Novel ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 yang lalu dan hanya berkesempatan membacanya baru-baru ini. Saya secara peribadinya gelisah membaca novel ini kerana mungkin huruf-huruf yang tercetak terlalu mendera mata tua saya.
Ia mengisahkan tentang janji zaman kecil dan Zalis yang terlalu setia. 20 tahun berpegang pada janji Khilfie . Namun normallah jika dia kecewa bila Khilfie memilih wanita lain sebagai tunangannya. Bukan salah sesiapapun jika Khilfie tidak ingat kepada Zalis dan janjinya itu. Juga bukan salah Zalis yang mengharap sesuatu yang tak pasti. Siapalah kita untuk memaksa seseorang untuk mencintai kita. Namun jodoh yang sebenarnya tertakdir kepada Zalis dan Khilfie membuatkan Khilfie jatuh hati dan mengejar Zalis. Sayangnya Zalis berusaha untuk mengelak dan menjauhkan diri daripada Khilfie kerana dia bukan jenis wanita yang mudah untuk melukakan hati tunangan Khilfie, Jaznita.Kisah cinta tarik tali ini kadang-kadang membuat saya bosan membacanya. Apa lagi bila terdapat teknik pengulangan beberapa ayat. Ada yang diulang sampai 3 kali. Terkadang saya keliru bila sekali sekala penulis menyatakan bahawa Zalis mengharap selama 16 tahun atau 20 tahun. Entahlah, mana satu yang betul.
Walau bagaimanapun saya terhibur dan lebih tertarik dengan keluarga bahagia Zalis. Kedua ibubapanya sangat memahami masalah anak-anak. Tambahan pula dengan keletah tiga orang abang Zalis, Zafran, Zulhan dan Zahfir yang mencuit hati. Saya gelak dengan gurau senda mereka. Bahagia menjadi seorang Nurzalis Najwa kerana disayangi dan dimanjai oleh keluarganya. Sikap keluarga yang prihatin menjadikan Zalis tabah menghadapi kelukaannya. Luka bercampur dengan rasa malu bila isihatinya terbongkar dengan sebuah foto zaman kanak-kanak mereka berdua. Dalam keadaan apapun juga, baik suka dan duka, sokongan keluarga sangat penting. Nasihat untuk kita semua bila bercinta jangan sesekali mengabaikan atau membelakangkan keluarga. Kelak bila cinta putus di tengah jalan tidaklah kita tergapai-gapai keseorangan.Sesungguhnya manusia sangat rapuh bila dalam kesedihan dan ini ditakuti didekati godaan iblis dan syaitan. Sekurang-kurangnya keluarga boleh mengingatkan kita tentang batas pergaulan dan mengejutkan kita daripada kealpaan. Indah bila cinta direstui dan pahit jika terhalang. Ia kisah cinta yang biasa-biasa sahaja. Tiga bintang untuk novel ini. Mungkin citarasa kita tidak sama. Selamat membaca.
Comments (0)
Post a Comment