SAAT KAU KATA CINTA oleh Anis Ayuni

Posted by Leeza | Posted in


Setelah sekian lama blog tidak dikemaskini , diam tak diam saya masih sempat meneruskan hobi saya membaca novel. Biarpun keletihan dan kesibukan tidak terkata namun novel tetap dihayati sepenuh jiwa.

Novel ini , karya penulis kegemaran saya juga, saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu. Bulan Mac ia dibeli, bulan Julai baru dapat dibaca. Jalan cerita yang menarik sekitar kehidupan dan percutian di luar negeri. Pertemuan dan percintaan yang silih berganti namun kali ini penulis agak longgar membicarakan perjalanan percintaan Darwina dengan Hijaz, Darwina dengan Azril dan seterusnya Darwina dengan Shafi. Terkadang saya tidak menyelami indahnya cinta tiga hala ini. Walaubagaimanapun, seperti yang penulis nyatakan dalam coretannya bahawa ia menekankan lebih kepada isu cinta di bangku sekolah. Ia dapat memberi kesedaran kepada anak-anak sekolah bahawa cinta di bangku sekolah terkadang tidak menjanjikan kebahagiaan atau kekal hingga ke jinjang pelamin.

Penulis juga menyentuh isu anak tiri yang tidak sukakan ibu tirinya sehingga perkahwinan ayahnya tidak dihadiri malah berbulan tidak pulang ke rumah. Kalaulah penulis dapat menulis gambaran perasaan ibu tiri itu, alangkah baiknya. Mungkin teknik pernceritaan menggunakan watak AKU membataskan segalanya. Kasih sayang ayah terhadap Wina menyentuh rasa hati sehingga pembaca boleh menyalahkan si Wina yang mementingkan diri dan tidak memahami kehendak ayahnya. Ayah bersebab kenapa mengahwini Umi . Agaknya demikian rasa hati duda yang mempunyai anak-anak dewasa , rasa sunyi dan perlukan teman sebagai pengiring masa tua. Sekali lagi jika anak-anak remaja membaca novel ini mungkin dapat mengambil iktibar untuk lebih memahami masa tua ibu bapa masing-masing. Pun juga teknik imbas kembali kepada kisah cinta semasa di bangku sekolah memerlukan kita bijak mencerna plot cerita.

Banyak sebenarnya yang boleh dikembangkan namun demikian sudah gaya yang ditentukan. Darwina gadis manja yang menjadi kesayangan keluarga. Dia digambarkan gadis yang mampu bertahan biarpun dikecewakan oleh Hijaz dan kemudian ditipu oleh Azril yang sudah beristeri. Dia wanita yang tahu menjaga diri dan bukan wanita perosak rumahtangga orang. Saya bangga dengan perwatakan ini sebab ia tidak terliur dengan rayuan suami-suami orang, Hijaz dan Azril. Syabas untuk watak Darwina. Juga saya sukakan watak Shafi yang 'gentleman' dan berani bertanggungjawab ke atas Darwina. Dia meminang dengan cara yang baik, menyintai dan melindungi wanita idamannya.

Novel ini diperindahkan dengan percutian ke UK...satu gambaran yang menyegarkan. Namun romantisnya tidak terasa sebab hati Darwina telah dimiliki oleh jejaka yang lain. Ternyata cinta mereka mula berkembang semasa pertunangan. Itu sebaiknya, batas pergaulan kena dijaga agar cinta yang terbina di jinjang pelamin buat yang berhak terpelihara kesuciannya.

Comments (0)