Macam Lebai Malang

0

Posted by Leeza | Posted in

Pernah tak buat kerja bodoh macam ini ? Saya rasa hari ini saya memang tak waras. Agaknya virus yang menyerang saya dua hari ini hingga membengkakkan muka saya dah menyerang otak saya. Awal pagi lagi saya memang dah rancang aktiviti saya untuk servis kereta dan kemudian ke rumah abang saya, berjumpa buah hati saya Farah, Farid dan Daniel.
Biasanya saya akan bertolak dari rumah jam 7 pagi tetapi mengenangkan bengkel mula beroperasi seawal jam 9 pagi, saya layan chatting dulu. Sebelum bertolak saya sms rakan saya si CT yang tinggal di Samarahan bertanyakan waktu feri beroperasi. Malangnya feri berhenti jam 7 pagi, terpaksalah saya menggunakan jalan jauh untuk ke seberang. Sakit rasanya badan saya memandu kereta yang sudah lari alignment tayarnya. Tiba di bengkel saya terus buat allignment, balancing dan servis sekali. Lama juga cina tu uruskan kereta saya.
Kemudian saya memandai je tukar rancangan. Saya nak mengembara hari ini, malas nak memandu. Jadi, saya tinggalkan kereta di Samarahan kemudian saya naik van sewa ke bandar Kuching. Apa yang saya buat dalam van....menghirup udara segar kononnya sambil melihat sekeliling. Namun nasib saya malang sebab driver van itu kenal saya.....asyik menyakat saya sahaja. "Cikgu....apalah kereta tu tak pakai..,nanti tayar kereta dimakan tikus pulak." Saya hanya kata, " ala... sekali sekala aku nak juga jadi penumpang."
Sampai di Kuching saya pusing satu tempat jalan kaki sambil merayap mencari kedai-kedai buku lama. Seronok berjalan seorang diri. Kemudian, saya naiklah bas ke Satok. Dalam bas saya terserempak pula dengan kawan lama saya yang jadi konduktor bas. Sempat dia duduk bersembang dengan saya....takde citer lain asyik hal boyfriend sahaja. Muak saya. Tujuan saya ke Satok ialah berjumpa dengan 'rimo'. Alahai si harimau ini memang menyampah sangat-sangat sebab hari sabtu inilah dia buat hal pula. Mesin cash depositnya tergendala. Bukan satu tapi semua. Aduhhhh tak sampai hajat saya. Patutnya hal ini diselenggarakan secepat mungkin sebab bukan saya sahaja nak guna, orang lain pun sama. Bukan sekali ini saya terkena, tetapi acap kali. Bayangkanlah jauh saya bertandang semata-mata nak guna perkhidmatan maybank. Namun hampa kecewa. Hajat saya sangat besar.... bilalah saya nak ke Kuching lagi untuk tunaikan hajat ini. Saya terus memujuk hati dan singgah makan di sebuah kedai makan. Hajat nak makan di Restoren Selera Asam Payak tak kesampaian sebab kedai ini tutup pula hari ini. Aduhh sabtu yang malang atau saya yang malang? Saya pesanlah nasi goreng seafood. Ingatkan adalah udangke, sotong ke di dalamnya tetapi semakin saya kuis nasi yang ada cuma nasi dan telur. selebihnya hirisan timun yang kecut. uwaaaaa ,rasa nak meraung saat itu juga. Mengecut selera saya yang mulanya tadi mengembang. Saya terus balik tanpa menghabiskan setengahpun nasi goreng yang paling tak sedap dalam dunia. Kemudian saya terus sahaja balik ke Samarahan dengan kepala dah mula berdenyut. Entah bagaimana kemudian datang pula bisikan naluri yang teringin sangat nak memiliki MCT secepat mungkin. Saya terus memandu kereta saya ke BDC, hala tuju tentulah POPULAR BOOKSTORE. Belek sana sini, saya tak jumpa MCT. huhuhuhu. Tetiba saya rasakan kedai buku sudah tak padan dengan namanya : TAK POPULAR BOOKSTORE. Kenapalah kami di pulau Borneo ini asyik ketinggalan....ketika kami belek sesebuah buku, novelis buku tersebut dah keluarkan buku yang baru. Ketika si NIK dah khatam buku MCT berminggu-minggu, si LIZA ini baru nak tercangak-cangak di pejabat pos. Memang tak bertuah langsung saya ini.
Hati dah frust, kepala semakin pening, dan kelihatan awan semakin gelap....saya mesti balik segera sebelum bertembung dengan hujan ribut di jalanan. Alhamdulilah, saya tiba di rumah sebaik hujan mula menitis titik-titiknya. Terimakasih Tuhan kerana mengizinkan saya balik dengan selamat biarpun menunggu cintaMu seakan memerlukan kesabaran dan ketabahan. Perjalanan hari ini seakan menguji kesabaran yang tinggi....kalaulah saya hanya duduk di rumah, pasti saya dah habiskan sebuah novelpun.

