ROTI CANAI SALAD TACO oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum warahmatullahi' wabarakatu'....
Jika saya ungkapkan semua perasaan ketika membaca novel ini, mesti ada orang yang akan membuat tanggapan bahawa saya terlalu emosional dan terlalu jiwang dalam memperkatakan sesebuah novel. Dipandang dari segi positif , semua pencinta buku akan mempunyai keterujaan yang tinggi terhadap buku yang dibaca. Apatah lagi jika buku itu adalah buku yang sangat disukai cara penyampaian dan isi kandungannya. Membaca sejuta kalipun tidak apa...pasti perasaan suka itu berganda setiap kali membacanya kerana kita akan lebih memahami bila dibaca berulang kali...silap-silap boleh hafal ayat dari A ke Z.
Ya , saya akui bahawa saya sangat lambat membaca novel sekarang ini. paling cepatpun tiga hari, hanya pada hujung minggu. Namun tidak semua cuti hujung minggu saya bernasib baik kerana kunjungan anak-anak emak yang lain.
Namun dalam situasi saya membaca novel ini amat berbeza. lambatnya saya menghabiskannya kerana saya perlu untuk berjeda seketika untuk mencerna beberapa kaitan watak di dalam novel tersebut. Saya akui pada mulanya saya pening sebab banyak watak diperkenalkan. Tambahan pula pengenalannya amat minimum untuk memperolehi klu atau bayangan siapakah watak-watak tersebut. Dan pastilah penulis memperkenalkan watak melalui beberapa peristiwa penting yang seterusnya jika pembaca bijak akan berusaha mengaitkan semua watak itu di sepanjang deretan perjalanan plotnya. Kali ini penulis menggunakan pendekatan yang amat berbeza dalam memperkenalkan watak-watak novelnya. Jika dulu kita boleh agak watak ini dengan watak itu saling berkaitan dalam bentuk pola berpilin yang semakin besar pusaran berpilinnya maka berkembanglah jalan cerita tersebut. Namun kali ini ia umpama percikan bunga api di udara , melantun ke serata arah dan hujungnya kita harus kumpul satu persatu membuka segala misteri yang termetri sepanjang jalan cerita tersebut. Bijak penulis ini  dalam mengikat fokus pembaca untuk terus  sabar membaca satu persatu. Ya..membaca Riti Canai Salad Taco ,kita tidak boleh bermain politik kotor untuk melangkau satu helai demi satu helai kerana ia membuat kita tertinggal sesuatu yang remeh tetapi amat penting...contohnya saat pertemuan pertama watak hero dan heroin. Namun keduanya tidak perasan pada pertemuan itu sebab heroin langsung tidak memandang secara terperinci wajah heronya pada masa itu. Hanya pandangan pertama di kilang Sejuk Beku lah yang membuat si hero jatuh  hati kali pertama tetapi tidak kepada heroin. Nyata dalam novel ini  perasaan sebenar heroin tidak terlalu digambarkan hanya setelah berkahwin barulah timbul rasa sayang, cinta dan kelembutan yang ada pada Raniah. Penulis seboleh mungkin menjaga dengan sebaiknya santun seorang wanita Melayu dalam menyemai perasaan kasih kepada kaum sejenisnya yang hakikatnya ramai yang hilang kesantunan  ini. Ibarat perigi mencari timba.

