Hari ini keluar dengan anak-anak saudara dan cucu yang seorang ini, Asmara 5 tahun. Memula pergi ke Pasar Minggu Satok untuk mencari apa-apa sahaja yang berkenan di hati. Sepanjang jalan si As ni kerjanya asyik mengunyah. Apa yang dimakannya ialah spring potato, seringgit secucuk. Saya pernah meletakkan spring potato ini dalam facebook yang dibuat oleh anak saudara saya, si Nor. Lagipun emak si As ini menyambut birthdaynya semalam, jadi saya buat 2 in 1, belanja makan KFC. Siapa punya pilihan? Si As dan Luqman.
Tujuan utama keluar hari ini ialah shopping baju raya Luqman. Minggu depan puasa maka saya tak larat nak melayan kecerewetan Luqman ini dalam bulan Ramadhan. Nanti puasa saya tidak lengkap 100% kalau asyik marah-marah sahaja. Baju yang dipakainya ini saya beli tahun lepas. Itupun setelah bergaduh baru dia setuju memakai baju T yang saya beli di Sogo ini. Nak tahu dia nak pakai baju apa? Baju bolasepak yang Daniel tak gunakan lagi. Bayangkan saiz baju budak umur 8 tahun dia yang umur 13 tahun nak pakai? Seluar dan baju Daniel ada beberapa helai dia guna untuk main seharian.
Ini Ladies Mushroom yang saya jumpa di Pasar Satok. Rm3 sepaket. Mushroom yang digoreng bertepung dan diletak mayonaise dan sos cili. As kata lebih sedap daripada KFC.
Seluar skinny ini kami beli di India Street. Saiz 26 yang paling kecil, jenama Paul Smith (imitation) harganya rm39.90. Dia suka sebab seluar ini melekap dengan kakinya.Kemudian kami merayau mencari baju melayu namun tidka jumpa jenis kain satin. Dia tidak suka jenis berpetak atau bergaris, miang katanya. Begitu juga dengan baju T. Punyalah susah nak jumpa yang berkenan di hatinya. Cantik di mata kita, langsung tak berkenan di matanya. Cebikan bibirpun memanjang je bila saya angin. Itulah sebabnya saya membawa Rina, Ary dan As...untuk melayan kecerewetan Luqman ini. Penat berjalan , saya ajak makan di KFC . Hidung dan mata sayapun sudah berair....selesema punya hal.
Selepas kenyang, bincang punya bincang ke mana haluan selepas ini, si Luqman mencadangkan Tabuan Jaya. Saya terus membawa mereka ke Stutong, Tabuan Jaya. Di sana, nasib baik jumpa dua tshirt yang dia berkenan. Tshirt berhood ini sejak tahun lepas dia idamkan. Harganya rm19.90.
Tshirt polo hitam ini dia mahu setelah dipujuk. Saiz S dan harganya rm18.90. Lega saya sebab akhirnya dia jumpa juga apa yang dia berkenan. Kalau tidak...alamat raya tahun ni ada orang pakai baju lama.
Sabtu yang santai hari ini ,saya tidak ke mana-mana . Kelmarin sepulang dari sekolah saya singgah ke rumah sekejap untuk menyimpan beg-beg sekolah dan menunggu Luqman pulang dari sekolah. Kami berdua terus bergegas ke Asajaya untuk membeli barang-barang dapur dan stok makanan basah. Alhamdulilah , saya membeli udang merah (payak) rm6 sekilo, anak ikan bawal (kilat) rm5 sekilo, ikan kembong besar sekilo, ikan tongkol dua ekor , dan ayam. Saya membeli banyak makanan ini memikirkan bahawa hari Ahad ini saya membawa Luqman ke Kuching untuk membeli baju-baju rayanya dan Isnin pula saya bertugas seharian membawa beberapa orang murid Tahun 6 ke Program Motivasi anjuran Majlis Guru Besar di Dewan Suarah, Kota Samarahan.
Seharian pagi ini saya sibuk mengemas dapur termasuk membersihkan stok makanan saya agar petang Selasa nanti mudah saya memasak lauk-lauk untuk kenduri awal Ramadhan . Biasanya kami setiap rumah akan menghantar hidangan bertalam untuk dua orang ke surau. Tugas membawa 'rintang'/ moreh ini tentulah anak bujang saya ini, Luqman.