Jiwa Terapung

3

Posted by Leeza | Posted in

"Kak Za, akak bawa balik rumah semua kerja ini ?" Ustaz Sabri mengajukan soalan apabila dia melihat saya sibuk dengan fail-fail NILAM , kalkulator dan buku NILAM .
" Tak lah....buat apa nak bawa balik ?" Saya jawab sepatah.
" Ingatkan akak bawa balik sebab banyak yang kena siapkan ini," sambungnya.
Saya gelak. " Tak banyaklah. Inipun akak dah siap dua kelas. Data final yang nak dihantar ke BTPN dah siap submit. Cuma nak isi borang semua murid je."
" Tak tensen ke kak?" lagi dia bertanya.
"Ha..ha..ha. Buat apa nak tensen...tak mahulah sakit jiwa awal sangat." Saya ketawa.

" Za, camner dengan program ceramah hari ni ? Buat tak ?" tanya seorang lagi rakan senior saya.
Alamak, lupa saya pasal ceramah ini. Hehehe...
" Kita buat pada 12 November nanti serentak dengan Penutupan Membaca Bersama . Tadi Boss dah bagitahu suruh saya handle. Senang je tu. Kita masukkan slot ceramah sebelum program bacaan bersama." Saya buat keputusan. Semua senyum kelegaan.

Hati saya gundah gulana. Saya tak tahu bagaimana nak buat keputusan. Jika tugasan rasmi, cepat sahaja saya berfikir dan menyelesaikannya. Namun ini ? Bila jiwa terapung , selera makan saya menggebu. Beberapa hari saya teringin nak makan spaghetti. Saya terus membuatnya. Tengok gambar kek, teringin nak makan kek pula.

Saya masih suka membaca. Terkadang saya berhenti buat kerja, saya membaca novel. Tak bestpun saya tetap teruskan juga. Hari ini 4 buah novel yang saya tempah sudah sampai. Menggeleng rakan-rakan saya. " Camner u nak baca Za ?" Madam bertanya. " Itu stok cuti." Selamba saya jawab. Namun jauh di sudut hati, jiwa saya resah gelisah. "Bila lah aku nak baca ni...muak rasanya ."

Akhirnya bila jiwa terapung, saya terus berpaut pada satu realiti. Dan bila sepi melanda, saya terus kosongkan semua minda seketika. Saya terus melayan tidur saya...mengembara dalam mimpi yang entah apa-apa.

Buah nangkak, buah nanas.
ditanyak, lalu manas.
Beli nanas ,nanas mahal.
Mun manas kena jual.

Jadi , mun baca tuk kitak manas....sorryyyy. jika terapung tentulah bengong.

Menunggu Cuti

3

Posted by Leeza | Posted in

CUTI adalah perkataan yang mampu mengubah wajah suram menjadi ceria. Hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi cuti akan bermula. Tahun ini cuti sekolah sebanyak enam minggu dan sekolah akan dibuka pada 4 Januari 2010. Kebiasaan sebelum cuti panjang, segala urusan rasmi kena disiapkan dengan kemas kini dan selengkapnya. Tidak dapat dielakkan bila ramai yang mengeluh sebab urusan pengemaskinian ini mendera mental dan fizikal. Terkadang bukan salah kita tetapi bila datang segala arahan secara mendadak dan SEGERA maka terpaksalah melakukannya secepat mungkin.