Kita diajak untuk bersabar dalam menghayati novel ini sepenuhnya. Ini kerana setelah beliau mengenalkan beberapa watak dan perwatakan yang menarik , bila kita membaca baris demi baris dengan harapan kita temui jawapan siapakah watak-watak tersebut dan kenapa ia terjadi sedemikian. Namun dipertengahannya beliau banyak memperkenalkan Raniah dan lingkungan kehidupannya. Begitu juga dengan Mukmin dan sekitar masalahnya. Semasa beliau menceritakan kisah masa kecil Raniah , kita kemudian tertanya-tanya apakah yang berlaku seterusnya kepada watak Hanum dan watak Amirul. Kedua misteri ini seterusnya seakan dilupakan bila kita menghayati jalan cerita seterusnya. Tertanya-tanya juga hati kecil saya, adakah penulis sengaja melupakan dua watak ini menjadi tergantung atau ada kisah selanjutnya. Begitu juga dengan Mukmin , saya tertanya-tanya kenapa emak Mukmin merahsiakan hubungannya dengan Bakhtiar dan Nana. Bila membacanya saya tidak dapat lari daripada berprasangka buruk bahawa , emak Mukmin berkahwin dengan Haji Ismail dengan cara menggunakan ilmu hitam. Bimbang suami , Mak Tua dan anak-anak menjadi marah maka beliau menyimpan secara kejap rahsia yang tidak ingin dibongkarnya walau natijahnya , bukan sahaja Mukmin menerima padah tetapi isteri Mukmin juga turut terkena.

Saya akui juga saya tertanya-tanya kenapa Salad Taco menjadi tajuk kerana hampir 70% cerita berkait dengan Roti Canai. Rupa-rupanya semua watak mempunyai kenangan dan kaitan rapat dengan roti canai. Di warung Mak Cik Delima lah pada mulanya pertemuan Hawa dengan Raniah. Seorang wanita berambut merah dan sedang duduk memerhati Raniah melebar roti canai dan kemudian mengambil gambarnya. Dan Salad Taco menjadi lambang pertemuan Raniah dengan Mukmin yang membuka sebuah restoran iaitu 1420. Satu nombor yang mempunyai makna yang sangat mendalam bagi pemiliknya. Apa maksudnya, kenalah rakan-rakan membaca sendiri novel ini. Jika saya ceritakan kesemuanya , rasanya tidak cukup dihelaian blog ini. Mahu bertambah beberapa episod seterusnya. Bak kata krew Aksara dulu, habis satu roll filem dengan hanya saya yang bercakap...

Saya sebenarnya amat sebak membaca kisah Raniah dan ibunya. Betapa degilnya seorang ibu , Mak Cik Delima sehingga perbuatannya itu amat mengecilkan hati Raniah. dari kecil sehingga dewasa , Raniah menjadi anak yang berdikari sehinggakan masuk universiti menggunakan duit sendiri. Perasaan kecil hati seorang anak sebenarnya telah saya rasai bertahun-tahun, dan ini membuat hati saya terguris bila membaca bagaimana  Raniah balik dengan sebak di hati setelah menemui ibunya di Pusat Jagaan Orang Tua. Dan bila Raniah menulis artikel tentang emak Mei Ling, ia menyedarkan Mak Cik Delima betapa dia mengabaikan saat-saat manis masa kecil anak yang harus dikongsinya bersama anak. Biar sibuk manapun, luangkanlah masa untuk hari-hari penting anak seperti majlis penyampaian hadiah dan sebagainya. Jangan kedekut untuk tunjukkan perasaan sayang kepada anak melalui perlakuan. Ini bagus menjadi panduan ibu bapa di luar sana. Dalam menanggani masalah sosial anak-anak zaman sekarang, amat pentingnya ibubapa meluangkan masa bersama anak-anak agar pergerakan dan pergaulan mereka dapat dipantau sepenuhnya. Bukan mengongkong keterlaluan namun berusaha menjadi kawan baik anak-anak dan berubah serta bertoleransi mengikut zaman anak-anak.

