BIAR JARIMU KUGENGGAM oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in

Bismillahirahmanirrahim...
Dengan izin Allah , syukur alhamdulilah kerana saya dapat menghabiskan novel Kak Norhayati Berahim yang terbaru ini dalam masa beberapa hari sahaja. Malam tadi saya khatam novel ini dalam keadaan yang sesak nafas , dan mata saya sakit kerana hakikatnya saya berusaha sedaya upaya untuk tidak menangis. Ya, jika rasa tangis cuba ditahan dan dada terasa sendat dengan sedu sedan maka baiklah dilepaskan airmata supaya tidak memudaratkan diri sendiri. Dua perkara yang buat saya menangis dan rasa sangat sakit iaitu Sufian dan Mariam. Pada saat ini, menyebut nama kedua insan inipun tak terasa airmata saya mengalir. Watak Sufian yang pengakhirannya mendukacitakan namun memberi ikhtibar kepada kita. Dia mendapat HIV bukan daripada cara hidup songsangnya tetapi Allah tetap turunkan bala dengan cara yang berbeza. Namun beliau sempat bertaubat dan watak ini juga mengajar kita bahawa walau berjutapun harta tetapi bila sakit segalanya tidak berguna. Sedih bila mengingatkan dia dihalau oleh ibu sendiri sehingga saat menghembus nafas terakhirpun tidak sempat berjumpa dengan ibunya. Rasa kasihnya pada ibu tidak luak walau ibunya membencinya , bila beliau meninggalkan sebahagian harta kepada kedua ibubapanya . Walau bagaimanapun Mariam mempunyai harapan untuk terus hidup.

Pada mulanya penulis mendedahkan tentang seorang anak kecil di nurseri bunga , ia satu permulaan yang dipandang ringan dan mungkin dilupakan oleh pembaca kerana seterusnya penulisan kak NB terus berlari bersama waktu perkembangan plot dan wataknya. Banyak peristiwa dianyam dengan cantik dan seakan kita berada dalam sebuah bilik tayangan khas peribadi menonton perjalanan tiap wataknya. Pada saat ini , kita merasakan diri kita tidak mahu diganggu oleh sesiapapun dan keadaan apapun kerana jalan ceritanya sangat mengikat jiwa dan perasaan kita. Penonjolan watak antagonis , Puan Fauziah yang hyper , tipikal watak perempuan yang tidak dapat diubah-ubah perangainya. Rasanya kalau wujud watak ini dipersekitaran saya, mahu stress saya hari-hari dibuatnya. Namun dalam penyampaian watak yang negatif ini tidak lupa juga terselit kelucuan , contohnya ketika dia beria-ia berpuasa semasa 1 Rejab...hahaha . Sayang Mak Cik Rabiah terlalu baik, lemah lembut...jika saya , mahu tak jadi makan Puan Fauziah dibuat saya. Paling saya geram bila satu hari dia menghempas tudung periuk nasi rumah Mak Cik Rabiah...hesy, hesy..sungguh tak punya rasa malu dan segan. Ya, kerana Sufian saya sangat membenci watak ini sehingga ke akhir novel. Namun penulis ada rasa belas pada watak ni bila kepulangan Zulaikhah melahirkan satu harapan untuk mengubah perangai emaknya ini. Moga dia berubah dan insaf dengan sikapnya itu.

Saya akui saya tersilap membuat percaturan dan berprasangka dengan kak NB dalam corak penulisannya kali ini. Ternyata tekaan saya silap sama sekali. Beliau tidak menggunakan teknik penulisan yang sama. Saya menyangkakan watak Adila adalah Wilma tetapi rupanya tidak. Saya dari mula kemunculan watak Adila saya mencari dan tertanya-tanya di manakah Adila berada. Hanya penghujung cerita baru saya tahu bila Henry menceritakan tentang Adila. Jika ada yang mengatakan penulisan Kak NB adalah sama dan streotype, mahu saya naik angin . Caranya tidak sama dan setiap kali novelnya sentiasa berbeza. Itu yang membuatkan kami tertunggu-tunggu novel terbaru beliau.