Sejak mengenali dia, saya sudah tidak lagi merasakan tension, stress atau tertekan. Ini kebiasaan bagi sesiapapun juga. Harus bijak mengatur masa dan jadual. Banyak-banyaklah bersyukur dan bersabar. Jangan biarkan hari-hari mu penuh dengan rasa amarah, dengki, khianat dan apa sahaja penyakit hati yang sewaktu dengannya. Beginilah antara aktiviti rakan-rakan saya semasa berehat sebentar daripada tugasan yang menyibukkan.
Kawan saya , si Madam T asyik membaca majalah kesihatan "HEALTH" . Maklumlah sejak akhir-akhir ini kesihatannya tidak menentu.

Ustaz A asyik dengan cerita animasi tikus. Dia ni adik paling bongsu dalam jabatan kami. Pendiam sangat....tapi diamnya dah berpunya. Selalu kena sakat oleh saya.
Ini apa pula ? Bengkel Kemahiran Hidup ke? Inilah cikgu Adil, rakan dan adik yang mulutnya selalu ibarat radio Hot FM setiap pagi. Dia sibuk menganyam bakul menggunakan tali plastik pengikat buku teks. Begini caranya dia mengurangkan tekanan matematiknya.

Saya buat apa? Saya sibuk mengacau orang. Kalau mereka kacau saya masa saya sibuk bekerja, mahu tinggi juga suara saya keluar....hehehehe. Ketua Jeraul (Penyamun) Wanita, itu gelaran mereka.....apa-apa ajelah.

KUPERSEMBAHKAN HATI oleh Adra Adlina

2

Posted by Leeza | Posted in


Novel Kupersembahkan Hati merupakan novel sulung penulis baru Adra Adlina. Jika dia guna nama sebenarnya bukankah elok. Novel ini sebenarnya saya beli pada bulan Ogos yang lalu. Serik dengan pengalaman lalu , sekarang ini jika saya jumpa novel yang berkenan saya terus beli walaupun masa untuk membacanya tiada.

Sinopsis novel ini saya buat ringkas sahaja. Cinta segitiga antara Zahra ,Adib dan Zulfi. Perkahwinan Zahra dan Adib terpaksa dileraikan demi permintaan eommanya. Semasa perpisahan itu, terjalin cinta baru antara Zahra dan Zulfi sehingga ke jinjang pelamin. Namun perkahwinan ini terlerai juga dek takdir. Sehinggalah usia anaknya setahun lebih barulah Zahra menerima lamaran bekas suaminya Adib semula. Biar anda baca sendiri novel ini....namun sinopsis ini bukan setakat ini sahaja.

Aha....Adra...berdegup jantungmu menunggu komen akak ye? Keh..keh..keh. Akak siap buat nota ringkas mencatat mukasurat dan kesilapan yang pincang dalam novel ini.

Siapa kata penulis baru tidak mampu menyengat? Inilah novel yang fantastik sebab banyak keistimewaannya. Berhasil juga hobi berangan si Adra ini. Saya pun tak tahu nak tulis apa sebab nak gambarkannya dengan kata-kata mungkin tak tergambar semuanya. Namun Adra berjaya menghimpunkan semua watak sampingan menjadi sokongan yang kuat dalam perjalanan cinta Zahra Liana ini. Malahan setiap watak sampingan juga mempunyai kisah cinta tersendiri. Wowww...kita diindahkan dengan jalinan cinta Mya dan Ray serta cinta Irina dan Rezza. Kemudian ada watak jahat yang menjadi kebencian dengan obsesnya dengki khianat dan cemburu gila iaitu Shazryn dan Jassy. Percintaan bukan sekadar jiwang karat tetapi juga ada adegan cemas bila Jassy yang senteng menusuk pisau kek ke perut Zahra dan Shazryn yang datang untuk menggugurkan kandungan Zahra. Pehh...sungguh 'thriller' . Sempat pula penulis membuat saya berteka-teki tentang siapa pengirim sms godaan kepada Adib....saya fikir si Jassy punya kerja rupanya si Maya , sekadar mengusik si Adib.

