Novel sejarah keluaran PTS Litera ini saya beli di Kajang , 15 September 2012 yang lalu. Saya mengambil masa tiga hari untuk khatam novel ini. Novel ini padat dengan rentetan sejarah dan peristiwa yang dialami oleh Shamsiah Fakeh seorang pejuang kemerdekaan . Saya teringat detik-detik masa kecil saya bila seringkali mendapat risalah tentang komunisme dan ada di antaranya berbentuk komik. Juga saya masih ingat pasukan tentera yang acap kali membuat rondaan samada menggunakan helikopter atau sepasukan tentera darat yang datang ke kampung-kampung. Saya akui pengetahuan saya cetek tentang penglibatan Shamsiah Fakeh ini.
Apa yang dapat saya katakan tentang Shamsiah Fakeh ? Saya kagum dengan semangat perjuangannya. Dia satu-satunya wanita yang sangat berani dan tabah. Keadaan perkahwinan yang gagal dan kematian anak-anak boleh menyebabkan wanita biasa patah semangat dan sakit jiwa. Namun sebaliknya, dugaan ini makin mengentalkan semangat yang ada pada diri Shamsiah Fakeh. Semangat juang sebegini harus dicontohi oleh semua wanita di dunia ini. Novel ini seakan mengajak menghayati setiap hari yang dilalui oleh Shamsiah Fakeh. Satu kisah yang tidak kita ketahui selama ini. Segalanya terjawab dalam novel ini. Hari-hari getir yang dilaluinya melarikan diri dalam hutan dan saat dia menyelamatkan anaknya , sangat getir dirasakan. Kita tak mungkin dapat menandingi kecekalan dan ketabahan beliau. Satu lagi beliau tanpa henti melafazkan zikir dan berserah pada Allah. Saya memikirkan bahawa seorang komunis tiada pegangan agama dan ternyata saya silap membuat caturan dan tekaan. Beliau masih seorang Islam yang berpegang kepada agama. Perjuangannya adalah untuk menentang penjajah. Novel ini memberi saya banyak kesedaran dan saya bangga bila beliau tetap membuat rayuan untuk kembali ke tanahair. Syukur kepulangannya ke tanahair sebagai Shamsiah Fakeh dan menggunakan pasport Malaysia. Bersyukur kerana beliau kembali ke tanahair sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Ya , amat benar sekali bahawa novel ini membuka minda saya tentang Shamsiah Fakeh dan perjuangannya. Sahabat-sahabat pembaca saya harus memiliki novel ini untuk mengetahui kebenaran perjuangan beliau. Bak kata beliau , beliau memegang senjata tetapi tidak pernah melepaskan tembakan. Sepanjang masa perjuangannya ialah melarikan diri dari ditembak oleh musuh.Moga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman...amin.
Comments (0)
Post a Comment