Jika berada di rumah, bukannya boleh duduk diam sahaja. Namanya perempuan , mesti banyak kerja rumah yang hendak dilakukan. Berlainan dengan Luqman sebab dia budak lelaki. Usia sudah 13 tahun tetapi masih kebudak-budakan. Seharian ini dia dan kawan-kawannya sibuk membuat layang-layang. Gambar di atas kawasan kerja dialah di koridor depan rumah. Layang-layang itu dia beli di Asajaya dengan harga rm1.20 sahaja . Tetapi layang-layang ini agak berat dan tidak sesuai dimainkan. Dia menggunakan plastik dan lidi penyapu membuat layang-layang tersebut. Jenuh melihat dia membuang plastik sampah saya, maka saya sembunyikan plastik tersebut. Plastik itu saya beli rm8 sepaket.
Sabtu inilah masa untuk makan sedap-sedap. Bagaimanapun sekarang makan udang dan ikan rebus sahaja sudah menyelerakan. Syaratnya mesti ada sambal. Hari ini saya membuat sambal goreng ikan taai salai. Ikan ini hanya didapati dari Lawas dan Limbang.
Pun begitu kegiatan berfacebook tak pernah dilupakan untuk menjenguk aktiviti kawan-kawan. Ramadhan akan menjelang minggu depan, rasa tidak sabar menunggunya. Semoga dipermudahkan Allah dalam menjalani ibadah puasa ini....ya rabbbal alaamiin.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan bertarawikh untuk semua sahabat dan saudara saya. Rajin-rajinlah memasak untuk jamuan keluarga semasa bersahur dan berbuka.
Minggu ini merupakan minggu yang kacau bilau dalam hidup saya. Saya tak sangka keletihan teramat menyebabkan mood saya merudum jatuh....dan seterusnya sintom-sintom demam mula menyinggah memberi pertanda. Biarpun demikian tidak saya layan rasa lesu ini kerana saya harus kuat untuk melaksanakan tugas rutin di rumah saya, memasak, mengemas, mencuci dan memastikan makan minum serta ubatan emak sentiasa terjaga rapi.
Kaki pula sakit seperti tak larat hendak menekan klaj kereta. Kalau tak driving, habis siapa nak hantar ke sekolah? Agaknya berat badan bertambah maka setiap pagi menimbang berat di meja da masa balik pun sama juga. Kelesuan badan tidak terkata. Mata pula asyik berat setiap pagi. Tambahan pula hujan pagi menambahkan kedinginan tubuh sehingga terpaksa menggunakan jaket sukan dan jaket sejuk. Kemudian berdesing telinga mendengar rakan sekerja komen pasal jaket sukan berhood yang tidak sesuai digunakan. Saya suka jaket berhood ini sebab boleh merentasi hujan renyai-renyai semasa pergi ke kelas di bangunan sebelah. Hanya guna sahaja hood jaket tersebut untuk mengelakkan basah kuyup. Saya tahu saya tak sihat sebab itulah badan lesu, pinggang sakit dan mata asyik mengantuk sahaja.
Kesibukan minggu ini dengan PEKA UPSR untuk Sains dan kemudian menyemak kertas Sains Pra UPSR menguras habis tenaga dan minda. Kemudian latihan latih tubi Sains UPSR , tambah menyedihkan bila murid-murid dengan sambil lewa sahaja untuk berusaha malahan tidak datang kelas tambahan makin memburukkan semangat dan jiwa. Jika disenaraikan semua kerja saya tidak pernah ada kesudahannya. Jika sebegini teruknya , terasa menyesal memilih opsyen pencen umur 58 tahun. Masih ada 16 tahun untuk bergerak ke hadapan.
Bagaimana dengan hobi yang merupakan terapi minda dan terapi jiwa? Saya sudah membahagi dua hobi ini iaitu menonton TV dan membaca novel. Sejujurnya harus saya akui bahawa saya lambat menghabiskan sesebuah novel kerana jalan cerita yang hambar dan biasa-biasa sahaja. Berlainan dengan novel-novel NB yang saya akan habiskan dengan naluri teruja ingin tahu kesudahannya. Namun apakan daya saya, NB membataskan novelnya diterbitkan dalam beberapa bulan. Tunggu sahajalah novelnya dikeluarkan tidak lama lagi.