Pengolahan jalan ceritanya kemas dan susah nak dijangka sehingga ke akhir cerita saya tak dapat mengagak apa yang berlaku seterusnya. Ini kejayaan bagi penulis baru kerana mampu menggunakan penceritaan yang menjadi tanda tanya. Watak seperti Mya, Ray, Rezza, Irina, Eomma, Papa, Nenek Halijah dikembangkan dengan cantik. Sentuhan korea pun ada sebab susur galur Adib di sebelah ibunya adalah asal dari Korea. Ada penggunaan dialog korea juga.Memang tak rugi si Adra ni menggilai cerita korea sehingga dia kenal bahasa tersebut...bagus, bagus. Penggunaan struktur ayat dan gaya bahasa, santai, mudah dan cantik. Ada bunga-bunga bahasa. hahahaha.

Jeng...jeng.... pro sudah....sekarang kontranya pula. Permulaan cerita saya dah mengutuk sebab ada tidak logik dalam cerita ini. Sejak di hentian bas dalam perjalanan pulang Adib terlihat seorang gadis yang berlari mengejar bas kemudian tiba-tiba jatuh terduduk. Bagi Adib , fenomena ini melucukan .Dia simpan ketawanya hingga dia sampai di rumah kemudian memarkir kereta . Katalah ambil masa setengah jam. Kemudian dia sempat berbual-bual dengan eommanya di laman. Kemudian dia berlari ke bilik untuk melepaskan hajatnya. Saya fikir Adib hendak pergi melabur tetapi silap sama sekali. Bila sampai ke bilik, Adib meletakkan beg bimbitnya kemudian melepaskan ketawa sakannya itu. Hai Adra....rasa ketawa itu boleh simpan kemudian luahkan di bilik tidur ke? Isk...isk...jika Adib hendak ketawa lucu hanya kerana kes kecil ini patutnya dia sudah ketawa dalam keretapun. Lagi satu, hal gadis yang mengejar bas dan tetiba terjatuh tidak mungkin menjadi kelucuan tetapi bagi saya, hal ini menimbulkan simpati kita. Tak mungkin akan ketawa, mungkin ini lucu bagi remaja.

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam struktur ayat. Kalau boleh ,janganlah cacatkan ayat bahasa kita dengan menyelitkan satu perkataan inggeris di dalamnya. Jika nak gunakan bahasa Inggeris juga, gunakan penuh satu ayat. Tambahan pula novel Adra dibaca oleh semua golongan terutama remaja kita yang masih bersekolah. Biarlah mereka belajar Bahasa Melayu secara tidak langsung dengan membaca novel Melayu. Siapa lagi hendak memartabatkan bahasa kita jika tidak kita sendiri? Begitu juga dengan penggunaan bahasa Korea. Ada satu dialog yakni Adib dan kawannya di Korea yang ayatnya sama tetapi mempunyai dua maksud berbeza ( Aku ada / Kau ada?) Dan penggunaan perkataan " superwomen" patutnya "superwoman" . Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'her' merujuk kepada 'she' sebenarnya ( ms 303 -...did her love you too ? Patutnya Adra gunakan ayat ini ....does she love you too?.) Kena buat suntingan yang lebih baik. Menyentuh hal suntingan ini, ada beberapa watak yang salah diletakkan seperti watak Zahra yang tersenyum-senyum melihat Nenek Halijah di depannya ( ms 74) patutnya watak itu merujuk kepada watak Adib. Sama juga dengan watak Mya menjuihkan bibir.(ms 314) patutnya itu watak Zahra. Kalau boleh penulis dan penerbit kena mengedit semula karya sebelum dicetak. Mungkin kesilapan teknikal dan taip menaip.