Bila terjebak dengan kerja yang tidak halal, ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi untuk mengubah nasib dan keluar dari lingkungan kerja yang banyak menjurus ke arah kemungkaran. Kita didedahkkan dengan perubahan positif pekerja kelab malam seperti Hawa . Kehidupannya amat bahagia dengan suami yang amat menyanjung kehidupan beragama malahan kedua suami isteri ini berjaya membuka minda golongan barat tentang kehidupan Islam . Kejayaan ini amat manis dengan pengislaman Stephanie di Jerman.  Juga betapa akar dan asas yang kuat dalam mendidik anak-anak menjadi perisai yang sangat ampuh sehingga syukur alhamdulilah dalam cabaran yang sangat hebat dengan dugaan dan cabaran persekitaran kehidupan di Jerman, anaknya Raudhah yang remaja akhirnya terselamat. Syukur alhamdulilah walau pada mulanya saya sangat cemas bila Raudhah kembali daripada parti rumah kawannya dalam keadaan sugul dan murung. Bukan hanya ibubapanya mendoakan, secara tidak langsung hati kecil saya turut berdoa agar Raudhah tidak rosak. Walau bagaimanapun penulis tidak lupa menceritakan natijah perbuatan yang jahat untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita. Bakhtiar dan anak-anaknya yang tidak tahu status memandangkan nama bapa mereka berlainan sekali akhirnya mati terbakar . Biasanya manusia yang mengamalkan ilmu hitam, syirik dan berkawan dengan syaitan akan mati dalam keadaan yang mengaibkan. Hani perempuan Melayu yang zahirnya ditunjukkan sebagai wanita yang kuat beragama tetapi lahirnya amat kasar, egois dan kuat berprasangka. Ia menjadikan kita memikirkan adakah kita ini tersangat munafik yang menunjuk-nunjuk kebaikan tetapi sebaliknya hati kita sehitam-hitamnya tanpa dikawal.  Perkahwinan Daim yang gagal menyedarkan betapa dia terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Hani yang tidak dikenalinya dengan sepenuhnya. Penulis sama dengan saya amat bersetuju bahawa sesuatu perkahwinan itu haruslah mendapat restu daripa ibubapa terlebih dahulu. Jika tidak, maka akan timbul masalah di kemudian hari. Puan Suhana ibu Daim amat tidak setuju bila Daim mengahwini Hani , bukan hanya kerana dia lebih menyukai Raniah menjadi menantunya tetapi kerana nalurinya dapat mengagak bahawa Hani bukanlah perempuan yang baik.

Roti Canai Salad Taco membicarakan tugas wartawan dan pengusaha kilang makanan sejuk beku. Namun saya amat suka kerana tugas wartawan ini menjadikan penulis dapat mengungkapkan semua bidang, agama, fesyen, makanan, halal dan haram hatta kebajikan sekalipun. Betapa kerjaya ini bukan hanya setakat menjadi wartawan mewah tetapi tugas wartawan yang melaporkan kebenaran dan membantu golongan yang perlukan bantuan kebajikan . Kita diperkenalkan dengan watak Zawi dan saya menjerit terkejut bila tahu siapakah Zawi yang sebenarnya. Patutlah saya hairan kenapa si Raniah asyik berkepit dengan Zawi dan hingga sanggup duduk di atas paha Zawi. Sesuatu yang manis bila Raniah menjadi sahabat yang tidak berputus asa mendoakan dan menegur sahabatnya yang pincang jalan hidupnya untuk berubah ke arah kebaikan. Ini menjadi motivasi kepada kita semua , jangan sesekali tinggalkan sahabat tetapi berdoalah dan jangan berputus asa mengajaknya ke arah kebaikan. Begitu juga dengan watak Janis , seorang wartawan yang banyak mengungkapkan realiti kehidupan masyarakat zaman kini. Walau dia bukan orang Islam tetapi beliau banyak menyumbang ke arah kebajikan. Akhirnya saya dapat mengagak , dia dan Daim berkahwin dan dapatlah Janis memeluk Islam mengikut papanya, Razali Teoh. Watak Janis dan kaitannya dengan Hanum sangat mengejutkan saya.

Sudah panjang meleret ulasan novel yang saya buat ini. Tahniah kepada kakak Norhayati Berahim kerana memperkenalkan cara baru dalam pengolahan watak dan perwatakan. Nampaknya kakak telah melangkah ke satu tahap lagi dengan mengubah pola penceritaan akak. Teruskan akak kerana info-info dan ilmu yang akak selitkan dalam novel ini amat membantu kita semua. Anda di luar sana , dapatkan novel ROTI CANAI SALAD TACO di pasaran sekarang. Atau layari laman web : http://www.nbkara.com.my.

Comments (0)