Anak-anak membesar disebabkan corak didikan ibubapa. Inilah tema utama yang cuba disampaikan oleh penulis. Sufian dan Zulaikhah menjadi rapuh dan tersesat jalan kerana kelalaian ibubapanya. Sikap emak yang dominan , tidak memasak sarapan dan tidak mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang cukup menjadikan anak-anak tidak kuat pegangan dalam menempuh arus kehidupan yang sangat mencabar. Akhirnya penyesalan tidak berhenti-henti dan jadilah kisah duka Sufian berakhir dengan tangis yang panjang. Syukurlah pengakhiran Zulaikhan sangat menggembirakan. Kita diberikan contoh terbaik dengan baik budi pekerti Wilma dan Wahid. Saya sangat suka dengan dua watak ini yang sinonim semua pembaca suka. Watak baik akan disukai. Namun kita boleh ambil ikhtibar dan teladan dengan mencontohi sikap Wilma meladeni masalah rumahtangganya, masalah di tempat kerja dan cara pergaulannya setiap hari. Dia anak yang sangat menyayangi ibunya. Cuma kerinduan Wilma terhadap arwah ayahnya menyebabkan saya juga merindui arwah bapak saya. Dulu kalau saya bergaduh dengan emak, arwah bapak selalu menyebelahi dan memujuk saya. Saya berharap buku ini dibaca oleh semua ibubapa dan contohilah cara Mak Cik Rabiah mendidik anak-anaknya, lembut sahaja. Wanita yang baik lain yang ditunjukkan oleh kak NB ialah watak Dr Maznah yang sabar dengan anak-anaknya. Keluarga Dr Zahari dan Dr Maznah mengetengahkan  betapa pentingnya untuk sabar dan menjadi pemaaf. Saya sebak sangat-sangat membaca perjalanan kehidupan keluarga ini dan penderitaan Mariam. Terbayang-bayang di mata saya Mariam yang sakit. Hati saya menjerit-jerit berharap watak Mariam tidak dimatikan. Dugaan sangat besar bila hanya seseorang yang kehadirannya tidak didoakan yang mampu menunaikan harapan dan doa keluarga ini. Ini memerlukan anda membaca sendiri untuk lebih penghayatan. Saya tak mampu melahirkan ia dalam tulisan.

Doa sangat penting dalam kehidupan kita. Jangan berhenti berdoa kerana pada Allah sahajalah kita mampu berserah dan bertawakal. Saya tahu ada di antara rakan saya bila ditimpa musibah akan menidakkan mujarabnya doa menjadi penawar. Namun membaca novel ini, saya berasa sangat tenang. Bagaimana Sufian menyalahkan sikap emaknya dan Wilma menyedarkan betapa penting anak-anak turut mendoakan agar emaknya berubah. Begitu juga bila berdepan dengan keburukan orang lain ,kita tidak harus menghukum dengan mudah tetapi sebaliknya mengambil jalan yang lebih afdhal dengan mendoakan agar individu yang jahat tersebut berubah menjadi baik. Cuma doa untuk mak mentua jahat seperti Hajjah Ramlah ini tak makbul juga. Sebaliknya menjadi teruk. Mungkin setelah Riduan meninggalkannya , Hajjah Ramlah menjadi lebih insaf. Dia perempuan yang sakit jiwa kerana mengawal kehidupan anak dengan melampau sangat sehingga ke bilik tidur pun dia ikut. Hahahaha...saya tak dapat lupa rasa terkejut saya bila beliau mengikut anak menantu berbulan madu malahan tinggal SEBILIK. Dasyat sungguh....

Latar pekerjaan , jururawat dan doktor. Banyak info diberikan dan banyak kisah menjadi teladan. Juga Kak NB memberikan info terbaru tentang tokoh perubatan Islam yang dilupakan iaitu Siti Rufaidah bt Saad. Banyak info lain yang beliau selitkan dan syukur sebab kita bukan hanya membaca novel sahaja tetapi juga berkongsi maklumat dan ilmu di dalamnya. Terimakasih kepada Kak NB , saya sendiri banyak mendapat ilmu dalam novel ini terutama berkaitan saat kematian dan doa.

Novel ini rasanya tidak puas saya baca. Juga mengulasnya seakan tidak cukup satu pos sahaja. Namun saya tidak mahu mengulasnya panjang-panjang sehingga menganggu keseronokan orang lain membaca. Bak kata sahabat saya Roslaini , beliau sampai bengkak mata menangis membaca novel ini. saya yang gelakkannya , akhirnya mengakui turut menangis walau tidaklah sampai bengkak mata tetapi mata sakit menahan . Banyak yang buat saya sedih namun trajedi Wilma dan Riduan lebih melahirkan rasa sakit hati terhadap watak Hajjah Ramlah dan watak Riduan yang tidak menyebelahi isterinya. Geram saya....hehehe .

Selamat membaca novel ini dan anda boleh dapatkan di pasaran dengan harga RM31.90 /RM34.90 . Anda boleh layari http://www.nbkara.com.my. untuk dapatkan novel ini secara online. 5 Bintang saya berikan untuk novel ini....tahniah kak Norhayati Berahim sebab bukan calang-calang penulis yang dapat menulis sehebat  ini. Penyampaian berisi yang sangat padat dengan ilmu dan pengajaran.

Comments (0)