Ada dua perkara saya musykil dengan ayat penulis ini.
1. ms 325 - mereka berdua dibaluti selimut tanpa seurat benangpun.
Selimut bukankah juga lebih dari seurat benang? Saya faham pasangan ini berbogel dan hanya berselimut . Kenapa tidak tulis mereka hanya dibaluti sehelai selimut ? Dari situ kita sudah faham ada ehem ehemnya. keh keh keh.
2. ms 345 - ketulan ayam rendam dalam besen kemudian tindih dengan tudung periuk.
Saya puas berfikir adakah ini petua untuk mencairkan ketulan ayam beku tersebut. Setahu saya untuk proses pencairan ketulan ais yang beku kita perlukan haba. Kita rendam dalam air ,itu biasa dilakukan supaya ais mencair dalam air yang suam dan ke persekitaran. Tapi apa peranan tudung periuk tersebut? Agaknya ini petua baru agaknya.....nanti saya cuba. Hmm... hal ini mungkin saya silap sebab saya diberitahu tudung periuk mempercepatkan pencairan ais atau ia digunakan untuk memastikan ketulan ayam itu betul-betul terendam ? Apa-apa ajelah....


Secara peribadinya kita membaca untuk menghibur lara dan bersantai bagi memenuhi masa yang terluang. Namun saya suka dengan novel ini. Adra mempunyai idea yang lain dari yang lain. Jalan ceritanya menarik. Kelemahan sedikit sahaja sebab dia penulis remaja, gayanya persembahan remaja, memang sentiasa terkini. Namun saya mengharapkan Adra akan perjuangkan keindahan bahasa kita. Novel ini tidak mengecewakan. Dia tidak meleret-leret dan cubaan yang berani. Teruskan Adra....singkap hati kami dengan kisah cinta yang berbeza dan perjuangkan bahasa kita dengan keindahan. Sekarang dengar khabar ada novel baru dalam proses....saya tunggu.Semoga terus berjaya. Chaiyo! Chaiyo! Aja ! Aja !

Jalan-jalan Bersama Keluarga

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini kak NB buat rumah terbuka. Sayangnya saya jauh sangat untuk menghadirinya. Untuk menghibur hati yang rawan, saya mengajak keluarga saya berjalan-jalan dengan kancil hitam saya yang kecil. Kebiasaannya tugas memandu saya serahkan kepada Si Eiwan, abah Putri. Kami berjalan-jalan shopping di Boulevard Shopping Mall di Batu Tiga, Kuching. Ibubapa Putri belikan barang-barang anaknya terutama basikal Putri yang rosak. Selain itu mencari pelampung untuknya mandi di kolam. Jika singgah di Boulevard ,hala tuju saya tentulah POPULAR BOOK STORE. Saya mencari novel : MENANTI CINTA TUHAN namun hampa. Saya terus membeli buku rujukan MUET dan novel SRI DIAH : Doa untuk suamiku. Sempat juga membeli sehelai jaket ( baju sejuk ) memandangkan musim hujan dah mula menjengah. Bila lapar kami terus menjamu selera di medan selera di tingkat bawah Boulevard . Kami memilih gerai BOMBAY MASALA. Haaa...untuk tidak berputih mata dan perut mengingatkan menu sedap-sedap di rumah kak NB , saya pilih menu ini, nasi beriyani dengan 3 lauknya iaitu sotong goreng bertepung, ketam goreng ,sayur kacang panjang goreng dan keropok papadom. Itu makanan saya seorang. Lima orang dengan nasi beriyani dan 3 jenis lauk ,harganya rm34. Murah ke? Anak saudara geleng kepala tengok pinggan saya....hahaha. Lama sudah saya tak makan ketam. Tengah sibuk mengopek ketam, tiba-tiba bahu saya ditepuk. Terkejut saya. Rupa-rupanya sahabat karib saya yang pernah belajar bersama di PJJ USM dulu, si Tan Bee Sian bertanya berita. Gelak dia tengok perangai saya.....keh keh keh, bagaimanalah saya tak perasan dia duduk di sebelah meja saya sahaja....uwaaaa.....Dia pula dah kurus dan saya aduhhhh memang sibuk menambah berat badan.


