AKU,ILUSI DAN DUNIAKU

Posted by Leeza | Posted in

Ini adalah cerpen ke dua yang pernah saya hasilkan selepas Memori Di Pantai Miami . Memori Di Pantai Miami pernah menang hadiah saguhati pertandingan esei dan cerpen anjuran Kolej DPAH Abdillah, Kuching. Cerpen Aku, Ilusi dan Duniaku ini saya tulis pada tahun 1987 dan memenangi hadiah penghargaan pertandingan menulis esei, cerpen dan sajak di SMK Tun Abg Haji Openg, Petrajaya , Kuching. Pada tahun 1998 saya menghantar cerpen ini ke majalah Media Hiburan. Ketika saya mengoogle nama saya , terjumpa maklumat cerpen ini di OPAC1 bawah kategori cerpen melayu Malaysia. Rupa-rupanya saya baru tahu bahawa cerpen ini pernah disiarkan di Media Hiburan pada 27 Mac 1998, Media Hiburan bilangan 672. Jadi saya kongsi cerpen ini di sini untuk bacaan rakan-rakan saya. Jangan lupa bagi komen ya....ini cerpen remaja berusia 19 tahun.

Hari-hari kau datang, melihat wajahmu aku rimas. Aku harap kau akan sentiasa senyum padaku. Ini sudah emosi gila.

Setiap waktu, aku ingin bersamamu. Aku inginkan kelembutanmu. Bila kau senyum, aku senyum.Bila kau ketawa,aku diam dan bila kau bercelotehaku khusyuk.Pada setiap kata-katamu,ada nasihat di situ. Aku sedar. Aku insaf. Kau memang guruku yang baik.

Engkau sebenarnya tidak tahu. Bila kau tidak tahu, kau tak mengerti. Dan bila kau tak mengerti,kau lukai hatiku. Mulutmu jahat. Selalu sindir dan cemuh itu ini. Namun, aku tahu kau cuma gurau sahaja. Itulah sebabnya aku tak peduli. Aku tak kecil hati. Aku dah besar. Aku dah dewasa , kalau merajuk macam orang tua. Aku belum tua lagi. Baru sembilan belas tahun. Aku tak mahu jadi orang tua.

Kau lihatlah aku ini. Aku riang. Aku nakal. Si A pun selalu marah-marah. Aku peramah tapi mulutku jahat. Aku suka bercakap. Aku suka membidas. Dan aku paling suka menyampuk. Itupun hanya sebagai usikan . Aku suka mengusik .Aku suka tengok orang merajuk. Tapi, kalau kau nak usik aku, usiklah. Aku tak kecil hati. Zaman sensitif telah berlalu. Itu zaman aku kecil-kecil lagi. Kau nak buli , bulilah. Tak peduli. Aku tahu kau sayang aku. Macam kau sayang siapa-siapa ank muridmu. Aku tak ada masa nak gaduh-gaduh lagi. Itu perangai anak kecil, anak hingusan. Ahh...aku mana ada hingus lagi. Ada hinguspun, hingus selesema.

Semua orang kenal aku. Aku popular. Aku dipuji, budak baiklah, budak rajinlah, pelajar contohlah dan entah apa-apa lagi. Aku paling anti kena puji. Aku benci , hari ini kau puji, belakang hari entah apa kau kutuk aku. Aku serik....pujian sering kali tidak ikhlas. Itu lumrah. Aku buat 'don't know' saja. 'Take it easy', kata orang putih. Aku hairan, kenapa ramai kenal aku. Tingkatan satupun kenal aku. Kalau aku berjalan di mana-mana , ada saja panggilan, "kakak!", "kakak!". Pernah suatu hari seorang adik berikan sekuntum bunga teratai padaku di jalanan. Aku suka sekali. Aku suka bunga tetapi aku cinta mawar merah. Namun ,terimakasih adik yang tak dikenal nama. Kau tak tahu apa yang aku cinta.

Sayang seribu sayang, kau tidak tahu. Mereka tidak tahu dan mak bapakpun tidak tahu. Aku ini memang sudah gila. Gila aku gila aneh. Bukannya gila Batu 7.

Dalam diriku telah lama tersarang duka. Telah lama derita bernanah.Mula-mula aku gila kasih sayang kakak. Aku untung, aku ada R,J dan E. Tiga orang wanita itu menyenangkan. hati marah jadi lembut.Hati sunyi jadi riang. Itu dulu. Dulu memang aku aneh. Tanpa mereka aku tak dapat belajar. Macam penagih dadah, tanpa dadah lembik persis belon bocor. Sekarang lain. Dulu sayang sekarang...entah!Aku tak tahu. Tidak! Aku tetap sayang. Merekalah tempat pelarianku. Pelarian dari sikap orang-orang yang aku benci.Mereka gila . Gila kerana menyuruhku berhenti sekolah.Ahhh....tak rela aku dipaksa. Aku ingin belajar lagi. Aku ingin mencapai tangga menara gading. Aku ingin punyai segala-galanya yang tak pernah aku rasai. Dulu haram aku nak pakai cantik-cantik. Dulu haram aku nak naik kereta. Yang pernah aku naik ialah kereta kuning hitam milik 'Apek Teksi'. Itupun sekali sahaja. Mereka bilang tidak punya wang. Dan aku mengerti itu. Tapi aku ada usaha. Aku ada sumpah. Dan sumpah mesti ditunaikan. Aku tak mahu dimakan sumpah. Nanti aku jadi gila Batu 7. Biarkan aku belajar.