Sekarang saya mengamalkan rutin yang baru. Di sekolah adalah sepenuhnya tumpuan untuk kerja-kerja saya. Terkadang jam 7.00 pagi hingga 1250 tidak mencukupi untuk menyiapkan tugasan. Mata sudah semakin rabun menyebabkan cepat penat ketika menyemak hasil kerja murid-murid. Di rumah pula saya menumpukan kepada kerja-kerja di rumah. Mak saya ,kalau saya tidak masak dia tidak berselera makan. Dia sudah boleh masak sendiri tetapi saya pastikan makanannya telah siap saya masakkan sebelum turun ke sekolah.
Bercuti...berjalan ....dan bersantai, entah bilalah saya dapat menikmatinya. Mungkin cuti hujung tahun nanti agaknya.....insyaAllah.

Hari ini saya hendak membicarakan kisah nostalgia zaman kecil saya. Gelang getah sekarang tidak secantik gelang getah zaman kecil saya. Warnanya lebih ceria dan terang. Diameternya pun tebal dan padu. Cantik dibuat pelbagai perhiasan dan sebagai alat mainan. Banyak kegunaan gelang getah ini selain digunakan untuk mengikat barang-barang, ia juga digunakan untuk mengikat rambut. Saya tidak menggunakannya mengikat rambut kerana saya berambut pendek.
Ini saya cilok dari blog NYETOK. Salah satu kegunaan gelang getah ini ialah membuat getah pulup atau dalam bahasa Sarawak dipanggil 'poloi'. Ada banyak jenis 'poloi' ini. Kalau hendak yang besar kita gunakan banyak gelang getah yang disatukan kemudian digumpal dan dianyam menjadi pulup atau poloi. Paling susah dibuat ialah membuat poloi jagung. Saya suka gabungkan warna kuning dan merah, biru dan merah atau oren dan putih. Memula regangkan seutas gelang getah ini antara dua ibu jari kaki. Kemudian selang-selikan warna merah, kuning dan merah meregang serong atas regangan gelang getah tadi. Kemudian, anyam seperti menganyam tocang rambut. Bila sudah selesai baru masukkan 5 utas gelang getah kuning sebagai ekornya. Ia akan kelihatan cantik tersusun .Jangan lupa keluarkan getah asasnya tadi dari kepala poloi tersebut.Kalau poloi yang biasa ,kita hanya satukan dan gumpal begitu sahaja kemudian ikat dengan beberapa gelang getah. Banyak kegunaan poloi ini. Ia boleh menjadi pistol cicak, juga sebagai senjata yang saya selalu bekal dalam beg sekolah. Apa tidaknya , saya selalu menjadi mangsa buli yang tidak pernah berjaya dibuli oleh rakan-rakan lelaki yang nakal.
Permainan yang seronok menggunakan poloi ini ialah menembak timbunan gelang getah yang disusun di atas garis getah yang direntang dengan menggunakan empat batang ranting kayu kecil.Syaratnya mesti tembak sehingga timbunan gelang getah ini jatuh melepasi garisan yang ditetapkan. Katalah 5 pemain, seorang kena membayar sejumlah gelang getah yang ditetapkan . Siapa yang menang maka kaya dengan gelang getah ini. Saya selalu juga menang sehingga gelang getah penuh di kedua-dua belah lengan saya...hahahaha. Bila balik kalau tak tanggalkan dari lengan , mesti kena balun oleh abang sulung dengan rotan. Malamnya kalau kerja sekolah telah selesai dan masa belajar sudah habis, saya dan abang-abang saya akan bermain menggunakan gelang getah secara satu persatu. Seutas gelang getah ini akan dijentik sehingga menimpa lawan. Terkadang dibaling menggunakan tapak tangan dan sesiapa yang paling dekat dengan dinding ,dia menang. Pertaruhannya juga ialah gelang getah. Jika bosan, jadilah ia senjata untuk bermain tembak-tembak. Pelurunya ialah batang rumputyang dikerat sepanjang 2 inci dan dilipat di atas gelang getah. Sekarang ngeri saya hendak benarkan Luqman main permainan ini sebab mereka terlalu mudah tercedera. Dulu saya bersembunyi panjat-panjat pokok dan siling , tidak pernah terjatuh atau tercedera.