Ini sepit ketam yang saya tak boleh nak kopek. Saya cuba dengan sudu tak dapat. Hendak guna gigi....kang ada yang balik gigi rongak. Kalau di rumah sendiri, saya selalu gunakan anak lesung batu. Jadi, saya bungkus dengan tisu dan bawa balik. Bila sampai rumah terus ambil anak lesung batu dan makan.....Anak-anak saudara saya menyelar saya kedekut...hahaha.

Inilah Luqman dan Putri. Dudukpun rapat-rapat. Kenapa Luqman muncung? Pada mulanya kami tak jadi hendak ke kolam renang dan dia tak mahu mengikut. Bila kami buat rancangan untuk singgah di kolam dalam perjalanan pulang barulah dia mahu. Saya memang pastikan dia makan ubat mabuk. Dalam perjalanan dia boleh kena sengat penyengat di belakang. Nasib dia ini kebal sedikit tetapi bekas sengatan memang nampak besar. Hati saya risau sebab arwah emaknya dulu meninggal kerana disengat oleh sejenis penyengat yang kami panggil 'ramang'( hitam dan kuning ,saiznya pun besar sedikit dari lebah ) Di Boulevard dia tak tahan kesejukan tetapi bila tiba di kolam renang, dia aktif sangat.

Haaa...si kecil ini sejak tiba di kolam renang sudah tidak sabar hendak mandi. Tanpa diajar dia tahu kegunaan pelampung itu. Sejak minggu lepas dia asyik mengunakan bikini untuk mandi di rumah sehingga neneknya menyorok baju tersebut.

Akhirnya, ini pula yang terjadi. Jenuh saya memujuk. Dia menangis sebab tidak mahu berhenti mandi. Apabila dia melihat abahnya, pak long Wan dan Cu Man nya masih belum berhenti, dia mengamuk. Terpaksalah saya mengarahkan mereka berhenti dan kami terus pulang. Dalam kereta, dia senyap dan terus tertidur. Kesimpulannya, Putri keletihan dan mengantuk .
"Usu, lain kali kita pergi lagi ya. Kita ajak Cik ,nenek, mak dan ayah. Kita guna kereta masing-masing . " Itu cadangan menantu saya, si Eiwan.
"Bila ?" Saya jawab sepatah.
"Masa cuti sekolah nanti, sebelum Luqman bersunat (khatan)." Ha...ha..ha.

Sambung Belajar

1

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa minggu ini saya sering melihat kemurungan rakan-rakan yang sedang belajar di OUM. Kawan baik saya , Madam T yang sedang bertungkus-lumus dengan Masternya, pun selalu demam. Doktornya mengesahkan dia 'stress' dan 'overtired'. Kemudian seorang demi seorang saya menyaksikan rakan-rakan lain yang sedang belajar Ijazah, jalan tunduk-tunduk terutama yang lelaki. Tak cukup itu, tangan tak lepas membimbit 2-3 buah buku rujukan.

