyertai ekspedisi mendaki gunung ini.

Romantiskah percintaan mereka ? Oh rasanya sesedap rasa. kehkehkeh. Biasalah lagak hero mengurat heroinnya. Apalagi bila berjumpa dengan wanita janda yang pernah mengalami tragis percintaan yang melukakan tentu sahaja segala rayuan menjadi bagai satu amaran untuk berhati-hati. Cuma satu bahagian yang saya tidak suka dalam novel ini. Adegan Fajar memujuk rayu dan meluahkan isi hati kepada Humaira menggunakan tajuk-tajuk novel di dalam kedai buku. Kenapa saya tidak suka? Sebabnya saya pernah terbaca adegan seperti ini dalam sebuah novel yang lain. Cara yang sama . Saya tak tahu samada novel lama penulis ini sendiri atau novel orang lain. Kalau dirujuk kepada umur Fajar dan Maira rasanya teknik percintaan ini tidak sesuai sebab kebudak-budakan. Alahai ..... saya dah berusia sebab itu tidak suka. Hehehehe...pembaca yang muda remaja mesti suka....Atau cinta itu memang buta, usia yang matang boleh menjadi muda remaja semula. Ada dua perkataan yang suka digunakan oleh novelis ini iaitu bercangkaliwang dan mengumpamakan. Dia seakan mencari keyakinan dengan mengunakan dua perkataan ini berulangkali.

Novel ini bagus juga dibaca sebab gaya bahasa menarik dan tidak berjela-jela. Cuma pada akhir cerita kisah Nur Suria dan Tengku Zakir dibuat seperti berebut-rebut untuk menjimat mukasurat. Sesuailah dibaca untuk setiap peminat novel. Saya memang membaca semua karya Anis Ayunni namun novel ini tidak dapat melawan kehebatan novel SUARA HATI , karya pertamanya. Semoga dia tetap terus menghasilkan karya yang lebih bagus dan matang pada masa akan datang.

Biarkan aku menangis

2

Posted by Leeza | Posted in

Awal pagi saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang saya tahu adalah nombor telefon bekas kekasih saya . Saya tidak lagi menyimpan nombornya tetapi saya ingat nombor yang hujung. Bila saya angkat, seorang perempuan marah-marah bertanya kenapa saya call sedangkan saya tak pernah call sesiapapun beberapa hari ini. Dia marah-marah dan mencarut sehingga saya akhirnya terus memutuskan talian dengan menjawab : sorry, wrong number. Saya amat sedih kerana begitu sekali seorang wanita mempertahankan haknya. Sedangkan dia tak perlu membuat begitupun kerana saya sudah lama redha dengan hakikat ketiadaan jodoh antara kami. Jika saya jahat, dia takkan mampu memiliki kebahagiaan dengan lelaki itu . Bukan jenis saya yang akan menjadi pihak ketiga dalam sesuatu hubungan. Biarlah saya menangis daripada melukai hati orang lain. Dalam hati saya membuat andaian mungkinkah dia sengaja mencetuskan rasa cemburu isterinya ? Dia tahu saya takkan berpaling kepadanya biarpun dia datang melutut sekalipun di hadapan saya. Dia sudah diberi pilihan dan dia memilih wanita itu. Bukankah saya bukan wanita terbaik untuknya? Jadi janganlah ganggu hidup saya lagi.

Saya rasanya sudah lama tidak menangis. Hari ini biarkan saya menangis sepuas-puasnya. Satu persatu masalah yang menimpa dan terpaksa saya selesaikan dengan secara aman akhirnya mengundang kesedihan dalam diri saya sendiri. Kenapalah saya harus menghadapi semua dugaan ini sendiri. Adakah mereka tahu apa yang bermain dalam minda saya? Adakah mereka tahu kebimbangan saya? Tidak sama sekali kerana manusia takkan mampu menlangkaui minda manusia lain melainkan saya meluahkan semuanya. Namun inilah kehidupan, saya harus bertarung seorang diri kerana tiada siapa yang dapat membantu. Biarkan aku menangis sekejap untuk beberapa detik ini . Esok bila fajar menyingsing, saya akan bangkit bersama sinar harapan untuk kembali teruskan perjalanan.