Aku ingat. Kau selalu cerita tentang dunia kampus. Bagaimana ya kalau aku sepertimu ? Aku pernah rasai suasana bilik kuliah . Itu baru kolej. Bagaimana ya, kalau di sana nanti aku berada? Tentu sungguh indah. Tentu saja fantastik. Ceritamu membuat aku rindu. Aku rindukan dunia kampus. Aku rindukan gelaran siswi. Ahh...dapatkah ku capai semua ilusi itu? Bagaimana dengan usaha ? Aku jadi takut. Takut untuk menanti November. Kau selalu ingatkan aku pada November. Aku tengok kiri kanan. Mereka sedang belajar. Sedangkan aku ? Aku masih di sini. Aku dibuai rindu. Rindu pada mawar merah, laut biru dan awan memutih. Kenapa dan kenapa aku tidak tahu. Aku ingat muka-muka hitam, menerpa dan menyerkupku dengan ganas. Aku lihat ada rindu dan harapan berkecai. Aku lihat mawar merahku berkecai berguguran satu persatu.Aku lihat laut biru mengganas hitam...hitam dan ganas. Dan ku lihat awan putih tiada lagi. Yang ada ialah langit kelabu menutup deritaku. Derita yang berpanjangan....dan jauh di sudut hati, hati ini tiada lagi milik siapa. Kasih untuk siapapun telah tiada lagi. Aku kini milikku sendiri.

Kau tidak tahu.Merekapun tidak tahu. Aku amat sayang pada mak.Maklah bapa. Maklah ibuku. Mak rela berjemur di tengah panas terik . Mak rela terbongkok-bongkok dengan kelapa sarat di belakang. Muka mak hitam legam dibakar mentari. Muka mak hitam dilumuri arang-arang yang mak buat. Mula-mula mak belah nyiur di kedai Alan. Mak jemur ,mak cungkil. Itu semua tanpa gaji. Upah mak ialah tempurung. Tempurung mak bakar. Bila jadi arang, mak kumpul dan mak jual. Seguni arang mak dapat empat ringgit. Itu semua untuk kami. Kerana arang tangan mak berparut putih. Tangan mak tercedera, terbakar. Oh api! Kau nyalakan hati ini melihat penderitaan mak.

Aku tidak tahan! Bila malam mak kelelahan. Tapi mak tabah. Mak buka mata sampai larut malam. Mak anyam tikar pandan dengan sebuah pelita usang yang kecil. Suram cahayanya sesuram hatiku melihat mak. Aku selalu marah-marah mak. Aku suruh mak berhenti buat itu semua. Tapi mak jawab, "Apa yang kita makan?"

Aku memang tidak rela di sini. Biarkan aku ganti tempat mak. Biarkan mereka enggan bersamamu. Aku tidak mahu, akulah anakmu. Aku anak pembuat arang. Aku rela itu semua. Tapi kau tidak relakan itu, mak. Mak mahu aku teruskan perjuangan. Kata mak, tempatku bukan di situ. Arang bukan sumber rezekiku. Duniamu bukan duniaku.

Kau yang tidak tahu ,kini telah tahu siapa aku. Merekapun tahu siapa aku. Aku anak pembuat arang. Itu semua duniaku. Dunia mak. Tetapi aku di sini, menatap wajahmu, menatap warna-warna putih. Kau ajar aku menggariskan warna di situ. Katamu, itulah warna masa depanku. Tapi aku tahu warna hidupku , warna hitam. Persis arang. Ku lihat garis senyum di bibirmu. Ku lihat kelembutanmu. Ku lihat sinar matamu yang bening. Kau semua duniaku.Memang indah. Ya..duniaku. Itu kata mak. Memang kau dunia impianku. Kaulah kakak, kaulah abang dan kau juga sahabat karib. Aku bahagia dengan kasih sayangmu. Aku terhibur tetapi dukaku masih ada. Duniaku bersamamu hanya impian. Duniaku duniamu tidak sama. Duniaku bukan bersamamu. Kita tak serupa,sayang!

Comments (1)

kak...
wah wah.. kalo diasah bakat ni dah lama leh lawan kak yati NB... hehehe...