Lantas,isu ini saya sembangkan dengan seorang senior yang juga telah habis belajar seangkatan dengan saya. Saya tamat 2001 dan dia 2005. Kami bercerita kisah belajar semasa zaman kami. Gelihati bila dikenangkan betapa payahnya masa itu. Semasa tahun pertama saya kehilangan arwah ayah tersayang. Kemudian kemelesetan ekonomi pula dan disusuli dengan jerebu teruk. Semasa pendaftaran, saya pernah bertanya soalan yang bila dikenang semula akan membuat kita gelak guling-guling. Saya pernah bertanya pada DEKAN USM , "boleh tak saya buat assignment secara bertaip?". Kah..kah..kah, gamam sekejap Dekan tersebut. Dia jawab ,"cikgu gunalah komputer." Masa itu saya memang buta IT. Komputer pula tak banyak di pasaran dan harganya mahal-mahal. Jadi, sambil belajar saya mengambil kelas komputer sebelah petang. Saya kena mengajar pagi, petang belajar komputer dan malam buat kelas tuisyen. Pehhh...padatnya masa itu. Berat badan saya cuma 54 kg sahaja berbanding sekarang . Susah saya nak dapatkan berat badan seperti itu lagi. Saya gunakan kemudahan pinjaman membeli komputer RM5000. Sayangnya, kerana buta IT, kena tipu pula. Dapat komputer klon yang barangan dalamnya second hand , mereka jual RM5000. Paling pedih saya pernah tidak tidak tidur malam kerana hendak siapkan assignment sebelum terbang ke Penang keesokkan harinya. Malangnya assignment itu tidak siap ditaip kerana komputer 'hang' dan bermasalah....huhuhu. Nasib baik ada pelajar USM yang stay masa kita ke sana. Mereka mengambil upah menaip assignment. Rakan senior saya pun tak kurang juga kisahnya. Dia beritahu yang dia sampai gunakan komputer sekolah sehingga jam 1 pagi untuk menaip assignmentnya. Perasaan takut hilang langsung. Pernah dia terdengar bunyi mengekek dan bunyi pelik di pejabat sehingga pak Guard pun takut menghampiri pejabat. Biarpun payah, kami berdua tidak pernah bawa buku belajar di sekolah. Masa di sekolah adalah komitmen yang padu dengan anak-anak didik. Di rumah, suka hatilah.

Namun, bila saya balik ke rumah petang semalam dan melawat satu website yang saya suka layan beberapa bulan yang lalu......saya mendapat berita yang buat saya terkaku di depan komputer. "Permohonan anda diluluskan dan berikut maklumat terperincinya......daftar pada 8 Januari 2010 hingga 28 Januari 2010......"

Aduhhhh.....bagaimana ini? Bersediakah saya memerah otak kembali ? Jika saya terima tawaran ini ertinya saya harus bersedia mental dan fizikal. Jadual belajarnya malam Sabtu dan sepanjang hari Sabtu. Tempoh masa antara 1-3 tahun. Januari masih lama lagi, saya tidak perlu membuat keputusan terburu-buru. Namun saya kena buat keputusan cepat sebab saya kena memohon kebenaran jabatan saya untuk mengikuti pengajian ini. 17 tahun lagi tempoh perkhidmatan saya dan saya tak mungkin selamanya menjadi guru sekolah rendah. Persediaan mental dan fizikal memang perlu dan salah satu yang terpaksa saya kurangkan keaktifannya ialah membaca novel-novel. Jika ini yang saya pilih...bersedialah berjuang dengan bersungguh-sungguh. Namun saya takkan menjadi seperti mereka, murung dan jalan tertunduk-tunduk.

AKU CINTA DIA oleh Sharifah Abu Salem

2

Posted by Leeza | Posted in


Novel 'Aku Cinta Dia' dihadiahkan oleh sahabat saya, Ain Ismail dari Johor. Bersesuaian dengan tajuknya, novel ini mengupas erti cinta dalam konsep Islamiah. Saya amat menyukai novelis ini dan tidak ketinggalan mengikuti novel-novelnya dan drama-drama yang disiarkan di kaca televisyen.

