I Love You So Much , Mak

Posted by Leeza | Posted in


Pada petang Sabtu yang lalu, 10 Julai 2010, abang Saidi membawa mak ke Kuching untuk rawatan klinik kerana emak menghadapi penyakit sembelit dan sakit pinggang. Kemudian emak dihantar ke rumah abang Sabri untuk check up darah bagi mengesan kandungan garam dalam darahnya pada pagi 12 Julai 2010. Paginya abang Sabri menelefon saya memberitahu bahawa emak bermalam semalam lagi di rumahnya. Namun petang itu dia menelefon saya memberitahu bahawa emak minta dihantar pulang. Hati saya rasa tak sedap. Adakah apa-apa berlaku kepada mak ? Saya terus menyediakan segala keperluan mak saya, masakkannya bubur nasi, ikan, sup sayur, kemas tempat dia berbaring di ruang tamu dan persediaan yang saya buat ini amat membantu sekali kerana selepas itu, ramai yang melawat mak.

Tepat jam 6 petang, mak saya tiba dihantar oleh abang saya dengan menantunya. Dia balik berusung di atas tilam. Wajahnya pucat sekali dan mata terpejam. Saya dapat mengawal rasa sedih dan marah pada masa itu. Sebaik mak dibaringkan, saya terus merasa dahinya dan suhu badannya panas sekali. Tanpa berlengah saya terus mengambil besen, air suam dan tuala. Saya basahkan dan saya lap terus mukanya, badan dan kakinya. Saya tuamkan tuala itu di kepalanya.Kemudian saya terus tanyakan soalan tentang ubat yang diberikan kepada emak untuk mengelakkan saya memberi ubat yang sama . Saya dapati abang dan kakak ipar saya gelabah dan takut . Mak sakit tenat, tentulah takut. Saya terus berikan mak saya panadol yang saya lumatkan kemudian letak air supaya ia cair dan cecair magnesium trisilate ( ubat angin/gastrik) . Beberapa minit kemudian, mak saya sedar dan boleh bercakap-cakap. Saya terus mengarahkan abang-abang saya melayan mak bercakap sementara saya mengambil bubur nasi dan ikan goreng. Ketika tangan kanan memegang pinggan dan tangan kiri memegang secawan susu, saya terdengar kecoh mak saya pengsan lagi. Masa itu, saya hanya mampu menghadap wajah dia. Saya terus usap badannya dengan tuala basah. Kemudian sapu dengan minyak yang pernah diberikan oleh seorang pawang. Keadaannya semakin uzur, saya pasrah jika masa itu Allah hendak mengambil mak saya tetapi doa saya biarlah dia pergi dalam keadaan selesa dan tidak sesakit itu. Semua beradik berkumpul, sepupu2 saya pun balik sama. Salah seorang kakak sepupu saya, Saadiah yang pernah mengajar saya 'lip reading' adalah bekas jururawat. Dia yang banyak membantu dengan memberikan air sedikit demi sedikit. Jangan putus memberi mak air , katanya. Kami berikan mak makan air bubur. Semuanya dalam bentuk cecair. Malahan ubatan yang bentuk pil pun dihancurkan. Dia juga diberikan 'pampers' sebab mak tak boleh bangun. Tahukah anda bagaimana rasanya ketika menyuap air ke bibir mak, dan mengelap bibirnya dengan tisu, airmata saya menitis sedikit demi sedikit. Tuhan, jika di seluruh dunia ini ada anak yang melukai hati ibunya, saya TERSANGAT MARAH DAN SEDIH.

Keesokan petangnya, mak mahu dihantar ke klinik setelah dipujuk banyak kali. Kami membawanya ke Klinik Desa Semera untuk mendapat surat rujukan jika penyakitnya semakin tenat. Kebetulan yang bertugas ialah Awang Erwandy, yang saya sudah biasa kenal. Dia teruskan berikan mak saya water drip (air garam) dan pil kepala pusing. Saya pun tak tahu nama sainstifiknya. Beberapa minit kemudian , alhamdulilah mak saya sedar dan boleh buka mata. Menurut Awang Erwandy mak saya demam panas dan kurang air. Balik dari klinik, dia sudah minta duduk di atas kerusi. Kemudian sempat dia marahkan kami sebab tak bawa dia awal-awal ke klinik. Hahahaha....sedangkan dia sendiri tidak mahu dibawa ke klinik sejak awal.

Sekarang saya menjaga mak saya dengan ketat. Seminitpun saya tak biarkannya. Ubatannya saya jaga. Ubat yang wajib untuk mak ialah pil darah tinggi dan ubat cecair untuk angin . Dia kena makan dan pastikan perutnya tidak kosong. Saya jaga semua pemakanannya. Begitu juga hal remeh-temeh. Syukur alhamdulilah sebab saya diberi peluang untuk menjaga mak saya. Mulai hari ini saya takkan biarkan dia keseorangan ke rumah anak2nya yang lain. Seawal pagi, saya bangun untuk masak bubur nasi untuk mak , makanan, air panas diletak dalam dua termos, pakaiannya, dan sebelum saya ke sekolah, saya pastikan dia makan pagi, kemudian makan ubat-ubatnya. Bila saya bekerja , kakak saya yang tinggal di depan rumah akan menjaganya pula. Tugas ini akan disambung oleh saya sebaik balik dari sekolah. Tiada lagi rasanya masa untuk saya berjalan-jalan pada hujung minggu. Biarlah saya sebegini demi untuk mak saya. Mak tiada dua tiga di dunia ini. Mak tiada terjual di kedai manapun. Masa mak sihat , nikmati masa-masa dengan mak kita. Masa mak masih hidup, hargai dia sebab tiada kita tanpa mak. Dia yang melahirkan kita. Bukankah kedudukan mak lebih mulia? Dengar cakap mak sebab hidup kita akan lebih berkat dan direstui oleh doa mak.

Semasa mak saya sakit, malam itu ramai penduduk kampung datang membaca surah yassin untuk mak saya. Anak-anak saudara mak juga datang dan mereka banyak membantu kami menguruskan mak. Dua sepupu lelaki saya, Abang Besar dan Abang kecik sanggup datang dari jauh . Adik mak cuma tinggal seorang. Adik beradik sebelah arwah bapa juga melawat semasa mak di klinik. Mereka ini semua datang dengan mata merah....sakit mata. Mak saya sekarang asyik risau dia kena jangkitan sakit mata. Hairan saya, dalam mamainya tahu juga dia mereka ini sakit mata. Syukur alhamdulilah...hanya kepada Allah saya mohon untuk membalas jasa mereka ini bagi pihak keluarga saya. Dua malam berturut-turut, adik mak bermalam menjaga mak saya. Adik bongsu mak ini agak rapat dengan mak saya. Hanya mereka berdua sahaja yang hidup daripada empat beradik. Jadi beginilah keadaan kami berempat (Luqman, saya, mak dan adik mak) tidur selama dua malam itu...tidur berkelambu sebab nyamuk banyak.

Comments (2)

salam kak leeza, sedih ida baca keadaan mak akak. syukur alhamdulillah mak akak dah bertambah baik kesihatannya. ida sentiasa doakan semoga mak akak cepat sembuh. akak sabar yea...

terharunya baca kesah mak kak.. besar pengorbanan kak...
semoga mak akan sentiasa sihat... kalo saya, gamaknya menggelabah dah kot....

kak, brp ye umur mak akak?