Tabahkan Hati

Posted by Leeza | Posted in

Sejak 2 minggu ini rutin harian saya berubah dengan drastiknya. Dalam masa 2 minggu ini, mak saya jatuh sakit. Beliau menghadapi kesyukaran membuang air besar. Sakitnya bertambah dengan kesakitan di bahagian pinggang menyebabkannya susah untuk bangun dan bergerak. Ketika entry ini saya tulis, beliau sudah boleh bangun dan bergerak tetapi sudah 6 hari tak buang air besar dan sukar tidur malam. Ketika beliau sakit saya merasa diri sayapun sakit sama. Setiap saat saya berdoa agar Allah kurangkan sakitnya. Jika sudah sampai masanya pun biarlah dia berada dalam keselesaan. Dia sudah terlalu tua untuk melalui semua penderitaan ini.

Dari segi fizikal , tugas saya kian bertambah. Seawal 430 pagi saya bangun, masak air, masak bubur nasi untuk mak, siapkan lauknya , siapkan Luqman ke sekolah dan segala-gala untuk keperluan mak seperti membersihakan bekas kencing mak, kumpul pakaian kotor mak, kemas dapur dan sebagainya. Jam 6 pagi saya mesti pastikan Luqman ke sekolah. Dia sudah 13 tahun dan menjadi kemanjaan neneknya. Jika dulu, neneknya mengambil semua keperluannya pakaian dan makanannya dan diserahkan kepadanya, tapi kali ini saya mengajar dia berdikari. Makan-minumnya saya sediakan , pakaiannya siap berseterika saya letak di tempat yang sedia untuk diambilnya. Alhamdulilah kerana selama 2 minggu ini dia tidak meragam ke sekolah seperti biasa. Malah dia banyak membantu saya waktu petang dan malam. Dia bantu tengokkan neneknya ketika saya sedang mandi dan mencuci pakaian atau tengah memasak. Seminggu ini saya amalkan mengunci pintu rumah sebelum maghrib ,jam 630 petang. Saya tidak mahu lagi Luqman terbiasa keluar malam dan alhamdulilah sebab 2-3 hari ini, kawan-kawannya tidak lagi datang menyeru dia bermain.

Sebelum ke sekolah saya pastikan kakak saya mengambil giliran menjenguk mak . Saya kena tinggalkan ubat yang telah disukat ml nya sebab kakak tak tahu tengok sukatan ubat. Balik sekolah saya sambung tugas sehingga malam. Malam-malamnya , badan sakit-sakit seperti lepas kerja buruh. hahahaha.

Dari segi mental, sabar mahu banyak-banyak. Isghtifar banyak kali...Ketabahan perlu untuk menjaga orang sakit. Mak saya pernah mengeluh : aku punya anak yang ramai, tetapi bila aku sakit seorangpun tak mahu jaga aku. Saya terasa juga sebab saya tidak dapat 24 jam berada di sisinya. Pernah sekali ketika saya hendak solat maghrib di penghujung waktu dia memanggil saya, dan saya terpaksa minta dia bersabar 5 minit sahaja. Ketika kakak saya mengadu mak tak mahu makan pada jam 5 petang, saya biarkan sahaja dulu. Bila sudah jam 6 petang baru saya memujuknya makan nasi bubur . Dia makan sebab saya sudah jelaskan yang dia kena makan dulu sebelum telan ubat . Ubatnya semua dalam bentuk cecair kecuali pil darah tinggi. Ubat sembelitnya sudah menjangkau 8 jenis dan kesemuanya saya cuba. Bila kakak ipar dan abang memaksa saya berikan ubat-ubat yang mereka bawa balik mengikut cadangan kawan-kawan , saya angguk kepala sahaja namun saya tidak berikan secara mendadak. Mana mungkin kita berikan ubat 2-3 jenis secara serentak sebegitu. Kesian dia. Ketika di hospital, masa abang-abang saya semua ada berkumpul bersama isteri masing-masing, saya pastikan mereka semua melayan mak. Sebab mereka anak-anak kesayangan mak saya dan tentu dia ingin bermanja dengan anak-anak kesayangannya. Hati wanita tua....hanya waktu begini sahaja dapat merasa belaian anak-anak. Alhamdulilah sebab mereka semua faham. Dalam keadaan sebegini, adik-beradik kena bersatu dan bekerjasama...sebab mak hanya seorang dan dia yang melahirkan kita.

Comments (2)

kak leeza, besar ganjarannya buat akak yg tak jemu dan sabar melayan emak akak. kesian dan sebak jugak membaca entry akak kali ni. akak banyakkan sabar ye. insyaallah ada hikmatnya tu.

ida doakan agar emak akak cepat sembuh dan sihat sperti sediakala... amin

Za insya-ALLAH ada ganjarannya untuk kau diakhirat nanti, berbaik dengan mak dan sabar dengan mak. Insya-ALLAH tuhan akan permudahkan segalanya.