Novel 'Aku Cinta Dia' mengupas segala kisah kehidupan pahit manis di sebuah pusat perlindungan persendirian yang serba sederhana seperti Wadi Saffiyyah. Alangkah murninya usaha sepasang suami isteri dalam melindungi dan membimbing anak-anak yang telah tersesat jauh. Inilah pusat yang boleh diterima oleh masyarakat dan usaha seperti ini sewajarnya menerima sokongan dan bantuan padu bukan hanya daripada keluarga anak-anak yang malang ini tetapi juga masyarakat lain. Selain dikupas segala jalan kehidupan di wadi Saffiyyah, novelis menggarap soal cinta islamik . Agaknya cinta seorang Ustaz dengan salah seorang puteri Wadi Saffiyyah terkawal dengan keadaan, juga seperti insan biasa cinta ini juga diduga dengan pelbagai halangan sehingga mereka berdua hampir difitnah. Banyak persoalan sebenarnya ditimbulkan seperti isu masyarakat kenamaan yang menyembunyikan aib anak mereka di pusat ini. Namun rata-rata ibu bapa mengharapkan anak-anak yang terjebak ini kembali ke pangkal jalan, insaf dan menjadi insan yang solehah. Ustaz Iqbal jatuh hati dengan Nur Dania yang mengandung anak hasil hubungan terlanjurnya dengan adik Ustaz. Ibubapa Ustaz pula pengasas Wadi Saffiyyah yang tentunya kuat dengan pegangan agama. Pasti kita tertanya kenapa ada anak Ustaz yang terbabas seperti Qabil. Hakikatnya Qabil dibesarkan oleh bapa saudaranya di kota sejak kecil dan dia sudah lali dengan cara hidup bebas sebegini. Jadi bukan salah Ustaz jika Qabil terpesong jauh dari landasan agama . Sehingga akhirnya, rahsia ini menjadi rahsia Dania dan Iqbal kerana tidak sanggup melukakan hati Ummi dan Walid dengan kenyataan yang pahit ini. Benarlah bahawa ikatan rohani anak dalam kandungan boleh mempengaruhi wujudnya rasa sayang . Walid dan Ummi begitu menyayangi Dania sejak pertama menerima kehadirannya di Wadi Saffiyah dan atas kuasaNya jua , hubungan kemesraan ini tercetus bila hakikatnya anak dalam kandungan Dania adalah cucu kandung mereka sendiri.
Aku Cinta Dia juga mengungkap rasa cinta Umairah terhadap Iqbal yang akhirnya redha bila cinta itu bertepuk sebelah tangan sahaja. Pada akhirnya secara simbolik novelis menggambarkan bahawa Umairah dan Ustaz Syakir , jutawan resort Ar Raudhah saling memendam rasa dan penyudahnya kita sendiri boleh memutuskan bahawa kedua hati ini akhirnya bersatu dalam rumahtangga yang bahagia. Obsesnya cinta Shahira anak seorang Tan Sri terhadap Iqbal mendorongnya melakukan pelbagai onar sehingga melukakan banyak hati di Wadi Saffiyyah. Namun begitu kerenahnya ini masih dimaafkan dan diberikan doa agar berubah tingkah lakunya.....inilah kehidupan yang aman damai tanpa dendam.
Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Iqbal : Sudahkah kamu menyintai DIA dan RasulNya lebih dari kamu menyintai saya? Ertinya kita harus cinta ALLAH dan kemudian RasulNya barulah kedua ibubapa kita , barulah si dia .
Juga saya menangis ketika ummi membicarakan dalam hatinya status Umairah umpama bunga di taman larangan yang sudah ketiadaan madunya. Sedih bila mengenangkan nasib wanita-wanita yang tersalah langkah ini. Hanya lelaki sejati yang mampu menerima kekurangan ini.

Novel Aku Cinta Dia terlalu mengujakan bagi saya. Bahasanya dan jalan ceritanya cukup menginsafkan kita. Betul apa kata Walid, kita selalu lupa dan alpa bila diulit kemewahan dan kesenangan hidup.Kita dapat merasa keindahan Wadi Saffiyyah dan kesejukannya pada awal dinihari .Seolah satu lembah hijau yang redup dan mendamaikan....adakah tempat seperti ini ? Saya terkenang saat percutian saya di sebuah ladang kelapa sawit di pedalaman Miri dahulu. Beginilah perasaan damai sewaktu awal dinihari di atas bukit dengan lembah menghijau....indahnya ciptaan ALLAH.Novel ini tidak membosankan malahan membuat kita teringin hendak menghabiskan bacaan secepat mungkin. Penghujungnya mungkin masih menjadi tandatanya namun kita dapat meneka kesudahannya yang manis.