Satu sahaja kemahiran Luqman yang saya tahu ialah membuat lastik menggunakan gelang getah ini. Hobinya tidak lain hanya melastik burung. Dulu saya juga mempunyai dua batang lastik yang dibuat oleh arwah datuk saya dan ayah saya. Pelurunya bukan daripada batu tetapi dibuat sendiri menggunakan tanah liat. Tanah liat ini digentel bulat-bulat sebesar ibu jari kemudian dibakar di atas api menggunakan tudung tin susu. Saya bawa ke sekolah untuk digunakan ketika berjalan pulang dari sekolah.Ini kerana saya terpaksa berjalan kaki bersendirian dari sekolah ke rumah saya sejauh 3km . Kenapa saya bersendirian? Tiada yang suka berkawan dengan seorang budak perempuan yang gemuk dan 'pekak'. Lastik itu bukan untuk melastik burung, tetapi sekadar suka 'menembak' ke satu tujuan. Kemahiran ini rasanya tidak dapat saya kuasai sekarang kerana mata saya sudah rabun.
Satu lagi permainan menggunakan gelang getah ini ialah membentuk corak di tangan. Ia dimainkan secara berpasangan. Kita membentuk corak bintang dan kawan akan cuba mengambil corak ini tanpa memutuskannya. Dia akan membentuk corak yang lain pula. Kemahiran sebegini perlukan latihan yang acap kali. Saya selalu berlatih dengan abang-abang saya dan abang-abang sepupu.
Masa kecil, tiada mengenal alat permainan yang mahal-mahal. Hanya dengan gelang getah banyak jenis permainan dapat dicipta. Keseronokan yang masih disimpan sebagai kenangan indah.

Kampung saya selalu menghadapi masalah air bersih. Air paip pada hari-hari yang biasa seringkali berwarna kuning dan berbau busuk seperti air sungai. Terkadang selalu merasakan air hujan adalah air yang terbersih berbanding dengan air paip. Bekalan air di kawasan Asajaya dikendalikan oleh pihak JKR untuk kawasan Asajaya dan bukannya oleh Lembaga Air dari Kuching. Seiring dengan perkhidmatannya yang amat buruk, begitu juga dengan bil-bil air yang tidak 'up to date' dan selalu menunjukkan amaun tertunggak sedangkan setiap bulan bayarannya tidak pernah lewat kami jelaskan. Inipun sudah kira bersyukur kerana tidak mengalami masalah ketiadaan air berhari-hari seperti kawasan kampung lain yang terbawah, malahan kawasan kawan saya Madam yang paling hujung fenomena ini sudah terbiasa.
Minggu lepas sekali lagi masalah ketiadaan air terjadi. Amat menghairankan kerana masalah ini tidak patut terjadi kerana beberapa hari hujan turun dengan lebatnya. Lainlah jika berminggu kemarau terjadi. Bila disiasat ,rupa-rupanya pihak Loji JKR kehabisan bekalan klorin. Apa yang menggeramkan ialah pihak terbabit seakan malas hendak mendapatkan bekalan dari Kuching.Bukankah ketiadaan klorin ini tidak patut ada dalam perkhidmatan mereka ? Sudah tahu benda ini penting, ia harus dikesan awal-awal lagi. Bila tengahari mereka mendapat bekalan klorin , ia mestilah direndam di dalam air untuk memutihkan air yang diempang tersebut sebelum disalurkan ke rumah-rumah. Saya sudah menduga kandungannya takkan selamat untuk diminum. Sebaik air ada , saya hanya menggunakannya untuk kegunaan pembersihan sahaja. Untuk minum dan makan saya gunakan air osmosis atau drinking water yang saya beli berkotak. Sekotak air tersebut harganya RM10. Biarlah berbelanja lebih sedikit asal kami minum air yang lebih selamat dan lebih bersih. Apa tah lagi dengan keadaan mak saya yang tidak berapa sihat, keperluan air bersihnya sangat diambilkira.
