SEJAM RM2.50 oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in


Rasanya novel ini ingin saya dakap sepanjang masa ,tak ingin dilepaskan biar sesaatpun. Sukar saya gambarkan perasaan ini setelah menghayati novel ini...seribu variasi perasaan berkecamuk dalam diri saya. Ada tangis , ada senyum, ada tawa mengiringi setiap perjalanan plot novel ini sehingga akhirnya pengakhir cerita saya tamatkan dengan keluhan yang amat berat. Novel ini seakan menuntut satu tanggungjawab yang besar buat saya....memikul sebuah harapan yang sangat agung demi memartabatkan bangsa dan agama.

Pada mulanya ketika diwar-warkan tajuk novel terbarunya oleh beberapa orang yang rapat dengan penulis, dan saya masih tercongak dengan teka-teki apa maksudnya RM2.50 , saya menjadi takjub dengan perubahan baru terhadap tajuk yang unik berbanding dengan tajuk-tajuk yang biasa. Apa yang melucukan ialah, ramai peminat Kak Norhayati Berahim tertanya-tanya ,biar betul hendak jumpa kak NB kena bayar RM2.50 sejam...hahahaha kelakar sungguh bila diingat balik. Tajuk ini juga membuatkan sahabat saya Nik Fauziah Nik Hussein tidak perasan dengan novel barunya ini. Maka jadilah si Nik ketinggalan 'belon'.

Tema utama isu kekeluargaan menjadi tunjang dalam setiap novel beliau.Kali ini beliau mengungkapkan isu lelaki berpoligami dan tidak berani mengisytiharkan perkahwinan keduanya kepada umum demi menjaga reputasi diri. Alangkah pengecutnya dan kejamnya lelaki sebegini. Berani dan angkuh berkahwin dua tetapi takut mencanang perkahwinan keduanya.Reputasi diri yang diagungkan mengorbankan bukan sahaja hati isteri ke dua tetapi juga jiwa anak-anak daripada perkahwinan ini. Dan setelah semuanya terbongkar sebaik nyawa direnggut pergi, ia merobek luka di hati isteri pertama dan mencarik jiwa anak-anak yang lain pula. Namun Tan Sri Fakhrul begitu bertuah kerana isteri-isterinya amat baik, punya jiwa yang murni untuk melestarikan hubungan kekeluargaan ini dengan cara yang aman damai. Bila saya renung perwatakan Tan Sri Fakhrul , saya merasakan betapa buta hatinya sehingga tindakannya ini hanya mampu disesali saat usia dimamah masa, namun luka yang berbekas di hati anak-anak sukar mahu dikikis kerana sudah beku menjadi dendam yang dalam di hati anaknya Sean. Kemudian Datuk Muhid pula , digambarkan sebagai lelaki yang terlalu menurut rasa hati tanpa memikirkan sedalamnya , bertindak secara terburu-buru dan akhirnya menyesali tindakannya ini ,mengahwini seorang perempuan muda yang materialistik seperti Safina.

Persoalan lain yang dikupas oleh penulis ialah dendam yang wujud di hati kita bernama manusia. Betapa dendam itu menjadi duri dalam kehidupan manusia itu sendiri. Hussin yang mendendami papanya bertahun-tahun hidup dalam duka nestapa. Dia tidak mampu memaafkan papanya atas apa yang dilakukan oleh papanya. Dendamnya berkemuncak saat kematian adiknya Asyraf, dan ini menjadikan dia dingin terhadap papanya sendiri. Begitu juga dengan Wafa yang turut mendendami papanya Datuk Muhid yang sering merendahkan minat dan bakatnya terhadap lukisan . Segala kata-kata papanya menjadikan dia menjadi anak yang sering menjauhkan diri dan berazam untuk berdikari tanpa mengharapkan wang papanya. Namun masa yang berlalu menjadikan mereka dewasa. Hussin dan Wafa sedar bahawa tidak ada gunanya menyimpan dendam dengan bapa masing-masing kerana ia menjadikan hidup mereka merana dan tidak  gembira.

