LANGSIR BIJI REMIA oleh Noor Suraya

Posted by Leeza | Posted in

Saya berjaya khatam dua buku dalam seminggu...yes, yes. Alhamdulilah buku yang saya beli semasa PBAKL 2010 ini berjaya juga saya khatam. Ceritanya sangat menarik, menyayat hati dan memberi keinsafan di hati pembacanya. Bak kata Kak Noor Suraya di mukasurat pertama bukunya : Cantik itu letaknya di hati, sayang. Ya, kisah bagaimana dua sahabat sejak kecil dan Umair si teruna yang menaruh hati kepada Duha Hafa, anak jiran sebelah. Namun bertahun berlalu dia melihat perubahan pada Duha Hafa apabila tidak lagi semesra dulu padanya. Malahan gadis itu sudah berhijap. Tertanya juga hati ini mengapa wajah Duha sangat hodoh dan tidak hairanlah dia merasa amat rendah diri. Malahan kekurangannya ini membuatkan dia tidak suka bergaul dengan orang lain. Syukur alhamdulilah bila dia bekerja sementara di sebuah kedai buku Ceritalah Lagi, milik Kak Hada dan Kak Ain , dia merasa sangat gembira dan amat meminati kerjanya di kedai tersebut. Pada suatu hari, dia terlihat keadaan abang Adam suami Kak Ain yang sakit, benar-benar menginsafkannya bahawa ada orang lain lebih menderita daripadanya. Ini menimbulkan keyakinannya untuk berjuang dan bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Teruna yang asyik masyuk si Umair pula terusan menganyam mimpi untuk menyunting Duha sebagai permaisuri hati. Sehingga Duha mengambil keputusan untuk mempamerkan wajah sebenarnya di sebalik hijap untuk dilihat oleh Umair . Dia yakin Umair tidak semulia lelaki yang sanggup menerima kekurangannya kerana dia kenal Umair yang mementingkan kesempurnaan. Dan ketika terhempas pinggan antik nenek Gujerati , umpama sekeping hati Duha yang hancur berkecai kerana seperti dugaannya, Umair terkejut. Sejak itu Umair tidak lagi seperti Umair yang kemaruk dengan Duha. Dia ternyata tidak mampu menjadi kawan baik yang memahami Duha. Duha pula gadis yang tabah walau hatinya luka dengan tindakan Umair.

Namun kehendak Allah telah mengatur pertemuan jodoh sebenar Duha dengan anak Haji Amiruddin ketika mengerjakan umrah. Pertemuan yang manis dan penerimaan Ahmad Muhsin terhadap Duha Hafa sangat bermakna. Ya , cantiknya letak di hati bukan pada wajah . Wajah akan dimamah usia dan hati yang cantik akan semakin cantik walau usia semakin menginjak senja. Pada akhirnya , betapa bahagianya hidup Duha dengan suami dan tiga orang anaknya. Sementara Umair sentiasa menjeling jendela rumah sebelah dan keluarganya yang tidak seperti idamannya. Dia seakan menyesali pilihannya. Ternyata lelaki ini masih gagal menjadi ketua keluarga. Dia seakan didominasi oleh isteri kerana apa sahaja keputusan di rumah terletak kepada keputusan isteri. Peristiwa jendela antara dia dan Duha diulangi oleh Zara anak Duha dan Amar anak sulung Umair. Apakah Amar akan mengulangi kesilapan ayahnya Umair? Semoga tidak sedemikian.

Gaya penulisan Kak Noor Suraya telah dapat saya cam dengan lenggok dan dialeknya. Ia membuat kita seakan dekat dengan watak-watak dalam cerita ini. Ketabahan dan kesabaran watak Duha bila diduga menjadi iktibar buat kita. Watak Haji Amiruddin mengingatkan saya kepada arwah Pak Idris , ayah kawan baik saya. Al fatihah untuk beliau yang pernah mengasihi dan mengasihani saya.....

Saya syorkan rakan-rakan membaca novel ini walau ia dikategorikan novel si manis 17.

Comments (0)