TELUR REBUS ASAM BOI karya Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in

Penerbit : NB Kara Sdn.Bhd. Harga : RM14.00/RM17.00

Asalamualaikum dan salam sejahtera....
Diam tak diam, saya berkesempatan menghabiskan bacaan novel ini. Kategori novel ini adalah novel remaja. Apabila membaca novel ini saya seakan dibawa merentasi zaman silam sewaktu berada di asrama. Jika dulu saya sangat meminati siri Enid Blyton  yang banyak mengisahkan kehidupan remaja di asrama dan berharap bahawa suatu hari nanti akan wujud siri sebegini. Alhamdulilah pada usia 40an ini saya menemui siri sebegini yang ditulis oleh penulis Malaysia. Tahniah Puan Norhayati Berahim kerana berjaya merealisikan impian ini.

Telur rebus asam boi , tajuk yang tidak asing untuk sesiapa yang pernah dan sedang menjadi penghuni asrama. Aneesa pendukung watak utama tetapi tidak memonopoli keseluruhan pengolahan  dalam novel. Aneesa mewakili remaja biasa, berasal dari kampung, hidup dalam kesederhanaan yang dijaga oleh seorang ibu tunggal yang gigih mencari wang dengan membuat dan menjual kerepek ubi. Dia berjaya memasuki sekolah elit yang berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Budi dengan kecemerlangan dalam akademiknya sehingga mendapat biasiswa . Kebanyakan pelajar yang memasuki sekolah ini adalah daripada anak orang berada yang bukan sahaja kaya tetapi juga cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum . Azura pelajar berdarah campuran Inggeris dan Melayu merupakan pemain biola yang berpontensi. Pie Pie , remaja cina yang ayahnya tauke ikan ,bukan sahaja baik tingkah laku tetapi rajin berniaga.

Kita diperkenalkan dengan watak Puteri Vidad , anak seorang Datuk yang ternama .Dia anak bongsu yang manja dan sombong. Keengganannya dipaksa bersekolah di situ dan duduk asrama menyukarkan sendiri kehidupannya di asrama. Bila menghuni asrama kita terpaksa mengenepikan segala jenis status dan hidup bermasyarakat dan berdikari. Cabaran hidup di asrama menjadikan kita perlukan kawan untuk bermuafakat dalam apa sahaja masalah yang mungkin dihadapi. Sehinggalah suatu kejadian menyebabkan Puteri Vidad berubah sikap dan menyedari perlunya persahabatan dalam hidupnya. Apakah kejadian yang menimpa Puteri Vidad? Apa lagi yang dapat kita fikirkan bila seseorang remaja lebih suka makan makanan yang dibeli dari luar sekolah? Keluhuran persahabatan Aneesa dan kawan-kawannya mengubah persepsi negatif Puteri Vidad dengan kehidupan di asrama.

Pertemuan Puteri Vidad dengan Afnan seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit leukimia menjadi satu cetusan kerja amal kumpulannya. Vidad dan semua rakannya telah berusaha membantu Afnan mendapat penderma untuk membolehkannya menjalani pembedahan tulang sum sum. Malahan hasratnya mengadakan pameran lukisan di sebuah pasaraya juga tercapai setelah Cikgu Hamid ,guru kaunseling meminta bantuan daripada adiknya Hamidi seorang wartawan. Di sini kita terharu dan kagum dengan kerjasama kumpulan remaja ini . Malahan ibubapa Puteri Vidad memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kepercayaan dan sokongan juga diberikan oleh pihak sekolah terhadap usaha mereka ini. Inilah yang memberi inspirasi dan semangat yang tinggi kepada anak-anak ini dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka. Syabas Sekolah Menengah Budi. Cuma saya terkilan kerana usaha dan hasrat mereka ini tidak kesampaian apabila Afnan meninggal dalam tidur. Atas dasar kemanusiaan dan kasih sayang yang telah bersemi, Puteri Vidad telah memohon agar ayahnya menyempurnakan jenazah Afnan. Allah lebih menyayanginya.

Telur rebus asam boi mengenalkan kita dengan watak Pie Pie yang sangat melucukan. Saya tidak berhenti gelak sendirian ketika membaca novel ini. Benar sahabat-sahabatku.....best cerita ini...hahaha. Untuk remaja, banyak info yang diberikan dalam novel ini. Jadi ibubapa perlu dapatkan buku ini untuk bacaan anak-anak anda. Buku ini bukan sahaja untuk pelajar sekolah menengah tetapi juga sesuai untuk pelajar sekolah rendah. Ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar sekolah rendah untuk memilih sekolah berasrama sebagai destinasi persekolahan mereka nanti.

Apa istimewanya telur rebus dan asam boi ? Inilah makanan kegemaran penghuni asrama....dan jika anda ingin tahu keenakkannya bolehlah mencubanya di rumah......:).

Comments (0)