Apabila air tiada, air sungai menjadi tumpuan. Malangnya air sungai sudah pasti busuk dan kotor kerana ia menjadi tempat buangan sampah. Tidak dapat disalahkan kerana kampung tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang baik. Pihak Majlis Bandaraya pula tidak menyediakan tong sampah besar untuk orang-orang kampung membuang sampah . Lori sampah pasti takkan datang ke daerah kami untuk mengangkut sampah-sampah ini. Ketua kampung rasanya sudah berbuih mulut menyuarakan masalah ini namun tiada tindakan diambil. Bagi orang berpelajaran ia akan mengasingkan jenis-jenis sampah tersebut. Sampah terbiodegrasi bolehlah ditanam dan dibakar. Sampah yang tidak boleh terbiodegrasi kenalah buang di tempat yang boleh dikitar semula. Tong sampah terdekat yang menjadi tempat saya membuang sampah ialah di Asajaya, lebih kurang 15 minit menggunakan kereta. Bagaimana dengan orang yang tiada kenderaan? Ke sungai jugalah tempatnya.
Budak sekecil Putri yang berumur 3 tahun sudah tahu bahawa air sungai tidak sesuai digunakan untuk mandi . Bila neneknya menyuruh dia mandi air sungai dengan spontan dia menjawab ,"arghhh , air sampah !" Bagaimana dia tidak tahu jika setiap hari dia melihat neneknya melontar sampah ke dalam sungai yang cuma beberapa langkah sahaja dari rumahnya. Bila dia melihat datuknya mengambil air sungai untuk kegunaan tandas dan kemudian menggunakan air tersebut juga untuk mandi , dia memberi komentar ," Datuk mandi air najis...." Hahahaha....lasernya mulut anak sekecil ini. Dulu kami semua menggunakan air sungai untuk mandi dan mencuci pakaian. Dulu sungai juga digunakan untuk membuang sampah. Ketika mandi, jika ada najis hanyut dari sebelah hulu sungai, kita tepis sahaja najis tersebut kemudian mandi . Langsung tak ada rasa geli masa itu. Sampah sarap pula kita buang dari jendela rumah ke bawah rumah. Masa itu rumah bertiang tinggi. Kemudian kita juga bertungkus lumus menyapu sampah di bawah rumah dan membersihkan kembali sampah-sampah yang kita telah buang itu. Bukankah ketara kebodohan kita sendiri waktu ini? Zaman berubah, manusia makin bijak berfikir tetapi sikap malas manusia tak boleh nak dikata lagi. Jika pihak atasan prihatin, perkara seperti ini takkan terjadi. Bila sungai tersumbat , mereka menghantar jengkaut untuk mengorek sungai-sungai tersebut untuk mengelakkan banjir. Mereka korek seadanya sahaja , dan jika tersumbat lagi akan dihantar lagi jengkaut tersebut kerja mengorek berbulan-bulan. Kenapa? Inilah strategi perniagaan. Siapa yang akan dapat habuannya? Lu fikirlah sendiri.....betul tak ? Tidak hairan saya jika seseorang boleh jadi kaya raya kerana bagi saya pekerja awam tak mungkin gajinya mencanak-canak naik mengalahkan pengusaha perniagaan.
Baru-baru ini heboh pasal pemansuhan UPSR dan PMR. Kononnya 2011 adalah tahun terakhir peperiksaan ini diadakan dan 2012 akan wujud satu sistem penilaian yang baru untuk menggantikan UPSR dan PMR ini. Abang saya menyatakan bahawa dia tak berapa suka UPSR dimansuhkan sebab peperiksaan ini menjadi kayu ukur pencapaian anak-anaknya. Bukan hendak menunjuk-nunjuk kelebihan anak-anak atau hendak membanding beza kasih terhadap anak-anak namun dengan adanya peperiksaan sebegini, anak-anak,ibubapa dan guru-guru akan berusaha untuk mencapai target yang ditetapkan setiap tahun. Begitu juga pendapat guru-guru sekolah menengah .Bagi mereka , peperiksaan ini menjadi satu sistem yang menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jika tiada kayu pengukur seperti ini, maka guru-guru dikhuatiri akan sewenang-wenangnya mengabaikan bidang tugas masing-masing.