Novel Sejam RM2.50 ini juga mempersoalkan isu agama dan kali ini ada perubahan dalam penulisan novel NB kali ini iaitu beliau menjurus kepada semangat patriotisme dalam novelnya ini. Wow....mungkin pembaca tidak perasan bahawa tanpa kita sedari beliau sudah cuba menyelitkan unsur patriotik ini dalam menanggani isu di Ulu Saritan. Katanya , novel ini agak berat.....dan saya akui segala isu Ulu Saritan amat sensitif dan berat untuk diselesaikan . Beliau memberi jalan , cadangan tentang cara penyelesaian masalah-masalah sosial sebegini. Segala masalah yang ditimbulkan, arak, judi, seks bebas sebenarnya wujud di mana-mana sahaja. Memandangkan Ulu Saritan kecil maka masalah sosial ini nampak sangat teruk dan ini amat perlu menjadi  iktibar untuk kita mengawasi apa yang dilakukan oleh anak-anak kita di luar rumah.Namun banyak kerenah manusia dan pengajaran yang dapat kita cedok dan jadikan panduan untuk kita bermuhasabah diri melalui novel ini. Antaranya ialah ;
1. Tanggungjawab sosial untuk saling mengingati tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada golongan dalam bidang agama sahaja. Kita sebagai ahli masyarakat berperanan untuk saling tegur menegur dan pesan memesan untuk mengelakkan daripada tergelincir ke jalan yang mungkar.
2. Banyak cara yang dicadangkan oleh penulis dalam menanggani masalah sosial di kalangan remaja dan kanak-kanak , contohnya memberikan upah sejam RM2.50 untuk menghadiri diri ke surau dan melaungkan azan setiap kali sholat. maksudnya di sini , dalam mendidik anak-anak, tidak perlu menggunakan kekerasan dan rotan tetapi mengubah cara pendekatan untuk menarik minat golongan ini menyedari kesilapan mereka secara halus dan lembut. 
3. Kelemahan kanak-kanak di Ulu Saritan adalah disebabkan kurangnya aktiviti untuk mereka menghabiskan masa dan ketiadaab kemudahan insfrastruktur untuk beriadah seperti padang permainan.
4. Peranan surau perlu diqimarahkan setiap masa untuk menyuntik kesedaran di kalangan orang-orang kampung dalam soal agama. Namun sayangnya golongan masjid sering berebut jawatan menjadikan surau terbiar begitu sahaja. Surau hanya digunakan semasa bulan Ramadhan sahaja menjadikan hari-hari yang lain ia terbiar, kotor dan menjadi tempat penagih dadah bersarang.
5. Persahabatan memberi ruang dan jalan untuk sama membina wawasan membangunkan sesuatu kawasan yang bermasalah. Namun persahabatan yang salah dan dikhianati seperti kerenah Mak Aji Salwa , sebaiknya dielakkan untuk tidak menimbulkan masalah yang rumit di kemudian hari.
6. Pemimpin kawasan harus peka dengan masalah sosial  yang wujud di kawasan masing-masing . Inilah sepatutnya yang harus AJKK Kampung mainkan peranan untuk tidak membiarkan maksiat berleluasa di kampung. Jika ibubapa tidak ambil kisah dengan pergerakan anak-anak di luar rumah maka situasi seperti Ulu Saritan yang jahil akan wujud.
7. Maksiat bukan hanya melibatkan salahlaku seks sahaja tetapi melibatkan semua yang sumbang dan haram di sisi agama seperti minum arak, berjudi dan sebagainya.

Hakikatnya novel ini sangat istimewa kerana ia melambangkan harapan penulis terhadap anak-anak Sarawak . Karektor Abang seakan harapan penulis kepada Luqman dan kawan-kawannya untuk lebih  menghargai ilmu dan berubah ke arah kebaikan . Juga karektor Cucur yang dibentuk melalui RM2.50 berubah menjadi insan yang berjaya sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti. Alangkah baiknya jika novel ini Luqman baca. Saya sedang berusaha untuk membuat Luqman membaca novel ini suatu hari nanti.