19 tahun sudah perkhidmatan saya di bidang pendidikan. Belasan tahun juga saya berkhidmat sebagai guru UPSR. Jika di STA, saya berselang seli mengajar UPSR, yakni setahun UPSR, 2 tahun masa rehat yakni mengajar tahun 4 kemudian tahun 5 tetapi sejak saya berada di SKJ, saya menjadi guru Sains UPSR tiap-tiap tahun. Sejak Cikgu D berpindah sekolah, gerak-geri saya terikat kerana ketiadaan pelapis. Kalau dulu saya dapat bergilir dengan Cikgu D mengajar kelas Sains UPSR. Stress mengajar kelas peperiksaan berbeza sama sekali. Keletihan otak, jiwa tidak tenteram dan kelesuan menjadi muzik rasmi dan rutin dala kehidupan saya. Alhamdulilah saya mampu mengatasi masalah ke'tension'an ini .
Calon UPSR 2010 di SKJ ialah seramai 27 orang : 8 perempuan dan selebihnya lelaki. Cabaran kelas ini maha hebat sehingga saya kehabisan idea dan kreativiti untuk melonjak mereka dengan tahap maksima. Jika hari-hari yang biasa saya berikan latih tubi , kelulusan mereka amat menggalakkan sehingga mencapai peratus kelulusan lebih daripada 80% yakni hanya 4-5 orang sahaja yang gagal kertas Sains. Namun malangnya bila diberikan ujian Pra UPSR, kelulusan ini mendadak jatuh hingga bawah 60%. Bukankah ini amat mengecewakan guru? Jika ada yang mengatakan UPSR bukan satu pengukur utama untuk kecemerlangan seseorang guru, bagaimana pihak ibupejabat mengukur prestasi sekolah berdasarkan kelulusan dalam UPSR? Bagaimana NKARA meletakkan ranking sesebuah sekolah jika tidak berdasarkan keputusan UPSR? Jika seseorang menyatakan sedemikian , ia mengecewakan hati saya sebab semangat dan banyak pengorbanan saya buat untuk murid-murid saya dalam UPSR. Apa kata kita buat sistem giliran yakni semua guru bergilir untuk mengajar kelas peperiksaan ini? Tentu jawapan yang diterima ialah 'TIDAK' atas alasan tidak berpengalaman mahupun tidak tahu. Jika UPSR tidak penting, maka kenapa takut meletakkan tanggungjawab ini kepada orang-orang yang baru? Bukankah kami dari maktab yang sama? Bukankah gaji pun sama? Apa yang membezakan layak dan tidak layak seseorang itu mengajar kelas UPSR? Jika tidak berpengalaman , bagaimana hendak menimba pengalaman jika tidak menceburi dunia sebagai guru kelas peperiksaan? Jika tidak tahu bagaimana hendak jadi pandai jika tidak belajar mencuba kelas peperiksaan. Semua ada pengalaman pertama dan yang pertama itu memang tidak pernah sempurna. Pendekata , alasan sebenarnya ialah MALAS kerana tidak mahu pening-pening kepala memikirkan prestasi murid-murid yang harus dipantau selalu.
Semakin dekat UPSR 2010 semakin kuat debaran dan kerisauan kami sebagai guru mereka. Saya sekarang setiap kali latihan dan ujian diberikan, saya memberikan bimbingan secara individu sebab mereka ini kena diulang banyak kali. Setiap hari saya mengingatkan baca dan hafal setiap latihan yang diberikan. Namun anihnya kelupaan mereka semakin menjadi-jadi. Jika menjawab soalan : Apakah tujuan penyiasatan di atas? Saya suruh mereka hafal : Untuk menyiasat hubungan di antara dot dot dengan dot dot. Masih juga salah....tak kuasa sudah nak merotan atau memiat telinga mereka sebab tangan saya juga yang sakit. Kali ini saya suruh siapa yang salah, menyalin jawapan ini 50 kali. Barulah mereka ambil berat....namun seperti biasa namanya budak, dimarah, dirotan sekalipun masih juga tersengih-sengih sampai ke telinga. Ada pula tu tarik tangan saya mencium berulang kali dengan perkataan maaf berulang kali.
Sekarang saya cuma mengharapkan keajaiban semasa UPSR nanti....jika jatuh pun keputusannya janganlah di bawah aras SPR (SEKOLAH PRESTASI RENDAH) iaitu bawah 40%. Hakikatnya kalau SPR, semua pihak akan berkampung di SKJ. Mereka akan memantau , memantau dan memantau segalanya. Walaupun harapan nampak tipis, namun saya takkan berhenti dari berusaha dan berjuang. Apa yang menaikkan semangat saya ialah, mereka tidak berhenti untuk terus mencuba dan berusaha. Biarpun apa keadaan sekalipun , saya takkan berhenti berdoa. Semoga ibubapa mereka juga tak pernah lupa untuk sujud kepada ALLAH dan berdoa untuk anak-anak mereka sendiri.

Sejak filem ini diwar-warkan , membaca tajuknya saja saya sudah teruja. Lagipun dengan barisan pelakon seperti Erra Fazira dan Haliza Misbun sudah cukup memberi impak maksima untuk menggamit keinginan saya ke panggung wayang. Namun kesibukan masa itu tidak mengizinkan saya melangkah ke panggung .
Pada suatu hari yang damai, seorang rakan facebook iaitu Feeza Adam memberikan komentar tentang filem ini yang telah ditontoninya. Dia menyuarakan rasa terkilannya tentang keseksian melampau Haliza Misbun dalam filem ini.
Hari ini saya berpeluang menonton filem ini melalui DVD yang baru saya beli. Apa yang dapat saya katakan, jika dikategorikan filem ini sebagai komedi romantik ternyata ia gagal mengundang rasa lucu dalam diri saya. Ia langsung tidak melucukan malahan membuat saya semakin menyampah. Anak saudara saya Mohd Luqman, belum sampai 10 minit menonton sudah tertidur sehingga saya sukar membangunkannya untuk menyuruh dia tidur di bilik.
Apa yang saya paling menyampah ialah pakaian Haliza Misbun dalam filem ini. Dia menggunakan seluar pendek yang menampakkan betisnya yang konon cantik sangat, kemudian paras dada , menunjukkan bahunya dan kemudian lengan ....pendekata seksi habis. Baik tak payah pakai baju langsung.
Andartu terlampau adalah gambaran untuk wanita yang lanjut usia yang sukar mencari jodoh. Jika andartu selalu orang mencemuh bahawa andartu terlalu memilih lelaki. Malahan saya pernah mendengar lelaki mempersendakan andartu , ketawakan mereka dan sebagainya. Semua orang mempunyai pilihan dan berhak memilih demi untuk kebahagiaan sendiri. Daripada menghancurkan rumahtangga orang lain, baik terus membujang. Begitu juga daripada mengorbankan diri dengan memilih sembrono sahaja baiklah bersendirian, tiada masalah berbangkit kemudian hari.
Filem ini langsung tidak menampakkan ciri-ciri keislaman dalam kehidupan harian . Jika andartu sekalipun, siapapun kita baik yang muda atau yang tua, jika dilanda kerunsingan, kecewa ,amarah dan sarat dengan apa sahaja problema sekalipun, kepada ALLAH tempat kita mengadu. Jangan lupa itu, ALLAH tempat kita berserah dan berdoa. Apa salahnya, jika filem ini memasukkan unsur doa dalam menanggani masalah lambat ketemu jodoh? Barulah sejuk hati wanita-wanita yang senasib saya ini, malahan boleh jadi panduan untuk semua insan. Apa salahnya menekankan bagaimana masyarakat sekeliling menanggani masalah sebegini. Inilah kekurangan yang paling ketara sekali. Bukan budaya kita melarikan diri dari majlis perkahwinan kemudian lari ke dalam pelukan lelaki negro di sebuah restoran terbuka. Ternyata penghujung cerita , tidak boleh diterima akal langsung. Jika boleh biarlah filem tempatan kita mengajar tentang budaya Melayu dan keislaman dalam hidup kita. Gunakanlah media seperti filem sebegini untuk mendidik masyarakat sekarang ini yang rata-ratanya banyak terjerumus ke arah kerosakan sosial. Jangan hanya mengaut untung sahaja.... Saya kecewa sangat dengan Erra Fazira yang berlakon dalam filem ini sebagai Markonah....wataknya teruk. Haliza Misbun pula, jika lihat wataknya ternyata dia berjaya membawa watak ini dengan baik. Itulah, pakaiannya buat kita menyampah sehingga 'rasa' teruja menjadi 'rasa' meluat . Jadi filem ini menjadi tidak sedap ditonton. Ia mengecewakan sangat kerana penglibatan banyak pelakon glamor tak lagi menjadi satu tarikan.