Ada satu soalan yang masih belum terjawab , siapakah ayah kepada DOLLY ? Saya seakan dapat meneka ,adakah Haron ayah kandungnya ? Pun juga saya tertanya-tanya kenapa Haron tergesa-gesa meminta mamanya meminang Wafa untuknya , seakan dia lari daripada sesuatu masalah yang berat. Tidak mungkin hanya kerana kejatuhan nilai saham syarikat yang berpunca daripada keburukan imejnya.   Ya, rasa tertarik Haron kepada Wafa adalah disebabkan daripada pertembungannya secara kebetulan dan daya tarikan Wafa yang berambut perang dan bermata hazel menjadikan dia kegilaan Haron. Namun bagi saya itu bukan cinta kerana apabila Wafa sudah bertudung, Haron seakan tidak lagi berminat kepada Wafa. Berbeza dengan Sean yang jatuh hati melalui pertemuan pertama, ketika melihat Wafa dari seberang tali air.

Ini hanya pandangan saya secara peribadi. Ada beberapa kesilapan atau tersasul dalam dialog( disengajakan untuk menjadi bahan gurauan) dan ternyata ia digunakan sebagai teknik untuk menceriakan jalan cerita. Perjalanan plot cerita sangat teratur dan saya sangat sukakannya. begitu juga watak-watak yang diwujudkan oleh penulis dalam novel ini. Pada permulaan cerita peristiwa zaman kanak-kanak , saya sering menangis melihat penderitaan Asyraf sehingga ke akhir hayatnya , papa yang diharapkan muncul tidak pernah muncul hanya kerana lelaki ini terlalu menjaga reputasi politiknya. Benci saya dengan watak Tan Sri Fakhrul. Saya sangat menyukai watak Basri...alangkah bagus andai saya ada adik seperti Basri. Juga ibu-ibu yang mempunyai karektor yang sangat menarik, Mami, Umi , Puan Sri Salmah, dan Puan Nori, empat wanita ini bila digabungkan menjadikan keluarga ini sangat hebat. Juga gabungan adik beradik yang sangat mantap , Hussin, Asnor, Hassan dan Asyraf , sepatutnya Tan Sri Fakhrul rugi  masa dan peluang bila mengabaikan mereka. Sakit hati saya mengenang kembali perangai Mak Aji Salwa dalam cerita ini namun saya tidak mahu menyimpan dendam sehingga saya hanya ketawa bila membacanya semula. Terimakasih Kak Norhayati Berahim kerana akhirnya berjaya membuat cerita berlatar belakang Sarawak dan nama-nama unik seperti Cucur sangat melucukan . Inilah indahnya Malaysia,sebuah negara berbagai budaya dan etnik yang unik.

Ya....semestinya 5 bintang saya berikan kerana novel ini adalah harapan penulis untuk semua generasi. Iktibar untuk kaum guru dan ibubapa juga kritikan sosial kepada masayarakat kampung agar bangkit dan terokailah ilmu untuk terhindar dari kejahilan dan kemungkaran.Inilah semangat patriotik...melalui perjuangan Wafa dan kawan-kawannya. Saya sebagai guru tahu ada kesilapan dalam tindakan saya yang mungkin tersasar kerana saya perlu berlembut untuk menanggani masalah yang wujud. Semoga anak-anak didik saya tidak tersasar ke jalan yang gelap.

Sahabat-sahabatku...adakah anda sudah memiliki novel ini ? Dapatkannya dan hayati kerana jika kita tidak mahu generasi anak-anak kita tersesat , maka kita kena luangkan masa untuk pembentukan sahsiah mereka. Ada beberapa orang rakan bertanya adakah watak Cikgu Zaza adalah watak saya dan adakah Ulu Saritan adalah kampung saya, jawapannya tidak. Saya tidak sehebat Zaza dan Ulu Saritan bukanlah Ulu Semera. Ia hanya gambaran sebuah kehidupan dan kegelapan di kawasan luar bandar. Masalah ini wujud di mana-mana jua....dan kita harus memastikan masa depan kita cemerlang bukan hanya dari segi dunia tetapi juga akhirat.

Comments (0)